Friday, December 27, 2019

Luruh 7


KERANA dia tahu rutin biasa Mufid, dia yakin… lelaki tak guna itu akan kembali pada waktu ini.  Biasanya malam minggu memang dia yakin sangat, Mufid akan kembali ke condominium yang terletak di Sentul ini.  Peluang ini dia tak akan lepaskan.  Kerana itu dia berjaya loloskan diri dengan alasan untuk membuat penghantaran barang dan dia hanya berjanji dengan pembelinya untuk berjumpa di depan lif saja.  Kerana itu, pengawal keselamatan membenarkannya masuk untuk lima belas minit. 
Dada Daneen kian berdetak laju.  Masa kian suntuk dan bayang Mufid jauh sekali untuk dia nampak.  Hampir lima belas minit berlalu, dia nampak kereta mewah itu menjalar masuk.  Dia angkat tangan pada pengawal keselamatan dan menunjukkan pada kereta Lamborghini Urus yang baru saja melepasinya dan menghilang ke tempat letak kereta bawah tanah. 
Sebaik saja pengawal keselamatan itu sibuk dengan urusan keluar masuk kenderaan lain, Daneen terus berlari menuju ke pintu menuju ke basement.  Mujurlah hanya ada satu tingkat ruang letak kereta bawah tanah. 
Kunci stereng yang dia ambil di depan rumah keluarganya beberapa hari sudah digenggam kemas.  Menanti di balik tiang dan bila dia dengar derap tapak kasut, dia yakin lelaki itu adalah Mufid dan bila dia intai, ternyata memang Mufid.
Peluh hangat mula merenik pada seluruh tubuh Daneen.  Dia tak pernah buat kerja macam ni.  Tapi, telah dia katakan.  Dia tak akan kehilangan apa-apa kerana dia sememangnya tiada apa.  Jika kebebasan dirinya hilang angkara perbuatan khianat ini, dia juga tak kisah.  Tiada siapa yang peduli.  Tiada siapa yang akan ambil kisah. 
Setidak-tidaknya, hatinya sedikit lega biarpun seperti tak terbalas segala perbuatan Mufid pada Dariya.  Malah, pada seluruh keluarganya. 
Dia pejamkan mata mendengar siulan Mufid.  Dia tak tahulah Mufid tahu atau tak akan kepergian Dariya.  Dia mahu percaya yang Maliki telah memberitahu Mufid tapi sukar untuk dia letak biarpun hanya seinci kepercayaan pada diri Maliki. 
Sebaik saja tapak kasut itu menghampiri, Daneen muncul tepat di depan Mufid.  Mata Mufid terkebil-kebil.  Dia berundur setapak.  Terkejut.  Matanya tajam merenung wajah di depan matanya. 
“Daneen?”  soalnya antara percaya dan tidak.  Lain sungguh Daneen yang ini dengan yang pernah dia kenal. 
“Daneen, kan?”  soalnya sekali lagi bila soalan yang pertama tidak bersambut.
“Apa khabar, Mufid?”  soal Daneen perlahan. 
“Err… baik.  Tapi, Daneen buat apa dekat sini?”  Dia masih ingat kali terakhir Daneen hadir di depannya adalah semasa di pejabat keluarganya. 
Dia membiarkan Daneen mengikutnya dengan janji untuk dia temui Dariya tapi dia tiada niat begitu lantas, keinginannya pada Daneen membuak-buak.  Jika bukan kerana Maliki membuka pintu biliknya waktu itu, pastilah dia berjaya merasai tubuh Daneen setelah Dariya.
Dia yakin, Daneen pasti lebih menarik daripada Dariya.  Saat ini, dia jongketkan senyum tajam.  Merapati Daneen.  Berani.  Tanpa ada rasa syak sedikitpun biarpun dia yakin, Daneen hadir adalah kerana rasa marah padanya.  Namun, apalah yang gadis ini mampu lakukan?  Dia kerling ke atas, kiri dan kanan.  Ruang ini diperhatikan oleh CCTV. 
“Kau tahu Dariya dah tak ada, kan?” 
Mufid diam.  Ya, dia dah tahu daripada abangnya.  Pada mulanya dia terkejut tapi hatinya berbisik lega.  Setidak-tidaknya, kepergian Dariya membawa bersama segala bala. 
“Dia dan anak dia…”  tambah Daneen.  Mencari simpati dan kekesalan  yang mungkin tergaris pada wajah Mufid tapi sayang, lelaki ini benar-benar berhati iblis. 
“Eloklah dia pergi.  Tak guna terus seksa, kan?”  tanya Mufid.  Jelas tak rasa bersalah langsung. 
Daneen tarik nafas dalam.  “Apa salah Daneen pada kau sebenarnya, Mufid?  Adakah sebab ayah kau tuduh ayah aku buat duit haram, kau tinggalkan dia?” 
“Salah satu sebabnya…”  Mufid menceberkan bibir. 
“Padahal masa tu, ayah aku belum disabitkan salah, kan?”  Daneen masih cuba berkompromi.
“Apa bezanya?  Dah memang terbukti dia bersalah.  Ayah kau dah dijatuhkan hukum sekarang, kan?”  Kening Mufid terjongket sebelah.
Daneen angguk.  Faham.  Namun, dia masih ada satu lagi soalan terakhir.  Dan harapnya jawapan yang Mufid beri mampu meredakan marah yang sedang membakar.  Sangat marak. 
“Ada tak sekali kau kesal lepas Dariya pergi dengan anak dalam perut dia?” 

