Thursday, July 27, 2023

Anak Perempuan Dato' Pengarah 6

MELIHAT cara Tiani membentangkan syarat-syarat perjanjian mereka, fahamlah dia kenapa Dato’ Talhah hantar wanita ini mewakilinya.  Dia renung wajah Tiani.  Mata kuyunya jarang berkelip.  Daripada muncung tudung bawal yang terletak.  Turun pada dahi yang sesekali nampak berkerut dan berpeluh kecil. 

Mata Lukman melilau seketika.  Pejabat ni gunakan pendingin hawa jenis AHU.  Kiranya centralised seluruh bangunan. Sejuk aje.  Apa yang menyebabkan wanita ini berkeringat?

Dia tidak bertanya.  Sebalikanya, memilih untuk terus memerhati.  Mata redup Tiani yang silih berganti memandang dia dan kertas di atas meja.  Alisnya nampak lebat dan panjang biarpun tidaklah lentik.  Malah, birai mata wanita itu nampak seperti memakai celak tebal biarpun tiada.  Asli. 

Pandangannya beralih lagi pada hidung halus dan sederhana tinggi itu.  Jatuh lagi pada bibir merah yang sedang berbicara dengan jelas biarpun tak berapa nak terbuka.  Sesekali, dia dapat lihat Tiani mengesat dahi. 

“Encik Lukman jelas ke dengan syarat kami?”

“Cik Tiani panas ke?” 

Soalan mereka berpadu.  Mata masing-masing terkebil-kebil.  Saling memandang.  Kehilangan kata buat seketika.  Mata redup Tiani bulat.  Mata kuyu Lukman masih begitu.  Merenung tak lepas.  Dia dapat lihat dengan jelas Tiani menelan liur.  Lukman tegakkan duduk.  Ibu jarinya mengetuk meja.  Cuba menghilangkan rasa janggal saat ini.  Lebih-lebih lagi pada Tiani.     

“Cik Tiani sejuk ke?”  soalnya sekali lagi. 

“Saya tak boleh nak adjust aircond sebab centralised,” jelasnya. 

“Eh, tak lah,” nafi Tiani dan secara tak sedar, dia mengesat peluh kecil yang dirasakan meleleh pada dahi.  Liur ditelan berkali-kali. 

Dia perlu cepat tamatkan perbincangan ini.  Andai tidak, Lukman akan nampak sisi gelapnya yang dia tutup sebaik mungkin daripada pandangan sesiapa sahaja.  Tidak juga mama atau Abang Fiq.  

Jika bayang hitam itu muncul, dia bimbang akan memberi kesan kepada urusan mereka. 

Lukman hampir kerut dahi lagi namun ditahan.  Sebaliknya, dia ganti dengan senyuman kecil.  Kalau dah itu jawapannya, dia pun tak nak lanjutkanlah.  Seperti yang dikatakan, dia akan terus berurusan dengan wanita ini.  Untuk berapa lama, dia tak pasti.  Dan, dalam tempoh itu dia tak sudi untuk buat Tiani tak selesa dengannya. 

“Tentang yang cik cakap tadi tu, sebenarnya saya dan bos saya dah bincang.  Perkara ini pun dah dibawa dalam bebeberapa siri mesyuarat.  Setelah dipersetujui semua, barulah Tuan Maliki bawa proposal tu pada Dato’ Talhah.  Ini pun, kami diperkenalkan oleh kenalan Encik Maliki.  Encik Taqrees.  Dia yang cadangkan kami syarikat milik Dato’ Talhah.  Mulanya, kami nak bekerjasama dengan dia aje.  Dia kata, dia ada kenal dengan pembekal yang sangat bagus dan orang itu adalah Dato’ Talhah…” 

Mendengarkan kata-kata Lukman, Tiani tak dapat nafi yang dadanya sedang kembang.  Mama memang layak mendapat pujian ini.  Mama bekerja lebih daripada sesiapa aje yang dia kenal. 

“Bila saya cari maklumat tentang Dato’, ternyata… apa yang dikatakan adalah benar dan bagi pihak Tuan Maliki, saya berbesar hati mengalu-alukan Dato’ Talhah dan seluruh pasukannya.  Terima kasih atas kesudian menerima proposal kami.  Kami harap, kerjasama ini akan berterusan,” tambah Lukman.

