Saturday, December 29, 2018

Kau Bicara Tentang Cinta 39


SUBUH hari, Sera bangkit dengan tubuh yang sedikit berat.  Dia pandang Buya di sisi.  Lama.  Tangannya ringan untuk menyentuh bahu Buya yang terdedah tapi terhenti.  Terasa sukar untuk dia sentuh kulit lelaki ini.  Akhirnya, Sera sekadar melangkah ke bilik air.  Setelah siap Subuh, dia kejut Buya bangkit.  Dengan intonasi suara yang serak.  Dia tak sihat.  Badan dia mula panas. 
“Sera dah siap?”  soal Buya bila melihat Sera sedang memasang pin pada tudung bawalnya. 
“Bangkit cepat.  Dah lewat ni…”  suruh Sera tanpa menjawab soalan Buya jauh sekali nak memandangnya. 
“Ya, abang bangkit ni…”  Waktu ini jam dah hampir ke tujuh pagi.  Kenapalah Sera baru kejut dia.  Sengaja nak balas dendam ke apa.  Tapi dia, tak dapat nak sembunyikan senyum.

Lupa segala kata-kata Sera malam tadi.  Dadanya terasa begitu lapang sedangkan segala masalah masih membuku.  Dia benar-benar lupa segala masalah.  Dan, Sera yang bantu dia halau semua tu.  Dia mahu rapati Sera.  Terasa rindu nak memeluk jasad itu tapi Sera menahan.  Telapak tangan Sera singgah tepat di tengah dadanya. 
“Dah lewat ni…”  ujar Sera.  Kaku. 
“Okey.  Tapi, Sera siap ni nak pergi mana?”
“Saya masih ada dalam rumah ni.  Saya masih cik puan.  Jadinya, saya ada tanggungjawab lagi dalam rumah ni, kan?”  Sengaja dia tekan perkataan cik puan tu. 
Buya lepaskan keluhan.  Tangannya meraih tangan Sera.  Biarpun berlapik kain lengan baju, tapi bahangnya terasa. 
“Sera demam.  Sejak semalam.  Abang dapat rasa badan Sera panas sangat sejak malam tadi…” 
“Awak tahu?”  soal Sera. 
Buya angguk. 
Sera mahu membidas tapi dia telan sendiri kata-katanya.  Entah kenapa, dia tak mahu sebut sepatah pun tentang apa yang telah terjadi.  Biarkan saja berlalu.  Sekali, cukuplah untuk selamanya. 
“Abang minta maaf.  Walaupun dah tahu Sera tak sihat tapi abang…”  Suara Buya mati.  Dia renung mata Sera.  Nampak benar-benar penat.  Dia mahu usap pipi pucat itu tapi dia tahan.  Sera tak nampak selesa bila disentuh.
“Tak apa.  Benda dah jadi.  Lagipun, saya pertaruhkan sesuatu yang berharga untuk dapatkan sesuatu yang berharga juga.  Biarpun pada saya ia tak setimpal, tapi andai itu yang diperlukan… biarkan…”  jawab Sera perlahan dan dia terus letak tuala atas bahu Buya sebelum berlalu ke pintu dan terus hilang di balik daun pintu.
Tubuhnya disandar pada pintu yang sudah terkatup rapat.  Dadanya berdebar tak henti-henti sejak malam tadi.  Melihat pada Buya juga, jantungnya hampir luruh.  Dia bimbang andai dia tak dapat bertahan.  Macam mana kalau dia memilih bahagia sendiri hingga mengabaikan banyak hati?  Dia tak nak. 
Nafas disedut dalam dan dihembus perlahan.  Sera pejam mata seketika, sebelum dia dikejutkan dengan suara pembantu rumah memanggilnya.
