Wednesday, December 26, 2018

Kau Bicara Tentang Cinta 37


PANDANGAN yang macam mana dia mahu lemparkan pada mak su dan Naz, dia tak tahu.  Dia hanya mampu senyum saja sejak di meja makan tadi lagi.  Segalanya benar-benar janggal.  Balqish berkurung.  Buya hanya memandang dia tak lepas.  Uncle Malik dan Zul juga menyepi.  Pembantu rumah, lagilah.  Membantu.  Menekur ke lantai.  Tak angkat wajah biarpun sesaat.  Naz dan mak su tak berhenti saling memandang sebelum merenungnya dengan pelbagai persoalan.
Apa nak kata. 
Naz dan mak su muncul bersama uncle Malik dan Zul pada saat dia sedang Buya memeluk tubuhnya erat.  Dia yakin, empat pasang itu akan menilai yang sebaliknya padahal ia adalah tidak serupa.  Bukan seperti apa yang dilihat. 

“Jangan pandang Sera macam tu, mak su.  Sera tak selesa…”
Mak su lepaskan keluhan.  “Apa yang lagi buat Sera tak selesa?  Ada dalam rumah ni dengan lelaki seperti Buya atau bila mak su renung Sera macam ni?” 
Bibir diketap.  Telah dia katakan, mak su pasti salah faham melihat dia dan Buya tadi.  Padahal, hati dia sedang meraung.  Selain menjaga airmuka Buya agar tidak terus pecah bersepai, tiada apa yang mampu dia lakukan. 
“Mak su salah faham.  Semuanya tak macam yang mak su nampak…”  jawab Sera.  Cukup perlahan.  Sejujurnya, dia mahu menangis.  Dia mahu ikut mak su balik.  Dia mahu mak su paksa Buya untuk lepaskan dia. 
Tapi, seperti mana mak su biarkan dia tentukan segalanya sendiri untuk hidup bersama Buya, dia juga perlu lakukan sendiri demi melepaskan diri daripada keluarga ini.  Daripada lelaki ini.  Masanya akan tiba.  Sikit masa saja lagi. 
Senyuman terukir.  Payah.  Matanya memandang mak su dan Naz silih berganti.  Naz sejak tadi diam.  Dia tahu, pelbagai persoalan timbul dalam kepala Naz. 
“Kau pun sama, Naz.  Jangan pandang aku macam tu.  Kau buat aku rasa macam aku orang jahat pulak.  Padahal yang peluk aku tu, laki aku…”  Sera sengaja.  Cuba bergurau.  Tapi, gurauannya langsung tak berbekas pada riak wajah mak su dan Naz. 
“Tak kelakar, ya?”  Dia gelak sendiri. 
“Memang tak lawak langsung, Sera Nur.  Sebab aku dengan mak su ni tak buta untuk lihat riak muka kau.  Kau tu terpaksa.  Tapi, aku memang tak faham kenapa kau nak jugak balik sini.  Aku rasa kalau kau berkeras tak nak ikut, Buya pun tak boleh nak paksa kau.  Dia nak seret kau?  Nak kata kau derhaka?  Biar aku lempang mulut lelaki tu.  Biar dia ingat sikit apa yang dia dah buat pada kau…”  Akhirnya, Naz luahkan apa yang membuku di hati. 
Mak su telan liur.  Apa yang Naz katakan, adalah apa yang terlintas dalam kepalanya.  Cuma, dia tak luah. 
“Sera nak ikut mak su balik?” 
Tak menanti, Sera terus angguk.  Kemudian dia geleng.  Naz dan mak su kerut dahi.  Tak faham.
“Nak, mak su.  Tapi, bukan hari ini.  Bagi masa untuk Sera sikit masa lagi.  Semuanya sangat kelam-kabut sekarang.  Bagi masa untuk Sera susun semuanya…”  ujar Sera.  Tangan mak su dicapai.  Digenggam dan dikucup lama. 
“Mak su percayakan Sera, kan?” 
“Selamanya.  Tapi, Sera kena janji untuk jaga diri Sera.  Jangan biarkan orang injak-injak airmuka dan harga diri Sera.  Mak su tak izinkan semua tu.  Sera adalah anak yang mak su didik untuk jadi begitu lembut tapi bukan untuk diinjak sesuka hati.  Mak su didik Sera untuk tegas tapi bertempat…”
Kenyataannya, hati ibu saudara sedang terluka dengan apa yang telah sampai ke telinganya.  Dia curi-curi bertanya pada pembantu rumah dan jawapannya, adalah sangat mengejutkan.  Andai dia ada pada saat harga diri Sera dipertikaikan, pasti dia dah lempang wajah Balqish. 
“Apapun jadi, Sera ada maksu,” tambah maksu. 
“Aku dan Riz pun ada…”  Naz paut bahu Sera.  Dipeluk buat seketika. 
Mak su berlalu.  Sera menahan Naz daripada pergi. 
“Riz okey?” 
Naz senyum.  Matanya mengerdip sekali.  Riz tak berapa okey, tapi dia tak sanggup nak tambah beban dalam hati Sera tentang berita Riz.  Janji Riz makan, tidur dan kerja dengan elok, itu dah cukup.
“Tapi kan, Sera… Buya tak ambik kesempatan atas diri kau, kan?” 
“Kesempatan yang macam mana kau maksudkan?  Peluk aku?” 
“Lebih daripada tu,” jawab Naz.  Dia tahu Sera mula faham.
Sera diam sejenak.  Menggeleng.  Untuk berapa lama, dia tak tahulah.  Sekarang, dia ada dalam bilik yang sama dengan Buya.  Entah esok lusa, dia tidak dapat lagi mengelak.  Biarpun Buya telah berjanji untuk tidak memaksanya… siapa tahu esok lusa bila fikirannya sudah tidak mampu lagi membuat keputusan yang waras. 
“Jangan risau, Naz.  Aku tahu jaga diri.”  Sera koyak senyum lagi.  Lebih lebar.
“Pergilah balik.  Itu Rizman dah tunggu.  Dia hantar kau dengan mak su balik…”  Bibir Sera muncung pada Rizman yang setia menanti di sisi pintu kereta yang sedang terbuka. 
Setianya Rizman… adalah sesuatu yang sangat dia kagumi. 
“Aku balik dulu.  Apa-apahal, kau call aje.  Tak kira bila dan pukul berapa.  Aku standby 24/7…”  Sekali lagi, tangan Sera digenggam.  Memberi semangat. 
“Ya.  Kau tu, tolong jenguk-jenguk mak su, ya.  Sekarang, aku tak boleh nak balik sangat lagi…”
“Ya, Sera.  Jangan risaulah.  Kau tu, jaga diri.  Kalau perlu, kau lempang aje adik ipar kau tu.  Biar dia reti sikit.  Siapa sebenarnya perangai buruk,” luah Naz dengan bibir yang terjuih.  Menyatakan rasa marah yang amat. 
Sera tergelak. 
Naz juga sama. 



