Saturday, October 11, 2014

Beast and The Beauty - Cp.10

Cp. 10

TANGAN gagah teruna itu memegang payung dan kaki sasa itu berdiri hampir setengah jam barulah nampak si dara keluar.  Apa yang pasti, wajah dara itu berkerut lebat.  Nampak kesan menangis.  Takut sungguh ni. 

Sufi dekati Benjy yang berdiri di depan pagar.  Disuruh balik pun tak bergerak.  Suruh patah balik, diteruskan perjalanan.  Haih.  Dia mengeluh berat.  Pagar masih tak dibuka.  Dia pandang Benjy tajam. 
“Berapa lama nak biar saya berdiri dekat sini?”  Suaranya dikuatkan melawan bunyi hujan. 
“Siapa suruh datang?  Saya suruh balik, kan?” 
“Masa awak suruh balik, saya dah sampai depan rumah awak.  Tak ada guna nak patah balik,” jawab Benjy membela diri.  “Buka pagar…”  arahnya. 
Sufi geleng.  “Saya takut…”  Ya, dia lebih takutkan Benjy sekarang.  Dahlah rumah tak ada orang.  Hari dah malam.  Hujan pulak tu.  Buatnya dia bagi Benjy masuk, dan Benjy apa-apakan dia – nak jerit pun tak ada orang nak dengar.  Macam sengaja menyerah diri aje nanti. 
Benjy pandang Sufi.  Selembut-lembut pandangan.  Dia akhirnya tersenyum pada wajah yang berkerut seribu tu.  Tahu sangat apa yang Sufi risaukan dan dia tak lah gila nak masuk rumah anak dara orang.  Walaupun dia suka Sufi, tak bermakna dia nak miliki Sufi dengan cara kotor. 
“Pergi ambik beg.  Lepas tu, buka pagar.  Kita keluar sementera keluarga awak balik rumah…” 
Sufi diam mendengar cadangan Benjy.  Ya, tadi ayah telefon kata lambat.  Sangkut dalam kesesakan akibat banjir kilat.  Abang Jo juga lambat.  Dia memang tak betah nak duduk sendirian di rumah. 
“Kat mana orang tu berdiri tadi?”  soal Benjy.
“Seberang sana…”  Bibir Sufi terjuih.  “Dia memang ada dalam bas masa saya naik bas dekat ofis sana…” 
Benjy terangguk-angguk.  Bibirnya terukir senyuman tipis.  Tak nak Sufi risau.  Nampak wajah itu masih pucat dan ketakutan.  “Berani nak duduk sorang?” 
Sufi diam.  Menggeleng tidak, mengangguk jauh sekali. 
“Kalau gitu, pergi kunci pintu.  Kita keluar.  Dah Maghrib lagipun.  Saya tak solat lagi.  Awak boleh solat?”  soal Benjy tenang. 
Terentang kerut pada dahi Sufi.  Apa jenis soalan tu?  Malulah tanya hal tu.  Tapi, dia hanya ketap bibir dan Benjy angguk.  Tahulah dia yang Sufi tak boleh solat.  Tak apalah.  Hawa ni istimewa.  Adam yang kena solat ni, tak boleh nak abaikan.
“Jom,” ajak Benjy bila Sufi hanya diam.  “Saya tak boleh nak tinggal awak sorang.  Nak masuk dalam rumah awak, macam saja ajak diri kita dekati maksiat.  Jadinya, kita keluar awak teman saya solat dekat masjid kejap, lepas tu kita pergi makan.  Nanti awak telefon ayah awak pukul berapa sampai rumah, masa tu saya hantar awak balik.  Lagipun…”  Liur ditelan.  Mencari nafas yang lebih tenang.  Teringat kata-kata Sufi dalam telefon tadi.  Sufi nak dihantar rupanya.  Sufi masih takut.  Tapi, dia saja buat jiwa kering. 
“…maaf tadi tak pelawa nak hantar.  Saya risau awak tak selesa tapi rupanya awak lagi tak selesa bila saya tak hantar…”  Mata dikenyit diakhir kata.  Saja usik Sufi.  Saja bagi ayat bagai Sufi tak boleh tanpa dia. 
“Bila masa tak tak boleh pulak?”  bantah Sufi dengan wajah masam. 
“Yalah… awak boleh balik sendiri.  Dah sampai rumah pun tapi akhirnya, hero kena datang juga selamatkan heroin yang ketakutan…”
“Saya tak takut…” 
“Okey, saya balik…”  Benjy dah berpaling nak menuju ke arah kereta bila suara Sufi menahan. 
“Jalan sesak.  Saya teman awak solat dulu.  Nanti lewat solat, tak elok…”  Dia terus berpaling masuk ke dalam rumah.  Bibirnya terukir senyuman lega. 
Rupanya, amaran Benjy hari tu buat hati dia resah juga.  Dia ada sikit rasa halus buat Benjy dan dia tahu Benjy juga sama.  Dia tahu semua tu tapi yang lebih dia faham, Benjy tak bagi hati mereka bersatu. 


