Tuesday, July 25, 2023

Anak Perempuan Dato' Pengarah 4

KERESAHAN hati kian menjadi-jadi setelah perbualan abang dan kakak iparnya malam tadi.  Dia raup wajah bagi terus menutup gelisah.  Usah majlis doa selamat di rumah keluarga mentua Lailatul, dia bawa diri ke laman di tepi banglo ini.  Ada kolam renang yang baru siap.  Khusus untuk cucu-cucu tersayang. 

Airnya nampak tenang.  Sesekali dihias gelora halus tatkala dihembus angin.  Cuaca hari ini, agak selesa.  Panasnya kurang.  Tidak seperti seperti sebelum ini.  Dia mengintai ke laman hadapan.  Melihat Qadr, Ziyad dan juga abangnya sedang membantu mengemas meja seusai majlis. 

Tiga orang puteri di hati suami itu, nampaknya sedang bersilat dengan putera masing-masing.  Kecuali, kakak iparnya yang sedang meriba si kecil Thalia.  Tiani koyak senyum.  Bahagia menerobos masuk ke hati dengan apa yang dilihat.  Dia tak pernah puas memandang suasana begitu.  Andai dia punya bakat melakar, pasti dia akan abadikan di atas sekeping kanvas.

Kerana bakat itu tiada, dia keluarkan telefon dan mengambil gambar mereka.  Berkali-kali.  Tak pernah jemu.  Rasanya, dalam memori telefon milik dia, hanya ada gambar mereka ini.  Gambar sendiri?  Boleh bilang dengan sebelah jari. 

“Kan panas lagi.  Nak mandi kolam apa?  Tunggulah redup sikit.” 

Dia kerut kening mendengar suara Teratai Nur.  Kedengaran lembut tapi ada tegasnya.  Dia terus memerhati.  Sah.  Teratai Nur sedang melarang dua orang anak lelakinya daripada mandi kolam. 

“Zirhan… Zidhan… dengar cakap mama.”  Suara Ziyad menyampuk.  Menyokong isterinya.  Itu satu kemestian.  Ziyad tak pernah membantah apa yang Teratai Nur cakap.  Nak kata takut isteri, tidak.  Tapi, Ziyad adalah lelaki yang sentiasa hormati isterinya. 

“Ini lagi sorang.  Dah siap pakai baju mandi dengan pelampung segala.  Qayyum baru baik demam.  Adik pun sama.  Nanti demam balik.”  Giliran Lailatul pula ambik baton daripada Teratai Nur. 

“Qayyum tak boleh mandi kolam…”  Qadr memujuk anak sulungnya.  Lembut. 

“Nanti kalau Qayyum mandi, mesti Qaylish nak mandi juga.  Lagipun, panas ni.  kita tunggu redup sikit, ya…”  Suami Lailatul, tak pernah berbicara dengan suara keras sejak dulu. 

Tiani senyum melihat wajah monyok anak-anak.  Yang tenang hanyalah Johanees memandangkan Thalia baru berusia tiga bulan.  Tak pandai lagi nak buat raut sedih.  Tak dapat dia bayang, macam mana Abang Fiq memujuk anak daranya nanti. 

Hai… jika inilah bahagia yang dimaksudkan, dia tak kisah jika bersendirian ke akhir usia.  Dia akan terus bahagia melihat semua ini.  Tanpa jemu.  Usai merakam momen indah ini, dia mainkan semula video.  Tersenyum sendiri namun tak lama.

Mereka semua berikan dia bahagia.  Namun, dia hanya memberi kerisauan di hati mereka semua.  Jujurnya, tiada niat untuk membohongi sesiapa, apatah lagi diri sendiri.  Dia hanya tak mahu dipandang lemah.  Dia pernah tewaskan salah satu ujian terbesar dalam hidupnya.  Ujian yang dilalui setahun yang lalu, pasti mampu ditewaskan juga.

Itu keyakinannya.

Tiada siapa tahu, Tuhan berkehendakkan lain.  Melalui proses terapi untuk setengah tahun, tak membolehkan dia pulih sepenuhnya.  Ada masa, biarpun mendengar periuk jatuh ke lantai, tubuhnya akan menggigil.  Sama juga mendengar teriakan kuat satu suara, kudratnya hampir sirna. 

Boleh dikatakan, dia adalah orang pertama yang didiagnosis sembuh oleh pakar psikologi kerana kes itu. Johanees adalah yang terakhir.  Anggapannya, Teratai Nur akan sama-sama pulih namun, siapa sangka, Lailatul terlebih dahulu yang sembuh daripada trauma. 

Siapa sangka, dia adalah yang belum benar-benar pulih.  Puas ditutup, namun semakin hari, mereka yang dekat dengannya mula sedar akan kesan yang masih menghantuinya. 

Dia… adalah selemah-lemah manusia. 

“Hei… kenapa ni?” 

Tiani menoleh pada suara yang menegur.  Dia dapat rasa ada telapak tangan yang mendarat di bahunya.  Senyuman koyak.  Wajah cantik Lailatul jelas di depan mata.  Bersama si bulat Qaylish dalam pelukan. 

