Friday, December 28, 2018

Kau Bicara Tentang Cinta 38



MELIHAT pada sekujur tubuh Sera yang terlena di atas sofa putih itu, hati lelakinya menangis lagi.  Berkali dia pujuk Sera untuk rebahkan diri di atas tilam, Sera hanya buat tak tahu.  Telah dia katakan, dia tak akan memaksa Sera.  Cukuplah dia paksa Sera ada dengannya.  Selebihnya, dia tak akan paksa. 
Tiada berbaki langsungkah kepercayaan Sera padanya.  Dia angkat tubuh.  Dirapati Sera dan baru saja hendak tunduk mendukung isteri ke katil, tingkahnya terhenti.  Tubuh yang bengkok kembali tegak. 
“Abang tak kasihan langsung ke dekat Qish?  Sampaikan segalanya abang pertaruhkan demi dia?  Qish ni tak penting ke untuk abang?”  Airmata Balqish mengalir tak henti-henti. 

Dia kembali duduk di birai katil.  Tunduk lagi menjadi manusia yang hampir tewas.
“Kenapa Qish terus letak abang dalam keadaan serba-salah?  Qish nak abang buang Sera.  Perempuan yang abang cinta.  Pertama dan terakhir.  Qish pun tahu abang tak pernah perjudikan hati abang pada mana-mana perempuan.  Sera satu-satunya.  Tak bolehkah Qish cuba terima?” 
“Tak mungkin!”  Balqish membentak.  Airmatanya masih berjejeran tapi esakan sudah berganti dengan nafas yang kasar menahan marah. 
“Qish benci dia.  Dia rampas segalanya bahagia dalam rumah kita.  Sebab dia, daddy lepaskan segala harta benda…”
“BUkan tak berbaki langsung, Balqish…”  bantah Buya cuba menahan suara agar tidak meninggi.
“Memang.  Tapi, dia berhak hampir untuk segalanya.  Dia ugut Qish.  Dia boleh jadikan kita pengemis dalam sekelip mata…”
“Mustahil!  Selagi abang ada, Qish tak akan merempat.  Urusan dia dan daddy, abang sendiri tak tahu Qish.  Abang tak nak tahu pun sekarang.  Tapi, boleh tak Qish tolong abang.  Tolong untuk jadikan rumah kita ni harmoni…”  pinta Buya sepenuh hati.
Balqish ketawa tiba-tiba.  Rumah kita?   Betul ke?  Entah-entah semua ini dah jadi milik Sera. 
“Abang yakin rumah ni masih jadi milik kita?”
Dahi Buya berkerut.  Tak akanlah.  Tapi, ayat Uncle Malik… Sera boleh jadikan mereka pengemis dalam sekelip mata.  Tapi, mustahil Sera berubah menjadi begitu kejam. 
Dia diam.  Menolak jauh suara Balqish yang seperti mengherdiknya.  Silapnya hanya satu.  Memiliki Sera dengan cara tak jujur.  Tapi, sekadar itu.  Selebihnya, cinta pada wanita itu kembang mekar.  Sepertinya tak akan gugur kelopak cinta itu.  Selamanya. 
“Mak su dah balik?” 
“Terima kasih minta Man hantarkan mak su dengan Naz…”  ucap Sera.  Dia tolak pintu bilik yang tak tertutup rapat tadi, dia nampak Buya termenung di birai katil. 
Daun pintu dirapatkan.  Sesekali, perutnya terasa ngilu seperti dirodok dengan belati tumpul.  Risau dengan telahan Naz.  Dia rapat ke almari.  Nak tukar baju.  Dah kotor sangat. 
“Uncle dengan Zul ada lagi?”  soal Buya bila segalanya kembali sepi.
“Dah balik lepas saya jumpa diorang kejap tadi…” 
“Sera ada benda penting ke bincang dengan uncle?”  Dada Buya dilanda debar.  Bimbang tentang dua perkara. 
“Hrmm… ada beberapa benda penting.”
“Pasal apa?”  Buya bangkit.  Dirapati Sera yang baru saja menoleh.  Berdiri di depan Sera dalam jarak satu meter. 
“Nanti kita semua akan tahu.  Jangan risau, saya tak minta bukan-bukan…”
“Apa yang Sera rasa tak ‘bukan-bukan’ pada Sera, boleh jadi ‘bukan-bukan’ pada abang…” 
