MATA Irah
dipandang. Dikawal rasa amarah sebaik
mungkin agar tangan kasarnya tak hinggap pada pipi Irah. Arel pandang mata mama dan papa yang banyak
diam. Berapa kali nak cakap, jangan
dimanjakan sangat. Tengok sekarang… Irah
dan Isra nampak serupa tapi hakikatnya beza.
Dia tahu, Isra
tiada apa. Tapi, Irah… punyai
segalanya. Apa lagi yang buat Irah
memberontak begini.
“Irah tahu tak,
malam tadi pesakit abang kena tikam…”
“Hah?” Mama dan papa gamam. Terkejut.
Terus dia pandang Irah.
“Apa kena
mengena dengan Irah pulak?”
Arel hela nafas
panjang. Soalan Irah terlontar tanpa ada
langsung rasa bersalah. Bongkak sungguh.
“Abang tak nak
benda sama jadi pada Irah…” ujar
Arel. Keras dan tegas.
“Irah tak buat
jahat dekat orang…”
“Dan abang pun
percaya, budak tu tak buat jahat apa pun.
Abang dapat tahu dia cuma tolong orang…”
“Itu penyibuk
namanya, bang…” Irah tayang wajah meluat.
Entah kenapa, lepas kes dia kena kacau malam tu, abang makin
menjadi-jadi.
“Irah!” Tangan Arel terangkat tinggi tapi tempikan
mama menahan. Dia kembali duduk.
“Itu living
proof, kau tahu tak? Untuk kau lebih
jaga diri. Dia perempuan. Pertama kali abang rawat dia, mulut dia
pecah. Tangan luka. Semalam dia kena tikam. Separuh perut dia koyak. Masa abang rawat dia, abang nampak kau. Abang call Irah tapi tak bersambut dan abang
tahu… semua orang dalam rumah ni nak sorok perbuatan Irah daripada abang. Kan, ma?”
Arel toleh pada mama.
Mama tunduk tak
berkata apa.
“Arel belajar
bersungguh untuk pastikan keselesaan keluarga kita. Kita pernah susah, ma. Arel janji dengan diri sendiri… Arel akan
jadi doktor dan tolong orang susah. Yang
tak mampu. Yang pernah hidup macam
kita. Melarat. Semua orang tak pandang. Dan, Arel nak pastikan adik Arel tak lalu
kesusahan yang Arel lalu. Tapi, apa Arel
dapat? Arel dapat kecewa, ma… kecewa
sangat!” Nafas berat dilepaskan.
Tinggi sangat
gamaknya harapan yang dia gantung hinggakan bila putus tali halus itu, dia
jatuh terduduk hingga retak tunggu masa nak berkecai aje dengan perangai semua
orang dalam rumah ni.
“Arel… kita
bincang,” ajak abah.
Perlahan, Arel
geleng. Dia pandang Irah. “Sungguh Irah. Abang nampak kau pada diri dia. Tapi, abang tak tahu… andai jadi apa-apa
dekat kau, ada ke orang nak bantu kau nanti?”
soal Arel lebih pada dirinya sendiri.
Tubuh diangkat Dia nak rehat. Kepala dia semak. Irah
yang makin memberontak. Isra yang
lesap entah ke mana. Kalau jadi apa-apa
pada gadis tu, macam mana sedangkan luka itu teruk. Kalau terkena jangkitan? Pandai ke Irah nak rawat?
Tapi… otaknya
berhenti menjana buat seketika. Setiap soalan
itu dia dah temui jawapan bila diingatkan parut lama pada tubuh Isra. Dah tentu gadis itu rawat luka sendiri. Tapi, itu mungkin dulu. Sekarang, susah ke Isra nampak keikhlasan dia
nak bantu gadis tu?
Budi apa yang
kau dah tabur pada aku, Isra? Sampaikan aku
rasa aku perlu bayar segalanya…
Sepertinya, dia
yang berhutang dengan Isra.
MELIHATKAN Arel
yang begitu tegang, abah memandang wajah Irah.
Mama juga sama. Hinggakan Irah
mula tak selesa. Nak tengok TV pun tak tak
ada mood.
“Puas hati Irah?” soal abah.
Irah mengeluh
berat. “Abang tu stress. Stress dekat pesakit dia yang entah sesiapa
tapi Irah yang jadi mangsa. Apa kaitan
Irah dengan budak tu? Kalau budak tu tak
reti jaga dir, dia punya pasallah. Kan
Irah dah janji, Irah jaga diri. Abang tu
sengaja carik pasal…”
“Irah!” tempik mama.
Tak boleh nak bagi muka dah.
Salah dia dan
suaminya kerana terlalu manjakan Irah. Seperti
kata Arel, dia tak nak Irah lalu kesusahan yang sama dengan Arel. Arel terlalu berdikari dan berjaya dengan
usaha yang bukan sedikit.
“Jangan sebab
abang marah, Irah boleh cakap macam tu pada dia. Jangan Irah lupa… apa yang Irah ada sekarang,
adalah usaha keras abang, tau tak?”
“Habis tu, mama
nak suruh Irah bayar balik? Gitu?” Irah campak bantal yang sejak tadi
dipeluk. Dia bangkit dan terus berlalu
ke bilik.
Tak lama,
mencicit keluar tanpa dipedulikan panggilan dan larangan mama dan abah.
Arel pejam
mata. Kancing kemeja dibuka satu
persatu. Membiarkan dadanya dijamah angin. Malas dia nak fikir. Tubuh dia letih betul. Tapi, ada benarnya kata Irah. Boleh jadi dia begitu tertekan dengan keadaan
Isra hinggakan dia pilih Irah menjadi mangsa untuk dia lepaskan tekanan.
