Tuesday, January 30, 2018

Kau Bicara Tentang Cinta 3


SERA jamah dahi sendiri.  Panas.  Sebaik saja Buya balik, dia terus bergegas keluar.  Segala benda ditinggalkan.  Hanya sempat capai helmet saja.  Beg duit semua ada di kedai.  Tak kisah dah dia kena saman ke apa.  Dicucuk kunci pada leher Yamaha Ego itu dan laju dia memecut dengan peluh yang merenik pada dahi. 
“Sera?” 
Sera pantas bangkit.  Mengelak.  Nafas yang berkocak, didamaikan bila dia akhirnya sedar, dia ada di rumah sekarang. 
“Sera kenapa?” 
“Mak su…”  Laju dia dapatkan ibu saudaranya.  Tangan itu dipegang kemas. 

“Apa yang tak kena ni?”  Merasai tangan Sera yang basah, seperti sesuatu yang teruk telah terjadi.  Lagipun, awal sangat Sera balik.  Tak seperti biasa. 
“Ada benda dah jadi ke?”  Mak su semakin menekan soalan. Melihat pada Sera  yang menggigil dan memandang ke pintu. 
“Sera?” 
“Ya, mak su.”  Nafas lega dilepaskan bila pintu itu memang telah berkunci rapat.  Dia jatuh terduduk di atas permaidani.  Dengan tangan  yang masih lagi dalam genggaman mak su.
“Cuba cakap?”  Mak su turut bersimpuh.  Menarik tubuh Sera yang terasa hangat.  Sera demam. 
“Buya… Bunyamin…”
“Siapa?” 
“Buya… Bunyamin, mak su…”  Gagap Sera sebut nama itu.
“Siapa tu?”
“Anak Uncle Bakri.  Dia dah balik.  Dia datang jumpa Sera.  Katanya, uncle nazak.  Sera tak tahu nak buat apa.”  Airmata Sera tumpah lagi.  Tak mampu dia lupakan bagaimana Buya mengilas tangannya.  Kesan genggaman jari-jemari kasar itu masih berbekas pada pergelangan tangannya. 
“Bakri?  Siapa tu?”  Dahi mak su berkerut.  Cuba ingat sepatah nama.  Adakah hanya sama nama dan orangnya berbeza atau sememangnya orang yang serupa?
“Dia kawan arwah ayah, mak su.  Mak su tak ingat?”  Pelik kalau mak su tak tahu.  Uncle Bakri sendiri kenal mak su. 
Mata mak su merah menyala tiba-tiba.  Rahangnya diketap kuat.  Jadi, memang tepatlah apa yang dia rasa.  Nama dan orangnya adalah yang serupa.  Dan paling menyakitkan, dia tak pernah tahu Sera kenal lelaki itu. 
“Jadinya, Sera kenal dia?  Tapi, tak bagitahu dekat mak su?”
Sera ketap bibir.  Ya, memang dia tak pernah cakap pada mak su tentang pertolongan Uncle Bakri.  Kata lelaki itu, mak su tak suka dia.  Sebabnya dia tak pernah tahu.  Pernah dia tanya, tapi mata Uncle Bakri basah dengan airmata.  Setelah itu, dia nekad tak nak tanya lagi.  Tapi, dia seronok.  Apatah lagi bila Uncle Bakri selalu cerita tentang kisah zaman muda dengan arwah ayah.  Siap tunjuk gambar lagi.  Betapa rapatnya diorang. 
