Thursday, February 25, 2016

Aku Telah Mencintaimu 6

TERSENTAK bila bahunya dicuit.  Senyuman Willa terukir lebar.  Terus dia tarik tangan Aina duduk di sisi.  Menghadap tasik Ulu Yam.  Tenang di sini menikmati keindahan alam. 
“Kenapa datang sini?  Sorang-sorang pulak tu?”  Aina sisip air yang baru dia buka.
“Mana ada sorang…”

“Habis tu?”
Willa sengih.  “Itu, orang mancing, orang berniaga ada…”
“Gila…”  Aina mencebek.
Willa gelak.  Nasiblah Aina tak kerja hari ni.  Dia pun, malas nak balik rumah.  Dan, di sinilah tempat dia lepak.  Dekat dengan rumah.  Hijau dan menenangkan.
“Kau tak kerja hari ni?” 
Kepala Willa bergerak ke kiri dan kanan.  “Aku baru habis kerja subuh tadi…”
“Willaaaaa…”  Aina mengeluh panjang.  Bukan sebab putus asa tapi sebab kecewa.
“Berapa kali aku nak cakap, janganlah kerja sampai pagi.  Lepas tu, tidur kejap… kau sambung kerja lagi.  Geramlah aku dengan kau ni.  Nanti makan minum tak terjaga.  Lepas tu kau sakit.  Aku yang risau…”  Aina dah mula membebel.
Tapi, hanya buat Willa terus lebarkan sengih.  “Kalau tak kerja, aku nak makan apa?”
“Setakat makan tu, jangan risaulah, Willa…”
“Habis tu, rumah tu..”
“RUmah tu, rumah aku.  Kau duduk aje situ selama mana kau nak.  Free of charge.  Selama ni, aku tak nak ambik pun duit tu, kau yang beria.  Selit dalam wallet aku lah.  Bawah bantallah.  Pergi bayar duit maintainancelah.  Bil karan segala.  Tolonglah Willa… dengar kata aku ni…”  Dia bersungguh maksudkan itu. 
Dia pun tak bayar rumah tu.  Mama dan papa beli untuk bagi sewa tapi dia nak duduk.  Ada Willa temankan, dah satu rahmat.  Dia tak sunyi.  Lagipun, Willa adalah kawan yang dia kenal sejak di sekolah menengah. 
“Apa yang kau nak berkira sangat ni, Willa?”  Sayu Aina menyoal.
“Aku tahu kau tak berkira dengan aku, Aina.  Tapi aku…”  Suara Willa bergetar.  Dada dia mula sebu.  Dipandang mata Aina dalam.
“…aku yang rasa serba-salah segalanya.  Setidak-tidaknya, aku buat sesuatu untuk rumah tu…” 
“Willa… kau temankan tu, aku pun rasa serba-salah.  Ikut aje aku pergi mana.  Kadang-kadang aku ni haa… rasa macam ambik kesempatan dekat kau.  Lagipun, aku tahu kau perlukan duit dan kalau aku nak bagi pinjam, sah-sah kau tak nak.  Jadi, elok kau simpan duit tu.  Rumah, api, air… semua tak payah bayar.  Aku tak kisah langsung.  Kalau gatal sangat, beli lauk sama-sama.  Kita masak macam biasa kita buat.  Sebelum kau buat empat lima kerja seperti sekarang.”
Sebut pasal kerja Willa, terlalu banyak untuk seorang manusia lakukan kerja.  Walaupun, menteri sarankan buat dua tiga kerja dalam satu masa… kenalah juga ada masa rehat.  Ini tidak..
“Habis tu, kau buat apa semalam sampai Subuh?”  Dia pun duty malam, semalam.  Ini yang baru tahu Willa tak balik rumah malam tadi.
“Macam biasa.  Dengan Abang Fandy…”
“Mamat poyo tu?”  Aina mencebek.  Entahlah.  Tak selesa dengar nama tu.  Nampak macam ada wajah lain yang terselindung di balik wajah jambu itu. 
“Poyo tak poyo, dia selalu tolong aku…” 
Hai… Aina geleng.  Dia pun tak tahulah mana Willa kenal Fandy tu.  Tapi, dia tahu sesuatu.  Kawan baik dia ni, tahu jaga diri.
“Semalam bawak siapa?  Pemabuk mana pulak?”  Kasar Aina menyoal kerana dia tahu apa yang Willa buat kalau kerja sampai Subuh.
“Heii… tak baiklah gelarkan orang pemabuk…”
“Aku agak aje…”
Willa senyum.  Telahan Aina tepat.  Tapi, entahlah.  Melihatkan mata itu bersama rayuan yang bukan sekali… tak sesuai nak gelarkan Reza begitu. 
“Woi… sampai mana dah?”  Bahu Willa disiku. 
“Ada ni…”  Saja bagi jawapan loyar buruk.  Dia teguk air.  Aina mencebek. 
“Lepas ni, aku tak kerja lagi dah dengan tu semua…”
Aina lepaskan tin air daripada bibirnya.  Menoleh penuh pada Willa.  Ini yang dia nak dengar ni. 
“Aku nak kerja dengan dia…” 
“Dia?”  Kerutan lebat menghujani wajah Aina.  
Willa senyum dan mengerdipkan matanya sekali.  Keputusan yang dia buat setelah puas berfikir. 