“Cik puan…”
Sera melangkah laju ke depan bilik Balqish.  Dadanya berdebar.  Risau dengan segala perkara buruk yang mungkin melanda. 
“Kenapa?”  Dia jenguk ke dalam bilik.  Tuhan.  Sera tekap telapak tangan ke dada.  Bilik Balqish tak ubah seperti dilanda taufan. 
Jangan-jangan…
Dia masuk ke dalam bilik.  Pintu nbilik air ditolak kasar.  Nafas lega dilepas seketika.  Tab mandi itu kosong biarpun penuh dengan air.  Dia kembali ke almari.  Bersepah tapi separuh almari nampak kosong.  Segala dalam bilik ini berterabur sepertinya Balqish dilanda amuk. 
Apa yang Buya katakan pada Balqish hinggakan anak gadis itu bertindak melarikan diri.  Di tengah malam. 
“Cuba call nombor dia, kak…”  pinta Sera. 
“Dah, cik puan.  Tapi, tak dapat.” 
Tuhan… apa nak buat ni.  Sera urut pelipis.  Kemudian beralih ke dahi yang panas. 
“Saya bagitahu Buya dulu…”  Sera berlari ke bilik.  Saat ini, Buya baru saja bangkit daripada sejadah. 
“Kenapa, sayang?” 
“Balqish…”
“Dia buat hal lagi ke?”  tebak Buya.  Dia letak sejadah atas sofa.  Kopiah dibuka dan dia dekati Sera.  Mahu memeluk jasad itu tapi tangan Sera sekali lagi menahan.  Dia mengeluh.  Kecewa.
“Ini bukan masa nak peluk saya.  Adik awak larikan diri.  Bilik dia bersepah…”
“Hah?”  Buya laju berlari ke bilik Balqish.  Dia berisighfar panjang.  Apa dah jadi ni?  Tak kanlah sebab dia membela Sera semalam, Balqish membawa rajuk hingga keluar daripada rumah? 
“Bila kakak sedar dia tak ada…” 
“Pagi ini, tuan.  Dia ada minta kakak kejutkan dia awal.  Sebelum jam tujuh pagi.  Tapi, bila kakak sampai, macam ni jadinya…”  Riak wajah pembantu rumah yang selalu menguruskan Balqish, nampak pucat.  Risau. 
“Saya call dia dulu…” 
“Tak dapat, tuan.  Kakak dah cuba.”
Belum sempat Buya nak berlalu ke bilik mengambil handphonenya, suara itu telah menyekat. 
“Tak apalah.  Kakak turun dulu, ya?  Nanti kita sama-sama ikhtiarkan…”  Sera mencelah.  Dia tahu, daripada apa yang orang rumah  ini cerita, Balqish sendiri tak punyai ramai kawan.  Semuanya kerana Buya.  Takutkan Buya sampaikan tiada siapa berani dekati Balqish. 
“Apa yang awak cakap dekat Balqish semalam?”  tanya Sera perlahan. 
“Tak apa.”
“Mustahil…”  Sera tak percaya.  “Jangan-jangan awak bela saya lagi depan dia?” 
Buya ketap bibir.  Tahulah Sera yang Buya memang sebut tentang dia lagi di depan Balqish biarpun setelah apa yang terjadi.  Dia… lebih rela andai Buya memaki hamunnya.  Memujinya akan menambah luka dan kebencian di hati Balqish.
Tak kanlah perkara semudah itu pun Buya tak boleh nak fikir.
“Awak dah buat keadaan jadi sangat buruk, Buya…”  Ada nada kecewa dalam kata-kata Sera. 
“Abang Cuma pujuk dia…”
“Tak.  Awak dah tahu yang dia tak suka saya.  Awak buat macam tu, awak dah jadikan keadaan bertambah buruk.”
