Monday, December 09, 2019

Luruh 3

SEJAK tadi, hanya nama itu yang meniti pada bibir Dariya.  Dia seperti mahu menjerit dan menekup mulut Dariya daripada terus menyebut nama itu.  Ia menyakitkan.  Telinganya sudah tidak mampu mendengar.  Hati dan jiwanya sendiri sudah tidak berdaya nak terima rayuan itu lagi.
Kau tahu tak, Dariya… harga apa yang aku bayar untuk semua permintaan kau ni?  Kenapa kau terus nak pentingkan diri sendiri?  Kenapa, Dariya? 
Andai mampu dia ucapkan perkataan itu, tapi dia tak pernah berdaya.  Daneen melutut di sisi katil di mana tubuh lemah Dariya terbujur.  Berita yang doktor bawakan padanya seketika tadi, telah merentap seluruh semangat. 
“Aku akan selamatkan kau, Riya.  Kau satu-satunya yang aku ada…”  rayu Daneen.  Dia sendiri sedang lemah. 


“Mufid, Neen…” pinta Dariya sekali lagi.  Kali ini, bicaranya sudah tidak bersambung.  Hanya bibir saja bergerak tak henti-henti.
Daneen menangis dan terus menangis.  Teresak-esak, melepaskan peraasan yang membuku dalam hatinya.  Yang tiada siapa peduli.  Namun, tangisnya terhenti bila dia dengar derap tapak kaki.  Saat dia menoleh, wajah Maliki muncul.  Daneen menapak melepasi Maliki.  Mencari dan terus mencari tapi dia kecewa. 
“Mana dia?”  soal Daneen bila berdiri tepat di hadapan Maliki.
“Dia berkeras tak nak balik.  Aku dah cuba…”
“Cuba?”  Daneen ketawa dengan airmata jatuh melalui hujung matanya.  “Kau cakap kau cuba dan tak berjaya?  Macam tu ke ayat seorang businessman macam kau?  Mengalah bila berkait dengan darah-daging sendiri?”  marah Daneen dalam keadaan dia cuba mengawal suaranya agar tak berdentum.
“Dia manusia.  Aku tak boleh paksa…”
“Dan kau ingat, yang sedang terbaring kaku tu… patung?”  soal Daneen sinis dengan tangan yang lurus pada jasad kaku Dariya.
Maliki nampak gamam seketika. 
“Kau keluar.  Aku cuma perlukan Mufid.  Bukan kau.  Urusan bisnes kita tamat di sini aje…” 
Maliki tak berkata apa.  Malah, tak berganjak juga bila disuruh keluar.   Dia hantar orang untuk jemput Mufid balik pun, adiknya itu tetap berkeras.  Namun bila melihat keadaan Dariya yang ternyata hanya tinggal nyawa-nyawa ikan dan keadaan terdesak Daneen, dia dihurung kesal kerana tak berkeras dengan Mufid.  Dalam hati seorang abang, biarpun Mufid salah dalam hal ini, tapi Dariya juga sama.  Bukan Dariya tak tahu tentang Mufid.  Bila Mufid tegar meninggalkan Dariya begitu saja atas alasan keluarga, Dariya patut pergi tak menoleh lagi.
Tapi, beberapa bulan sudah… ada mulut yang berbisik rapat pada telinganya tentang Mufid yang mengheret Dariya ke bilik hotel.  Jujurnya, dia tak suka dengan cara hidup Mufid.  Bukan sikit masalah yang Mufid timbulkan sejak dulu dan dialah yang perlu menyelesaikan dengan apa cara sekalipun demi menjaga nama baik keluarga.  Malah, dia mati-mati ingatkan Mufid akan berubah demi Dariya namun segalanya menjadi kacau-bilau bila Uncle Dhani, abah pada Dariya dan Daneen ditangkap kerana pecah amanah. 
Saat itu, papanya begitu kecewa.  Uncle Dhani adalah kawan lama keluarganya dan mereka membina empayar Tegoh bersama-sama.  Lantas, Daneen mahu salahkan siapa dalam hal begini jika bukan pada keluarga sendiri? 
