KOTA
RAYA KUALA LUMPUR hujan sejak beberapa hari ini dan bila hujan terlalu lebat,
pasti akan berlaku banjir kilat. Jalan
raya akan menjadi sesak berkali ganda daripada biasa. Segala perkhidmatan juga akan menjadi
lambat.
Tiani
mengeluh tipis. Hujung jarinya mula
terasa sejuk. Tak tahulah kerana
perubahan suhu di luar atau kerana diri sendiri. Malah, dia dapat rasa, telapak tangan yang
lembab. Belakang lehernya juga terasa
basah.
Sungguh…
dia tak rasa selamat untuk ada di tengah begini. Malah, dengan begini ramai orang asing. Dia hanya akan selamat bila ada di rumah
sendiri bersama keluarganya.
Pagi tadi, Abang Taufiq yang hantar dan setelah itu, abang terus bertolak balik ke Lumut. Nak harap dekat Teratai Nur dan Lailatul, dua orang tu sehingga ke hari ini belum ada lesen memandu. Dia pula, tak pernah memandu sendiri sejak kejadian itu. Dan sekarang, dia pulak perlu kejar penerbangan ni. Andai dapat ke KL Sentral pun jadilah. Dia akan ambik ERL. Tapi, masalahnya dah tiga pesanan e-hailing dibatalkan untuk alasan yang sama.
Tiani
duduk di atas kerusi di lobby yang nampak mula sibuk dengan manusia yang boleh
jadi sama sepertinya. Terperangkap
kerana hujan lebat. Guruh yang berdentum
membuatkan lututnya terasa longgar.
Bunyi itu tak ubah seperti tembakan.
Suara bicara orang tak ubah seperti suara orang gasar mengherdik,
memarahi dan mengugut mereka. Saat ini,
dia harap Abang Fiq datang menyelamatkannya seperti mana yang pernah dilakukan
dahulu.
Dia
tekup telinga. Tunduk hingga wajahnya
hampir rapat ke riba. Sekujur tubuhnya
sedang menggigil. Setiap suara yang
berbicara terus mengasak minda warasnya.
Dia bagai tak boleh beza kenyataan dan memori yang menyakitkan.
Kilauan
kilat yang diikuti dentuman guruh yang berterusan membuatkan dia hampir
menjerit. Tiani tekup mulut. Nafasnya mula tidak teratur. Birai matanya sudah basah. Pandangan mata kabur. Betapa kuat dia menekan peluput telinganya;
menutup pendengaran, bunyi itu semakin kuat.
Airmata
Tiani menitis di atas riba sendiri.
Dadanya terasa sendat. Dia dengar
suara tangisan Teratai Nur, Lailatul dan Johanees. Dia jelas nampak diri mereka yang
bergelimpangan bersama beberapa tahanan lain di dalam sebuah kontena sempit dan
gelap.
Degup
jantungnya begitu kencang. Mendengar
derap tapak kasut yang keras menendang dinding kontena. Malah, bunyi itu kian lama kian rapat
padanya. Dia bergerak ke depan bila
pintu kontena itu dibuka. Menghadang
jasad Lailatul, Johanees dan Teratai Nur saat itu dalam keadaan diri yang juga
sangat ketakutan. Namun, mereka bertiga
adalah amanah orang. Dia pula tak punya
sesiapa melainkan mama. Mama akan mengerti. Itulah yang dia fikirkan.
Dia
masih ingat bagaimana muncung senjata api itu diaju tepat di tengah
dahinya. Dia kaku tak ubah seperti
mayat. Beberapa saat kemudian, dia
dengar suara Johanees; kakak iparnya.
Wanita halus ini lebih ke depan.
Menggenggam tangannya. Seperti
menyalurkan kekuatan yang hampir sirna. Membisikkan
harapan. Untuk dia terus kuat.
Derap
tapak kasut itu semakin kuat dan rapat.
Dia terus rapatkan kelopak mata.
Hingga akhirnya ada hujung jari yang menyentuh lembut bahunya, nyawanya
hampir putus. Dia tahu, dia perlu
melawan. Apapun jadi, dia tak akan
biarkan mereka ini mencederakan kawan-kawan dan kakak iparnya. Jika bukan kerana dia, mereka tak akan
terperangkap di sini.
