Saturday, August 06, 2016

Black Swan 10

TELEFON ayah dicapai.  Senyum bila nombor yang dia carik ada.  Sesekali, dia pusing belakang.  Kotlah ayah muncul tiba-tiba ke.  Jenuh nak menjawab.  Zam laju menyalin nombor telefon milik Isra.  Jam dah bergerak ke angka dua pagi.  Entah dah sampai rumah ke belum. 
Risau pulak dia.  Apatah lagi bila pesanan ayah berdengung. 
“Zam dengar tak ayah cakap ni…”  Dia mengelamun tadi. 
Laju Zam angguk.  “Dengar, yah…” 

“Jangan dok buat seteru sangat dengan Isra, Zam.  Dia tak ada sesiapa.  Lepas ni, paling tidak pun, Zam tanyalah dia… dah makan ke belum.  Ayah yakin, itu dah cukup untuk buat hati Isra tersentuh dan hidup balik,” pesan ayah penuh makna dan terus masuk ke bilik.
Zam garu dahi tak gatal.  Rambut yang masih berikat turut digaru.  Dia suka rambut dia macam ni.  Lagipun, dia bukan lagi pelajar biasa.  Dia dah tua.  Cuma sekarang baru sambung belajar.  Dia lebih tua daripada Isra. 
Kerana pesanan ayah bagai pita perakam, dia dah jadik pencuri.  Curi nombor Isra.  Tapi, dah beberapa minit berlalu… dia hanya memandang nombor itu.  Berkira-kira nak dihubungi atau pun tidak. 
Tuhan… Zam lepaskan ikatan rambutnya.  Diramas sedikit kasar.  Kemudian, dia rebahkan tubuh.  Memandang siling.  Tak pernah sekali dia tanya soalan itu pada Isra.  Tak pernah! 
Kejam sangat dia layan Isra walaupun dia tahu kehidupan sukar gadis itu. 




