Monday, July 24, 2023

Anak Perempuan Dato' Pengarah 3

SEMASA mereka tiba di Kuala Lumpur, jam sudah menunjukkan jam 12.00 tengah malam.  Johanees yang tertidur dalam perjalanan tadi, membuka mata bila Taufiq hentikan kereta di depan rumah Ziyad. 

“Dah sampai rumah ke?”  soal Johanees, memisat mata sambil menoleh ke sisi, melihat anak yang lena pulas di dalam tempat duduk khas bayi.  Dia senyum.  Anak bertuah ibu.  Langsung tak jaga sepanjang perjalanan.  Hanya sekali aje tadi sebab nak menyusu. 

“Hurm… Tuan Puteri baru bangun, ya?  Kesian patik sorang-sorang memandu.  Tak ada kawan sembang,” usik Taufiq.  Dia lega bila rajuk Johanees tak lama. 

“Biasalah.  Tuan Puteri tuan hamba ni, penat tunggu tuan hamba tadi.   Itu yang tertidur,” balas Johanees, dengan tawa kecil. 

Sejak ada anak ni, memang pantang letak kepala.  Memang akan terlena. 

“Abang faham.  Nees penat jaga anak.  Penat jaga abang,” balas Taufiq pula.  Menoleh ke belakang. 

“Jaga abang tak penat.  Seronok,” ujar Johanees pula dengan tawa halus. 

“Eh, ya ke?”  Taufiq sengih lebar.

“Abang lagi seronok bila Nees jaga abang lebih.” 

Saat ini, wajah Johanees merah kerana dia mengerti apa yang Taufiq maksudkan.  Bila dia menjeling, suaminya itu ketawa. 

“Tapi, ini bukan rumah kita.  Abang terus datang rumah Ziyad ni.  Tia ada kat sini.  Atai kata dah tidur.  Abang masuk panggil dia sekejap.”

Johanees angguk.  Taufiq keluar tapi belum sempat diberi salam, Ziyad dan Teratai Nur lebih dahulu muncul.  Pagar automatic itu terbuka lebar. 

“Kan dah cakap, biarlah Tia tidur sini…” ujar Teratai Nur.  Saat ini, dia lihat wajah Johanees yang terjengul bila cermin kereta direndahkan.  Dia dekati kereta, bersalam dengan Johanees. 

“Eh, tak apalah.  Esoklah korang gathering.  Nanti datang rumah abang.  Bukan jauh pun.  Lagipun, Tia pesan dekat abang, macam mana lewat pun singgah ambik dia…”

“Dia tidurlah, Fiq.  Esok ajelah,” tambah Ziyad pula. 

“Tak apalah, Yad.  Alang-alang dah sampai ni.”  Taufiq toleh pada Teratai Nur yang sedang berbual dengan isterinya.

“Aku masuk ambik dia, ya Fiq…”

“Haa… yalah.”  Ziyad ikut sama.  Membiarkan Teratai Nur dan Johanees berbual seketika. 

“Apa yang tak kena, Fiq?”  soal Ziyad.  Seperti faham dengan kerisauan Taufiq.  Tak pernahlah Taufiq nak kacau kalau Tia tidur di sini.

“Nantilah aku cerita…”  Waktu ini, dia lihat wajah adiknya yang lena pulas.  Wajah ini tenang.  Dia masih tak pasti apa yang berlaku sebenarnya.   Kerana itu, dia tak boleh nak beri jawapan yang pasti untuk Ziyad. 

“Dia memang tunggu kau pun.  Sebab tu dah siap bertudung segala,” beritahu Ziyad.

“Hurm… aku tahu.  Banyak kali dia whatsapp aku.  Lambat macam mana pun, datang ambik dia.”  Taufiq senyum. 

Dia tunduk.  Disulur tangannya di bawah lipatan lutut Tiani dan sebelah kirinya di bawah belakang adiknya itu.  Dengan penuh cermat, dia angkat tubuh Tiani.  Terasa sangat ringan nak dibandingkan dengan sebelumnya. 

Saat pandangannya bertembung dengan Ziyad, sahabat baiknya itu angguk.  Mengerti.