 “Tergamak Sera tak cakap dekat mak su, kan?”  Kecewanya mak su dengan anak buah yang dia jaga seperti menjaga diri sendiri setelah anak ini menjadi yatim piatu. 
Airmata Sera jatuh lagi.  Dia kesat cepat-cepat.  Tunduk.  Mengakui silap sendiri. 
“Sekarang anak dia datang jumpa Sera?  Apa yang anak dia buat sampai Sera gigil macam ni sekali?”  Andai anak pada Bakri menyentuh Sera pada hujung kuku sekalipun, dia tak akan teragak-agak untuk hayunkan telapak tangan dia ke wajah dua beranak itu. 
“Dia… dia…”  Suara Sera gagap.  Dia pandang mak su. 
Berat hati nak cerita tentang sikap Buya pada mulanya.  Tapi, hanya seketika.  Setelah itu, Buya nampak jinak setelah dia patahkan senyuman sinis yang diukir kemas pada bibir itu. 
“…dia cuma cakap ayah dia nazak, mak su…”
“Nazak?  Bakri sakit apa?” 
Dahi Sera berlapis kerutan.  Daripada cara mak su panggil nama itu, dia tahu mereka memang ada hubungan lama. 
“Sera tak tahu.  Sera dah lama tak dengar khabar dia.  Kali terakhir dia telefon dulu sebulan lepas.  Dia ada cakap anak dia nak terbang ke luar negara.  Dia berat hati.  Katanya, dia nak jumpa Sera.  Ada benda nak cakap.  Tapi, hari ni… Bunyamin yang datang…” 
“Bunyamin tu, anak Bakri?”  Kening mak suterjongket. 
Dia tahu Bakri ada seorang anak lelaki dan seorang anak perempuan.  Kedua-duanya dia tak pernah kenal malah seluruh keturunan itu dia akan benci. 
“Sera ingat, Uncle Bakri pernah panggil dia Buya bila cakap dengan Sera…” 
 “Kenapa?  Dia nak jadikan Sera menantu dia pulak?”  Mak su senyum sinis. 
Sera terngadah.  Dia gigit bibir bawah.  Selama ini, dia tak pernah ambik serius dengan kata-kata Uncle Bakri.  Tapi, kehadiran Buya hari ni… dia yakin ada perkara lain yang menjadi alasnya.  Cuma, tak tahu apa. 
“Mak su tak suka Bakri atau anak dia.  Seluruh kaum kerabat dia, mak su tak suka!”  Mak su bertegas.  Dia bangkit.  Langsung tak timbul belas biarpun berkali-kali Sera tegaskan yang Bakri sedang nazak. 
“Dan Sera, kalau kata budak tu datang lagi… bagitahu mak su!”  Terus saja dia pasang langkah menaiki anak tangga ke tingkat atas.  Membiarkan Sera sendiri.
Risau dia pada Sera berubah menjadi marah.  Marah kerana Sera begitu mudah percayakan orang sedangkan dia berkali-kali katakan, tiada apa yang datang dengan ikhlas hati.  Segalanya mengharap pada balasan! 
Melihat mak su yang dah menghilang di balik pintu bilik, Sera lepas nafas berat.  Tunduk.  Memandang pergelangan tangan sendiri yang nampak sedikit lebam.  Apa yang Uncle Bakri dah buat?  Biarpun dia cakap Uncle Bakri nazak, mak su seperti tiada perasaan belas. 
Dan, wajah Buya hadir lagi hingga Sera terpaksa pejam matanya rapat. 