TUBUH Isra mula membahang.  Hingga Arel di sebelah pun turut rasa bahangnya.  Dia yakin, Isra mula demam.  Demam terkejut jumpa dia atau kerana lukanya, boleh jadi kedua-dua sekali. 
Dengan keadaan selekeh, selipar jepun, baju-T putih yang agak tipis dan seluar kerja yang belum bertukar juga rambut berserabai… dia keluar juga lepas berkeras untuk menghantar Isra dalam keadaan Irah dan mama terpinga-pinga.  Lantaklah.  Dia tak ada masa nak terangkan. 
“Awak demam, Isra,” ujar Arel memecahkan kesepian. 
“Saya okey…”
“Bila masa lah awak tak okey, ya?”  sindir Arel. 
Isra ketap bibir.  Ayat seperti itu, dah dua kali masuk ke telinga dia malam ini saja.  Sekali daripada Zam dan sekarang, Arel pulak.  Patut tadi dia dia masuk aje teksi tu dan biarlah Arel sendiri.  Tapi, Arel lebih laju membayar tambang teksi dan menyuruh pemandu itu berlalu.  Dia terkontang-kanting pulak. 
Kawasan rumah Arel ni, mana nak dapat teksi.  Ikut hati, dia nak lari aje tapi dia sakit.  Dia tengah tak sihat. 
“Kenapa awak lari daripada wad, Isra?” 
“Saya tak ada duit nak bayar…” 
“Habis tu, sejak saya bagi awak rawatan, ada ke saya mintak awak bayar?” 
“Tapi, doktor kata saya berhutang…” 
Arel gelak kecil.  “Dan awak jugak tahu cara nak bayarnya, kan?” 
Isra diam.  Tubuhnya makin rasa tak selesa.  Pandangannya sedikit berbalam.  Sesekali, rasa ada cecair yang terpancut daripada lukanya. 
“Awak buat hutang awak tu tak akan terbayar sampai bila-bila sebab awak lari daripada saya, Isra…”  ujar Arel perlahan. 
“…awak buat diri awak terikat hutang pada saya sampai bila-bila,” tambahnya. 
Mendengarkan kata-kata Arel, otak Isra menafsir yang bukan-bukan.  Ayat itu kedengaran indah tapi dia tahu, dia sudah terlalu jauh tersasar dalam mentafsirnya.  Jadi dia pilih untuk diamkan diri. 
“Awak tahu tak kenapa saya tolong awak, Isra?” 
Sepi.  Arel menoleh.  Isra hanya memandang pada dashboard tanpa perasaan.  Seperti setiap kalinya.  Sukarnya untuk dia menelah rasa dalam dada gadis malang ini. 
“Tak payah saya cakap kan budak tu siapa…” 
“Irah?”  soal Isra perlahan.  Dia dengar nama itu diseru tadi.  Jika tidak, dia tak rasa nak tanya pun. 
Padanlah senyuman dan mata itu seperti pernah dia lihat.  Rupanya, memang dia dah lihat. 
“Saya nampak adik saya dalam diri awak, Isra.  Saya risau dengan perangai Irah.  Andai jadi apa-apa pada dia, ada ke orang nak tolong dia.  Saya harap bila saya buat baik, Tuhan hantar bantuan pada orang-orang yang saya sayang bila diperlukan…”  Arel matikan ayat di situ.
Kereta dihentikan seketika bila lampu isyarat bertukar merah.  Dia toleh pada Isra.  Kerana ini dia begitu terasa terhutang budi.  Kerana Isra memang berbudi pada dia.  Dan kerana adik dia, Isra lalu perkara sebegini. 
“Tuhan betul-betul hantar orang bantu adik saya, Isra.  Saya baru tahu orang tu adalah awak dan sekarang, hutang awak langsai.  Tapi, jaga diri awak, Israfil.  Tolong,”  pinta Arel separuh merayu. 
Isra menoleh.  Mendengarkan kata-kata Arel tentang hutang yang langsai, lega dalam dadanya.  Tapi masih tak begitu lapang. 
“Kalau bukan dia pun, saya tetap tolong, doktor dan doktor dah beri lebih daripada yang sepatutnya.  Satu hari nanti, saya akan bayarnya untuk doktor sendiri atas jasa doktor pada saya…”
Arel angguk tipis.  Tersenyum manis.  Disebak rambut yang jatuh ke dahi.  Lega sangat lega bila dia akhirnya temui penyebab kenapa dia begitu rasa terikat pada gadis ini.  Gear ditukar dan kereta kembali lancar membelah jalan raya. 
“Saya tunggu hari tu tiba tapi sekarang ni, awak kena bantu saya…”
“Bantu?”  Apalah lagi.  Dia sekarang ni nampak bantal aje dah. 
“Kita pergi hospital.  Lagipun, saya baru terima SMS kena masuk jugak.”  Pakai maacm ni pun jadilah.  Kalau dah kes urgent, dia tak boleh nak menolak. 
“Saya kena balik…”
“Nope!”  Arel pejamkan mata sekali.  Menggeleng kecil. 
“Kita pergi hospital.  Bagi saya rawat awak bagi sembuh betul.  Kalau tak, saya bawak awak ke balai.  Awak pilih.  Hospital atau balai polis?”  ugur Arel.
Isra telan liur.  Dia sangat tak suka ke balai polis.  Ada pengalaman tak elok.  Dan, dia tak boleh jejak lagi ke situ.  Dia dah janji dengan diri sendiri. 
“Lagipun, awak demam ni…”  Dia nampak peluh sejuk yang sejak tadi berbintik atas dahi Isra. 
“Luka awak tu, memang sah dah kena jangkitan atau boleh jadi, jahitan dia retas…” 
Isra masih diam. 
“Bila luka awak sembuh, baru saya betul-betul rasa balas jasa  awak pada adik saya, Israfil…” 
“Doktor?”  panggil Isra tiba-tiba.
“Erm…”  Arel menyahut namun tak menoleh. 
“Kalau lepas ni saya luka atau jatuh sakit lagi, boleh saya jumpa doktor?”  tanya Isra dengan suara yang begitu lemah dan nafas yang semakin perlahan. 
Arel telan liur.  Soalan itu biasa sangat.  Tapi, cara Isra bertanya tu… Arel menoleh dua saat sebelum mata kembali ke jalan raya. 
“Jangan sakit lagi,”  ujar Arel dalam pada mendamaikan hati sendiri yang tiba-tiba bergelora. 
“Saya tak pernah pilih untuk sakit, doktor.  Tak pernah terfikir untuk jumpa dengan orang sebaik doktor.  Tapi, seperti pernah saya cakap… kadang-kadang hidup ni tak ada pilihan.  Yang buatkan saya perlu hulurkan tangan pada orang macam doktor yang saya sendiri tak tahu, mahukah doktor sambutnya…” 
Sekali lagi, Arel kehilangan kata. 
Jika sebelum ni dia rasa Isra sangat kedekut dengan suara sendiri.  Rupanya, bila gadis ini bersuara, kata-kata itu begitu indah.  Tak ubah seperti alunan puisi. 
“Tidur kejap, Isra.  Nafas awak dah lain macam…”  Bukan niat dia nak lari topic, tapi sungguh.  Nampak Isra sedang bertahan.  Isra makin lemah. 
Isra senyum tipis seraya memejamkan mata.  Mata Arel terkebil-kebil.  Jantungnya sedang merusuh seperti mahu keluar daripada sangkar rusuk.  Apatah lagi bila kepala Isra terkulai…
Isra pengsan!
Tangan kiri Arel menjalar menyentuh leher Isra dan biarpun kulit dibalut hoodie, rasa panas itu tetap membakar tangannya. 
Bertahan, Israfil!  Tolong!!!
Hati Izrail, menjerit sekuat hati!  

...tobecontinue

7 comments:

  1. Wahhh... tq kak update... melepas rindu dgn arel n isra...

    ReplyDelete
  2. Teruskn berkarya yer rehan....
    Menanti dan terus menanti

    ReplyDelete
  3. Alaaaa teruk sgt dh tu smpai pengsan!! 😦😢 tqvm rehan for the triple updates 🌹🌹🌹

    ReplyDelete
  4. Karya RM tak pernah tak buat saya menangis ������
    Syabas!!! Keep it up!

    ReplyDelete
  5. best sgt2..tk sabar nk tau next episod.

    ReplyDelete