“Tak…”  jawab Mufid seraya menggeleng. 
“Aku rasa lepas beban dalam dada aku, Daneen.  Dariya adalah beban.  Dan untuk kau tahu, salah satu sebab lagi aku tinggalkan dia sebab aku bosan dengan dia.  Aku harap, kau dah puas dengan jawapan aku…” 
“Kau jujur dengan jawapan kau?”  Nafas Daneen mula terasa sesak.  Ini bukan jawapan yang dia mahukan biarpun dia sepertinya telah tahu inilah jawapan yang akan dia akan dapat. 
Tak guna! 
Kenapa penafian ini masih tebal dalam dirinya?  Kenapa masih sukar dia nak terima segala jawapan yang menyakitkan sedangkan ini adalah sesuatu yang dia tahu?  Adakah kerana harapan itu masih wujud? 
Perlahan… Daneen geleng kepala.  Kecewa dengan diri sendiri. 
“Aku jujur, Daneen…”  Mufid melangkah dan berhenti di sisi Daneen.  Menoleh pada Daneen.  Merapatkan wajahnya pada sisi wajah Daneen.
“Sebab tu bila aku cakap kau masih cantik dan suci, itu jugak satu kata-kata yang jujur…”  Mufid berhenti seketika.  Sengaja dia hembus nafas hangatnya rapat ke telinga Daneen. 
“Aku selalu alu-alukan kau untuk datang jumpa aku…” 
Daneen dapat dengar suara tawa halus Mufid lantas lelaki itu berpaling dan berlalu daripadanya. 
Seketika, Daneen yang memandang jasad itu yang kian menjauh.  Jangan lepaskan peluang ni.  Ini aje peluang kau ada.  Ini aje dan jika tidak sekarang, boleh jadi tidak akan selama-lamanya.
Bisikan demi bisikan, membuatkan Daneen juga melangkah. 
“Mufid!”  serunya kasar. 
Sebaik saja Mufid menoleh, dia hayunkan kunci stereng itu tepat pada Mufid tapi lelaki itu sempat menahan dengan lengannya namun, Mufid tetap jatuh terduduk.  Hujung kunci streng itu masih sempat singgah pada dahinya, membuatkan wajah itu mula dihiasi darah.  Dan, dia juga tahu… tangan Mufid patah. 
Daneen mendekat.  Dia perhatikan kaki Mufid.  Langsung tak kisah dengan jeritan Mufid dan erangannya menahan kesakitan.  Kesakitan Mufid tidak seberapa jika nak dibandingkan dengan apa yang dia rasa. 
Kesakitan fizikal Mufid akan sembuh dan segalanya akan berakhir bila lelaki ini mati.  Tapi, kesakitan hatinya… tak akan sembuh hingga dia hembuskan nafas terakhir. 
“Aku akan buat perempuan lain pun bosan dengan kau, Mufid.  Dengan kecacatan kau!”  Saat ini, Daneen menghayun tinggi kunci stereng itu dan sasarannya adalah kaki Mufid tapi tindakannya terhenti kali ini bila dia diserbu dan dipegang oleh dua orang pengawal. 
Suara pengawal yang menyumpah seranahnya langsung tidak memberi kesan.  Dia meronta kuat mahu mendapatkan Mufid tapi sayang, kudratnya masih tak seberapa.  Kesan dia tak sedarkan diri beberapa hari lalu, sepertinya masih ada dalam diri.  Segala kekuatannya masih tak dapat pulih sepenuhnya lagi. 
Kunci stereng itu lepas daripada tangan.  Seorang pengawal keselamatan menamparnya kuat hingga dia jatuh tersembam di atas lantai simen.  Bibirnya berdarah tapi dia langsung tidak berganjak.  Tiada juga rasa gentar, jauh sekali takut.  Hanya senyuman tajam yang dia sunggingkan pada Mufid yang sedang dibantu. 
“Kau gila, Daneen!  Kau gila!”  jerit Mufid.
“Tak.  Aku belum gila.  Kau tak akan dapat tanggung kesannya kalau aku betul-betul dah gila.  Bersyukurlah sebab sekarang, aku masih waras…”  ujar Daneen sebelum dia dipaksa bangkit dan kedua tangannya dipaut ke belakang lantas diikat dengan cable-tie sekemas-kemasnya hingga dapat dia rasa, ikatan itu sedang mencarik kulit dan mencucuk dagingnya. 