“NAK makan apa?”  Itu soalan pertama Benjy setelah masuk ke dalam perut kereta usai solat Maghrib tadi.  Gear dah bertukar kedudukan.  Dia dah sedia nak berlalu. 
“Kena makan?” 
“Lapar, kenalah makan,” jawab Benjy tanpa memandang Sufi. 
“Ayah saya dah on the way…”
On the way tu maknanya tak sampai rumah lagi la, kan?” 
Perlahan-lahan Sufi angguk.  Terkena lagi dia. 
“Habis tu, nak saya hantar balik ke apa?” 
Tak sempat nak dijawab, perut Sufi bernyanyi riang.  Terus dia tekap perutnya.  Benjy memandang.  Dahi berkerut.  Tapi, lama-lama senyuman terukir tenang. 
“Perut pun pandai cakap…”  Dia menggeleng persis tak puas hati dengan sikap Sufi.  “Kita makan dulu, lepas tu kita balik…”
“Kita balik?”
“Ya… kita,” tekan Benjy.  “Awak balik rumah awak.  Saya balik rumah saya.  Tak kan saya nak duduk dekat kedai pulak…”  sinis Benjy. 
Sufi mencebek lebar.  Asyik kenakan orang aje.  “Apapun, terima kasih sudi datang…” 
“Sama-sama,” balas Benjy skema. 
Jujurnya, dia dah tak tahu nak cakap apa dengan Sufi.  Lidah dia tak petah macam kebiasaannya.  Semua tak dijangka.  Apa yang terjadi hari ni memang diluar perancangan tapi satu yang pasti, inilah perancangan Tuhan yang terbaik. 
“Juliana…”
“Benjy…” 
Mereka bersuara serentak.  Benjy jongket kening.  Memberi laluan Sufi berkata terlebih dahulu. 
“Awak cakap dulu,” suruh Sufi. 
“Okey…”  Benjy hela nafas tenang.  Mata di jalan, jantung berdetak kencang dan lidah sedang menyusun kata-kata yang sedap di dengar.  “Tadi, saya nak ajak awak balik sama tapi saya takut awak tolak dan awak kena tahu sesuatu.  Saya payah nak terima penolakan.  Ya, memang tak baik tak boleh nak terima penolakan.  Sebab tu saya tak memaksa.  Cuma, lepas apa yang jadi hari ni dan saya harap tak berlalu lagi lepas ni.  Tapi, saya tetap nak pelawa awak.  Kalau lepas ni, tak ada teman balik, tak ada sesiapa jemput, awak balik dengan saya, ya?”  Sempat dikerling pada Sufi.  Harap sangat Sufi setuju.  Dia dah hampir putus nafas saat Sufi menangis ketakutan.  “Saya tak boleh biar awak sendiri…” 
Terharu dan terkedu dek kata-kata Benjy, Sufi ketap bibir.  Cuba damaikan nafas dan cuba pujuk rasa sesak yang mencengkam dada sebelum bersuara. 
“Awak pernah pesan, jangan suka awak.  Biarlah awak je suka saya.  Tapi, awak buat macam ni, awak tak rasa saya akan suka awak ke?”  soal Sufi jujur.
Memang dia dah makin jatuh suka pada Benjy ni.  Usah kata usikan mama ayah, hati dia sendiri terusik dengan Benjy sejak kali pertama lagi sebenarnya. 