“Daneen…”  seru Maliki.
Daneen menoleh dan merenung Maliki tajam.  Penuh rasa benci.  Entahlah.  Dia tak pernah membenci Maliki.  Lelaki ini tidak terlibat dengan urusan Tegoh.  Dia tahu, Maliki membina empayar sendiri.  Namun, dia tak boleh menafi… darah yang mengalir dalam tubuh Maliki adalah sama dengan yang mengalir dalam jasad Mufid.  Milik Malik!  Yang telah menjadikan keluarganya begini. 
Airmatanya jatuh ke pipi.  Tanpa riak namun hatinya sedang menangis dan meraung.  Ada bahagian hati yang meminta dia berlari ke dalam pelukan Maliki dan menghamburkan tangis di dada bidang itu.  Biarpun mereka hampir tak pernah berbicara, tapi keluarga mereka pernah rapat dan mesra. 
Tapi… tak sedar, Daneen menggeleng.  Dia tak perlukan tempat bersandar.  Dia hanya mampu andalkan diri sendiri.  Apatah lagi dalam keadaan sekarang. 
Saat ini, Maliki kerut kening.  Hati lelakinya tertanya apakah yang membuatkan Daneen menggeleng kecil.  Malah, dia sedang cuba membaca apakah rasa yang ada di sebalik wajah dingin itu?  Dia pernah menganggap Daneen dan Dariya seperti adiknya dan ya, Dariya cukup mesra dan manja.  Namun, Daneen berbeza.  Kerana itu, rasanya pada Daneen juga tak serupa dengan rasanya pada Dariya. 
“Jangan sebut nama saya, Tuan Utama Maliki…” ujar Daneen separa berbisik tapi dia yakin, Maliki masih mampu mendengarnya. 
Waktu ini, lidah Maliki benar-benar kelu.  Dia terus mahu mengherdik Daneen tapi keadaan benar-benar membantah.  Dia mahu berlaku kejam tapi rupanya dia masih manusia biasa yang punya simpati dan simpati itu tumpah bila melihat usah kata jasad lesu Dariya tapi lebih simpati melihat jasad Daneen yang berdiri dalam keadaan yang begitu goyah.
Pakaian itu… Maliki gigit bibir bawah.  Dia tahu itu pakaian semalam.  Malah, dia nampak kesan koyak pada baju-T putih di bahagian leher itu.  Angkaranya. 
“Tolong keluar…”  suruh Daneen dengan nada yang lebih keras bila Maliki hanya membantu merenung jasadnya.  Usah kata Maliki kesal tentang hal semalam kerana dia sedikitpun tidak berasa kesal tentang itu. 
“Aku…”  Maliki cuba berbicara tapi dia pakukan lidahnya.  Ayat apa yang mahu dia katakan?  Setelah melukakan Daneen, dia pulak mahu memujuk?  Tak… tak akan!  Lantas, Maliki menoleh dan terus keluar daripada bilik yang menempatkan empat katil pesakit tapi tiga lagi kosong. 
Dia duduk di atas bangku panjang dan terus mendail nombor Mufid.  Talian tetap tak bersambung.  Maliki terus menghubungi pembantu peribadinya.  Hanya sekali deringan, talian terus bersambung.
“Kau pergi Singapore.  Heret Mufid balik.  Paksa kalau dia tak nak.  Buat apa saja.  Asal dia ada depan aku paling lewat petang ni!”  ujar Maliki dengan suara yang menderam dalam dada. 
Dia putuskan talian!  Menggenggam penumbuk sendiri sekuat hati.
Daneen hampiri Dariya.  Mata itu kelihatan sangat sayu dan terseksa. 
“Neen?”  seru Dariya bila dia kembali jaga. 
“Hurm?”  sahut Daneen, sebak.  Dia kesat birai matanya dan mengoyak senyum pada Dariya.  Dia tak tahu, entah berapa lama lagi mereka mampu bertukar senyum.  Dia mahu senyum sekarang.  Setiap saat dan ketika.
