Friday, July 21, 2023

Anak Perempuan Dato' Pengarah 2

BUKAN tidak percaya pada pemandu mama.  Malah, Pak Usop kerja dengan mama sejak dia masih bayi.  Cuma itulah.  Dadanya tak lapang.  Sebab tu dia merayu untuk mama dan Kak Mek ikut sama menghantar dia ke lapangan terbang. Tak cukup dengan itu, dia merayu mama tunggu sehingga dia masuk ke balai pelepasan.

Jujurnya, dia masih takut.  Matanya melilau ke sana-sini melihat lautan manusia.  Tambah pula masa yang dipilih bertembung dengan penerbangan Jemaah umrah.  Segalanya sangat menyesakkan.  Tiani tarik nafas dalam.  Dipejam mata rapat, menyebut nama Tuhan berkali-kali tanpa henti hinggakan dadanya lupa terasa lapang. 

Sini tempat umum, Tia.  Tak akan ada yang berani buat bukan-bukan.  Yakin!  Berkali-kali dia meratib ayat yang sama.  Dalam penerbangan juga, dia beli tempat duduk kelas bisnes sehingga dua tempat duduk untuk diri sendiri.  Bila tiba waktu turun, dia mengekori barisan orang ramai. 

Nafas lega dihela.  Abang Fiq janji untuk jemput dia.  Tak menanti, dia terus menuju ke pintu ketibaan.  Saat ini, telefonnya menjerit.  Dia senyum bila nama abangnya muncul di skrin. 

“Tia dah sampai ke?” 

“Dah.  Baru lepas ambik beg.  Nak keluar ni.  Abang Fiq dah sampai ke?” 

“Abang masih dekat Lumut ni.  Malam baru boleh balik.  Ada miting kejap lagi.”

Langkah Tiani mati. Mujurlah dia tak dilanggar oleh orang belakang.  Ini pun sudah mengundang suara tak selesa orang yang hampir melanggarnya.  Dia pula hanya mampu menoleh dan tunduk sedikit sebagai tanda mintak maaf. 

“Abang minta maaf.  Abang baru aje dapat tahu ni.  Siap aje miting, abang terus gerak.  Tia ambik airport limo atau e-hailing, ya?  Terus ke rumah.  Kunci rumah bawak tak?”  soal Taufiq dengan suara resah. 

Dalam hati berdoa moga Tiani tak marah.  Sudahlah isterinya sedang merajuk.  Janji nak balik lepas habis kerja.  Tapi, terpaksa tunda.  Tiba-tiba dipanggil mesyuarat penting.  Biasanya Nees akan faham.  Kali ini, lain pulak rajuknya.  Boleh jadi sebab Tiani datang.  Kerana itu isterinya itu teruja.  Dah lama tak jumpa. 

Ini buatnya Tiani merajuk juga, dah kena pujuk dua orang perempuan yang dia sayang. 

“Nees okey tak tu?”  soal Tiani kerana dia terima whatsapp Johanees yang tak sabar nak berjumpanya sebelum dia masuk ke penerbangan tadi. 

“Nees merajuk,” jawab Taufiq dengan suara sayu.

“Aik… biasa dia tak merajuk.  Kenapa tiba-tiba merajuk?”

“Itu abang pelik.  Dia tak sabar nak jumpa Tia katanya.  Abang pulak tiba-tiba kena miting.”

Tiani ketawa kecil.  Lain macam Nees merajuk dengan Abang Fiq.  Macam ada tak kena aje.  Dia rasa, memang Abang Fiq ada buat salah ni.  Tak syak lagi. 

“Tia janganlah marah abang jugak.  Kesianlah dekat abang.” 

“Taklah.  Tia tak marah.  Tia tunggu abang ajelah.”

“Berapa jam nak tunggu?”  Nada Taufiq jelas terkejut. 

Tiani tak beri jawapan. 

“Kan elok terus balik.  Lama nak tunggu abang.  Berjam-jam tu…” tambah Taufiq, resah. 

Kenapa Tiani tak nak terus balik ambik e-hailing atau teksi aje?  Dia kerut dahi dan saat ini juga, dia teringat perbualan dengan mama.  Bukan kerana suara sumbang yang bercerita tentang kisah lampau Tiani, tapi tentang itu. 

Adakah benar seperti telahan mama, Tiani belum pulih? 

“Abang tak boleh nak rushing.  Abang telefon Ziyad minta tolong.  Atau Qadr.  Dia pun ada di KL.  Tia tunggu, ya.” 

“Hurm… terima kasih,” balas Tiani, lembut.  Barulah dia dapat hela nafas lega. 