Entah bila mereka mendekat.  Tak sedar pun.  Teratai Nur dan Johanees juga ada bersama. 

“Qaylish mari sini.  Biar Aunty Tia gigit pipi kembung ni.  Bagi kuncup sikit…”  Tia hulurkan tangan.  Qaylish bertukar duduk. 

Diam.  Langsung tak merengek bila ada umpan yang boleh disumbat ke mulut.  Hingga comot gaun putih yang dipakai. 

“Sedap betul pegang Qaylish.  Geramnya aunty…”  Dia kemam bibir.  Rasa nak gigit aje pipi bulat ni. Macam manalah Lailatul larat nak dukung budak debab ni. 

“Bulat betul dia, kan?” komen Lailatul. 

“Sedap peluk,” balas Tiani. 

“Nak dukung Thalia, tak berani.  Kecik lagi.”  Dia toleh pada anak buahnya yang sedang lena dalam pelukan Johanees. 

“Eh, kenalah berani.  Mana tahu, tak lama lagi giliran Tia pulak ke?”  usik Johanees. 

Tiani gelak.  Tak tahulah apa yang kelakar.  Dia pandang Lailatul. 

“Tia tak nak kahwinlah.  Tia dah janji nak temankan mama,” balasnya.  Jari telunjuknya mencuit pipi Thalia.  Saja mengacau. 

“Eh, jangan cakap gitu, Tia…”  bantah Teratai Nur. 

“Kahwin tak semestinya tak boleh temankan mama,” tambahnya.

“Betul tu, Tia.”  Lailatul menyokong. 

“Kita tak tahu apa yang jadi depan hari.  Jodoh ni, kadang-kadang datang tiba-tiba aje.  Kita tak boleh sangka macam mana cara Tuhan nak hantar jodoh ni,” tambah Lailatul kerana itulah kenyataannya.

Semua itu rahsia.  Seperti mana jodohnya dengan Qadr.  Hadir dalam keadaan yang sukar, tapi mujurlah semua dipermudahkan.  Teratai Nur juga sama.  Malah, Johanees juga serupa. 

“Ni… kami nak cakap…”  Lailatul hentikan bicara.  Merenung wajah Teratai Nur dan Johanees sebelum berhenti tepat pada wajah Tiani. 

Tiani jongket kedua kening.  Memandang tiga pasang mata yang nampak sangat serius.  Dia telan liur.  Macam ada tak kena aje ni. 

“Macam ada isu serius aje ni?”  soalnya dengan sengih yang dibuat-buat.  Janggal betul rasanya. 

“Memang hal serius, Tia…”  jawab Teratai Nur. 

“Kalau Tia ada benda yang tak lepas dalam dada tu, Tia boleh cakap dekat kami.  Kami sentiasa ada,” ujar Johanees.  Wajahnya berlumur simpati.

Tiani lepas nafas berat.  Inilah yang dia tak nak. Pandangan begitu.  Dia tak sudi dipandang demikian.  Pandangan itu hanya akan buat dia rasa bersalah dan lemah. 

“Tia okey.  Tak ada apa nak dirisaukan.  Dan ya… kalau betul ada apa-apa, Tia akan beritahu.  Cuma, memang Tia okey. 

“Betul ni?”  Teratai Nur jelas tak percaya.

“Iya.  Kalau tak okey nanti, Tia akan beritahu.  Tapi, sungguh.  Korang semua janganlah macam ni.  Tia sangat okey.  Asalkan tidur lena, makan selera…”

“Bukan itu yang kami maksudkan, Tia…” bantah Teratai Nur dengan keluhan berat.  Dia tahu Tiani mengerti apa yang mereka bertiga maksudkan. 

“Kami tak boleh nak paksa Tia cakap kalau Tia tak nak cakap.  Tapi, satu yang Tia perlu tahu… kejadian tu bukan sebab Tia.  Dah nak jadi. Kalau ada seseorang yang perlu disalahkan, orang tu adalah Nees…”  sambung Johanees. 

“Eh, taklah, Nees… Tia dah lupa hal tu.”  Tiani menafi pantas.  Menggenggam kemas tangan kakak iparnya dengan kening berkerut. 

Dia renung tiga pasang mata di depannya sekali lagi.  Lebih lama dan agak beremosi kali ini.  Birai mata terasa hangat. Tiani lebarkan senyum. 

“Tia okey,” ujarnya sekali lagi.  Cuba meyakinkan tiga orang sahabat baik di depan mata. 

“Korang janganlah macam ni.  Buat Tia rasa tak yakin.  Dahlah esok Tia nak jumpa orang ni.  Hal penting.  Korang sedih macam ni, emosi Tia terganggu… bisnes tak jadi, haaa… siapa nak jawab dekat mama?  Kalau Tia kena buang kerja, siapa nak tanggung makan minum Tia?”  soalnya dengan sayu yang dibuat-buat. 

