Friday, November 11, 2016

Maghfirah 2

DIA hanya ikut tindak-tanduk Pak cik Mansor.  Orang tua itu bangkit, dia bangkit.  Orang tua itu duduk, dia juga sama.  Malah, dia tahu ada orang lain di belakangnya.  Pertama kali dalam hidupnya, dia berasa begitu gentar. 
Dia menjadi sangat takut.  Peluh jantan merenik pada dahi.  Diseka, masih juga muncul.  Hingga semua tindak-tanduk Pak cik Mansor berhenti… saat ini barulah dia rasa nafasnya lancar. 

Suasana sepi.  Seperti tiada orang melainkan dia sendiri.  Ian toleh belakang.  Daripada hujung mata, tak jelas wajah Maghfirah.  Gadis itu hanya tunduk.  Berbungkus hanya menampakkan wajah.  Butir bicara Pak cik Mansor juga tak berapa jelas.  Ian toleh ke depan.  Memandan belakang tubuh lelaki tua itu.  Yang dia rasakan punyai seribu satu rahsia. 
Lama mereka begitu.  Sebaik saja Pak cik Mansor toleh, mengoyak senyum… dia juga sama.  Dia ke tepi memberi laluan pada Maghfirah mendekati.  Sejak dia tiba, hingga sekarang… dia tak boleh lepas daripada memandang Maghfirah. 
Terasa macam masuk dalam dunia lain.  Atau adakah Pak cik Mansor dan Maghfirah ni bunian?  Adeh.  Apalah yang aku fikir ni.  Ian tepuk dahi sendiri dengan wajah menyeringai.
“Kenapa tepuk dahi sendiri tu, Ian?”  soal Pak cik Mansor. 
Maghfirah turut menoleh.  Dahi gadis itu berkerut sedikit. 
Ian geleng kepala.  Lidah dia membeku lagi saat berlaga pandang dengan Maghfirah. Pandangan yang sama.  Pandangan yang terlalu kosong. 
“Jomlah kita makan.”  Pak cik Mansor bangkit. 
“Firah pergi siapkan makan.  Ayah nak turun tengok kereta kejap.  Esok nak kena hantar servis tu…”  Terus diatur langkah.
Maghfirah bangkit.  Berjalan masuk ke bilik sendiri.  Meninggalkan Ian tanpa kata di ruang tamu.  Setelah itu dia keluar dan lelaki itu masih duduk di situ.  Memandang dia. 
“Ada apa boleh saya bantu?”  Dah dua kali dia tanya soalan yang sama. 
Ian tetap geleng.  Sama jugak pada awal tadi. 
“Kalau gitu, saya ke dapur…”  Terus tubuh Maghfirah hilang di balik langsir yang menutup laluan ke dapur. 
Telinga dipasang.  Ian dengar bunyi tapak kaki Maghfirah yang memijak tangga kayu menuju ke dapur.  Perlahan-lahan, dia bangkit.  Melipat altar yang sejak tadi dia duduk.  Kain dibetulkan.  Tak pernah dia pakai kain pelikat.  Dia menapak ke pintu.  Duduk di atas anak tangga memandang pada Pak cik Mansor. 
“Kenapa dengan kereta, pak cik?”  sapanya.
“Biasalah.  Kereta lama.  Asyik kering minyak enjin aje.  Hari-hari kena bertambah.  Kereta orang pulak tu.  Rosak nanti, apa pulak kata tuan dia,” jawab Pak cik Mansor tanpa memandang pada Ian. 
Ian senyum.  Dia pijak anak tangga.  Menyarung selipar jepun warna biru itu dan mendekati Pak cik Mansor.  Dia sinsing lengan baju hingga ke atas siku.  Tubuh tinggi tegap itu membongkok setelah dicapai lampu suluh daripada tangan Pak cik Man.
“Kamu reti ke pasal kereta ni, Ian?” 
Ian angguk.  “Dulu, nak hidup saya buat semua kerja pak cik…” 
“Habis tu sekarang buat apa, untuk hidup?” 
