Saturday, December 07, 2019

Luruh 1



KEPALANYA jatuh.  Tunduk memandang jari-jemari sendiri yang menggigil.  Tubuhnya kaku.  Dia sepertinya telah tercampak jauh ke dalam dunianya sendiri tanpa ada sesiapa menemani.  Pandangan mata sangat kabur dan air jernih itu menitis perlahan di atas tangannya.  
Saat ini, dia hanya mampu mendengar suara tangisan di sisinya.  Dekat dengan cuping telinga.  Sangat halus seperti belati tajam yang menoreh hati.  Tanpa rasa.  Sedar saja, ia sudah berdarah. 
Suara lain sudah tidak mampu menembus pendengaran.  Hanya tangisan dan esakan seorang wanita yang dia panggil mama. Perlahan-lahan dia menoleh.  Lemah.  Namun, senyuman tetap diukir.  Tangan mama digenggam kemas, memberi kekuatan.  Tak… bukan memberi tapi dia sedang berkongsi apa adanya pada dirinya saat ini.  Gamaknya, sisa kekuatan yang terakhir yang masih mengalir dalam hatinya. 
“Apa kita nak buat ni, Daneen?”  Soalan itu diaju bersama esakan yang kedengaran sangat menyesakkan. 
“Neen…”  Seruan itu sekali lagi masuk dan mengetuk gegendan telinga tapi jujurnya, dia sendiri sedang mencari jawapan yang sedap didengar biarpun itu adalah berbentuk penipuan. 
Perlahan, Daneen menoleh.  Mengoyak senyum pada mama.  Tangis mama kian menjadi-jadi apatah lagi bila abah didorong keluar daripada kandang tertuduh tanpa berkata apa melainkan riak kesal abah saja yang sempat dia tangkap. 
“Neen janji nak tolong abah…” 
“Neen…”  Bibir diketap.  Itulah yang dia katakan.  Dia telah berjanji tapi janji itu lebih pada satu pembohongan. 
Apalah yang anak berusia sembilan belas tahun sepertinya mampu lakukan.  Dia masih dibangku sekolah.  Dia ada cita-cita yang hebat tapi segalanya telah dia lupakan sejak hampir setahun lalu.  Dia berjanji untuk membantu tapi dia sebenarnya tidak tahu apa  yang perlu dia lakukan. 
“Neen mintak maaf, mama.  Tapi, percayalah.  Semuanya akan baik-baik aje…”  Bahu mama dicengkam kemas dan tubuh itu dipaut kejap. 
“Neen bohong…”  Tangis mama kian kuat. 
Tangan itu terus menolak tubuh halus Daneen dengan nafas tercungap-cungap dan renungan mata yang terzahir jelas amarahnya. 
“Neen dah cuba, mama…”  Mungkin mama tak tahu.  Tiada siapa tahu.  Bukan sekali dia merayu malah dia telah melutut pada mereka yang telah menjadikan abah begitu dan membuatkan keluarganya dalam keadaan yang sebegini sukar. 
“Neen tipu!  Neen tak cuba pun.  Biar mama aje pergi cium kaki Malik.”  Serentak itu, Lateefa terus bangkit.  Meninggalkan Daneen yang nampak terpinga-pinga. 
Nafasnya kian tercungap-cungap sendiri.  Dia langsung tak menoleh lagi biarpun suara Daneen memanggil tak henti-henti.  Belum sempat dia turun anak tangga pertama, kakinya terhenti.  Melihat senyuman suami yang begitu banyak berkorban malah sangat menyayangi keluar dalam keadaan begitu, dia perlu akui… dia tak pernah mahu terima. 
Ia adalah sesuatu yang amat menyakitkan. 
Airmatanya kian lebat.  Nafasnya juga sudah tersekat. 
“Mama…”  Daneen memaut bahu Lateefa.
“Daneen…”  Hanya nama itu disebut oleh mulut mama sebelum tubuh itu jatuh terkulai layu. 
Daneen menjerit memanggil mama.  Menjerit mencari bantuan dan syukurlah, dalam keadaan begini sukar, masih ada bantuan yang hadir.  Tak lama, ambulan tiba.  Namun belum sempat dia didorong masuk ke dalam ambulans, telefonnya menjerit nyaring.  Dia laju lekapkan ke telinga bila melihat nama kakaknya muncul di atas skrin. 
“Ya, Riya?”  sahut Daneen bila nama kakaknya, Dariya muncul pada skrin.
“Macam mana, Neen?” 
Soalan itu kedengaran sangat sayu. 
“Apa yang macam mana?”  Daneen telan liur.  Bukan tak mengerti dengan soalan mudah itu tapi dia tak tahu maksud yang tersirat. 
“Kau cakap dengan aku kau akan bawak dia jumpa aku…”
Tuhan…  Daneen pejam mata.  Tak menjawab buat seketika.  Kenapalah dalam saat sebegini genting, Dariya masih lagi memikirkan perkara tu.  Tentang jantan tak guna tu!  Tahukah Dariya, puncanya di mana! 
Dia nak aje jerit pada Dariya tapi dia tahu, emosi Dariya sangat tak stabil. 
“Kau tak berani, kan?”  tuduh Dariya lagi.
“Tolong aku, Riya.  Kali ni aje.  Jangan cakap pasal ni.  Jangan tanya aku.  Kau tahu tak, abah dah jatuh hukum.  Mama sekarang…”
“Kenapa dengan mama?” 
Tak sempat Daneen habis bersuara, Dariya laju bersuara.  Seperti baru saja muncul di permukaan setelah jauh tenggelam ke dalam perasaan sendiri.   
“Mama pengsan.  Sekarang aku nak hantar mama ke hospital.  Kau tunggu dekat rumah.  Nanti aku balik jemput kau pergi hospital…” 
“Mama kenapa?”  Dariya masih menyoal.  Langsung tak ambik kisah dengan apa yang adiknya katakan.
“Tolonglah, Riya.  Aku kena pergi…”  Daneen mahu panjat masuk ke dalam ambulan bila Dariya menjerit. 
“Kau tak jaga mama, Daneen.  Kau dah janji dengan abah nak jaga aku dan mama.  Kau janji nak bantu abah buktikan dia tak bersalah.  Kau janji tak nak buat mama sedih. Kau janji nak bawak Fid jumpa aku.  Tapi, semuanya tipu, kan?” 
Tuhan… Daneen raup wajah.  Matanya berair memandang paramedik yang memandang padanya. 
“Aku hantar mama ke hospital dulu, kau tunggu.  Paling tak… aku akan tunaikan janji aku pada kau dan mama, Riya…”  Serentak itu, Daneen putuskan talian.
Memanjat masuk ke ambulans melihat paramedic sedang memberi bantuan kecemasan pada mamanya yang langsung tidak sedarkan diri.  Seperti mayat hidup.  Wajah yang dulunya putih berseri, sekarang begitu pucat dan suram. 
“Kita kena cepat.  Nadi dan denyutan jantung dah tak stabil…”  Wajah paramedik wanita itu cemas. 
“Okey…”  Lelaki berbaju putih itu menyahut. 
Belum sempat pintu ambulan ditutup, panggilan daripada Dariya muncul lagi.  Tidak dapat tidak, dia lekapkan telefon ke telinga namun suara lain yang menyapa. 
“Ini siapa, ya?  Pemilik telefon ni kemalangan.  Hello… boleh saya tahu, ini ahli keluar dia ke?”  Suara di hujung taliang kedengaran sangat cemas. 
Mata Daneen kembali berair memandang parademik di depan mata.  Rengkung serasa mahu pecah tapi kata-kata perlu dilontarkan. 
“Macam mana dia?”  soal Daneen takut-takut. 
“Dia berdarah banyak, cik.  Ambulan dah sampai.  Mungkin hantar ke PPUM.” 
Tuhan… berkali-kali dia sebut nama itu mencari kekuatan.  Usah diuji hati yang lemah ini dengan bertimpa-timpa dugaan.  Hamba tak mampu, Tuhan. 
“Saya tak dapat ikut.  Kakak saya kemalangan dan dihantar ke PPUM.  Lepas tengok keadaan dia, saya terus ke HKL.”
Tak sempat nak melarang, paramedic itu hanya mampu memandang gadis malang itu merempuh pintu belakang ambulan dan berlari laju. 