“Qadr kata esok dia jumpa kau.  Dia dapat cuti sebab hari keputeraan Sultan Kelantan.  Geram betul aku dengan yang sekor tu.  Untung betul.  Cuti umum dua negeri, Terengganu Kelantan dia dapat…”

Taufiq ketawa kecil. 

“Ala… okeylah.  Dia dok jauh dari keluarga dia.  Masa cuti inilah dia nak luang masa dengan mama abah dia.  Kau tu… tak apalah. Dekat.”

Ziyad sengih. 

Mereka sama-sama menapak keluar. 

Saat melihat Taufiq yang sedang mencempung tubuh Tiani yang jelas sedang lena tak sedarkan diri, Johanees keluar kereta.  Membuka pintu dan merebahkan tempat duduk penumpang hadapan. 

Sejak dulu, dia cemburu melihat keakraban dua beradik ini.  Hubungan Taufiq dan Tiani tak pernah berubah sejak sekian lama.  Dia pula, pernah ada seorang kakak. Biarpun tiri, dia harap hubungan mereka baik.  Tapi, siapalah dia nak menafi ketetapan.  Kerana itu, melihat cara Taufiq melayan Tiani, membuatkan dia bahagia. 

“Nees balik dulu,” beritahu Johanees pada Teratai Nur.

“Ha’ah.  Esok kami datang jemput Nees dengan Tia tau,” balas Teratai Nur pula.  Mereka dah janji untuk ke rumah keluarga mentua Lailatul sama-sama untuk hadir ke kenduri doa selamat. 

“Yalah.”  Pintu kereta ditutup.  Waktu ini, si kecil Thalia merengek.  Dia pantas menepuk anak itu.  Risau jika dibiar, tangisnya akan meledak. 

“Nees tahu abang risau dekat Tia,” ujar Johanees tiba-tiba bila mereka mula bertolak.

“Maksud Nees?” 

“Nees tahu abang faham.  Nees boleh rasa benda tu.”

“Macam mana Nees tahu apa abang rasa?”  soal Taufiq, mengusik.  Hanya kerana dia suka akan jawapan yang setiap kali terluncur di celah bibir isteri andai soalan demikian ditanya.

Dadanya terasa kembang. 

Johanees yang mengerti akan senyuman tipis Taufiq, tersenyum lebar.  Menongkat dagu dan memandang tepat pada mata kuyu itu. 

“Hati dan jiwa abang milik Nees.  Dah tentulah Nees tahu,” balas Johanees. 

Taufiq gigit bibir.  Dia dapat rasa wajahnya merah.  Kalau sebelum kahwin, dia hanya dapat lihat wajah merah isterinya yang boleh dikatakan agak jual mahal.  Sekarang, yang kaku satu ketika dahulu itu, bicaranya lebih lembut dari lidah.  Dia pula, sentiasa suka mendengar jawapan manis begitu. 

“Macam manalah abang tak terus jatuh cinta pada Nees,” sela Taufiq.

“Mestilah abang akan terus jatuh cinta pada Nees sebab Nees satu-satunya yang Tuhan ciptakan untuk abang.”

Taufiq ketawa kecil.  Boleh tahan sekarang.  Tak sudah-sudah nak buat lutut dia longgar. 

“Tentang Tia, nanti Nees tanya dia, ya.  Abang jangan risau sangat.”  Johanees letak telapak tangannya di atas belakang tangan lebar milik Taufiq.  Diusap dan diramas perlahan. 

“Dekat mama pun Nees dah pesan jangan risau sangat.  Nees faham perasaan abang dan mama.  Cuma, bila kenal Tia Nees tahu dia jenis tak nak kita risau dekat dia.  Dia tak suka.  Abang sendiri mesti tahu adik abang macam mana,” pujuknya pada suami.

“Rasanya ini pertama kali dia keluar kan… lepas kes tu dulu?”  Taufiq mencari kepastian daripada isterinya.

“Hurm…”  Johanees angguk.  Dia masih ingat, bukan sekali dia ajak Tiani datang tapi ditolak dengan pelbagai alasan. 