Keluhan Benjy sedikit keras.  Memang salah dia tapi tingkahnya terlalu cepat bertindak biarpun akal keras melarang. 
“Saya suka kalau awak suka saya, Juliana tapi saya tahu bukan saya yang boleh bahagiakan awak tapi saya bahagia bila saya suka awak.  Ya, katalah saya pentingkan diri sebab fikirkan bahagia sendiri tanpa ambik kira bahagia orang.  Saya tak kisah.   Lagipun, kita baru kenal…”  Perbualan mereka menjadi serius.  Benjy sendiri tak sangka, Sufi akhirnya meluahkan perasaan padanya biarpun secara tak langsung tapi sudah cukup buat dia mengerti yang hati gadis ini untuk dia. 
“…rasanya cukuplah saya suka awak.  Saya akan jaga awak.  Saya jadi bodyguard awak.  Apa saja untuk awak tapi awak tak perlu balas apa-apa.  Saya tak jauh sekali nak berharap hati awak jadi milik saya…” 
Semakin sesak nafas Sufi sudahnya.  Memang hati dia tergolek-golek di kaki Benjy sekarang ni.  Kelembutan, ketenangan dan keyakinan kata-kata Benjy buat dia membisu biarpun punyai berjuta kata nak diluahkan. 
Memang dirasakan Benjy agak pentingkan hati sendiri tanpa memikirkan hatinya.  Dah buat orang jatuh suka, senang-senang larang orang jangan suka dia.  Habis tu, dia nak suka siapa?  Nak suka lembu?  Atau kambing?  Geram jugak rasanya dengan Benjy ni.  Tapi, dia juga sama.  Tak mungkin tersorong-sorong.  Satu hari bila Benjy merayu, jangan salahkan dia bila dia hanya memandang bisu rayuan itu. 
“Kalau itu kata awak… jangan kata apa kalau lepas ni saya call awak bila-bila masa je saya perlukan.  24/7!”
Hati Benjy rasa nak melompat keluar.  Jika mampu nak diletak atas telapak tangan Sufi.  Biar gadis itu rasa betapa dia suka dengan ayat yang Sufi tuturkan sebentar tadi. 
“Menurut arahan, cik muda…”  Benjy kenyit mata. 
Sufi hamburkan gelak.  Hati dia lega.  Ketakutan tadi pergi.  Lega bila Benjy berkejar datang bila dia sendiri.  Menghalau takutnya.  Menjadi benteng yang kukuh buat dia.
Tapi… jauh dilubuk hati rasa syahdu tetap ada.  Allah… jika dia pelindung yang telah Kau hantarkan, jadikan dia halal.  Jika sebaliknya, beri aku kekuatan untuk sendiri.  Dia melarang aku masuk ke hatinya, sedangkan dia sendiri yang tak sudah-sudah menggamit hati aku mendekati.  Dan, biarlah segalanya berlaku secara semulajadi.  Seperti yang KAU kehendaki.  Bukan yang aku ingini. 
Hatinya berdoa.  Tulus.  Ikhlas.  Hanya kerana mengenali seorang lelaki bernama Benjy. 