Taufiq koyak senyum tawar.  Tiani masih ceria di depan mereka.  Yang menjadi persoalan, adalah Tiani juga cerita bila bersendirian? 

Sebaik sahaja talian mati, Tiani berjalan menuju ke Gloria Jean Coffee.  Mencari tempat orang ramai.  Namun, belum sempat dia masuk ke kafe, telinganya menangkap bunyi hentakan yang sangat kuat.  Disusuli dengan suara jeritan yang sangat keras dan garang.  Jantungnya mula bekerja lebih.  Peluh kecil merenik pada dahi.  Telapak tangannya basah dan mula berubah dingin.  Kakinya menggeletar dan dia sepertinya tak mampu bergerak biarpun seinci.

Perlahan-lahan, Tiani menoleh dan dia melihat polis bantuan KLIA sedang mengepung seorang lelaki yang sedang mengamuk entah apa penyebabnya.  Jeritan dan raut wajah lelaki itu benar-benar membuatkan dia mahu menangis.  Dia mahu berlari sekuat hati tapi kekuatan kaki tidak mengizinkan.  Dia hanya mampu menapak ke belakang hinggakan terlanggar sesuatu.  Tiada tempat lagi untuk dia terus bergerak. 

Mata yang basah itu merenung ke arah kejadian dan bila lelaki itu seperti mahu melempar sesuatu yang dia rasa menuju ke arahnya, Tiani menoleh dan memaut sesuatu.  Didakap kejap jasad itu dengan tubuh yang menggigil dan airmata yang mengalir laju. 

Dia tahu dia tak dapat lari.  Dia sudah terkepung.  Sungguh.  Tiani sudah tidak kisah apakah yang dipeluk.  Atau sesiapa sahaja.  Dia hanya mahu diselamatkan atau dilindungi. 

“Eh, kenapa ni?”  Suara parau itu menegur.

Tahulah Tiani, yang dipeluk adalah seorang lelaki.  Malah, dia juga dapat rasa tangan kasar itu sedang menolak kedua belah bahunya.  Namun, dia terus memegang kejap pakaian lelaki itu dan menyembunyikan wajahnya di dada bidang itu. 

“Maaf.  Tapi, tolong…”  Suaranya serak.

“Selamatkan saya,” pinta Tiani dengan suara yang bergetar. 

“Hah?”  Lelaki itu jelas terpinga-pinga.  Nak selamatkan daripada apa?  Tiada yang mengejar pun. 

Mendengarkan suara parau itu mahu membantah dan juga tangan kekar yang masih mahu menolaknya, Tiani mendongak.  Melangut pandang pada lelaki itu.  Meminta simpati.  Pandangannya kabur.  Suara teriakan lelaki yang tiba-tiba mengamuk tadi masih lagi bergema kuat biarpun sudah ditangkap. 

Saat pandangannya jatuh pada mata bundar yang jelas berair itu, lelaki itu membatalkan niat untuk terus menolak.  Dia hanya diam seribu bahasa. Kaku.  Kedua belah tangannya jatuh di sisi.  Langsung tidak memegang wanita ini melainkan, dia sekadar membiarkan wanita ini mencengkam kemejanya. 

Wanita asing ini jelas takut.   Tubuh halus ini menggigil.  Boleh jadi wanita ini terlalu takut dengan kejadian amuk sebentar tadi.  Dia sendiri pun terkejut tiba-tiba aje ada yang mengamuk.  Mujurlah polis bantuan KLIA bertindak pantas sebelum ada yang tercedera. 

Tapi, jarak mereka jauh juga.  Apa yang menyebabkan wanita ini takut sedemikian rupa?  Dia nak tanya, tapi biarlah soalan ini dibenam sahaja.  Setiap orang ada masalah masih-masing.  Yang dia rasa, tak perlulah nak ambik tahu.  Jika ini dapat membantu untuk seketika, tak mengapalah.  Cuma untuk terus terlibat, ini bukan caranya.  Bukan caranya untuk ambik tahu jauh sekali terlibat dengan masalah orang. 

Entah berapa lama mereka dalam keadaan begitu.  Dia tidak kisah walaupun ada mata yang melihat.  Entah-entah ada yang rakam.  Drama tanpa skrip.  Tengok-tengok esok tular dekat media sosial.  Nayalah. 

Namun, siapa sangka, dia juga lalui kisah dongeng seperti novel cinta atau drama Korea.  Seorang wanita jatuh ke dalam pelukan.  Bibir lelaki itu terjongket dengan senyuman senget.  Tak lama, dia dapat rasa tubuh ini sudah tidak menggigil dan helaan nafasnya juga kembali teratur. 