“Abang?”  Sera senyum.  Tunduk.  Seperti mahu menangis saat Buya membiasakan diri begitu padanya tadi.  Malah, itu adalah salah satu impiannya.  Untuk mendengar Buya memanggilnya sayang dan dia mahu memanggil lelaki itu abang sebaik saja mereka menjadi pasangan sah. 
“Sera betul-betul ni tak minta bukan-bukan?”  Suara Buya seperti mendesak. 
“Apa yang ‘bukan-bukan’ pada awak tu yang tak ‘bukan-bukan’ pada saya?”  Sera menyoal seraya mengangkat wajah.  Menadah wajahnya di depan Buya.
Buya ketap bibir.  Harta?  Perpisahan?  Hanya ini yang dia risaukan.  Tapi, tak mampu dia nak luahkan.  Bibirnya seperti digam.  Tak boleh nak buka melainkan matanya saja menghantar Sera yang sedang melangkah ke bilik air. 
Lama dia menanti Sera, dan saat isterinya keluar Buya masih lagi memandang.  Matanya tak lepas mengikut tingkah Sera.  Saat tuala putih itu jatuh daripada menutupi rambut Sera yang basah, Buya telan liur.  Dahinya berkerut tak sudah. 
Rindunya dia pada kemesraan Sera.  Dia yakin, Sera pasti melayaninya persis raja bila diangkat menjadi suami pada wanita itu.  Sera pasti menyayanginya sepenuh hati dan mempersembahkan yang terbaik.  Tapi, memang silap dia. 
“Silap abang pada Sera hanyalah miliki Sera dengan cara tak betul.  Lepas tu, abang yakin yang abang memang sayangkan Sera…”
Sera kaku di depan almari.  Terkejut bila tiba-tiba Buya bersuara.  Tiba-tiba saja.  Dia dahlah penat ni.  Malas nak berbicara tentang hati dan perasaan.  Tak ada nilai padanya sekarang. 
“Silap abang cuma tu dan abang dah minta maaf…” 
“Saya pun dah maafkan…”
“Tapi, Sera tak lupa…”  Suara Buya sedikit meninggi.  Tak sedar, dia dah ada rapat di belakang isterinya.  Bahu Sera ditarik dan tubuh itu dipaling menghadapnya. 
Wajah Sera nampak sedikit takut.  Dahi licin itu berkerut.  Matanya mengerling tangan Buya yang sedang menggenggam kemas bahunya.  Tapi, dia pilih untuk tak membentak.  Bimbang Buya lebih memberontak. 
“Siapa boleh lupa?  Hari pernikahan saya pulak tu.  Saya dengar sesuatu  yang menakutkan daripada suami saya sendiri.  Setelah saya tentang seluruh dunia demi dia.  Ada yang kata saya bodoh sebab belakangkan mak su saya.  Kawan-kawan yang selama ini ada dengan saya.  Hanya kerana seorang lelaki yang saya baru kenal.  Tapi, saya yakin lelaki itu benar-benar cinta saya.  Lelaki itu benar-benar mahu jaga saya.  Bukan kerana harta yang ditinggalkan atas nama saya.  Tapi, kenyataannya… saya memang bodoh.  Saya terima hakikat tu dan saya tak nak lagi terus jadi bodoh.  Sebab tu saya minta peluang, biar saya betulkan silap saya.  Biar saya betulkan semua perkara.  Biar saya jadikannya seperti asal.  Memang tak akan sama, tapi tak berbeza sangat.  Itu dah cukup.  Saya cuma nak kembali ke kehidupan lama saya.  Dan awak saya nak awak kembali ke kehidupan awak.  Tanpa saya…”  jawab Sera panjang lebar. 
Buat pertama kali dia cuba memujuk.  Penuh diplomasi.  Masa untuk mereka benar-benar sudah terlalu ketat.  Mereka terbelit.  Terlitit.  Sakit.  Kulit mereka sedang tersiat dengan lilitan yang kian hari kian mencengkam. 
Mendengarkan bicara panjang lebar isteri, Buya gamam buat seketika.  Hanya merenung mata yang nampak berkaca.  Sera benar-benar bersungguh untuk dilepaskan.  Cara apa lagi yang mampu dia lakukan?  Uncle Malik dan Zul nampak Sera tak bahagia.  Dia juga tak buta.  Tapi, dia masih mahu cuba yang terbaik untuk membahagiakan Sera. 