“Neen…” 
“Jangan tunggu dia lagi, Riya.  Dia tak akan datang…”  ujar Daneen perlahan.  Memotong suara Dariya kerana dia yakin nama siapa yang mahu disebut. 
“Ya, aku tahu, Neen.”  Senyuman terukir payah pada bibir Dariya. 
“Maafkan aku, Riya.  Aku salah pada kau, abah dan mama.  Aku janji yang semuanya akan baik-baik aje.  Segalanya akan kembali seperti biasa.  Tapi, aku tak berdaya, Riya…” 
Bukan sekali dia dihalau dan disepak oleh orang-orang Malik bila mengejar lelaki tak guna itu di bawah pejabat atau di mana saja.  Malah, dia hampir ditahan polis kerana dituduh menceroboh.  Dia merayu dan melutut malah memegang erat kaki lelaki itu biarpun tubuhnya ditumbuk oleh beberapa orang suruhan Malik.  Jasadnya luka dan dihiasi tompok kebiruan.  Namun, dia hanya mampu merawat diri sendiri. 
Dia… benar-benar telah berusaha.  Tapi, apa perlu dia lakukan bila segalanya menemui kegagalan dan jalan buntu? 
“Maaf dah menyusahkan kau dalam setahun ni.  Aku tahu, aku pentingkan diri sendiri selama ni, Neen.  Untuk kau tahu… mama pun mintak maaf pada kau, Neen.  Mama nak kau tahu, dia tak salahkan kau…”  Saat ini, mata Dariya nampak tenang memandang ke depan.
Daneen kalut.  Dia renung di tempat yang sama.  Kosong.  Tiada apa.  Tapi, Dariya senyum. 
“Kami tak salahkan kau, Daneen…”  ujar Dariya dan saat itu, bibir itu koyak dengan senyuman yang cukup tipis tapi manisnya begitu terasa. 
Genggaman tangan Dariya terkulai layu.  Daneen kaku tak berkata apa.  Dia bingung.  Bila doktor dan dua orang jururawat berkejar masuk bila mesin itu berbunyi nyaring, Daneen hanya menurut bila jururawat menolaknya keluar daripada situ.
Matanya terus merenung tirai yang menutup katil Dariya.  Dia tahu, Maliki masih di situ tapi lelaki itu tidak lagi ada dalam agenda hidupnya.  Tak lama, dia nampak doktor melepaskan nafas lelah.  Nampak kecewa dan simpati. 
“Masa kematian, sepuluh lima minit pagi…”  ujar doktor itu perlahan dan hadir di depannya. 
“Maaf, cik.  Takziah daripada kami…”  ucap doktor itu lembut dan terus berlalu.
Daneen angguk sendiri.  Mengerti.  Dia tak terkejut kerana segalanya telah dijangka.  Cuma, dia kesal kerana hingga saat ini dia tak pernah mampu tunaikan segala janji yang dia buat untuk abah, mama dan Dariya.  Dia… kehilangan seluruh ahli keluarganya dalam satu masa. 
Maliki berdiri tegak di belakang Daneen yang hanya ada separa bahunya.  Terkejut dengan berita yang baru dia dengar dengan telinga sendiri. 
“Daneen, aku…”  Dia telan liur.  Tak terasa untuk mengherdik Daneen seperti semalam.  Melihat sendiri kematian di depan mata, dia perlu akur… dia kehilangan kata. 
“Ada tak kau cuba dapatkan Mufid lepas kau janji dengan aku semalam, Maliki…”  Dia telah hilang segala rasa hormat pada lelaki ini.  Pada dunia dan pada diri sendiri.  Namun, paling tidak, dia mahu tahu adakah benar Maliki berusaha sepertinya tapi tetap temui jalan buntu?  Atau sekadar melepaskan batok ditangga saja? 
“Ya…”  Cuma, aku tak bersungguh.  Tambah Maliki dalam hati. 