Jasad mereka menjauh.  Wanita di depan mata terus tunduk.  Menyapu wajah dengan kedua belah tangan.  Dia dapat dengar suara halus itu beristighfar berkali-kali. 

Dia koyak senyum tipis.  Dia tahu perempuan ini, bukan perempuan bukan-bukan atau nak buat drama.  Perempuan ini memang takut dengan kejadian tadi.  Dia pandang ke lantai.  Beg tangan wanita ini terdampar di situ.  Perlahan-lahan, dia tunduk dan mencapainya. 

“Okey dah ke?”  soalnya seraya menghulur beg tangan tersebut. 

Wanita ini angguk.  Masih tunduk.  Melainkan mengerling ke arah dadanya sahaja dengan lirikan rasa bersalah.  Lelaki itu kerut dahi.  Memandang dada sendiri.  Dan ya, kemeja biru lautnya berkedut teruk.  Ada kesan air mata dan eh, lendir apa ni?  Dia rasa nak ketawa.  Hadui… hingus pun lekat pada kemeja dia.  Ini mengalahkan drama Korea ni? 

“Maaf,” ucap Tiani, perlahan. Menahan rasa malu.  Langsung tak angkat wajah.

Dia usap pipinya.  Terasa pijar. Malu berkeping-keping terbentuk pada wajah.  Tapi, dia lega.  Dia harap tadi dia peluk tiang atau paling tidak seorang perempuan.  Apa nak kata, bila yang dia langgar adalah seorang lelaki. 

Saat ini, telefonnya menjerit.  Tiani tarik telefon dari dalam poket.  Nama Teratai Nur jelas pada skrin.

“Aku kat belakang kau…” 

Tiani toleh.  Teratai Nur sedang melambai dan berlari padanya.  Dia senyum lebar.  Lega.  Rasa selamat.  Bibir diketap sekuat hati.  Sebaik sahaja nafas dilepaskan, senyumannya koyak.  Lebar.  Manis. 

Pelukan bertaut.  Dia langsung lupa tentang lelaki yang ‘menyelamatkannya’ sebentar tadi. 

“Kau okey tak ni?”  soal Teratai Nur.  Merenung lelaki yang tidak jauh daripada mereka.  Dengan pandangan penuh tanda tanya.

“Kau dah datang.  Aku okey,” balas Tiani. 

“Jom.  Ziyad parking tepi aje.  Tak boleh lama.”  Teratai Nur terus menarik tangan Tiani. 

Seperti juga tadi, Tiani langsung tak menoleh.  Hanya selepas mereka mahu lepasi pintu di Gate 3, barulah dia teringat.  Dia menoleh ke belakang.  Susuk tubuh lelaki itu masih di situ tapi wajahnya sudah tidak jelas di pandangan mata. 

Terima kasih.  Bibirnya bergerak biarpun dia tahu, lelaki itu tak akan mendengarnya. 

Lelaki itu hanya tersenyum.  Wajah lembut dan ketakutan itu jelas dengan pandangan mata yang sempurna.  Riak wajah wanita itu berubah pantas.  Daripada ketakutan, menjadi wanita yang nampak gagah. 

Dia mencebek sendiri.  Sama-sama.  Itu yang dibisikkan hati bila dia dapat lihat dengan jelas gerak bibir wanita itu yang kini telah hilang daripada pandangan. Mata kuyunya jatuh pada kemeja yang jelas kotor.

Masalah…


12 comments:

  1. arhhh tk sabar nk tunggu next eps

    ReplyDelete
  2. Opsssssss siapa ituuuu....
    Ternyata Tiani masih trauma ..

    ReplyDelete
  3. Next please 🤗🤗

    ReplyDelete
  4. Adui... Nielh perasaan yg paling xbest... Ternanti² next chapter 😭 ssgghnya akk bkn penyabar 🥲

    ReplyDelete
  5. Bersambung² nampak nya ye kisah depa ni..iolss x sabar🤗🤗

    ReplyDelete
  6. Yeay, dah update. Tiani masih trauma dengan kejadian culik dulu. Adakah Johanees mengandung? Eyyy seronok sebab ada trio sama boleh lah sambil lepaskan rindu, boleh macam tu? Terima kasih Rehan Makhtar.

    ReplyDelete
  7. Harus lah Luqman tu.. kan kan kann..? 🤭🤭

    ReplyDelete
  8. Waaaaa.....terujaa..teruja..xsabar nk tggu buku

    ReplyDelete
  9. Dah hilang igtan..novel mana tiani ni ya..huhu..nk kena study balik la ni

    ReplyDelete