Fuh… mujurlah otaknya jenis otak menghafal.  Semalam, Maliki hantar pesanan skrip ini untuk dia beritahu pada wakil Dato’ Talhah. 

Tiani berdeham kecil.  Menarik telefon yang ada dalam poket kotnya.  Matanya melirik ke arah skrin telefon yang ada di atas peha. 

“Bagi pihak Dato’ Talhah juga, saya ucapkan terima kasih sebab pilih syarikat kami.  Kami harap, kami menepati expectation yang diharapkan,” balas Tiani sambil mengerling telefonnya dan juga wajah Lukman.   

Perlahan-lahan, dia lepas nafas lega.  Mujurlah ucapannya lancar. Puas dihafal sejak mama hantarkan pesanan ini.  Rasanya, dah ingat dengan baik.  Bila berdepan dengan Lukman, semua hilang. 

Lukman merenung wajah Tiani yang nampak lega untuk sesuatu yang aneh.  Nak kata tentang persetujuan, semua dah okey.  Dia tegakkan belakang.  Memanjangkan leher.  Mengintai sedikit dan dia nampak cahaya skrin telefon.  Daripada tahu Tiani sedang membaca skrip.  Sama sepertinya.  Yang berbeza adalah, dia dapat hafal dengan lancar. 

Tidak dapat tidak, Lukman menutup mulut.  Menyembunyikan senyum.  Atau lebih parah, dia akan ketawa.  Dalam hidupnya sejak menjadi pembantu peribadi Maliki dan setelah itu, Maliki tajanya untuk menyambung pengajian undang-undang, jarang sangat dia nak ketawa.  Apatah lagi dengan sikap dingin majikannya.  Ditambah pula setelah kematian Alif.  Seperti tiada lagi sebab untuk dia ketawa.  Jika ada pun, bila dia bermain dengan anak saudaranya.  Anak kepada adiknya, Si Lara. 

Selain itu, dia terus benamkan dirinya dalam kerja.  Jodoh?  Memang tak pernah terlintas.  Mama dan ayah terus tanya tapi, dia begitulah.  Soalan itu tak ubah seperti mencurah air ke daun keladi.  Langsung tak berbekas di hati. 

“Ehem…”  Tiani berdeham kecil.  Melihat Lukman bagai hanyut entah kenapa. 

“Jika semua dah selesai, adakah kita nak sign dokumen hari ini atau nak tunggu Tuan Maliki dan Dato’ Talhah sendiri?”  soal Tiani lebih lebih professional.  Dia duduk tegak.  Kedua tangan ada di atas lutut.

Mata redupnya memandang Lukman tak berkelip.  Berharap jawapan.  Harapnya hari ini.  Andai tidak, mama pasti akan ajak dia teman lagi sekali.  Dia dah tak sanggup untuk berdepan dengan sesiapa sahaja secara berseorangan.  Segala cukup tak mudah. 

“Cik boleh sign hari ini.  Cumanya, saya hanya kan proses perjanjian ini setelah Tuan Maliki sign.  Saya akan courier satu salinan kepada Dato’ Talhah nanti.” 

Tiani senyum.  Lega. 

“Kalau macam tu, saya sign teruslah bagi pihak Dato’ Talhah.”  Dokumen yang telah ditandatangani itu diserahkan kepada Lukman.

Lukman memandang nama itu. 

Tiani binti Ahmad Taqiudin.  Bibirnya menceber tanpa sedar.  Senang sangat namanya. Ingatkan adalah lagi beberapa patah perkataan di belakang. 

Menyedari Lukman yang menceberkan bibir, Tiani tak senang duduk. 

“Ada masalah ke?”  soalnya.  Cuak.

Janganlah perjanjian ini tak lancar pulak.  Sudahlah dia sedang menjadi buah mulut pekerja syarikat.  Kalau ini pun batal, memang dia akan jadi penganggur seumur hidup. 

“Oh, taklah…”  Lukman menggeleng.

“Ini, saya tengok nama Cik Tiani ni, senang betul.  Jarang nak jumpa nama pendek macam ni sekarang.” 

Oh… bibir Tiani berubah bentuk O.  Lega.  Ingatkan apalah tadi.  Dia urut dada. 

“Mak saya memang sengaja letak nama pendek.  Senang katanya,” ujarnya sekadar berbahasa. 