“Ini dia dah mula keluar, petanda baiklah ni.  Tapi, kan…”  Johanees teringat cerita yang Teratai Nur bisikkan padanya tadi. 

“Atai cakap ada lelaki dekat dengan Tia dekat airport tadi.  Mujurlah dia cepat dapatkan Tia.  Tapi, takkanlah orang nak buat jahat tengah orang ramai dengan CCTV penuh?” 

“Eh, tak logic tapi tak juga mustahil.  Siapa?” 

“Atai sendiri tak tahu.  Dia hanya tengok sepintas lalu macam tu aje.  Yang pasti, dia cakap… tinggi dan kacak…”

“Seriuslah, sayang…”  Nada Taufiq rendah.  Dia mengerling isterinya.

Johanees ketawa. 

“Bukan Nees yang cakap.  Atai yang cakap.  Nees ulang ayat dia aje.  Kalau dia tipu Nees, Nees tipu abanglah.” Tawanya masih tersisa.  Kelakar bila dapat lihat wajah cemburu Taufiq.

“Atai pun nak kena.  Jangan sampai abang buka meja bulat dengan dua orang tu bincang hal ni.  Abang ada seribu satu cara nak hilangkan lelaki tu…”

“Sebab kami cakap lelaki tu kacak ke?”  duga Johanees padahal jawapan tu dah terang lagi bersuluh.

Taufiq mencebek. 

Johanees ketawa kecil.  Dia patut lengan kekar itu dan melentokkan kepalanya di bahu Taufiq.

“Kacak atau tak, tak penting pada Nees.  Mata Nees ni… nampak abang aje.  Jangan kata dalam tidur Nees mimpikan abang.  Masa jaga pun, Nees mimpi abang.  Macam mana?” 

Suasana dalam kereta sepi seketika.  Namun tak lama bila Johanees dapat rasa, bahu itu bergegar menahan tawa.

“Lutut abang longgar ni, sayang…” 

“Nees memang nak buat lutut abang longgar pun,” balas Johanees pula. 

Taufiq menggeleng dengan senyuman kecil.  Melihat senyuman isterinya, dia tahu Johanees nak mengusikkan tentang kejadian hari pernikahan mereka di mana dia hampir jatuh melutut saat pertama kali wanita ini memanggilnya abang. 

14 comments:

  1. Yeay...jd yg first m komen hr ini .. tq rm.. tertunggu cerita rm..

    ReplyDelete
  2. Tq rm... X sabar nk peluk apdp nie.. hrpnya tia dpt atasi traumanyer dgn bntuan si 'dia'. Sokongn dr yg terdekat akn bantu kita atasi mslh. Betul tak?..

    ReplyDelete
  3. Yeahhhh...
    Next please 🙏

    ReplyDelete
  4. Hari2 buka blog reyhan makhtar, sbb tertunggu smbungan APDP... Hehe. Bila nampak ada bab baru, excited tu lain macam... 😍

    ReplyDelete
  5. Rindu nya taufiq n johanees. Tak sabar pulak nak tgk semua berkumpul eeeee.

    ReplyDelete
  6. Hari hari buka blog Rehan Makhtar sebab nak baca Tiani, ada pun update. Terima kasih RM, cepat la update lagi. Dah tak sabar rasa nya ni, nak baca Tiani bahagia dengan pasangan halal dia. Luqman eh? Semoga Tia cepat sembuh dari trauma kes penculikan tu.

    ReplyDelete
  7. Mst yg mls bukak blog rm dok tertggu² kt fb.. tggu rm update 🤭🤭🤭

    ReplyDelete
  8. rinduuuu taufiq n nees hahahaha

    ReplyDelete
  9. amboi kat sni menyempat juga Nees dgn taufik ni yee

    ReplyDelete
  10. Nk tanya tia umur berapa dlm story ni

    ReplyDelete
  11. Bestnya kisah dorg nii semua.
    Sgt2 akrab

    ReplyDelete
  12. Author, umur Tia berapa eh?

    ReplyDelete
  13. allahuakbar.. seronoknya bacaa

    ReplyDelete