LELAH dia berlari tapi kenapa langkahnya menjadi berat malah tujuannya menjadi semakin jauh?  Airmata jatuh bertali-arus di pipi dan sebaik saja dia masuk ke pintu kecemasan PPUM, kakinya kaku.  Dia nampak wajah Dariya dan darah merah yang menodai jasad kurus itu.
Dia terduduk.  Lama mencangkung di balik pintu dengan menekup wajah ke lutut dengan telinga terus menerima suara kalut doktor dan jururawat.  Dia tahu itu kakaknya kerana tiada lagi orang lain di sini.  Entah berapa lama dia di situ, hilang dalam dunia sendiri mencari penawar pada sakitnya hatinya, seorang jururawat menghampiri. 
“Cik ni waris mangsa ke?”
Daneen angkat wajah dan mengangguk.  Dia bangkit dan berdiri sedikit goyah bahana bertinggung terlalu lama. 
“Cik tahu tak mangsa mengandung?” 
Daneen tekup mulut dan menggeleng.  Padanlah kalau Dariya hampir gila bila ditinggalkan oleh Mufid.  Tapi, sejak bila?  Rasanya dah lama Mufid tinggalkan Dariya.  Dah hampir setahun.  Dan, macam mana… Daneen menggeleng penuh kesal. 
Kejamnya Dariya pada mereka sekeluarga.   Dia pandang wajah lemah yang masih menerima bantuan oksigen. 
“Tapi, maaf, cik.  Kandungan dia tak dapat nak diselamatkan.  Dia hilang banyak darah.  Macam mana doktor cuba masukkan darah, tubuh dia tak nak terima.  Kami dah cuba sedaya-upaya.  Keadaan dia masih tak stabil dan kami akan tolak dia ke bilik operation kejap lagi.  Ini…”  Surat keizinan waris di hulur bersama satu fail warna biru dan juga sebatang pen.
Dengan rasa menggigil, Daneen turunkan tandatangan.  Dia… telah ditolak rapat ke dinding.  Tiada pilihan lagi.
“Tolong selamatkan dia.  Apapun jadi…”  Dia serasa mahu meraung.  Baru kejap tadi dia berjanji dan dia mahu tunaikan janji, tapi Dariya tak izinkan segalanya itu terjadi. 
Daneen menapak keluar bila telefonnya menjerit.  Dia tekap ke telinga tanpa melihat pada skrin. 
“Cik Daneen?  Anak pada pesakit bernama Lateefa, kan?”
“Ya, saya…”  Perasaannya benar-benar kosong hingga dia hampir lupakan mamanya yang dibawa ke HKL.  “Macam mana mama saya?”
“Maaf, cik.  Boleh cik datang segera ke HKL.  Mama cik dah tak ada…”
“Hah?”  Daneen terpinga-pinga.  Dia jauhkan telefon daripada telinganya buat seketika sebelum mendengar sekali lagi suara itu.
“Pesakit Lateefa dah tak ada.  Dia diserang jantung masa kami cuba selamatkan dia…” 
Telefon Daneen jatuh ke lantai.  Skrinnya retak seribu.  Tak sempat duduk di atas bangku, dia melorot jatuh di atas lantai.  Tanpa menghiraukan yang melihat.  Di sini, Dariya sedang bertarung nyawa, malah dia telah kehilangan satu nyawa suci daripada rahim Dariya dan di sana juga, satu nyawa lain telah tiada. 
Ujian apa kau datangkan ini, Tuhan?  Berkali-kali dia menyoal hinggakan dia menumbuk dada sendiri sekuat hati tanpa mampu dia zahirkan tangisnya yang mengaum tanpa henti.  




