Wednesday, July 26, 2023

Anak Perempuan Dato' Pengarah 5

JANJI jam 9.30 pagi.  Ini dah hampir 10.00 pagi.  Apa yang dia dengar tentang staff seorang ni, langsung tak sama.  Katanya, menepati waktu tapi ini apa?  Sejak jam 9.00 pagi dia dah terpacak di lobi.  Tak mahu terlambat.  Prinsip bekerjanya mudah.  Dalam apa sahaja keadaan, biarlah dia yang menunggu.  Namun, tidaklah sehingga membuang waktu dah setengah jam malah masa terus berlalu.  Sayang, batang hidung yang dinanti belum juga nampak.

Duduknya mula gelisah.  Apatah bila banyak mata mula memandang.  Seperti dia adalah seekor rusa yang sedang sesat masuk ke bandar.  Tiani angkat tubuh.  Berjalan ke meja reception. 

“Maaf, cik.  Saya dah setengah jam tunggu ni.  Kalau bos ada urusan lain, saya balik dulu.  Nanti minta tolong aturkan appointment lain,” ujarnya, sopan.

“Oh, cik nak jumpa Encik Luqman tadi, kan?”  soal wanita muda ini, tanpa riak bersalah langsung.

Tiani koyak senyuman janggal.  Setengah jam lepas dia dah beritahu nak jumpa Maliki.  Atau dia yang salah sebut nama? 

“Encik Luqman ikut bos ke Singapore.  Katanya, dah balik dua hari lepas.  Tapi, itulah, saya tak dapat nak hubungi dia lagi pagi ni.”

“Saya cuba telefon dia sekali lagi…”  Receptionist itu mengangkat gagang telefon sebelum tindakannya mati.  Matanya tertumpu pada pintu kaca yang sedang ternganga lebar.    

“Haa… itu.  Encik Luqman…” 

Tiani dapat dengar helaan nafas lega daripada celah bibir receptionist itu.  Dia toleh dan melihat seorang lelaki sedang berlari anak mendekati mereka.  Kemejanya tak dikancing rapi.  Tali lehernya ada di tangan.  Rambutnya juga tidak kemas.  Malah, bahagian hadapan jatuh di dahi.  Nampak macam budak sekolah. 

“Mas…”  Nafas lelaki itu mengah.

“Ada staff Dato’ Talhah datang?  Patut appointment dengan saya jam 9.30 pagi?” 

Tiani mendiamkan diri.  Hanya memerhati lelaki ini membetulkan nafasnya.  Sepertinya baru lepas berlari pecut 100 meter.

“Er… ini…”  Gadis bernama Mas itu memandang Tiani. 

Luqman menoleh.  Melihat sekujur tubuh yang tegak di depan mata.  Berdiri tak jauh daripada mereka.  Cantik dan sopan.  Riak wajah itu tidak nampak marah langsung.  Sebaliknya, hanya tersenyum manis. 

“Maaf saya lambat.  Cik Ti…”  Luqman kerut kening sedikit.  Lupa dah nama. 

“Tiani,” balas Tiani, pantas.  Pelik betul bila lelaki ini hanya menyebut Cik Ti.  Ngeri. 

“Oh, ya.  Cik Tiani...” Luqman terangguk-angguk sendiri.  Baru teringat nama yang Maliki sebut. 

Dia berdeham sekali.  Berdiri tegak.  Menyelak rambut yang berjuntaian di dahi. 

“Saya minta maaf sebab terlambat, Cik Tiani.  Ada urusan penting pagi tadi yang tak boleh elak.”  Jujurnya, dia tidur lepas Subuh kerana terlalu penat.  Bila mama kejut, dia masih tak bangun hinggalah dia teringat akan temujanji hari ini.

Rasanya, dia tak sempat lap kepala pun.  Biasanya, rambutnya tak pernah jatuh ke dahi.  Hari ini, terpaksa dibiarkan sahaja kerana nak cepat.  Dia harap, tanggapan pertama wanita ini padanya tidaklah teruk lantas merosakkan imej syarikat. 

“Saya harap, ini tak jejaskan perancangan usahasama kita,” ujar Luqman, dengan suara dan sikap yang jelas sangat professional.

Tiani hampir jongket sebelah kening.  Cameleon.  Cepat benar berubah. 

“Tak apa.  Saya faham.  Dan, memandangkan sekarang dah lebih jam 10.00 pagi, rasanya elok kita mulakan.  Lagipun, saya kena balik hari ni juga…”  Sekali lagi, dia pandang tepat ke mata Luqman. 

Tanggapan pertama dia pada lelaki ini adalah… betul ke peguam?  Nampak lebih kepada loyer-buruk melihat pada pemakaian.  Namun, ada sesuatu yang menarik melihat penampilan ini sebenarnya.  Yang membuatkan hatinya senyum sendiri.  Penyebabnya?  Entahlah.  Dia sendiri tak tahu.  Yang dia tahu, dia rasa nak senyum aje. 

“Oh, boleh-boleh.  Silakan…”  Luqman mempelawa sopan.  Membiarkan Tiani masuk terlebih dahulu ke dalam biliknya. 

