Thursday, December 20, 2018

Kau Bicara Tentang Cinta 36


PANDANGAN mata Sera tenang sebaik saja dia menjengah ke ruang makan daripada ambang pintu dapur.  Kain putih masih di tangan.  Mengelap tangan yang sejak sebelum tenagh hari tadi lagi basah.  Sebabnya, dia ajak sukarela mahu turun ke dapur untu sediakan makan tengah hari.  Itu pun setelah mak su telefon nak datang.  Biarpun baru semalam, hati mak su tak tenang.
Pujuklah…
Katalah…
Biar berjuta kali pun, masih ada nada curiga dalam setiap kata-kata mak su.  Dan, ini pun Buya sendiri yang pergi jemput. 
Mak cik Rokiah memandang pada Sera dengan pandangan yang penuh resah.  Ada genangan jernih bertakung pada tubir matanya.  Riak wajah itu berbicara tentang rasa serba-salah bila sebiji lagi pinggan dihempas ke lantai.  Pecah berderai.  Tak ubah seperti hati dan jiwanya sejak diangkat menjadi isteri Buya. 

“Kenapa, mak cik?”  Perlahan, Sera menyoal.  Menarik mak cik menjauh daripada meja makan. 
Dia dah tahu sebabnya.  Sengaja menyoal kerana mahu mematahkan kejanggalan yang melanda.  Andai kemarahan itu dihempas padanya, dia terima.  Bila dilepaskan pada mak cik, dia begitu rasa bersalah. 
“Mak cik minta maaf, cik puan…”  Terlanjur bicara memanggil Sera cik puan, mak cik tunduk.  Dia ketap bibir apatah lagi pandangan matanya dan mata tajam itu beradu.  Hanya sesaat.  Tak berani dia kerana dia sedar siapalah dirinya. 
“Oh, baru masuk rumah ni… dah pandai nak orang panggil cik puan…”  Balqish ketawa.  Ketawa yang dibuat-buat.  Matanya merah padam.  Saat dia mahu menolak sebiji lagi pinggan jatuh ke lantai, Sera menahan.
“Nanti ada yang cedera…”  larangnya. 
Tingkah Balqish terhenti.  Keningnya terjongket.  Mendengar suara dingin Sera dan melihat pada mak cik Rokiah yang sepertinya begitu akur dengan Sera, dia benar-benar rasa tercabar.  Sampai begini sekali Sera mampu pengaruh seluruh isi rumah ini? 
Tapi dia… Balqish menggeleng.  Tak mungkin dia akan termakan dengan suara lembut dan wajah indah milik Sera.  Tak akan!   
“Kau risau ada yang cedera sebab pinggan ni.  Kau tahu tak, yang kehadiran kau sendiri dalam rumah ni, adalah satu kecederaan teruk pada emosi aku.  Tak cukup kau goda arwah daddy, kau goda abang aku pulak, kan?  Sekarang, kau dah dapat duit.  Dah jadi jutawan segera, kenapa kau masih nak ada dalam rumah ni?  Kenapa kau tak keluar aje daripada sini?  Atau kau kira rumah ni pun dah jadi milik kau?”
Soalan yang Balqish muntahkan, tak ubah seperti lahar.  Pedihnya, membuatkan kulitnya tersiat dan melecur.  Tapi, Sera hanya mampu senyum.  Dia pandang pada mak cik yang mahu menjawab, tapi dia dia geleng dan meminta mak cik masuk ke dapur. 
Kejap lagi, Buya dan mak su akan sampai.  Dia tak mahu semuanya nampak begitu teruk pada mata mak su biarpun hakikatnya mak su dah tahu.  Setidak-tidaknya, mak su hanya mendengar khabar.  Tak nampak dia disakiti.
“Kenyataan memang menyakitkan Balqish.  Untuk kau tahu, aku ada di sini bukan atas kerelaan aku tapi kehendak abang kau yang katanya, adalah suami aku.  Ya, memang suami.  Tiada siapa dapat sangkal tu semua.  Dan, rumah ni…”  Sera memandang sekeliling.