KEDUA belah tangan menongkat dagu.  Matanya tajam memerhati skrin di depan tapi ada masa, tumpuan dia tidak di situ.  Kerisauan tentang Daneen mencelah dan dia tak sedar bila keluhan tipis itu lepas jauh daripada dalam dadanya hingga membuatkan seluruh isi mesyuarat menyepi dengan tindakannya. 
“Bos okey?”  soal yang sedang membuat penerangan yang Maliki minta.   
“Hah?  Apa yang tak okey?”  soal Maliki nampak terpinga-pinga. 
“Err… bos ada apa nak tanya tak?” 
“Tentang apa?”  Maliki masih tidak dapat pusatkan pemikiran kerjanya saat  ini. 
“Err…”  Semua yang ada saling memandang.  Tidak berani lagi menyoal.  Seketika suasana sepi. 
Maliki raup wajah dan memandang pada skrin.
“Cakap lagi sekali untuk dua slide terakhir,” pintanya. 
“Err… yalah, bos…”  Lelaki itu akur. 
Maliki membelek fail di depan mata.  Anggaran kos awalan untuk projek ini adalah kurang masuk akal sebenarnya.  Syarikat kecilnya masih tak mampu untuk mengeluarkan modal sebegini besar biarpun dia mencairkan segala asset yang ada.  Aneh… kenapa daddy berkeras untuk dia teruskan?  Tambah pulak, projek ini dirancang oleh Uncle Dhani mengikut rekod yang ada padanya. 
Maliki menarik telefonnya yang bergetar daripada poket dalam kot.  Dia memicing anak mata bila nama Alif naik pada skrin.  Nombor Alif terus didail dan sekali lagi, mesyuarat terbantut.  Nampak canggung bila Maliki sedang berbicara di telefon buat julung kalinya dalam mesyuarat. 
“Apa kau cakap?”  Maliki terus bangkit dan meninggalkan bilik mesyuarat bila Alif sudah menantinya di bawah. 
“Macam mana dia boleh ada dekat situ?”  soal Maliki sebaik saja dia masuk ke dalam perut kereta.
Berhari-hari dia cuba jejakinya Daneen dan hari ini, bila berita tentang gadis itu diterima, dia terkejut besar.  Daneen ditahan reman di Balai Polis Sentul bagi membantu siasatan kes menceroboh dan cubaan bunuh.
Tuduhan itu terlalu berat untuk Daneen.  Mana mungkin bahu itu bisa menggalasnya setelah apa  yang terjadi. 
“Macam mana dengan Mufid?” 
“Dia ada dekat hospital.  Datin dan Datuk dah ke sana.”
“Teruk?” 
“Dengar kata, tulang lengan dia retak dan ada sikit luka pada dahi.  Saya percaya, Cik Daneen tak mampu hayunkan besi tu dengan kuat dalam keadaan dia sekarang…”  ujar Alif. 
“Ya, cepat sikit, Lif…” 
“Saya bawak bos ke hospital sekarang jugak…”
“Tak,” bantah Maliki.  Dia ramas bahu Alif sebelum bersandar lemah.  Merungkai tali lehernya dan membuka kancing pada lengan lantas menyisingnya hingga ke pangkal siku.
“Pergi balai dulu.  Mufid dah ramai orang teman.  Daneen pasti ketakutan.  Dia sendirian…”  Mata Maliki tertutup.
Selebihnya, dia benar-benar teringin untuk menatap wajah itu lagi.  Biarpun Daneen membalas pandangannya dengan penuh kebencian, dia juga tak kisah.  Janji, pandangan matanya puas. 
Sedikit demi sedikit, dia dapat rasa Daneen sedang ‘merosakkan’ hatinya. 