APA yang buat lelaki ini mencari dia hingga ke sini?  Dia bukan baru kenal Uncle Bakri tapi dah lama.  Dia tahu nama Bunyamin.  Dipanggil Buya oleh ayah sendiri dan digelar Tuan Muda oleh yang lain.  Mata Sera memandang Buya daripada atas ke bawah dan bawah ke atas.  Berat tangannya hendak menghulur botol mineral pada Buya yang nampak kehausan.  Macam mana kalau Buya sambar tangan dia lagi dan memulasnya? 
“Saya mintak maaf tadi, Sera,” pinta Buya tiba-tiba.  Mata diangkat.  Dia simpan senyum bila gadis itu menarik tangan sendiri.  Menyorok botol mineral itu di belakang. 
“Mungkin ada salah faham.  Saya tak simpan dalam hati,” balas Sera.  Langsung tak memandang pada Buya. 
“Salah faham?”  Gelak kecil Buya lepas.  Dia menggeleng sendiri.  Salah faham apalah hingga daddy sanggup serahkan segalanya buat perempuan ni.  Cenduai apalah yang Sera guna. 
Nampak manis bertudung.  Sopan.  Tingkah laku tertib.  Malah susun kata juga sama.  Mungkin kerana itu pepatah ada kata, jangan nilai buku daripada kulit.  Sera adalah spesis itu. 
“Tangan okey?” 
“Err… sikit aje.”  Sera tarik lengan baju hingga menutup separuh jari-jemari runcingnya. 
“Air tu nak bagi saya?”
“Oh, ya… minumlah.”  Serba tak kena Sera dibuatnya.  Dia masih ketakutan sebenarnya.  Tak mustahil Buya hilang kewarasan lagi.  Dia kenal Buya melalui cerita Uncle Bakri.  Tapi, Buya dalam cerita tu lain orangnya.    
Dah terbukti.  Tadi lain, sekarang lain. 
Air tersebut diteguk rakus hingga separuh.  Titisan daripada hujung bibir dikesat dengan lengan baju yang dah sedia tersinsing hingga atas siku.  Matanya kembali memandang Sera yang lebih pantas melarikan pandangan. 
“Saya nak balik.  Saya datang ni, nak kenal awak.  Mungkin cara saya salah.  Sekali lagi, saya mintak maaf…”  Tubuh diangkat. 
Baru nak menapak ke pintu, Buya pakukan langkah.  Menoleh.  Dia nampak Sera sedang memegang gunting.  Kemudian, dia palingkan tubuhnya penuh pada Sera.
“Jangan main benda tajam, Sera.  Awak boleh luka,” sindir Buya.  Ya, jangan buat main dengan dia andai Sera tak nak menyesal depan hari.  Air diteguk lagi.  Biarpun tak semua masuk ke rengkung, dia teguk hingga kering botolnya. 
Terus saja Sera lepaskan gunting tersebut. 
Baru nak lap mulut dan baju putih yang dah menampakkan dada bidangnya, tangan Sera terlebih dulu menghulur sehelai tuala kecil. 
“Lap pakai tu…” 
Saat menyambut kain itu, sempat Buya pandangan pergelangan tangan halus itu.  Merah.  Apalah yang dia fikir tadi?  Berkasar, tak akan selesaikan masalah.  Dia perlu atur strategi baru. 
“Awak nak jenguk daddy?” 
Sera angguk.  “Dia pernah bagitahu saya, nak cakap sesuatu.  Saya pun nak cakap sesuatu jugak dekat dia…” 
Mendengarkan jawapan Sera, mata Buya merah tiba-tiba.  Berkerut dahinya membendung kemarahan dalam diri.  Botol air mineral itu digenggam hingga kemek.  Bunyi itu… terasa reput hati Sera mendengarnya. 
“Kalau saya datang jemput awak esok, awak nak ikut saya…”
“Saya…”  Tanpa sedar, Sera geleng. 
“Kenapa?  Awak boleh percayakan daddy saya, kenapa tak boleh percaya dekat saya?”
Heh… nak aje Sera mencebek.  Serang orang macam penyangak, lepas tu mintak orang percaya.  Banyak cantik muka anda, Encik Bunyamin!  Tapi, dia hanya diam sendiri. 
“Saya mintak maaf berkasar tadi.  Saya pun tak tahu apa saya fikir…”  Buya ramas rambut yang kemas tersisir. Seperti mengerti apa yang bermain dalam kepala dia.  Ayat Buya buat Sera telan liur. 
“Saya pergi sendiri kalau Encik Buya cakap dia dekat mana.” 
“Kalau gitu, saya balik dulu…” 
Sera angguk.  Tak sabar nak suruh Buya berlalu.  Seluruh tubuh dia sedang menggigil ni.  Pasca ketakutan dia menyerang. 
“By the way, Sera…”
“Ya?”  Baru nak meluru mengunci pintu, Buya tolak semula pintu kaca tersebut. 
“Abaikan.”  Buya terus berlalu.  Dia nak memuji tadi sebenarnya.  Sera indah.  Seindah namanya. 
Sera Nur.


...bersambung

9 comments:

  1. fuhhh!! debor sungguh...tq RM..

    ReplyDelete
  2. x pernah nk kecewakan sy .. thanks n thanks.. nk lagi plss..

    ReplyDelete
  3. Fuhh... Mmg suspen...

    ReplyDelete
  4. Uish debor sera di buat dek buya..byk identiti si buya ni..ce tenang n cari jawapan nya..jgn buat conclusion je..tq sis rehan

    ReplyDelete
  5. best la....sambung lagi please.

    ReplyDelete
  6. Adakah daddy kianat ayah Sera? Sebab tu dia bagi separuh harta tu pada Sera..


    -widad amsyar-

    ReplyDelete
  7. adakah mak su isteri Uncle Bakhtiar... sbb itu mak su marah bila mengetahui sea kenal..

    ReplyDelete
  8. Hmm apala punca maksu sentap sgt dgr nama bakri tu... cisss, dh mcm bipolar pulak buya tu.. cmn la sera Xcuak kan 😅 thx RM for the update 🌹🌷

    ReplyDelete