“Abang dah cakap, abang tak nak semua tu.  Sera adalah harta abang satu-satunya sekarang…”  Tangan Buya turun melurut lengan Sera dan tangan itu akhirnya digenggam dan dibawa ke wajahnya.  Dikucup telapak tangan Sera lama.  Terasa begitu suam.  Sepertinya sedang demam. 
Dan Sera, hampir mahu menangis.  Tapi, dia telah berjanji.  Macam mana dia mahu bahagia atas penderitaan orang lain.  Dia bukan begitu. 
“Kita mulakan semula.  Ya, sayang?”  pinta Buya bila dia kembali memandang mata isterinya. 
Tubuh Sera ditarik ke dalam pelukan.  Dipeluk erat.  Dia pejam mata.  Lega bila Sera tak menolak biarpun tidak membalas.  Ini dah lebih daripada cukup. 
“Kalau macam tu, saya akan minta Uncle Malik proceed semua dokumen dan minta dia beli semua saham milik awak dan Balqish untuk tukar terus atas nama saya.  Termasuk rumah ni.  Saya yakin, Uncle Malik akan pujuk lembaga pengarah untuk singkirkan awak dan Balqish daripada syarikat milik keluarga awak sendiri.  Tambah pulak, saham awak dan Balqish tak seberapa yang tinggal…”
“Hah?”  Buya sekali lagi terkedu dengan bisikan Sera.  Dia tolak perlahan bahu isterinya. 
Sera menjauh beberapa langkah ke belakang. 
“Sera cakap apa?  Abang tak salah dengar, kan?” 
“Tak.  Kalau awak nak tahu, itulah yang saya bincangkan dengan Uncle Malik tadi.  Ya, dia peguam keluarga awak tapi sekarang, saya memiliki segalanya yang pernah awak ada.”
“Jadi, Sera rasa abang akan jual?” 
Bibir Sera terjongket dengan senyuman sinis.  Dia menggeleng kecil. 
“Saya tak tahu.  Itu hak awak.  Tapi, sementara ada yang nak beli semua tu dengan harga tinggi, saya nasihatkan awak jual semuanya.  Sebelum saya betul-betul jadikan awak dan adik awak, pengemis!”
“Sera Nur!”  Suara Buya bergema. 
Airmata Sera hampir menitis.  Pertama kali, Buya meninggikan suara padanya.  Tapi, andai ini mampu buat dia lepaskan diri daripada Buya, apa saja.  Dia rela. 
“Sera tak maksudkan.  Betul tak?” 
“Tak.  Saya maksudkan…  tengok…”  Sera ketawa.  Tawa yang dipaksa. 
“Saya pun dah jadi orang korporat.  Dah mula masuk ke dunia yang sangat berbeza daripada dunia saya.  Saya cuma fikir duit dan keuntungan.  Kesenangan.”  Dia senyum tapi dengan wajah yang mahu menangis.  Kata-katanya langsung tak seia dengan hati. 
“Sampai macam tu sekali Sera…”
“Ada satu cara…”  cantas Sera. 
Dahi Buya berkerut.  Kerisauan yang pertama nyata benar.  Malah yang kedua juga rasanya tepat. 
“Lepaskan saya…” 
Buya pejam mata.  Tidak terkejut.  Cuma, sukarnya untuk tunaikan.  Mampukah dia biarkan Balqish menderita sedangkan dia juga tak berdaya mahu lepaskan Sera pergi. 
Otak Buya serasa mahu pecah.  Dia mahu menjerit, tapi rengkung terasa sempit.  Dalam sungguh luka yang dia guris pada hati Sera hingga begini sekali dinginnya Sera. 
“Apa yang Sera nak abang buat?” 
“Saya dah bagitahu.  Tak usah tanya soalan yang sama.  Jawapannya juga sama…” 
Keluhan lepas lagi daripada dada Buya. 
“Berapa kali juga abang katakan, abang tak boleh…” 
Mereka berdua menyepi.  Saling memandang.  Buya langsung tak alihkan pandangan.  Sera juga tak kalah.  Yang membezakan, hanyalah cara renungan itu.  Di mata Buya, biarpun samar-samar tapi masih terselit cahaya cinta.  Di mata Sera, biarpun nampak redup… tapi kabur langsung tanpa cinta. 
“Kalau macam tu, saya nak tanya awak soalan yang sama.  Apa yang perlu saya buat untuk awak tunaikan permintaan saya?” 