23 comments:

  1. Thanks cikRM for the long awaited update😘

    ReplyDelete
  2. tq RM... X pernah mengecewakan... semakin membuak2 rasa nk tahu apa akan jadi seterusnya

    ReplyDelete
  3. Mengaku jugak Maliki...tapi adakah Datuk n Datin akan setuju dgn kata hati Maliki?

    ReplyDelete
  4. Xsabar nk tunggu reaksi daneen bila nmpk maliki di balai nti..🤔 Thx RM for the update🌹💐

    ReplyDelete
  5. Kenapa.. Tak dihempuk keoala mufid tu.. Biaq dia gila sampai mati.. Dosanya belum habis lagi.. Rasanya mufid yg buat semua kerja jahat tu.. Bukan ayah daneen..

    ReplyDelete
  6. merosakkan hati daneen... aduhhh

    ReplyDelete
  7. Setahun dah tunggu utk next chapter...dari thn 2019 lagi, ni dah masuk thn 2020...🤭

    ReplyDelete
  8. Wah mcm selalu...t'tanya2 akan next chapter...

    ReplyDelete
  9. luruh 8... lama betul nk keluar... bila ya sis rehan??

    ReplyDelete
  10. lamanya tak update harap2 nanti boleh terus dapat dalam bentuk cetak lah ya hehehe..

    ReplyDelete
  11. Setuju dan berharap mcm Limaumanis. RM buat mcm tu pd Checkmate. Dok tunggu Autopay sekali keluar novel. Suka3...

    ReplyDelete
  12. Lama tunggu entry baru ;')

    ReplyDelete
  13. Yuk Merapat Best Betting Online Hanya Di AREATOTO
    Dalam 1 Userid Dapat Bermain Semua Permainan
    Yang Ada :
    TARUHAN BOLA - LIVE CASINO - SABUNG AYAM - TOGEL ONLINE ( Tanpa Batas Invest )
    Sekedar Nonton Bola ,
    Jika Tidak Pasang Taruhan , Mana Seru , Pasangkan Taruhan Anda Di areatoto
    Minimal Deposit Rp 20.000 Dan Withdraw Rp.50.000
    Proses Deposit Dan Withdraw ( EXPRES ) Super Cepat
    Anda Akan Di Layani Dengan Customer Service Yang Ramah
    Website Online 24Jam/Setiap Hariny

    ReplyDelete