Kali
ketiga dia rasa hujung jari itu menyentuh bahunya, Tiani angkat wajah dengan
mata yang mencerlang tajam bersama airmata yang menitis ke pipi. Dia menepis tangan lelaki itu sekuat
hati. Di saat tangannya hampir singgah
ke wajah lelaki itu, dia dapat rasa lelaki itu lebih pantas menggenggam
lengannya.
Hembusan
nafasnya berat. Dia melilau
sekeliling. Biarpun suasana sedikit suram
kerana hujan lebat di luar sana, suasana ini berbeza. Dia tidak berada dalam kontena sempit
itu. Tiada kegelapan yang menyekat
pandangan. Tiada juga bau yang tidak
menyenangkan.
Tiani
pandang wajah di depan mata. Lama. Hinggalah dia sedar siapakah pemilik wajah
itu, dia beristighfar panjang.
“Tuhan…” Hanya sepatah kata itu yang terbit daripada
celah bibirnya bila yang muncul di depan mata adalah Lukman.
SEJAK pagi, memang langit mendung. Malah, pagi tadi gerimis turun ke bumi. Beberapa hari ini, ibu kota memang dilanda hujan lebat dan ribut kencang. Membawa ke banjir kilat sejujur setelah itu. Lukman bangkit. Menghampiri cermin dan menyelak bidai. Nampaknya hujan dah turun. Kilat juga sedang memancar. Guruh juga berdentum tak henti. Langit berubah bagai malam dalam sekelip mata.
Dia
tak akan salah menilai. Tugasnya sebagai
seorang peguam, menjadikan dia seorang yang cukup peka dan teliti. Dia juga tak akan mudah melupakan setiap
orang yang ditemui. Apatah lagi
pertemuan itu dalam suasana yang agak unik dan pertemuan dengan perempuan asing
itu di KLIA dua hari lepas boleh dikira paling unik. Dia juga kenal beg yang Tiani bawa.
Tak
pernah dalam sejarahnya menjadi peguam, dia lalui pertemuan demikian. Kerana itu, mustahil untuk dia lupa. Saat wanita itu menoleh padanya tadi, dia
tahu telahannya tepat. Dia memanggil
hanya untuk mencerapkannya sahaja. Dan,
ia adalah tepat.
Tentang
persoalan yang muncul dalam kepala… untuk apa jika apa yang dia rasa ini adalah
tepat? Lukman jongket bahu. Tak pasti.
Dia tak mahu pergi lebih dalam.
Dia hanya rasanya, takdir juga begitu misteri untuk dileraikan oleh otak
manusia biasa sepertinya.
Senyuman
sengetnya terjongket pada hujung bibir.
Dia
terus merenung hujan. Gelap gelita. Hinggakan puncak Menara KLCC dan Merdeka
Tower juga terlindung. Hanya jelas hanya
lampunya sahaja yang berkelip-kelip.
Mengingatkan
pertemuan aneh itu, tidakkah wanita itu juga menggeletar dengan kejadian yang
berlaku? Adakah hujan dan guruh ini…
senyuman Lukman runtuh. Dia tak menanti
lama. Terus sahaja keluar. Persoalan ini juga memerlukan jawapan. Teguran Mas juga tak diendah.
Sebaik
sahaja dia tiba di lobby, manusia
agak ramai daripada biasa. Terperangkap
kerana hujan lebat yang pastinya. Dia
tidak kisah. Matanya melilau. Tak nampak susuk tubuh Tiani. Boleh jadi dah balik. Dia hela nafas lega tapi tak lama bila dia
lihat ada satu susuk tubuh sedang duduk di atas kerusi dalam keadaan tunduk dan
menekup telinga. Bahu itu terhinggut
tanpa henti.
Dia
cam tudung itu. Beg tangan yang ada di
kaki. Malah, pakaiannya juga. Tak tahu kenapa. Simpatinya tumpah berselerakan. Melihat kejadian begini kali kedua di depan
mata, dia yakin ada sesuatu yang telah menimpa wanita ini. Melihat Tiani berpeluh di dalam bilik yang
sejuk, itu juga membuatkan dia syak akan sesuatu.
Kakinya
melangkah. Mendekat. Langkahnya kian singkat bila jarak mereka
semakin rapat.