MATA bertentangan lama.  Seperti membara rasa rimas dalam diri masing-masing.  Masa apa lagi yang Reza minta.  Dah berjam-jam dia temani lelaki ini dah sekarang, perut lapar dia kembali menyerang.  Kalau kali ini, dia tak makan… memang dia akan tersembam tapi Reza terus menahan.
“Kenapa?  Dua puluh empat jam tu, tak cukup ke untuk awak sampaikan nak mintak masa saya?”  Willa saja buat lawak beku. 
Dia merengus.  Sukarnya nak buat Reza faham.  “…kalau saya boleh bagi masa tu untuk awak, lebih baik saya jual masa yang saya ada.  Tapi, saya sendiri pun berlumba dengan masa, Reza.  Saya harap awak tak minta benda bukan-bukan tu daripada saya…” 
Buntu bila selalu dibangkang gadis ini, Reza leraikan pegangannya pada lengan Willa.  Baru beberapa jam dia kenal seorang Erwilla, tapi kena bagaikan sudah berkurun. 
“Mummy aku ada dekat luar lagi…”
“Alasan, kan?”  cantas Willa. 
“Alasan nak kurung saya dalam bilik ni.  Alasan nak tengok perempuan jenis saya ni boleh beli dengan duit atau tak…”
Tuduhan Willa tuduhan tak berasas.  Lagipun, dia tahu yang mummy dah tahu.  Kasut Willa… dia baru terlintas.  Walaupun Ibu Ati cakap line clear tapi bila-bila saja mummy akan serang hendap. 
“Okey.  Aku beli masa kau, Willa…”
Terkedu Willa dengan kata-kata Reza.  Telahan dia tepat.  Reza memang sedang beli dia. 
“Berapa yang awak nak bayar?”
“Berapa lama kau boleh bagi?”  cabarnya dengan wajah serius. 
“Dua belas jam?”  tanya Reza bila Willa menyepi.
“Atau dua puluh empat jam?”  desaknya lagi.
“Atau seminggu?  Sebulan?  Setahun?” 
Willa tunduk seketika.  Dosa lalu sedang menagih pembalasan.  Terjebak, terperangkap… dia senyum dengan wajah yang dia cuba kawal ketenangannya.  Masa yang Reza minta entah untuk apa itu, dia memang tak ada. 
“Kalau saya ada masa tu, selamanya saya bagi, Reza.  Selamanya…” 
“Selamanya yang macam mana?” 
Willa tunduk.  Dia… tiada jawapan pada soalan Reza.  Kenal pun baru sesaat, mana mungkin dia serahkan kepercayaan dia walaupun sepicing. 
“Lepas, Reza.  Tugas saya dah habis.  Awak dah balik dengan selamat.  Saya pun kena balik rehat…”
“Aku bayar kau!”  Reza terus menahan. 
“Harga masa ni terlalu mahal, Reza.  Awak tak akan mampu belinya…” 
“Apa saja harga.  Aku bayar.  Biarpun sampai aku tinggal sehelai sepinggang, aku bayar upah kau…”  Kata-kata Reza terlalu serius.
Willa menggeleng kecil.  Senangnya orang berduit… apa saja boleh beli.  Sampaikan masa pun nak beli?  Tidakkah Tuhan telah berikan setiap manusia di bumi ini sama taranya.  Dia dan Reza juga sama.  Tak terkecuali.  Masa untuk dia begitu suntuk sedangkan dia masih terlalu banyak perkara yang nak dia selesaikan.
Sekeping cek dikeluarkan.  Terus ditandatangi.  Kosong! 
“Kau isi berapa yang kau nak.  Aku beli masa kau,” ulang Reza. 
Tuhan… kenapa aku diuji lagi?  Willa menjerit dalam hati.  Menggigil tangannya menyambut cek yang Reza sua di depan mata. 
“Demi masa, Reza…”
“Aku tak nak rugi lagi, Willa…”  cantas Reza dengan wajah yang berkerut menahan sebak.