Sejak kali pertama, dia tak pernah jatuh hati pada rumah ini.  Rumah yang tak ubah seperti istana, tapi tiada ketenangan malah jauh sekali kasih sayang.  Berbeza sangat dengan rumah dia dan mak su.  Biarpun kecil tapi penuh dengan kasih sayang dan ketenanangan.  Jadi, tiada istilah dia mahukan rumah ini. 
Namun, andai mampu buatkan gadis biadap ini sedar akan kedudukan diri yang terus menuduh dia, dia tak akan berfikir dua kali.
“Kalau nak kira, rumah ini juga adalah milik aku.  Kalau kau tak percaya, kau boleh tanya Uncle Malik atau abang kau sendiri.  Jadi, aku ada hak untuk halau kau pergi daripada sini… kalau aku nak.  Tapi, aku yakin yang abang kau paksa aku balik ke sini sebab kau.  Dia tak nak kau hidup merempat dekat luar bila sejak lahir kau memang lahir dalam dulang emas.  Jadi, dia buat pilihan sukar untuk aku ada sekali dalam rumah ni.  Demi kesenangan kau,” bidas Sera dengan suara yang cukup lembut namun, tajamnya tak ubah seperti pedang samurai.
Membelah musuh tanpa sedar.  Sakit juga hampir tak terasa melainkan saat darah merah itu mengalir laju.  Kala itu, peritnya tak terperi.  Dia sunggingnya senyuman pada hujung bibir bila melihat Balqish yang pegun.
Usah menuduh dia tanpa usul periksa.  Dia tak pernah hadap semua tu.  Dia mahu jadikan semuanya mudah.  Tapi, Buya yang buatkan segalanya menjadi begitu payah.  Yang terlilit, kian terbelit.  Dia bimbang, satu hari nanti bila mereka saling mahu leraikan belitan itu, segalanya sudah terlambat dan sakitnya akan menjadi berkali ganda. 
Dia tak mahu sesiapa menjadi mangsa.  Dia mahu berlalu dengan senang hati tanpa membawa satu sen pun harta yang telah diwasiatkan padanya. 
“Kau memang perempuan jahat…”  jerit Balqish dan saat dia hampiri Sera malah saat tangannya diangkat, Sera hanya memandang wajah itu tanpa berkelip. 
Namun, kala tangan itu mahu hampiri pipi putih Sera, tangan kasar dan tegap itu menyekatnya.  Balqish gamam.  Dia toleh ke kiri.  Wajah Buya merah padam.  Lelaki itu sedang memamah rahang bagi menahan marah yang sedang membakar hati. 
“Qish nak buat apa ni?”  tanya Buya. Separuh berbisik dengan suara yang begitu dalam daripada dalam halkumnya yang bergerak tak henti-henti, menelan liur. 
“Abang?”  Balqish kehilangan kata. 
Dia pandang Sera.  Wajah itu masih begitu.  Tiada perasaan langsung.  Dia yakin, tiada langsung sisa perasaan Sera pada abangnya.  Jadi untuk apa abang nak simpan perempuan macam ni?
“Dia yang biadap.  Abang tak tahu apa yang dia cakap pada Qish tadi…” 
“Ya, memang abang tak tahu…”  Buya lepaskan genggaman pada lengan Balqish.  Kasar.  Dia tarik Sera rapat ke sisinya.  Dikerling wajah isteri. 
Sukarnya untuk aku tebak makna yang tersembunyi dalam riak pada permukaan wajahnya. 
“Tapi, abang nampak Qish nak tampar isteri abang.  Qish angkat tangan pada isteri abang.  Sedangkan abang sendiri tak pernah kasari dia pada hujung jari sekalipun,” tambah Buya.  Tegas. 
Sera jongketkan senyum pada hujung bibir.  Memang BUya tak sakiti dia walaupun pada hujung jari.  Tapi, Buya telah seksa dia dengan segala kata-kata.  Tidakkah itu juga telah membuat dia menderita.  Dan sekarang, Buya mahu mengurungnya pula.  Menambahkan rasa derita? 