“Cik
Tiani?” serunya namun tidak menerima
tindak balas.
“Cik?” Sekali lagi, dia memanggil dan seperti tadi,
Tiani masih dalam keadaan begitu.
“Cik
Tiani…” Kali ini, dia cuit bahu Tiani
dengan hujung jari telunjuknya.
Tiani
angkat tubuh. Menampar lengannya dengan
begitu kasar dan saat tangan halus itu sekali lagi mencari sasaran, dia sempat
menahan. Menggenggam kemas lengan itu. Dia renung Tiani dengan penuh tanda
tanya. Yang pasti, pandangan itu
bersulam simpati.
Kejadian
apa yang menimpa hinggakan wanita ini tak ubah seperti takut dengan
bayang-bayang sendiri? Jika tidak,
masakan tiba-tiba sahaja wanita ini melemparkan diri ke dalam pelukan seorang
lelaki asing? Ketakutan di tengah orang
ramai? Seperti ada yang mahu menyakiti? Tiani jelas merasa tidak selamat.
Mata
Tiani merah. Airmatanya mengalir laju
bersama pandangan yang sangat tajam. Jika renungan Tiani adalah sejenis belati,
dia telah terbelah dua. Dapat dia
rasakan, usah kata lengan namun seluruh tubuh itu menggigil. Lukman tahu semua mata sedang memandang
mereka malah ada staf sendiri.
Dia
lepaskan tangan Tiani. Tanpa banyak kata,
membuka kotnya dan diletakkan di atas kepala wanita itu. Lantas, menarik lengan Tiani pergi
bersamanya. Biarpun dia tahu kaki Tiani
bagai tak mampu menampung tubuh sendiri, Lukman tiada pilihan. Dia toleh bila langkah Tiani tidak berganjak.
“Awak
kuatkan semangat. Melangkah dengan saya,”
ajak Lukman dalam senyuman tipis.
Melihat
wajah tenang Lukman dan mendengar bicara lelaki ini, Tiani angguk. Dia kumpulkan sisa kekuatan. Menyeret kakinya bila Lukman menyambung
langkah. Tanpa melepaskan
lengannya.
Wajahnya
pijar. Ada kecewa menyapa. Dia tak patut biarkan sesiapa sahaja melihat keadaan
dirinya begini. Tak pernah dia biarkan
sesiapa melihatkan. Usah kata orang
asing, mama juga tidak pernah.
Hari
ini, saat ini, waktu ini… lelaki asing ini sedang menyelamatkannya daripada
lemas di daratan. Dia… telah menoreh air
muka sendiri. Mencalarkan kerjasama
antara mereka dengan kisah lalunya.
Mama
pasti akan kecewa.
Dia
juga… mula kecewa dengan diri sendiri.
Kenapa
dia tidak mampu menjadi sekuat tiga orang temannya?
Dan,
kenapa mesti dia akur dengan setiap tindakan lelaki ini?
Dia
tak tahu.
Satu
yang pasti, haruman daripada kot yang menutup kepalanya ini, sedikit sebanyak
membuatkan dia rasa tenang. Dia tidak
ada di dalam kontena gelap dan sempit dengan bau yang tidak menyenangkan itu
lagi. Malah, ada tangan gagah yang
sedang menimpinnya.
Dia
telah diselamatkan.
Shiannn tiani 😭😭
ReplyDeleteTerbaaaik...♥️♥️♥️
ReplyDeleteTq ❤️❤️
ReplyDeleteKesian Tiani 😭 syukur ada Lukman, tak sabar nya nak tunggu bab yang seterusnya, terima kasih Rehan Makhtar 😍
ReplyDeleteAllahuakbar .. t.kasih rm..
ReplyDeleteTuan peguam pantas
ReplyDeleteKuatkan semangat Tiani
Hmmm lamanya nk eskkk 😔
ReplyDeleteLama dah tak buat perangai melawat blog2 ni, haa ni melekat balik la dengan RM. Haha
ReplyDeleteawak kuatkan semangat. melangkah dengan saya. awhhhhh
ReplyDeleteKak Rehannnnnn!! nak nangesssss huwaaaaa
ReplyDeleteLukman yang peka..
ReplyDelete