...bersambung 

RMsays:  Dah lama tak jumpa.  Pesanan tuan tanah kedaung.  Cerita ini adalah sejenis Dark Romance.  Read at your own risk.  

14 comments:

  1. Sesak nafas baca.. Sudah jatuh ditimpa tangga.. Siannya Daneen

    ReplyDelete
  2. Jap, nama2 watak dlm bab 1 ni konfius jap.. kjp nama fateha, lpas tu.. lateefa.. kmudian daneen..daneena😂😂
    Harap2 bab strusnya x pening ... apa2pun tahniah utk cerita baru

    ReplyDelete
  3. alahai.. awai2 dh luruh air mata.. meruntun betul.. berul2 luruh

    ReplyDelete
  4. Thanks cikRM..rindu dgn karya awak

    ReplyDelete
  5. Sentiasa menunggu hasil karya cik RM, mcm nak tunggu gaji setiap bulan :)

    ReplyDelete
  6. sedihnya...siannya Daneen..beratnya ujian yg RM karangkan utk awk..semoga terus kuat ye Daneen..

    ReplyDelete
  7. Thank you RM. Rindu terubat. Macam biasa beremosi membaca luruh. Congratulations

    ReplyDelete
  8. AS SALAM AKAK...BARU BAB 1,AIRMATA MURAH BENOR MENGALIR...DAN PASTILAH LPS NI AKAN ADE LG DRAMA AIRMATA..HUHUHU...SY SUKA CITE GENRE DARK ROMANCE..KIPIDAP SIS..

    ReplyDelete
  9. Aduhaiiiii, sesaknya dada.. ibarat sudah jatuh ditimpa tangga, tergolek2 lg.. kuatkah daneen? Thx RM for the update 🌹💐

    ReplyDelete
  10. First chapter pun dah luruh air mata TT Can't wait for your new novel kak wrehan xoxo

    ReplyDelete