Luqman sempat memasang kancing baju hingga ke leher dan mengemaskan tali leher.  Menguak rambut ke belakang sebelum dia duduk di depan wanita ini.  Dia hanya melihat Tiani mengeluarkan dokumen yang dia kira, adalah proposal dan perjanjian antara dua syarikat. 

Wajah di depannya nampak serius.  Mata redupnya jarang berkelip.  Wajah Luqman tiba-tiba berkerut.  Dia sepertinya pernah nampak wajah ini.  Cuma tak pasti di mana. 

“Sebelum tu, boleh saya tahu Cik Tiani ni… GM ke?” 

Tiani angkat kepala dan menggeleng. 

Luqman kerut kening seketika sebelum dia berdeham kecil melihat senyuman senget yang terjongket pada hujung bibir merah Tiani. 

“Saya bukan GM,” nafi Tiani. 

“Saya staff biasa aje.  Lebih kepada pembantu Dato’ Talhah,” ujarnya.  Menyatakan kebenaran. 

Dalam syarikat milik keluarganya, dia bukan Pengurus Besar.  Jawatan itu milik orang lain.  Dia masih staff biasa yang masih belajar ke arah yang lebih baik.    

“Atau encik rasa nak tangguh dulu miting kita ni?  Nak tunggu Dato’ ada masa lapang nanti… saya boleh usulkan pada Dato’.”  Wajah Tiani serius. 

Tiada niat untuk memerli, kerana ini adalah kali pertama dia turun untuk proses menandatangi perjanjian usahasama tanpa mama atau Uncle Fad, pengurus besar. 

Melihat wajah Tiani, Luqman tahu Tiani tidak memerli.  Soalan yang diaju begitu serius.  Dia senyum dan menggeleng perlahan. 

“Saya percaya pada cik.  Kita teruskan seperti yang dijanjikan.  Saya sendiri pun wakilkan bos saya.  Sama seperti cik.”  Dia lebarkan senyum. 

“Sebelum kita mula, saya nak perkenalkan diri saya…”

“Saya tahu.  Encik Luqman adalah peguam Tuan Maliki.  Dato’ Talhah ada beritahu saya.  Sebelum tu, saya mohon maaf bagi pihak Dato’ Talhah sebab dia tak boleh hadir hari ini.  Ada majlis di istana.  Tapi, sebab Dato’ dah wakilkan dan amanahkan pada saya, saya akan buat yang terbaik.  Encik Luqman jangan risau…” 

Luqman kemam bibir menahan senyum mendengar ayat akhir Tiani.  Daripada ayat wanita ini, jelas nampak Tiani tak selesa dengannya.  Tapi, apa nak kata.  Memang silapnya kerana menunjukkan riak wajah begitu tadi.    

Tiani pula, sehabis daya mengoyak senyum.  Cuba untuk bertenang.  Nampak sangatlah lelaki ini macam tak percaya pada dia?  Hai… pesimis betul pandangan lelaki ini pada seorang wanita.  Jujurnya, dia gugup.  Ini adalah kali pertama dia berhadapan dengan orang asing sejak kejadian itu.  Secara berseorangan. 

 “Saya harap Cik Tiani tak salah sangka bila saya tanya soalan tu tadi.  Saya tanya sebab saya nak tahu.  Itu aje,” ujar Luqman.  Tak mahu perkara tadi menjadikan kerjasama mereka ke depan hari menjadi sukar. 

Dia tahu, dia akan terus berjumpa dengan Tiani.  Sampai bila?  Hanya Tuhan yang tahu.    

“Eh, tak…tak…”  Tiani menggawangkan tangan.  Terkejut dengan pernyataan Luqman. 

“Saya tak fikir apa-apa,” tambahnya, cuba meyakinkan. 

Namun, lelaki bernama Luqman ini hanya kemam bibir, menyembunyikan senyum.  Tidak lagi menafi biarpun jelas penafian Tiani tidak berasas. 

Tiani pula terkulat-kulat seketika.  Mudah benar lelaki ini membaca apa yang bermain dalam kepalanya.  Atau atas kepalanya sedang keluar awan di mana, di dalamnya tertulis segala apa yang difikirkan?  Menyebabkan dia secara tak sengaja, mengibas tangan di atas kepalanya.

Luqman kerut dahi.  Apa tak kena perempuan ni?  Aduhai… sejak beberapa hari ni, dia asyik berjumpa dengan perempuan pelik aje. 

Salah seorangnya di KLIA dua hari lepas. 

Tapi… Luqman tongkat dagu.  Menutup mulut dengan mata yang tajam memerhati serta benak yang ligat menggali memori.    

Tak kanlah…


7 comments:

  1. Xsabar nya nk tggu publish 🤩🤩🤩

    ReplyDelete
  2. next please author lurvee betol ❤️

    ReplyDelete
  3. Cey cey Luqman tak kan tak ingat Tiani 🤣 terima kasih RM

    ReplyDelete
  4. Tq Ann, Si Luqman ni yang jadi tiang penyelamat Tiani kannnn

    ReplyDelete
  5. love laaa luqman tiani hehe semoga hero kalini dia angkut segala bende hijau

    ReplyDelete