LIHAT Sufi makan, perut dia jadi kenyang.  Memang berselera betul.  Benjy kuak rambut yang kekal terpacak.  Diletak kedua belah siku atas meja makan. 
“Tadi dekat ofis, tak lunch?” 
Sufi geleng tak angkat kepala. 
“Nani tak ada, jadinya tak makanlah?  Gitu?” 
Kali ini Sufi angguk.
“Berdosa tau bila buat macam tu?” 
Barulah Sufi angkat kepala.  “Kenapa pulak tak makan berdosa?” 
“Sebabnya, awak dah seksa salah satu anggota tubuh.  Lagipun, Rasullullah s.a.w dah pesan.  Makan pun Sunnah baginda.  Macam mana kita boleh abaikan makan sedangkan dalam makan tu kita beroleh pahala?” 
Terdiam Sufi dengan kata-kata Benjy.  Memang betullah anak ustaz.  Teringat ayah Benjy masa menghantar kepergian orang tua Nani minggu lepas.  Memang nampak warak.  Benjy ni tak adalah warak mana tapi bila memberi nasihat, boleh tahan jugaklah. 
“Ya, saya tahu…” 
“Apa yang awak tahu?”  sergah Benjy.
Sufi kerut kening.  Mujur tak tersedak.  Suka sangat sergah orang.  Haih… “Saya tahulah apa yang Encik Benjy cakap tu…” 
“Apa yang tak tahu pulak?”  soal Benjy.  Yalah, boleh dikatakan semua Sufi tahu tapi tak pulak diamalkan. 
“Tahu, sarapan tu elok.  Kena makan tengah hari walaupun sedikit.  Malam tak makan pun tak apalah…” 
Nafas kasar bebas daripada celah bibir Benjy.  Dia menggeleng lembut bersama senyuman senget tersungging pada hujung bibirnya yang kemerahan. 
“Salah lagi tu.  Kita orang Islam, tak ada istilah sarapan, makan tengah hari atau makan malam.  Rasulullah s.a.w dah pesan.  Makan bila lapar dan berhenti sebelum kenyang.  Isilah perutmu dengan satu pertiganya makanan, satu pertiga lagi air dan satu pertiga lagi untuk bernafas.  Cuma kajian saintifik mengatakan sarapan itu penting dan ya memang penting sebab bila bangun pagi-pagi kita memang akan lapar.  Jadi, benarlah pesan Rasulullah, makan bila lapar.  Tapi, awak seharian tak makan, tak lapar?  Ke diet?”  soal Benjy sinis setelah penerangan yang panjang lebar. 
Wajah Sufi terkulat-kulat dengan kata-kata Benjy.  Sebenarnya dia pun tahu semua tu tapi biasalah.  Perkara remeh, payah nak melekat dalam kepala sedangkan semua itu adalah pesan Baginda Rasul.  Dapat pahala jika mengikutnya. 
“Saya tak diet…” 
“Habis tu kenapa tak makan?” 
Tiada jawapan terbit daripada mulut Sufi.  Dia tunduk menghabiskan sisa nasi goring di dalam pinggan.  Malas nak sembang dengan Benjy lagi.  Benjy tak tahu.  Itu aje yang hati dia jeritkan dan pada sesiapa saja.  Nani tak ada dan dia tak rapat dengan sesiapa.  Mana mungkin dia berani turun sendiri.  Tengoklah balik kerja tadi.  Dia hampir menangis dan memang menangis pun dalam rumah tu seorang diri. 
“Juliana?”  seru Benjy.  Rasa bersalah pun ya bila nampak Sufi begitu sukar menelan makanan.  “Saya tahu, Nani tak ada sebab tu awak tak turun makan.  Betul tak?”  Akhirnya, dia harus mengalah.  Dia ingat pesan ayah Sufi.  Sufi lalui sesuatu yang teruk dan jika perkara itu teruk, tak mustahil Sufi tak akan turun makan jika keseorangan. 
“Biasakan awak tapau…” 
“Nani…”
“Okey, Nani tak ada.  Nani cuti beberapa hari.  Jadi, beberapa hari ni memang sanggup berlaparlah, ya?”  soal Benjy.   Separuh sinis, separuh ambik berat. 
“Saya bawa bekal…”
“Tadi kenapa tak bawak?” 
“Tak sempat…”  Senang dia menjawab.  Memang tak sempat sebab mama ada hal dekat luar.  Tak dan nak masak.  Lagipun, kesian dekat mama nak masak pagi-pagi untuk dia.  Dia bukan budak sekolah lagi. 
“Esok makan dengan saya!”  Suara Benjy jelas memberi arahan.  Bukan sekadar permintaan atau cadangan. 
Sufi panggung kepala.  Dipandang Benjy tenang.  Diketap bibir kuat.  “Saya boleh makan sendiri…” 
“Makan dengan saya sementara Nani tak ada.  Tak nak makan dekat luar, saya tapaukan kita makan dekat ofis,” putus Benjy.  “Ni esok siapa hantar?” tanyanya lagi tapi tak sempat Sufi menjawab, dia menyambung.  “Saya jemput esok?” 
“Hah?”  Rahang Sufi hampir terpenggal.  Tak jadi nak suap nasi ke mulut.  Serius ni Benjy nak jadi bodyguard dia. 
“Encik Benjy ni bersungguh nak jadi bodyguard saya nampaknya…”  Dia sengih senget. 
“Ya, saya serius.  Saya tak pernah main-main dengan setiap janji saya…”
Okey.  Sufi tegakkan tubuh.  Dia letak sudu.  “Saya tak ada duit banyak nak bayar Encik Benjy nanti…”  Risau jugak dia.  Buatnya Benjy tuntut gaji nanti, dia nak bayar pakai apa. 
“Saya tak perlukan duit.  InsyaALLAH saya dah kerja keras untuk duit dan hidup.  Saya cuma perlu izin awak je…” 
“Izin untuk apa?”  Kerutan terentang pada dahi Sufi.  Matanya mengecil.  Cuba menebak apa yang Benjy nak katakan.  Dada dia berdetak laju dan semakin laju. 
“Izinkan saya cinta awak…”