“Dan satu lagi, abang nampak kaca bersepah.  Mustahil Sera yang buat.  Kenapa Qish?  Sampai rosakkan semua ni?  Bukan ke abang dah terangkan pada Qish?  Bahagian mana lagi yang Qish tak faham?  Cuba cakap…”  pinta Buya.  Suaranya mula rendah.  Sudah berbalut kelembutan seperti biasa. 
“Abang tu yang tak faham.  Kenapa susah abang nak percaya Qish sekarang bila Qish cakap dia yang biadap dulu pada Qish.  Pada abang.  Dan, itu semua menjadikan rasa benci Qish pada dia makin tebal, abang tahu tak?”  tempik Balqish dan tak semena, pinggan yang tadinya, tak jadi dicampak, dia lempar jauh daripada meja makan. 
Berkecai. 
Sekali lagi, Sera senyum.  Dia tolak tangan Buya yang sejak tadi memeluk bahunya.  Seperti mahu menyelamatkan dia daripada Balqish sedangkan dia mahu menyelamatkan diri daripada lelaki ini. 
Namun, sebaris persoalan menyapa minda.  Dia yakin Buya dengar setiap kata-katanya terhadap Balqish tapi kenapa masih mahu menyebelahinya dan melukai hati keluarga sendiri yang dia tahu, Buya sayang amat.  Malah, tak ubah seperti sanggup membunuh demi Balqish.  Itulah perumpaan yang mampu dia berikan terhadap hubungan dua beradik itu. 
“Abang tahu Qish tak faham tapi abang harap sangat Qish cuba faham biarpun untuk sebaris ayat akan apa yang abang dah bagitahu.  Semuanya dah dah seperti dulu…”
“Kiranya… abang memang buang Qish demi perempuan tak guna ni?!”  Suara Balqish bergema. 
“Balqish!!!”  Buya menjerit kuat.  Tangannya begitu ringan lantas terangkat.  Hampir singgah ke pipi Balqish andai Sera tak membawa dirinya menjadi pelindung – berdiri di tengah antara dia dan Balqish.
Bibir Buya bergetar.  Dia pandang tangan sendiri yang begitu menggigil.  Terkejut.  Tuhan.  Pertama kali dalam hidupnya dia memang angkat tangan pada Balqish.  Yang dia tatang bagai minyak yang penuh.  Yang padanya, masih seorang kanak-kanak manja.  Dia tak mahu Balqish begitu lekas dewasa.  Dia masih mahu bersama adiknya ini.  Itu yang dia rasakan selama ini. 
Tapi, kenapa hari ini…
Dia pandang Sera yang masih dengan wajah begitu.  Tidak beriak.  Jauh sekali hendak membuka mulut.  Hanya memandangnya dengan renungan yang terlalu sukar untuk dia tafsir.  Andai dia tak dapat hentikan tindakannya tadi, dah tentu wajah Sera yang menjadi mangsa. 
Benarkah kata Balqish?
Segalanya berubah kerana Sera?
Tak… Buya geleng.  Menafi. 
Benar segalanya telah dan sedang berubah. 
Benar juga kerana Sera tapi kenapa semuanya berpunca daripada dia, adalah kerananya.  Andai dia tak begitu buta menilai keikhlasan Sera… mereka dah tentu bahagia. 
Dialah punca yang sebenarnya.  Yang telah mencambahkan kebencian dalam hati Sera padahal dia tahu, hati wanita itu adalah hati yang penuh dengan kasih sayang.  Tidak muat untuk kebencian.  Kerana dia, Sera mula belajar membenci. 
“Tengok.   Kan Qish dah cakap…”  Balqish sudah mengalirkan airmata.  Malah, teresak-esak juga.  Terkejut bukan kepalang dengan jeritan abangnya.
“…Qish dah cakap sebab bini abang tu, abang sanggup buang Qish.  Abang sanggup angkat tangan.  Semua orang dalam rumah ni, buang Qish.  Apa yang abang janji dengan Qish masa hari pertama daddy tak ada?”  Soalan yang diaju, kedengaran begitu sayu. 