“Habis tu, Sera nak abang buat apa?” 
“Sekarang ni, kita carik Balqish dulu.  Awak tahu mana-mana tempat yang mungkin dia akan pergi?”  Malas dia nak sibukkan dengan masalah mereka berdua.  Balqish adalah yang terutama. 
“Okey.  Tapi, Sera ikut abang.” 
Sera geleng.  “Awak pergi dengan Man.  Atau Zul.  Risau nanti bila dia nampak saya, dia lagi benci.”
“Habis tu, Sera macam mana?”
“Saya tunggu dekat rumah…” 
“Abang…”  Buya nampak teragak-agak nak bersuara.  Dia risau Sera hilang bila dia pergi.  Kenyataannya sebelum ini juga, Sera masih lagi ada bila dia kembali daripada tempat kerja atau mana-mana saja. 
Cuma setelah apa yang mereka lalui semalam, dia benar-benar berat hati.
“Saya tak akan pergi daripada rumah ni selagi segalanya tak selesai.  Dan saya bukan jenis mengambil kesempatan dan menipu,” ujarnya sinis bila dia dapat baca yang Buya bimbang andai dia angkat kaki daripada rumah ini ketika lelaki ini tiada. 
“Abang tahu Sera bukan jenis tu dan abang percaya Sera akan tunggu abang.  Abang pergi siap kejap…”   Buya nak berlalu ke bilik sebelum dia menoleh pada Sera seketika. 
“Boleh tolong abang bersiap…” 
“Awak buang masa tahu tak?  Sebelum ni elok aje…”
“Please, sayang…”  Buya tayang wajah manja. 
Sera mahu merengus tapi ditahan.  Dia turut sama masuk ke bilik dan saat ini Buya sednag menelefon Zul dan Man.  Dia hanya tenang membutangkan baju kemeja Buya.  Langsung tak dipandang wajah lelaki itu melainkan telinga saja sedang mencuri dengar setiap perbualan.
Andai Buya risaukan Balqish sekali ganda, dia juga sama.  Boleh jadi lebih lagi. 
“Abang pergi dulu.  Take care, sayang…”  Buya mengucup dahi Sera pantas setelah panggilan tamat dan dia terus berlalu keluar.
“Tapi, kalau abang tak jumpa dia…”  Buya sempat menoleh sebelum menutup pintu.  Wajahnya resah. 
“Jangan fikir bukan-bukan.  Awak akan jumpa dia.  Saya doakan…”  Sera koyak senyum tipis.  Lengannya naik mengusap bahu sasa Buya. 
“Carik dia sampai jumpa.  Dia tak biasa susah sendiri.  Mesti dia tengah takut sekarang,” pinta Sera penuh perasaan. 
Saat ini, Buya tahu dalamnya sayang Sera pada Balqish.  Biarpun mulut berkata lain, tapi riak wajah dan bias dalam mata redup itu begitu lantang mengatakan sebaliknya.
“Abang akan carik sampai jumpa.  Sera jangan risau sangat.  Dok rumah, makan, rehat… Sera tak sihat ni.  Maafkan abang tak boleh nak jaga Sera dalam pada Sera sakit.  Paling penting, tunggu abang balik…”  Ayat yang terakhir itu, membawa makna yang begitu besar. 
Mata Sera mengerdip sekali.  Kelopak mata mula terasa suam.  Tak tahulah kerana apa.  Adakah demam menjadi penyebabnya atau kerisauan tentang Balqish.  Sebaik saja Buya berlalu, airmata Sera jatuh jua setitis.  Permintaan terakhir arwah Dato’Bakri begitu menyesakkan. 