“Kalau macam tu, aku akan bayar harga kesungguhan kau dan lepas ni, aku tak akan jumpa kau lagi.  Segala urusan antara Dariya dan Mufid, berakhir dengan kepergian Dariya…”  ujar Daneen dan dia melangkah masuk ke dalam dan kaku di tengah bilik. 
“Daneen, aku akan bawak Mufid untuk jumpa Dariya petang ni…”
“Jangan.  Aku tak nak dia tengok Dariya.  Dia tak layak.  Dan kau…”  Nafas Daneen tercungap-cungap.
Tubuhnya benar-benar keletihan.  Dia tak makan, dia juga tak minum.  Saat ini, dia baru sedar, dia kelaparan.  Dia begitu dahaga.  Tubuhnya sudah hampir kehilangan segala kudrat. 
“…tolong pergi,” bisik Daneen. 
Dia hampiri katil itu tapi tangannya tak mampu menyelak kain putih itu.  Tak tahan menahan sebak, Daneen menangis dan terus menangis.  Mati itu pasti.  Dia tahu.  Semua yang hidup pasti merasai mati namun, dia tak sangka hidupnya diduga sebegini.  Tiga nyawa hilang serentak. 
“Kenapa?” Soalan itu diaju, lemah. 
“Kenapa?”  Kali kedua soalan sama juga terbit daripada celah bibirnya. 
“Kenapa?!”  Kali ini, dia menjerit sekuat hati.  Tangannya menumbuk dadanya berkali-kali.  Sekuat hati.  Dengan harapan… sakit itu reda.  Dengan harapan, sakit ini berlalu pergi. 
Melihat Daneen bagai tak sedarkan diri, Maliki laju mendapatkan gadis itu.  Dipegang tangan itu kuat tapi Daneen benar-benar kuat.  Tenaganya terbentuk luar biasa.  Sewaktu dia mahu memaut tubuh itu ke dalam pelukan, genggaman pada tangan Daneen terlepas dan gadis itu laju menamparnya dan mencakar beberapa bahagian pada tubuhnya dan Maliki berdesis bila dirasakan kesan kuku Daneen telah memberi kesan pada lehernya.  Bila dia sentuh, ada darah merah yang mengalir dan pedihnya kian terasa.
“Kenapa?”  soal Daneen.  Rapat pada Maliki tanpa rasa takut sikitpun.
“Kenapa keluarga kau kejam sangat pada kami?   Apa salah kami pada keluarga kau?”  jerit Daneen.  Waktu ini, dia sudah tidak berdaya.  Biarlah soalan itu tak berjawapan.  Dia mahu menutup matanya dan terus berharap ini adalah mimpi. 
Dia akan jaga dan segalanya adalah seperti sedia kala.  Senyuman mama, gelak tawa Dariya dan sabarnya abah melayan bicara anak-anak.   Matanya dipejam bersama senyuman tipis sebelum dia rebah.
Maliki pantas menyambut tubuh itu dan ke dalam pelukannya.  Melihat kesan airmata kering pada wajah dan leher Daneen.  Apakah dia dah silap menilai?  Atau dia dibutakan dengan oleh darah-daging sendiri seperti kata Daneen? 
“Apa lagi yang kau nak daripada aku?”  soal Daneen sebelum dia benar-benar hilang dalam dunia yang begitu kelam. 


Sayang… dia sendirian.  Tidak berteman biarpun sekadar bebayang.  

...bersambung

11 comments:

  1. ����������

    ReplyDelete
  2. The best. Thank you RM. Love you..
    Buat versi cetak please..

    ReplyDelete
  3. huhu..kesiannya Daneen..kejamnya kau Mufid...Maliki pn sama..

    ReplyDelete
  4. sedihnya.... xtau nk ryk lagumana

    ReplyDelete
  5. Derita Daneen sampai ke tangkai jantung ini,,,,tq RM

    ReplyDelete
  6. sedihnya RM 😭 tapi syok baca... keep fighting RM 💪

    ReplyDelete
  7. Pilu Xterkata.. Harap maliki bertanggungjawab dan cuba rungkai kebenaran. Thx RM for the update 🌹💐 ni skala penderaan emosi yg lbh tinggi drpd objection..huhu.

    ReplyDelete