SEJAK tadi, mata
Zam tak lepas memandang pergerakan Isra yang nampak begitu terhad. Terbantut sana-sini. Tak pantas dan cekap macam selalu. Sesekali, wajah itu berkerut dan Isra
memegang sisi perut.
“Isra?” panggil Zam bila dilihat pelanggan sudah
berkurang.
“Kau tak sihat
ke?”
Bibir Isra
terjongket senyuman sinis. Aneh betul
soalan Zam pada dia. Sejak bila Zam
pandai ambik berat pasal dia?
“Okey aje…”
“Itulah ajelah
jawapan yang kau tau, kan?” bebel
Zam.
“Itulah dia…
budak tak cukup ajar macam kau ni, itu ajelah jawapan yang kau boleh bagi kalau
aku tanya soalan elok-elok…” Dia cukup
tak gemar bila Isra bagi jawapan macam tu.
Macamlah dia ni
tak boleh nampak Isra okey ke tidak.
Isra gigit
bibir. Terasa hati gamaknya dia dengan
kata-kata Zam. Padahal, bukan kali ini
aje Zam herdik dia. Dia dah lali. Dah jadi darah daging. Cuma sekarang ni, hati dia seperti kembali
berdenyut semula. Hati dia dah kembali
punyai rasa.
Rasa sakit!
“Aku okey,
Zam. Jangan risau…” Air wajah dikawal. Ketat seperti selalu.
“Siapa cakap aku
risau dekat kau? Hah?”
“Ya aku tahu kau
risau aku buat kerja tak betul. Jangan risau. Aku boleh kerja…” jam dipandang. Dah hampir lewat malam. Biasa masa ni, Zam dah mula nak balik tapi
ini tidak.
“Kau nak balik
sekarang, pergilah…”
“Tinggalkan kau
sekor-sekor?” soal Zam kembali.
“Kau makin tak
percaya dekat aku, kan?” duga Isra.
Sebelum ni,
andai Zam cakap begitu, dia hanya buat tak tahu. Dia pasti berpaling dan menyambung kerja
sendiri. Tapi ini…
“Aku tak pernah
curik tulang atau curik duit untung kau, Zam… ayah kau pun tahu tu. Tapi kau…”
Bicara Isra mati bila dia nampak dua orang pelanggan baru saja
duduk.
Terus dia
berlalu tanpa mempedulikan Zam. Bercakap
dengan Zam, hati yang sedia kering darahnya, akan tetap terasa pedih.
“Isra…” Keluhan Zam panjang. Tangan yang sejak tadi bekerja, terhenti.
Aku tak maksud
tu, Isra. Tak kanlah aku nak tinggal kau
dalam keadaan kau nampak sakit tu. Tapi,
Zam tahu… dia masih tiada kekuatan untuk meluahkan semua tu. Apa rasa
ni?
Dah lama dia
kenal Isra. Dah lama rasa yang dia tak
tahu tu ada. Cumanya…
“Order…” Isra dah berdiri depan Zam.
Mata lelaki itu
terkebil-kebil. “Err… dah cakap tak
masak dah? Minum aje…”
“Haah…”
Zam panjangkan
leher. Dia kemudian pandang mata kuyu
Isra. Bibir yang kering dan wajah yang
begitu pucat tak seperti selalu.
“Budak dua orang
tu lagi?”
Isra sengih
senget. Malas dia nak layan.
“Kalau diorang
tahu kau ni…” Zam hentikan kata. Dia ketawa sambil tangan ligat mengacau
air.
Isra gamam
seketika. Melihat Zam ketawa buat
pertama kalinya… Masih adakah rasa yang pernah wujud itu dalam dadanya. Rasa yang dia yakin dia dah lama bunuh. Mana mungkin yang mati itu hidup
kembali?
Seperti kali
pertama dulu, dia terus renung lelaki berambut panjang di depannya. Rambut yang diikat seperti samurai. Fesyen yang sejak dulu dengan cermin mata bingkai
hitamnya.
“Kau mesti dah
lama carik peluang nak tenung aku, kan?”
Zam letak dua gelas air depan mata Isra.
Dia tongkat kedua belah tangan. Merenung
tepat pada Isra.
Melihatkan Isra
yang sedikit kaget, senyuman mekar dalam hati.
“Dah, pergi
hantar air tu. Nak kemas dah ni…” Dia balikkan tubuh. Menyimpul senyum seindah mungkin.
Tapi… Zam
kembali toleh bila Isra berlalu. Dia tahu,
Isra tak sihat. Bertumbuk lagi ke? Teruk sangat ke luka kau, Isra?
Kisah lalu
kembali menjajah minda. Bila tubuh Isra
dikelar demi menyelamatkan ayahnya daripada dirompak satu ketika dulu. Kerana itu, ayah begitu percaya pada Isra
namun dia…
“Sebab penyangak
macam kaulah, bapak aku dapat bala, tahu tak?!”
Tuduhan itu seperti baru semalam dia lontarkan. Tanpa dia tanya, bagaimana luka gadis itu
bila Isra hanya berlalu merawat luka sendiri.
Andai waktu
boleh diputar…
...tobecontinue
Ohhhh...isra...sedih baca kisah dia ...sedihhhhhh sangat....
ReplyDeleteGeramnye ngn irah
ReplyDeleteSedihnya, byk tul isra berkorban utk org lain yg Xde kna mengena pon dgn dia.. si irah tu pulak Xsedar diuntung 😤😠
ReplyDelete