“Hah?”  Mulut Sufi terbuka lebar.  Dan nyata, apa yang Benjy katakan buat segala sendi longlai.  Lemah!  

...2bCont...

45 comments:

  1. Hati saya pun dah jatuh tergolek-golek dengan sifat caring Benjy ni.. Ouchh!

    ReplyDelete
  2. Best....thanks rm

    ReplyDelete
  3. Aduhai hati kita pun dah terkejut dg pengakuan Benjy....

    ReplyDelete
  4. Ayat benjy Fuh...x terkata..terima je la sufi

    ReplyDelete
  5. Cair sgt la ngn benjy nie... huhuhuhu

    ReplyDelete
  6. Adus Benji nih... dia suka tak per.. org suka dia x buleh... dah kenapa...

    ReplyDelete
  7. Alamak..mana dh hati sya ni tergolek..aduhhh..ayat benjy yg kak rehan karang ni mmg buat sya jatuh hati la, bkn sufi lg dh...☺

    ReplyDelete
  8. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  9. So gentleman Benjy....mana Sufi x terpikat....♡♥♡♥♡♥

    ReplyDelete
  10. Begitu gentlemannye Benjy....mana Sufi x terpikat....♡♥♡♥♡♥

    ReplyDelete
  11. benjy penyelamat... trima kasih RM suka sanngat watak mereka berdua ni.... hehehe...tq 3 skali kuar

    ReplyDelete
  12. berangan dahhh... nak gak mr.right mcm benjy... ada tak?..

    ReplyDelete
  13. Nak jatuh cinta dengan benjy boleh????

    ReplyDelete
  14. Melting melting meltinggggg.... nk mcm benjy jgk!!!!.

    ReplyDelete
  15. rasa rindu pulak masa zaman bercinta dulu. ...sering rasa berdebar2. he..he

    ReplyDelete
  16. cair habis dah ni kak!!

    ReplyDelete
  17. hrp2 dlm real life xda yg mcm ben neh...sgt suweet tpi x bisa dsentuh....

    ReplyDelete
  18. Aduh sakitnya.. dah jatuh tergolek2 ni RM...
    Suwit sngt... :)

    ReplyDelete
  19. Hati sy turut berdebar tatkalau benjy ungkapkan 'izinkan saya cinta awak...'

    ReplyDelete
  20. Amboih anak pak ustaz ni
    Kan main gatai

    ReplyDelete
  21. Alahaiii sweet sgt benjy ni....

    ReplyDelete
  22. alamak.....hati i dah jatuh tergolek2.....huhuhu.....hidup benjyyy.....

    ReplyDelete
  23. hooooooooooooo.
    spechless dengan Benjy.

    ReplyDelete
  24. Adoi...camne hati x jatuh suka... jatuh suka tergolek2 kat atas permaidani. Huhuhy. Bisa nangis lagu ni...

    ReplyDelete
  25. alamak..hati dah cair meleleh2 nih...jatuh cinta dengan benjy...ohhhmmmaaiiiii

    ReplyDelete
  26. Wau..so maskulin..minta izin utk mencinta..cam ni la gentlemen..jujur

    ReplyDelete
  27. Nice....benjy ni mmg sweet talker...melting...

    ReplyDelete
  28. Cepatlah mrk brdua ni bersatu ye

    ReplyDelete
  29. Bestnya kisah Benjy & Sufi ni Rehan. Rehan memang the best. Tak pernah menghampakan. Teruskan berkarya ye.... Kita suka semua tulisan Rehan. Errmmm....PC dah ok ke?

    ReplyDelete
  30. Wahahaha....
    x bg org masuk hati dia, tp asik cuit2 hati org je.....
    sweet la.... ^_^

    ReplyDelete
  31. Seperti biasa....garapannya tetap memukau jiwa

    ReplyDelete
  32. ala kenapa benjy xnk juliana bls cinta dia... :(

    ReplyDelete
  33. salam hangat dari kami ijin menyimak sahabat

    ReplyDelete
  34. salam hangat dari kami ijin menyimak dari kami pengrajin jaket kulit

    ReplyDelete
  35. Huhu....cair cair....cair habis dgn benjy.....

    ReplyDelete
  36. Oh mai....terang2 benjy dh luahkan.. maunya blk nnt sufi dmm terkejut..

    ReplyDelete
  37. Melting straight to the point. Tu dia say yes sofi.thanks rehan

    ReplyDelete
  38. K cair jappp dengan ayat Benjy niiiii.....caring gilaaaa :)

    ReplyDelete
  39. Omo.....cair terus dengan Benjy ni...jenis yg straight to the point no konar konar..

    ReplyDelete