Dia pandang Buya dan Sera yang masih ada di depannya.   Jangan harap dia mahu berterima kasih hanya kerana Sera menahan Buya daripada memukulnya.  Itu hanya sandiwara Sera untuk nampak baik di depan semua orang.  Hanya dia yang tahu betapa jahatnya hati wanita ini. 
“Abang minta maaf, Qish.  Abang tak sengaja…”  Buya mahu merapati tapi Balqish terlebih dahulu menolak bahu Sera menyebabkan Buya terpaksa menahan tubuh itu daripada jatuh.
“Qish…”   Dahi Buya berkerut. 
“Sera okey?” 
Sera angguk sekali.  Dia pandang Buya.  “Mak su mana?”  Malas dia nak terus larut dalam drama Buya dan Balqish. 
Satu hal lagi, dia risau mak su nampak apa yang sedang terjadi.  Dia tak mahu mak su terus kecewa dengan keadaannya sekarang. 
“Mak su kejap lagi datang.  Dengan Naz…” 
“Naz?”  Sera gigit bibir.  Tapi, dia senyum kemudiannya.  Dia faham andai mak su mengajak Naz bersama.  Boleh jadi, mahu menumpang kekuatan Naz.  Kerana dia sudah tiada kekuatan yang berbaki  untuk diberi kepada mak su.
“Awak bawa Balqish ke depan dulu.  Pujuk dia.  Biar saja bersihkan kaca sebelum diorang sampai…”  suruh Sera dan dia terus tunduk.
Kain yang ada di tangan, dia sapu lantai perlahan. 
“Mak cik tolong ambikkan penyapu.  Saya bersihkan kaca ni. Lepas tu, mak cik tolong saya keluarkan pinggan lain, ya.  Saya dah siap masak dah…”  Sera koyak senyum kepada pembantu rumah sebelum dia kembali tunduk. 
“Sera, biar mak cik buat.  Sera bangun…”  pujuk Buya melarang isterinya melakukan kerja itu.  Dia lupa…sebelum menjadi isterinya Sera lakukan segalanya sendiri.  Tak kekok.
“Saya Sera Nur sebelum dipanggil cik puan.  Jadi, apapun jadi… saya adalah Sera Nur…”  Kata-kata yang Sera luahkan adalah khas untuk Balqish.
Dia mahu Balqish tahu, dia tak pernah lupa diri.  Malah, dia sedang mahu kembali ke tempat asalnya.  Cuma, belum masanya.  Masih ada perkara  yang perlu dia selesaikan sebelum dia keluar daripada istana ini. 
“Sera…”  Buya bersuara perlahan.  Menelan liur dan hanya mampu membiarkan Sera terus membersihkan kata bila mak cik membawa penyapu padanya.
Buya kaku berdiri di situ.  Memandang adiknya.  Dia senyum tipis.  Merayu dalam diam.  Agar Balqish faham sedikit kehendaknya.  Dia lelaki yang bukan hanya memerlukan seorang adik tapi dia amat memerlukan seorang wanita yang dipanggil isteri.  Wanita itu adalah Sera Nur. 
“Qish naik bilik dulu.  Lepas makan nanti, kita bincang.  Abang minta maaf, Qish…”  Tangan Balqish dicapai.  Digenggam.  Erat.  Kemudian, dia tarik kepala Balqish dan mengucup dahinya lama dan kerana itu, esakan Balqish kian kasar.
“Abang tak tahu, dia bencikan abang…”  bisik Balqish.  Cukup perlahan.  Dia mahu Buya sedar yang tiada keikhlasan dalam perasaan Sera pada abang. 
“Abang tahu Qish…”  balas Buya. 
Tapi, Qish tak tahu abanglah punca kebencian itu. 
Setelah pelukan terlerai, Balqish melangkah lemah dalam tangis yang masih bersisa.  Memanjat tangga menuju ke atas dan saat itu, Zul, uncle Malik dengan dua orang wanita masuk ke rumahnya. 
“Sera…”  Buya mencangkung di sisi isterinya. 