DARIPADA pintu gelangsar yang ternganga lebar, dia nampak Sera ketawa.  BIbirnya turut mengoyak senyum.  Apalah yang dibualkan oleh Naz dan isterinya hinggakan Sera buka mulut begitu luas.  Dia harap, dia juga mampu menjadi salah satu punca untuk Sera ketawa begitu.  Andai mampu, dia akan lakukan segalanya demi mengembalikan kehangatan Sera seperti mana sebelum segalanya menjadi sangat kelabu. 
“Apa dah jadi sebenarnya, Buya?”  soal Uncle Malik.  Dia baru selesaikan segala yang Sera minta.  Tanpa pengetahuan Buya.  Biarpun berat hati, tapi andai itu yang Sera mahukan, dia hanya menurut. 
“Uncle dengar mak cik Rokiah cakap pasal Balqish…” 
“Kalau itu yang uncle dengar, itulah ceritanya.  Saya tak ada apa nak tambah atau bantah,uncle…”  Buya beralih daripada pintu.  Berlalu ke sofa.  Dia pandang ke atas.  Seperti tembus pandangannya terus ke bilik Balqish. 
Tadi, dia dah naik memujuk Balqish makan tapi adiknya itu hanya menyepi.  Risau pun ada tapi dia yakin, Balqish tak akan lakukan sesuatu yang memudaratkan.  Cuma sekarang, dia yakin sangat.  Kepercayaan adiknya itu pada dia kian luntur.  Malah, gamaknya dah tak ada langsung.
Buya hempas duduk di atas sofa.  Mengeluh.  Berat helaan nafasnya.  Apalah yang perlu dia katakana sekarang, dia pun tak tahu.  Wajah diangkat dan dia memandang wajah Uncle Malik dan Zul yang ada di depan mata. 
“Apa perlu saya buat, uncle?  Untuk bahagiakan Sera dan Balqish.  Bahagiakan semua orang dalam rumah ni?” 
“Jujurnya, Buya… uncle sendiri tak tahu.  Andai kamu tanya sebagai seorang anak, uncle akan jawab… berserahlah pada kehendak Tuhan.  Jangan putus asa.  Teruslah berusaha dan berdoa.  Tak rugi pada sesiapa yang berusaha.  Andai sebagai seorang peguam pada keluarga ni, jawapan uncle…  jangan dipaksa pada hati yang sudah tak sudi.  Kelak, masing-masing akan menderita.  Apatah lagi orang yang kamu paksa tu, ada kuasa mutlak atas segalanya sekarang.  Dia boleh jadikan kamu pengemis dalam sekelip mata.”  Jawapan uncle Malik kedengaran tegas dan kejam, tapi itu kenyataan. 
Namun, sebagai seorang suami yang amat mencintai isterinya dan sebagai seorang abang yang begitu sayang pada adiknya, Buya mahu pilih yang pertama.  Dia mahu berusaha dan terus berdoa.  Dia tak akan putus asa. 
“Saya tak mampu nak lepaskan Sera, uncle…” 
“Biarpun dia menderita?”  Uncle Malik menempelak.  Dengar daripada cerita pembantu rumah, memang lama kelamaan Sera akan jadi mangsa Balqish yang begitu beremosi dan sangat keanakan. 
“Aku tak boleh nak setuju dengan kau kali ni, Buya.”  Zul menyampuk tiba-tiba.  Dia pun dengar juga cerita pembantu rumah tentang apa yang dah jadi.  Sera hari ini dengan Sera yang mula-mula dia kenal, bezanya seperti langit dan bumi. 
Sedikit sebanyak, dia juga bersalah dalam hal ini.  Menjadi petualang. 
“Sera hari ini dengan yang sebelum ni…”  Zul tak dapat nak teruskan ayat.  Dia tahu Buya sendiri perasan.  Cuma Buya lebih rela peram Sera di sisi biarpun wanita itu begitu menderita. 
“Dia tak bahagia, Buya…” 
“Habis tu, kau nak aku buat apa?”  Nada Buya membentak.  Dia genggam penumbuk.  Cuba dikawal kemarahan mendengarkan suara Zul.  Zul?  Kawan baiknya.  Yang sama-sama sakit, sama-sama nakal.  Semuanya bersama dalam segala hal. 
“Dia tak bahagia, Buya…”  Giliran Uncle Malik pula menyokong kata-kata Zul.  Bukan kerana Zul tu anaknya.  Malah dia jauh sekali nak percaya dekat budak Zul ni.  Tak guna jugak!  Cuma, bila itu betul… dia akan angguk. 
“Habis tu, perlu ke saya lepaskan dia?”
“Kalau itu yang sebaiknya…” 
Buya ketawa tiba-tiba.  Mustahil.  Tak mungkin! 
“Itu adalah percaya terakhir yang akan saya buat, uncle…”
“Habis tu, kau nak terus biar dia jadi mayat hidup?”  Suara Zul juga keras.
Mata Buya mencerlang tajam.  “Dia isteri aku, Zul.  Aku tahu macam mana nak bahagiakan dia!  Apapun jadi… dia aka nada dengan aku.  Bahagia aku derita, dia kena ada dengan aku!” 
“Jangan jadi penting diri sendiri, Buya,” nasihat Uncle Malik lembut. 
“Setidak-tidaknya, biar Sera balik hidup dengan mak su dia.  Bukan dalam rumah ni.  Lama-lama bila hati dia dah terubat, dia sendiri akan kembali ke sini…” 
“Tak, uncle.  Uncle tak tahu betapa dinginnya Sera Nur.  Saya yakin, bila kami makin jauh, segalanya akan jauh.  Saya tak nak macam tu.  Katalah saya penting diri sendiri pun, saya tak kisah.  Janji dia ada dengan saya, satu dunia nak tuding jari pada saya pun, saya tetap tak kisah!”  Buya angkat tubuh. 
Dia terus panjat tangga.  Menuju ke bilik sendiri.  Kecewa?  Ya.  Dengan Uncle Malik?  Tidak.  Dengan Zul?  Tidak juga. 
Dengan diri sendiri! 
Pintu bilik dihempas kuat.  Dia duduk di birai katil.  Melepaskan lelah.  Kelopak mata kuyu itu terasa suam. 
Dia menangis! 