DAH hampir tengah hari tapi Buya masih menyepi.  Tiada langsung khabar berita.  Dia pula, sejak pagi hanya setia duduk di ruang tamu.  Tak lepas memandang ke pintu.  Telefon juga digenggam tak lepas.  Menanti dengan penuh debar sebarang berita.  Kenapa begitu sekali Balqish mengambil keputusan sedangkan dia telah beritahu yang dia akan keluar daripada rumah ini tanpa membawa satu sen pun.  Malah hari ini, dia telah berikan segalanya pada Buya.  Yang akan dia bawa hanyalah kenangan.  Selebihnya pula adalah kepahitan. 
Dia telah berjanji! 
Tidak bolehkah Balqish tunggu sikit masa lagi.  Dia juga sedang berusaha malah dia telah gadaikan diri sendiri untuk semua itu. 
“Sera, mari kita makan,” ajak Mak cik Rokiah. 
“Oh, saya tak lapar lagi, mak cik…”
“Tak boleh macam tu, Sera.  Daripada pagi Sera tak makan.  Risau mak cik dibuatnya.  Lagipun, Buya cakap dekat mak cik Sera tak sihat.  Mak cik tahu Sera risaukan Balqish tapi kita makan dulu.  Kalau Sera tak nak makan sorang, mak cik dengan yang lain boleh temankan…” 
“Saya betul-betul tak lapar, mak cik…”  Sopan, Sera menolak.
Air wajah pembantu rumahnya itu berubah kelat. 
“Kalau Buya tahu, mesti dia tak selesa…” 
Huh… nafas hangat dilepaskan.  Dia dah agak.  Mesti nama Buya naik.  Tapi, betul juga apa yang dikata.  Badan dia perlukan hak.  Dia sebenarnya lapar tapi mulut tak selera nak telan.  Kalau dah namanya sakit.  Benarlah seperti yang dikata.  Ketika sakit, Tuhan akan menarik tiga perkara.  Selera makan, keceriaan pada wajah dan paling penting adalah dosa. 
Kaki dijatuhkan ke permaidani.  Sera senyum pada Mak cik Rokiah.  Lama dia pandang wajah itu.  Rindu pada mak su tiba-tiba.  Andai mak su tahu apa yang telah terjadi… tak dapat dia nak bayangkan dan rasanya dia akan diamkan perkara itu hingga hujung nyawa.  Itu semua rahsianya dan Buya.  Biarlah kekal rahsia.  Tak perlu dicanang.  Yang menanggung adalah tubuh badannya. 
“Salah saya ke, mak cik?”  Tiba-tiba soalan itu terluncur.
Pagi tadi, dia sepertinya menuduh BUya.  Meletakkan semua kesalahan itu atas bahu Buya.  Sedangkan dia adalah punca utama kekacauan yang berlaku dalam rumah ini. 
“Maksud Sera, tentang Balqish?” 
Sera angguk. 
Mak cik Rokiah kedengaran melepaskan nafas berat.  Entah apa yang nak dia jawab.  Pada matanya, langsung tiada salah Sera.  Sejak awal dulu, sebelum diangkat menjadi cik puan dalam rumah ini, Sera telah cuba yang terbaik.  Malah, sejak kembali ke sini semula setelah kejadian berdarah itu, Sera tetap cuba yang terbaik.  Tak faham apa yang Balqish bencikan sangat. 
“Jujurnya… pada mata mak cik, Sera tak salah langsung…” 
“Tapi, mustahil juga saya nak tuding jari pada Balqish, kan?  Dia muda lagi.  Saya ni…”  Bicara Sera terhenti.  Tak berdaya dia nak bersuara.  Tubuhnya benar-benar kepenatan.  Seperti dihempap satu beban yang sangat berat.  Rasa nak remuk seluruh tulang-temulang. 
“Patut saya tak cakap macam tu, kan?  Saya lupa, dia anak manja yang begitu disayangi dan begitu menyayangi abang dia.  Saya patut diamkan diri…”
“Sampai bila Sera nak diamkan diri bila Balqish mengherdik?  Ada masa kami yang melihat pun sakit hati.  Apatah lagi Sera yang menanggung.  Tapi, kami sedar kedudukan kami dalam rumah ni.  Sebab itu kami diam.  Sejak dulu, arwah Dato’ sekeluarga memang melayan kami dengan baik.  Tapi, Sera jadikan kami rasa kami ni sangat berharga…”  luah Mak cik Rokiah jujur. 
Biarpun dulu mereka juga agak mesra, tapi batas itu ada.  Sekarang ini, Sera melayan mereka semua tak ubah seperti keluarga.  Buat kerja bersama, ada masa makan juga semeja bila Buya dan Balqish tiada.  Sera tak kekok langsung.
“Patutnya saya sabar sikit lagi, mak cik.  Tak lah Balqish lari.  Tak lah hati saya risau sendiri,” ujarnya cukup perlahan. 
Sera menarik sebiji bantal dan merebahkan tubuh di atas sofa.  Dia benar-benar tak daya untuk bangkit. 
“Kejap lagi saya makan.  Bagi saya rehat kejap, ya.  Tubuh saya sakit…” 
Dahi mak cik Rokiah berkerut.  Sejak pagi dia perhatikan Sera.  Lain macam.  Seperti dapat dia agak apa yang telah terjadi.  Tapi, mustahil andai Buya memaksa.  Tapi, entahlah.  Risaunya kian menjadi-jadi.  Lantas, dia hanya melangkah ke dapur, membiarkan Sera terlena. 