Entah kenapa, Ian rasa Pak cik Mansor menempelak dirinya.  Tapi, dia yakin… itu sekadar soalan nak tahu dia buat kerja apa. 
“Saya tak kerja apa-apa, pak cik.  Saya mengembara dah dua tahun…” 
“Habis tu, makan minum macam mana?” 
Ian tegakkan tubuh.  Dia dah tahu apa masalahnya.  Sebelah tangan menongkat pada hud kereta. 
“Ada saki baki hasil kerja saya sebelum tu.  Perabih dulu, nanti saya carik lagi.” 
Lama Pak cik Mansor diam.  Dia faham jiwa muda.  Jiwa yang selalu nak ke tempat orang.  Nak kenal dunia.  Tapi, kena beringat sebelum terlambat. 
“Kena menyimpan sikit untuk waktu kecemasan, Ian,” nasihat Pak cik Mansor lembut.
“Ya, saya faham, pak cik.  Tapi, perjalanan saya masih jauh.  Saya tak akan berhenti sehingga sampai masanya.”  Hud ditutup.  Ian suluh tangan sendiri.  Dah hitam.  Terkena juga sedikit dekat baju putihnya. 
“Apa yang kamu cari, Ian?” 
“Entahlah.”  Bahu turut terjongket.  Sungguh.  Dia sendiri tak tahu apa yang dia cari, di mana pencarian ini akan berakhir dan bilakah masanya? 
Semuanya masih menjadi persoalan.
Atau, selamanya dia akan mencari tanpa ada pengakhiran?  Dia juga tak tahu. 
“Jomlah kita naik basuh tangan.  Makan dulu.  Nanti kita cerita.”  Bahu Ian disapa.  Lupa langsung pasal kereta. 
“Oh ya.  Kereta ni dah lama sangat gamaknya, pak cik.  Kena overhaul dah ni.  Kalau dah mula makan minyak enjin,” beritahu Ian.
“Oh, teruk tu…” 
Ian senyum.  “Saya boleh buat sebagai bayaran untuk saya check-in dekat hotel lima bintang yang indah ni.  Makan percuma lagi.  Setidak-tidaknya, itu yang mampu saya buat sebab saya tahu, pak cik tak akan terima duit ringgit.  Betul tak?”  Ian sengih, menerka. 
Pak cik Mansor senyum.  Kemudian, tergelak kecil.  Dia angguk kemudiannya. 
“Marilah makan dulu.  Rasa sedap ke tidak.  Kalau sedap, baru bayar.  Kalau tak sedap, tak apalah.  Setakat itu rezeki.  Pak cik tak rugi apa-apa…”
Ceh… ayat sama lagi.  Ian gelak dalam hati. 
Sebaik saja menjenguk ke dapur, makanan sudah terhidang di atas kain saprah.  Maghfirah masih mengacau air.  Pak cik Mansor pandang belakang.  Ian sedang mengunci pintu. 
“Maghfirah?”  seru Pak cik Mansor.
Tangan Ian yang masih terangkat memegang selak pintu, kaku di situ.  Tergantung.  Kepala?  Kenapa nama itu mampu buat dunia dia beku seketika.  Dia menoleh.  Pak cik Mansor sedang tersenyum padanya.
“Pergilah.  Firah tolong cuci baju kotor tu.  Tukar baju tu dulu,” saran Pak cik Mansor. 
Seperti bendul yang lurus, Ian angguk.  Menurut.  Dia masuk ke bilik dan tak lama keluar membawa baju putih yang terkena minyak hitam tadi.  Dia turun ke bawah.  Pak cik Mansor sudah bersila. 
Perlahan-lahan dia dekati Maghfirah yang berdiri di sinki, menyusun gelas atas dulang. 
“Err… Maghrifah,” serunya.
Gadis itu menoleh.  Mendongak pandangan tinggi.  “Boleh saya bantu?”  soalnya.
Ian sembunyi senyum.  Ini dah kali ketiga dia terima soalan yang sama tapi kali ini dia angguk.
“Baju saya kotor.  Saya nak mintak guna baldi dengan sabun sikit?  Boleh?” 