AINA kelu seketika.  Menala mata pada Willa tapi Willa tenang memandang pada tasik yang sedikit keruh hari ni.  Mungkin kerana malam tadi hujan. 
“Kau terima cek tu?” 
Willa angguk. 
“Kau jual masa ke, atau kau jual diri?”  tempelak Aina geram.
Laju Willa menoleh.  Tapi, tak rasa nak marah langsung.  Boleh jadi kedua-dua telahan Aina tepat.  Dia pun tak tahu, apa jenis khidmat yang Reza nak daripada dia.  Cuma dia, sepertinya telah terpijak di atas bintang yang jatuh ke bumi. 
Reza itu lubuk emas. 
“Kau bahagia ke gitu?”
“Aku perlukan duit, Aina…”
“Duit bukan segalanya, Willa.  Kau jugak selalu cakap dekat aku…”
Kali ini, Willa angguk.  Benar duit bukan segalanya.  Tapi seperti dia kata, segalanya memerlukan duit.  Dia juga tak terkecuali. 
“Setidak-tidaknya, aku tak buat dua tiga kerja dah…”  Dia sengih cuba memancing kemarahan Aina agar reda.  Macam manalah seorang doktor muda ini begitu sensitive hari ni.  Ramai sangat ke pesakit semalam.  Padahal rasanya tak on-call pun. 
“Kau jangan sengihlah.  Aku tak layan umpan kau tu…”  Aina toleh ke depan.  Lama-lama tengok senyum comel Willa, dia akan angguk apa saja.  Haih… geram sungguh.
“Habis tu, bila start kerja?”
“Tak tahu lagi.  Aku tak bagi keputusan lagi…”
“Tapi, kau dah bulat hati nak terima.  Buatnya nanti dia ajak kau masuk hotel ke, layan dia dekat katil, ajak kau masuk club… kau nak ke?  Sebab cek kosong tu?”
“Hey, darling.  Relakslah.  Aku ada akal.  Aku boleh fikir.  Tapi, aku tak rasa sampai situ.  Aku dapat rasa, dia tu sunyi.  Dia perlukan seseorang untuk mengadu…”
“Dan, kau bukan biro pengaduan, okey…”  Jelek pulak dengan jawapan Willa ni. 
“Lagipun, sampai bila nak jadi pendengar dia…?”
Tahu Aina marah.  Jadi, tiada pilihan, Willa terus diam meneguk air yang masih berbaki. 

Ya, Aina…  bukan untuk sampai bila-bila.  Tapi, setidak-tidaknya… dia menjadi saham untuk aku.  Selamanya… 

...bersambung

21 comments:

  1. reza dah terpukau dgn senyuman Willa...ada seseorang tempat untuk mengadu nikmatnya lebih besar dari segunung emas..

    ReplyDelete
  2. terbaik dear mcam selalu. tqvm. Reza kena hargai masa yang berlalu ini demi Willa

    ReplyDelete
  3. Terima kasih RM.. always enjoy reading yr stories.. and i da rekomen HURT kat library in sg.. hee.. *peace*

    ReplyDelete
  4. Alaaaa willa ada penyakit ke..? Demi masa..dan reza jwb Xnk rugi lg.. teringat surah al asr

    ReplyDelete
  5. Adakah Reza minta Willa mengajar dan menjadi tempat Reza mengadu...

    ReplyDelete
  6. saham untuk akhirat kan. waaa best kak RM

    ReplyDelete
  7. waahhhhhh syokk baca...besst kak RM..kipidap

    ReplyDelete
  8. Suka buat org tertanya2 & tertunggu2 la RM ni... ugh, mencabar kesabaran sungguh..

    ReplyDelete
  9. Rehan,

    sesungguhnya...karya² awak mmg x menghampakan... (k.i)

    K.I

    ReplyDelete
  10. One day one entry..chayyok..best!!semoga idea mencurah tiba..

    ReplyDelete
  11. One day one entry..chayyok..best!!semoga idea mencurah tiba..

    ReplyDelete
  12. Xpernah mngecewakan buah tangan drp rehan. Teruskan berkarya. Akk mmg follow dr terlerai kasih lg

    ReplyDelete
  13. Xpernah mngecewakan buah tangan drp rehan. Teruskan berkarya. Akk mmg follow dr terlerai kasih lg

    ReplyDelete
  14. Willa seakan2 tidak dpt hidup lama... dia sakit ke... Jgn la cerita ini berakhir dgn trajis...

    ReplyDelete
  15. macam tau2 je tasik ulu yam tu RM.. tmpt training rowing tu...
    dan #DekatJe huuuu

    ReplyDelete
  16. Hari2 jenguk..dh 5 hari still xde N3...

    ReplyDelete