“Mak su dah sampai…”
Sera lepas nafas lega.  Syukurlah mak su tiba setelah rebut berhenti biarpun kesan daripadanya masih tak sempat dibersihkan. 
“Pergilah sambut tetamu.  Jangan tunjuk sangat rasa janggal.  Saya tak nak mak su dan orang lain risau sebab kita,” ujar Sera.  Dia bangkit.  Masih memegang penyapu. 
Buya turut sama angkat tubuh.  Berdiri rapat pada isterinya. 
“Saya tahu apa yang awak nak cakap Buya…”  ujar Sera cukup perlahan. 
“Saya tahu awak dengar apa yang saya dah cakap pada Balqish…”
Buya masih menyepi. 
Hanya memandang. 
Jawapannya adalah ya.  Dia dengar dengan jelas kata-kata Sera yang kedengaran seperti mengugut Balqish. 
“Benda tu akan buat Sera bahagia?” 
“Bahagia?”  Sera kerut dahi.  Tak faham. 
“Kalau dengan memiliki segalanya termasuk rumah ni, Sera akan bahagia?”
Tak semena Sera ketawa.  Dia tak bahagia.  Dia tak pernah harapkan semua ini.  Segalanya begitu membebankan.  Bukan sekali dia beritahu Buya dia tak mahu semua ini.  Dia hanya perlukan hidupkan yang dahulu.  Sebelum dia temui Buya.  Sebelum dia labuhkan hatinya pada Buya.  Sebuah pelabuhan yang rapuh dan begitu mudah hancur bila dihempas ombak yang begitu ganas. 
Dia sedang terkapai-kapai. 
Tanpa pelampung kecemasan.  Tanpa jaket keselamatan.  Malah, lebih teruk… dia tak reti berenang.  Tidakkah Buya nampak, nafasnya semakin sesak. 
“Ya…”  Akhirnya, jawapan yang diberi bercanggah. 
“Siapalah yang tak nak semua harta ni.  Kesenangan ni, tak akan mudah saya dapat walau begitu keras saya berusaha.  Tapi, semua ni saya dapat.  Mana mungkin saya tak bahagia…”
“Sera tipu…”
“Terserah.  Saya tak paksa awak percaya dan awak juga tak boleh paksa saya percaya pada awak…” 
Buya terdiam.  Lama.  Akhirnya, tangannya jatuh berlabuh pada bahu Sera.  Turun melurut lengan Sera hinggalah ke pergelangan tangan.  Digenggam erat dan ditarik Sera ke dalam pelukannya.  Biarlah Sera nak marah pun.  Dia terlalu dambakan Sera.  Dia begitu menyayangi wanita ini. 
Sera telah butakan hati sendiri.  Kerana sikap dia. 
“Kalau semua ini buat Sera bahagia… Sera pula punca abang bahagia…”  Kepala Sera dikucup lama. 
Dia dapat rasakan, tubuh Sera mengeras.  Kaku.  Tapi, dia juga sama.  Tak mahu lepaskan pelukan ini biarpun dia tahu banyak mata sedang memandang.  Kerana telah dia katakan.  Bahagia atau derita, dia mahu Sera sentiasa ada di sisinya.  Dalam pelukannya. 

---------------------

Jangan lupa dapatkan The REASON di pasaran sekarang.  Insyaallah.  Biarpun berbeza, rasa itu tetap sama.  Gittewww... 



11 comments:

  1. Tabahnya seorg Sera...kak rehan,sy dh baca the reason..
    Besttttttttttt...byk pengajaran..menitis jgk airmata...good job kak Rehan

    ReplyDelete
  2. nak lagi karyanya kak rehan 🤣🤣🤣

    ReplyDelete
  3. Goodjob buya, nioce job..u are d best..hehe, ntw mnunggu masa dapat gaji nk beli the reason ...hahaha

    ReplyDelete
  4. Moga ciuman penuh kasih dapat membasuh luka yang menjadi punca dendam di hati

    ReplyDelete
  5. The reasons dh ada..tp tetap nk buya dan sera

    ReplyDelete
  6. TETAP NAK BUYA SERA

    ReplyDelete
  7. Please nak lagi..kenapa best sgt ni

    ReplyDelete