“Oh… mana saya tengok…”  Gelas ditangan dia letak atas dulang.  Maghfirah capai baju yang ada di tangan Ian.  Dibelek dan akhirnya terpaku pada kotoran.
“Ayah mintak tetamu repair kereta ke?”  Leher ditelengkan pada ayah. 
Pak cik Mansor hanya senyum.  Kemudian, Maghfirah kembali melangut pandangan pada Ian.  Dah kenapalah lelaki ni tinggi sangat.  Keturunan galah panjang ke apa. 
“Baju ni saya cucikan nanti.  Rumah kami tak ada mesin basuh…”
“Sebab tu saya mintak baldi dengan sabun tadi,” celah Ian.
Wajah Maghfirah nampak sedikit merah.  Ian larikan pandangan.  Nak ketawa lihat wajah yang tak berperasaan itu merona merah saat ini.
“Saya dah biasa basuh sendiri.  Saya mintak tolong letak sabun dalam baldi aje.  Lepas makan, saya cuci.  Terima kasih, ya?”  Ian terus berpaling dan labuhkan duduk menghadap Pak cik Mansor. 
“Kejap lagilah buat benda tu, Firah.  Mari, makan sama-sama…”  ajak Pak cik Mansor. 
“Ini ajelah rezeki kita untuk hari ni, Ian…” Dia beralih pula pada Ian.
“Ini dah cukup, pak cik.  Saya dulu…”  Ian pakukan lidah.  Dia pandang Pak cik Mansor yang juga memandang dia.  
Dia dulu apa?  Apa yang dia nak cakap?  Entahlah… tak ada perkataan yang sesuai untuk buat dia terus menyambung ayat. 
“Jemput makan,” pelawa Maghfirah memecahkan rasa canggung yang tiba-tiba bertandang.  Dia sopan bersimpuh di sisi ayahnya.  Tunduk memandang pinggan nasik. 
Gulai lemak telur ayam kampung itu disenduk ke dalam pinggan ayah.  Kemudian, kacang botol muda yang menjadi ulam kegemaran ayah. 
“Ayah makan sikit sangat sehari dua ni…”  bisik Maghfirah tapi seperti tadi juga, tetap jelas menyapa peluput telinga Ian. 
Dia pandang dua beranak di depannya.  Nampak mesra sangat.  Rasa cemburu timbul tiba-tiba.  Tapi, tak lama.  Dia kembali menyuap nasi ke mulut.  Nasi tanpa lauk dan kuah. 
“Kenapa tak ambik lauk ni, Ian?”  tanya Pak cik Mansor. 
“Saya ambik kejap lagi, pak cik…”  Ian senyum.  Berlaga lagi pandangannya dengan pandangan Maghfirah. 
Mata Pak cik Mansor mengisyaratkan sesuatu pada anaknya.  Dengan berat hati, Maghfirah letak lauk dan sedikit kuah dalam pinggan Ian.  Lelaki itu terus memandang dia. 
“Ini aje yang ada untuk malam ni.  Saya tak sempat nak sediakan yang lain…”  Sebenarnya, dia menanti ayah bawak balik lauk.  Tapi, apa nak kata… rezeki ayah sedikit sukar sekarang. 
Dalam keadaan kereta yang dah uzur.  Nak dibayar pada tuan kereta lagi.  Kebun pula tak berapa keluarkan hasil.  Lagipun, kalau dibawa ke pekan, siapa nak beli.  Kerana itu cukuplah untuk makan sendiri.  Setidak-tidaknya, tiada lauk… dia dan ayah masih mampu telan nasik dengan ulam sambal belacan. 
“Tak…” 
Irah tersentak.  Dia jongket kening pada Ian.  Apa yang tak?
“Maksud saya, saya tak kisah.  Janji ada.  Saya dulu…”  Sekali lagi!  Ian pejam mata rapat. 
Apa dah jadi dengan aku ni!  Kau baru kenal diorang!  Ingat sikit kau tu siapa!  Mata dibuka.  Ian suapkan nasi ke mulut.  Dikunyah perlahan.
“Ini pun dah sangat cukup.  Lagipun, sedap…”  pujinya ikhlas. 
Maghfirah dan ayahnya saling memandang.  Tapi, sudahnya makan malam dihiasi sepi. 