 .... bersambung

15 comments:

  1. nak lagi kak..nk yg panjang lagi..������

    ReplyDelete
  2. Kesian sera..kesian juga buya...Balqis yang tak cuba memahami...

    ReplyDelete
  3. Tak tahu nak kesian kat sapa....emm...tapi sera lg menderita..huhuhu

    ReplyDelete
  4. Ego tul buya tu...ace lempangkn balqish tu

    ReplyDelete
  5. Bersabarlah buya. Menebus kesalahan perlu dengan kesabaran.
    Ewah. Best rehan. More please

    ReplyDelete
  6. nak lagi.best sgttttt

    ReplyDelete
  7. lembutkan lh hati balish

    ReplyDelete
  8. mekasihhh cikRM. teruskan berkarya. moga terus dilimpahi idea..muahh3

    ReplyDelete
  9. romantik lh sikit Buya..

    ReplyDelete
  10. OMG best sangat cerita ni.. jangan habiskan..nk bnyk lagi buya sera je

    ReplyDelete
  11. Sukarnya ...pedihnya ..pahitnya....seksanya..sebaknya...bercampur

    ReplyDelete
  12. situasi yg amat sukar...seorg suami yg mendambakan isterinya..tapi seorg wanita itu
    terlalu terluka..

    ReplyDelete