“Memang senang.”  Lukman jongketkan senyuman pada hujung bibir.   

“Nak jawab akad nikah senang ni …” 

“Hah?”  Tiani tidak dapat sembunyikan rasa terkejut.  Dia salah dengar ke?  Salah dengar kot, kan?  Sebab berdebar sangat jadi pendengaran dia pun tak selari dengan otak mencerna. 

Melihat wajah terkejut Tiani, Lukman berlagak tenang biarpun rasa nak aje dia tampar mulut sendiri.  Biarpun sekadar gurauan.  Dia tak boleh nak bergurau begitu.  Lagipun, sejak bila dia suka bergurau?  Tiba-tiba sahaja kepalanya sakit. 

“Kalau tak ada apa lagi, saya minta diri dulu.  Nanti, Encik Lukman courier aje dekat kami dokumen tu.  Apa-apa, encik boleh terus hubungi Dato’ sendiri.”  Tiani dah berdiri.  Bersedia untuk berlalu.

Lukman tak berkata apa.  Dia juga bangkit.  Mendekat pada pintu kaca dan membuka pintu buat tetamunya. 

“Saya boleh turun sendiri.  Encik tak perlu hantar ke bawah,” ujarnya, sopan.  Tiani tunduk sedikit sebagai tanda hormat dan salam perpisahan. 

“Oh, okey…”  Lukman seperti kehilangan kata.  Dia hanya memandang wanita itu melangkah pergi.  Menuju ke pintu keluar.

Saat ini, persoalan yang sama muncul lagi.  Mustahil, kan?  Takdir tak akan sebegitu mudah?  Atau, perlukah dia mencuba?  Jika tidak, maka tidaklah.  Tapi, jika ya… apa yang mahu dibuktikan? 

Lukman tak tahu.  Yang pasti sekarang, dia perlukan jawapan pada persoalannya.

“Cik Tiani…”  Suara parau Lukman menyeru nama itu.  Tidak kuat tapi cukup untuk buat Tiani menoleh.

Mendengar namanya diseru, Tiani menoleh.  Kemudian, dia koyak senyuman tipis.  Lukman masih memerhati.  Untuk beberapa ketika. 

“Hati-hati,” pesannya, beberapa saat kemudian.  Mengucapkan terima kasih tanpa suara.  Lantas, melangkah pergi tanpa menoleh lagi.  Melalui pintu kaca yang dibuka oleh Mas. 

Saat ini, Lukman diam tak mampu bergerak biarpun seinci.  Jawapan yang dicari, telah ditemui.    Dia ketawa sendiri.  Ini bukan pertemuan pertama mereka.  Persoalan baharu yang muncul… Jika ya, apa yang mahu dia buktikan?  


...


RMsays : Ejaan nama Lukman dalam Luruh adalah Lukman.  Bukan Luqman.  RM lupalah.  Jadinya, dah edit.  


14 comments:

  1. Alorhhh.. lmbt bukak blog.. igt nk jd org 1st komen.. ahahaha

    ReplyDelete
  2. Tak sabarnya nk tunggu next week. Thanks Kak RM update new chapter.🥰🥰

    ReplyDelete
  3. OMGGGGGG COMELNYA LUQMAN

    ReplyDelete
  4. Lukman dah ingat pernah jumpa Tiani. Tiani tak kan langsung tak ingat dah peluk Lukman hari tu? Eyy tak sabarnya nak tunggu dorang ni bercinta 🤣 manis leting agaknya kan nanti? Terima kasih RM

    ReplyDelete
  5. Tak sabar nak tunggu sambungan minggu depan 🙃

    ReplyDelete
  6. Alah nk kena tnggu next week ni baru ada update baru...tk sabar nyaa

    ReplyDelete
  7. AAA TAK SABAR NAK BACA KISAH TIANI 🫶🏻🫶🏻

    ReplyDelete
  8. aip aipp gatal ye diaaa dah nak berakad nikah

    ReplyDelete
  9. Yes next week pulak

    ReplyDelete
  10. Tiani akan stay dekat blog atau publish ?

    ReplyDelete
  11. yeahh finally story tiani pulakk😁

    ReplyDelete
  12. buku luruh eh? interesting

    ReplyDelete
  13. Tak sabar nk tggu sambungan...

    ReplyDelete