Sera buka mata bila dirasakan ada tangan yang menyapa bahunya. 
“Balqish?”  Nama itu disebut.  Tapi, wajah lain yang ada depan mata. 
“Naz?”  Dia bangkit dengan susah-payah. 
“Macam mana kau boleh ada dekat sini?”  Mata dipisat.  Terkejut juga bila tiba-tiba Naz muncul. 
“Kau tak kerja ke?” 
“Hari ini kan hari minggu.  Tapi, aku kena kerja jugak.  Cuma, tadi aku dapat call kata kau tak sihat.  Dia minta aku datang temankan kau dan bawa kau ke klinik kalau perlu.  Dia minta maaf sebab tak dapat temankan kau.  Katanya Balqish larikan diri.  Itu aku terus ke sini…”  cerita Naz.  Duduk rapat di sisi Sera yang sudah melentokkan kepala ke bahunya. 
“Dia?”  Sera masih sedikit mamai. 
“Buya,” jawab Naz bersama keluhan tipis.  Rasa nak dimaki saja bila dia dengar suara Buya dalam talian.  Manalah Buya dapat nombor dia entah.  Tapi, bila mendengar patah bicara lelaki itu, hati yang dimamah amarah, menjadi lumat dengan belas. 
Hinggakan dia rasa dia sendiri mula mahu menerima Buya yang telah menjadi sebahagian daripada hidup Sera. 
“Kenapa Balqish boleh lari?”
“Sebab aku…”  akui Sera. 
Naz ketap bibir.  “Aku sebenarnya, tak tahu nak cakap apa Sera.  Tak tahu apa yang ada dalam hati kau.  Tak tahu apa yang kau nak lakukan.  Memang aku dah tak tahu.  Kau sekarang, tutup segalanya daripada semua orang.  Kau nak tanggung sendiri…”
“Aku nak kongsi dengan kau dan semua orang yang aku sayang, Naz.  Tapi, aku tak mampu.  Ini masalah yang aku carik sendiri.  Bukan kau dan mak su tak halang.  Tapi, aku yang berkeras.  Jadi, biar aku tanggung sendiri.  Aku kuat…”  Dia cuba senyum tapi bibir yang kering menghalang senyum itu terkoyak lebar. 
“Kuat apa macam ni?”  Naz pegang dahi Sera.  Panas.  Malah, tangannya turun menjalar ke leher Sera dengan kain lembab yang memang dah ada di situ sejak dia sampai tadi. 
Sera nampak lega.  Mata itu terpejam. 
“Kita pergi klinik kejap, ya?”  pujuk Naz. 
Sera angguk.  Dia betulkan tudung yang sudah longgar.  Membiarkan Naz mengelap wajah dan lehernya. 
Naz senyum tipis.  Paling tidak dia lega kerana dalam saat-saat sukar, Sera masih mahu mendengar katanya.  Kain dicelup air dan diperah lagi.  Namun, saat hendak ditekap kain itu ke leher dan tengah dada Sera, tangan Naz kaku.  Dia telan liur tak henti-henti. 
Kesan itu… dahi Naz berkerut tak sudah.  Apa dah jadi?  Tak akanlah…
“Sera?”  seru Naz. 
Sera buka mata. 
“Kau…” 
Tak sempat Naz menyudahkan sebaris persoalan yang bermain dalam kepalanya, telefon Sera berdering.  Laju Sera menjawabnya. 
“Awak dah jumpa dia?”  laju Sera menyoal tanpa melihat pada nama pemanggil.  Dia begitu ternanti. 
“Ini Balqish,” akui Balqish.  Tegas dan dingin.
“Balqish?” 
Talian sepi.  Sera kalut. 
“Qish?  Qish okey?  Qish dekat mana ni?  Ada jumpa abang Qish tak?  Qish tak apa-apa, kan?  Dah makan ke belum ni?”  soal Sera bertubi-tubi. 
Balqish masih menyepi.  Hanya senyuman sinis tersimpan dalam hatinya.  Dia… dengar jeritan abang malam tadi.  Menyeru nama Sera.  Entah kenapa, tapi dia yakin kerana abang terkejut dengan manusia berhati hitam seperti Sera. 
“Qish dekat mana?  Kak Sera pergi jemput.  Ya, Qish?  Qish balik, ya?  Abang Qish risaukan Qish sangat…” 
Naz gamam.  Tak… dia menafi sendiri.  Kerisauan Sera pada Balqish rasanya melebihi risau Buya pada anak gadis itu. 
“Jangan macam ni, Qish.  Tak elok.  Semua orang dalam rumah ni, risaukan Qish…”  Sera terus memujuk biarpun Balqish menyepi sejak tadi. 
“Aku akan balik.  Tapi, dengan syarat…”  Akhirnya, Balqish bersuara. 
Wajah Sera berkerut seribu.  Syarat?  Dia ketap bibir dan mengukir senyum.  Sejak dia kenal keluarga ini, terlalu banyak syarat yang dia perlu terima dan perlu dia berikan.  Entah untuk apa?  Yang pasti, segalanya menjurus pada derita.  Tapi, telah dia katakan, andai ini untuk dia lepaskan diri, dia akan terima apa saja syaratnya kerana dia tahu, apa yang Balqish mahukan adalah apa yang dia dambakan. 
“Apa saja…”  Sera akur.  Airmatanya jatuh lagi ke pipi. 