Teratai Nur, Lailatul dan Johanees saling berpandang sebelum suara ketiga-tiga mereka meledak.

“Kami akan jaga Tia.”  Setelah itu, tawa mereka bersabung.

Tiani hela nafas lega bila isu ini tak berlanjutan.  Dia akan pulih.  Dia akan terus kuatkan semangat dan esok adalah permulaannya setelah berbulan dia memulaukan diri sendiri. 

“Ni, cerita dekat airport tu… apa yang jadi sebenarnya?  Kau kenal ke dia siapa?” 

Tiani hembus nafas berat.  Dah sudah.  Teratai Nur buka cerita pulak.  Dia sendiri dah lupa.  Rupa lelaki itu pun langsung tak ingat. 

“Ada orang mengamuk.  Aku berhenti mengejut.  Dia terlanggar dan aku minta maaf.  Tak lama, kau sampai,” ceritanya.  Ringkas dan tidak tepat. Bolehlah.  Asalkan ada jawapan. 

“Iya ke?”

“Iya.  Dah… dah… tak nak cerita pasal tu lagi.”  Tiani buat muka.

“Yalah.  Tapi ni, esok nak jumpa siapa?  Macam penting aje…”

“Penting.  Bakal rakan kongsi mamalah kot.  Macam pernah dengar nama ni tapi tak sempat nak belek lagilah.  Cuma, bila baca proposal dia tu, menarik.  Itu mama suruh datang juga wakilkan dia.  Pernah dengar nama Maliki?  Pengerusi Apex Group ke apa?  Ke Maliki yang sama yang ceritanya pernah menggemparkan tanah air satu ketika dulu?”  Tiani sengaja buat suara dramatik.

“Eh, kalau Maliki tu, semua orang tahu betapa obsesnya dia dengan setiap urusan,” komen Teratai Nur.

“Lebih lagi obses pada isteri dia.  Orang bisnes semua kenal siapa dia ni. Isteri dia bekas pembaca berita, kan?” komen Johanees pula. 

“Alamak eh… masaklah macam ni.”  Tiani cuak. 

“Macam mana kalau dia reject.  Mama mesti kecewa…”  Dia mula bimbang.

“Alaa… belum cuba dah macam-macam andaian.  Dia tu, katanya… jangan usik hal isteri dia sudah.  Lain-lain dia okey,” tambah Johanees lagi.

“Itulah.  Tapi, ada juga ya lelaki yang obses dekat isteri dia macam tu sekali?  Kalau Nees, Nees dah rimas dah…” 

“Ya… Atai pun akan rimas…”

“Lai pun sama.  Hishhh… tak kuasalah…” 

Tiga wajah di depan mata begitu jelas dengan riak gerun.  Membuatkan Tiani meredupkan pandangan. Hai… tiga orang ni jenis tak sedar diri gamaknya.  Padahal, suami masing-masing pun begitu obses pada mereka bertiga.  Dia silang kaki.  Menongkat dagu.  Memerhati wajah masing-masing yang masih tak lepas kerutan. 

“Awak bertiga ni sedar sesuatu tak?”  soalnya tenang. 

“Apa?”  Suara Lailatul, Teratai Nur dan Johanees hampir berpadu. 

“Awak bertiga sedang mengata suami masing-masing jugak, tau.  Sebab kenyataan yang memeritkan itu adalah… Muhamad Al-Qadr, Ahmad Ziyad dan Taufiq juga adalah golongan yang obses pada isteri masing-masing,” ujar Tiani bersahaja dengan mata yang sengaja dia julingkan ke atas.    

Tak lama, hanya mengundang tawa Teratai Nur, Lailatul dan Johanees.  Hinggakan Tiani juga turut sama ketawa. 


13 comments:

  1. Me everyday refresh blog sbb x sabar nak baca next post. Aaa sukanyaa kitaaa

    ReplyDelete
    Replies
    1. Puan penulis kata, setiap jam 1ptg dia dh set secara auto. Isnin - khamis

      Delete
    2. Waahhh okay thank youuu 😆

      Delete
  2. Terima kasih kak Rehan 🥰 kena ulang kaji luruh rasanya ni 😉

    ReplyDelete
  3. Tq tq rm. Kena ulang sumpah SUA TUA DUA ... Bolh hilang stress kerja bc novel rm...

    ReplyDelete
  4. Thank you for the update kak rm :)

    ReplyDelete
  5. Tak buku kan ke citer nie

    ReplyDelete
  6. Tq Ann nak lagi ye 😘😘

    ReplyDelete
  7. Tiani, semoga awak cepat pulih dari trauma. Tak sabar nak tengok awak juga bahagia dengan suami dan anak² awak. Mengamit memori betul la bila ada trio, suka sangat. Terima kasih RM ❤️

    ReplyDelete
  8. Terbaca part anak² ziyad qard Taufiq..mcm tamak pulak...mcm nak mintak citer pasal anak² mereka je nanti..mane tahu ada yg jd besan ziyad ngan taufiq..atau qard ngan taufiq...😜😜😜

    ReplyDelete