PINGGAN terakhir dibilas.  Disusun atas rak plastic yang dah lusuh.  Baru nak menoleh, ada susuk tubuh berdiri di sisinya. 
“Saya buat awak terkejut ke?”  soal Ian. 
Maghfirah geleng.  “Boleh saya bantu?” 
Empat kali.  Dia nak kira, sampai esok bila dia pergi… berapa kali Maghfirah ajukan soalan begitu. 
“Saya nak minum…”  Tangan mencapai gelas.  Dia berlalu ke peti ais satu pintu itu.  Peti ais lama.  Diluar memang teruk.  Dalamnya bersih terjaga.  Tapi, pintu dah longgar. 
“Nak saya tuangkan?” 
“Saya boleh tuang sendiri.”  Ian duduk di atas anak tangga.  Meneguk air separuh gelas dan berhenti. 
“Boleh saya tanya?”  Ian mulakan kata. 
“Awak dengan ayah awak, tinggal berdua aje?”  Soalan diaju bila Maghfirah hanya diam. 
Gadis itu angguk. 
“Maaf tanya… mak awak?” 
“Dah lama tak ada.” 
Ian menyepi.  Diteguk lagi air yang masih berbaki.  Banyak sebenarnya soalan yang dia nak tanya tapi bukan hak dia.  Kenal tak sampai sehari, ada hati nak tanya bermacam soalan.  Ada yang kena halau nanti. 
“Saya dah siap minum.”  Ian bangkit dan mahu ke sinki tapi Maghfirah lebih dulu meminta gelas itu daripadanya. 
Tidak dapat tidak, dia letak atas tangan gadis itu dan memerhati Maghfirah yang kembali ke sinki membasuh gelasnya sebijik. 
“Kalau rasa nak tanya, tanya ajelah.”  Maghfirah bersuara tiba-tiba. 
Ian terkedu seketika.  “Errr… awak boleh dengar ke saya cakap dalam hati?” 
Maghfirah menoleh dan senyum.  Senyuman yang dirasakan begitu lain. 
“Saya ni, tak sesat masuk dalam alam bunian, kan?”  Entah kenapa, terlanjur pula bicaranya.  Wajahnya serius. 
 “Kalau alam bunian sekalipun, apa salahnya, kan?”    Soalan itu mengoyak senyum pada wajah Maghfirah. 
“Jadinya, memang betullah…”
“Kalau awak nak keluar daripada dunia ini sekarang, saya boleh tolong.  Kami tak paksa orang duduk sini tanpa kesudian sendiri…”
Dahi Ian berkerut-kerut. Jadi, betullah dia dah ditarik dalam alam bunian.  Matanya meliar.  Entah mana datangnya kabus.  Memang betul gamaknya.  Dia kemudiannya memandang pada Maghfirah.  Bila gadis itu menapak ke depan selangkah, dia juga berundur sedikit. 

Selangkah lagi Maghfirah mendekati, tubuh Ian terkunci.  

...bersambung

18 comments:

  1. Best...x sabar nk tggu sambungan

    ReplyDelete
  2. bunian??????????????????? interesting...

    ReplyDelete
  3. Biar betul.. ke firah tu saje bergurau 😅 thx RM 🌷🌹

    ReplyDelete
  4. todiaaa..terkesima bakhang dengaq bunian..huhu

    ReplyDelete
  5. RM buat cerita baru...woaaaa, seronoknya dapat baca :)

    ReplyDelete
  6. Cepatlah sambung lagi....cepatlah.... x sabau nie

    ReplyDelete
  7. :) tersenyum sendiri bila baca cta kali ni..cant wait for new chapter..awesome as always writer..

    ReplyDelete