... bersambung

17 comments:

  1. Akak, sedihnya dengar cerita sera ni..sedih kak
    Saya xtaula nak cakap macam mana tapi sera KENA kuat, buya pon..
    Hopefully semua settle, we can endure some more pain but hopefully pelangi dtg lepas hujan petir ni..huhu

    ReplyDelete
  2. Aduhai balqis mengapa kau melakukan kesilapan demi kesilapan. Bahagia abang mu ada di tangan Sera. Adoii mata masuk habuk.

    ReplyDelete
  3. Xpaham btol dgn perangai si qish ni. Xnk tolerate langsung

    ReplyDelete
  4. adoi la balqish..kesian kt abg tu..kak rehan..nak lagiiii

    ReplyDelete
  5. Haihla balqish ni pn...fikiran xmatang tul

    ReplyDelete
  6. Susahnya utk mengecapi bahagia...byk dukandan derita sblm bahagia menjengah

    ReplyDelete
  7. Yg dimanja... terkdg tersalah cara...

    ReplyDelete
  8. kenapa dilayan kerenah si balqish yg spoilt brat tu...

    ReplyDelete
  9. Nak suruh sersera keluar dari rumah tu LA tu ... Aduhai . ..Kenapa LA ser ni pon melayan sangat si balqish. Depan buya dia boleh jadi kuat , tapi dgn balqish tetiba mengalah.

    ReplyDelete
  10. Selfish skit2 sudah lah Sera. Nk duga husband lebih2 pun mcm x kena. Tkkan nk smpai husband melutut kot

    ReplyDelete
  11. Sera, awak kena bljr erti redha. Gayanya spt seorg yg taat kpd yg Esa, tp mudah sgt nk minta perpisahan.

    ReplyDelete
  12. Sera lembutkan hati tu sikit buya bukan buat perkara yg teruk sgt pn.. mmg lh terasa tapi cuba dalami hati suami

    ReplyDelete
  13. takkan sera tak nampak cahaya cinta, tingkah laku, perbuatan buya yg ikhlas cintakan dia...adoooii,

    ReplyDelete
  14. Ayo Gabung di situs judi online Terpercaya dengan 1 userid bisa bermain semua games dengan bonus terbesar hanya di pakarbet

    bolapelangi
    bolapelangi
    indobola88
    indobola88
    itubola
    itubola
    afapoker
    afapoker
    bolapelangi

    ReplyDelete