Buya masih menyepi.  Mengetap bibir bawah.  Memandang Sera dan permaidani silih berganti.  Macam-macam hasutan hadir dalam kepalanya.  Sungguh.  Dia sudah tidak mampu berfikiran waras.  Segalanya begitu sukar. 
Terlalu payah. 
Kelembutan dia tak akan mampu membelai hati Sera. 
“Jangan tanya soalan yang susah abang nak bagi jawapan, Sera…”
Sera koyak senyum.  Tajam dan sangat sinis.  Andai sekali dia bertanya pada Buya, lelaki ini sudah tidak mampu memberi jawapan, macam mana pula dengan dia yang diasak dengan soalan sama? 
“Jadi, awak tentu faham perasaan saya… kita sama…”
“Tak… abang tak faham.  Sebab abang ada jawapan tu.  Cuma abang pilih untuk tak luahkan… kita berbeza…” 
“Apa yang berbeza?”  Saat ini, suara Sera mula bergetar.  Dia benar-benar mahu menangis. 
Buya tarik nafas.  Andai tiada lagi pilihan, dia perlu gunakan langkah terakhir.  Dia perlu ikat Sera selamanya. 
“Jawapan abang adalah Sera…”
Dahi Sera berkerut.  Tak faham. 
“Kalau kata kelembutan abang tak boleh nak buat Sera terima abang, perlu ke abang guna paksaan?  Hrmmm?”
“Paksaan?”  Kerutan pada dahi Sera bertambah lebat. 
“Sera tak faham?  Atau nak abang terus-terang?”  sindir Buya.  Dia rapati Sera.  Isterinya tak berganjak biarpun seinci. 
Sera gigit bibir.  Dadanya berdebar menanti ayat Buya yang seterusnya. 
“Jadi isteri abang.  Let me have you…”
“Hah?  Saya tak salah dengar, kan?” 
“No, sayang.  You are my wife after all.  Kenapa abang tak boleh, kan?”  Kening Buya terjongket sebelah.  Ini saja cara yang tinggal sekarang. 
Sera tegakkan tubuh.  Mendabik dada biarpun seluruh sendinya terasa longgar.  Mahu rebah dengan kehendak Buya.  Kalau ini caranya untuk buat Buya lepaskan dia…
“Awak janji akan tunaikan permintaan saya?” 
Buya diam.  Hatinya menjerit.  Mustahil.  Tak akan!  Telah dia katakan.  Bahagia atau derita, Sera perlu bersamanya. 
“Kalau macam tu, silakan.  Be my guest…”   pelawa Sera dengan dada yang berdetak tak sudah. 
Tak menanti, tubuhnya ditarik sedikit kasar dan dipeluk erat oleh jasad sasa Buya.  Sera pejam mata serapatnya kerana dia tahu, Buya tidak sekadar berkata-kata.  Buya benar-benar sedang mahu mengikatnya dengan begitu erat. 
“Abang cintakan Sera.  Katalah abang saja.  Bencilah abang.  Tapi, Sera tak boleh pergi daripada abang.  Sera tak boleh halang abang untuk terus cintakan Sera…”  Buya berbisik rapat ke telinga Sera. 
Saat ini, airmata Sera jatuh setitis ke pipi.  Dia mahu membalas pelukan lelaki ini tapi tangannya benar-benar berat.  Hingga dia biarkan saja Buya dengan kehendak sendiri tanpa menahan walaupun dengan sepatah kata.  


...bersambung 

9 comments:

  1. Allahhh,.sedihnya. 2-2 keras kepala. Xnak mengalah.

    ReplyDelete
  2. Semakin payah..semkin sukar...aemakin perit..semkin pedih...aduhai sera buya

    ReplyDelete
  3. Aq xtau la buya , hopefully ni last choice..apa jadi pon korg sama2 0sayang kan..that the fact n hopefuly itu je yg boleh based pada segalanya..haha, pebenda tah, btq go buyaaaa

    ReplyDelete
  4. Ya Allah siannya Sera...sedih...

    ReplyDelete
  5. Ya اَللّهُ seha janganlah terlalu ikutkan hati. Moga kasih dan sayang Buya akan membalut luka.
    Moga cinta Sera Buya kekal dan Balqish buka mata atas khilafnya

    ReplyDelete
  6. permintaan seorg wanita yg terluka dengan sikap seorg suami...

    ReplyDelete