Wednesday, January 31, 2018

Kau Bicara Tentang Cinta 5


NAK marah Rizman, tak masuk akal.  Man sibuk uruskan pengkebumian arwah daddy.  Rasanya, baru sekarang dia nampak muka Man bila segalanya selesai.  Sampai terlupa nak jemput Sera Subuh tadi.   
“Maaf, bos,” pinta Rizman.  Tertunduk.
“Tak apalah, Man.  Kau sibuk.  Aku pun lupa…”  Buya memicit pelipis. 
Dia letih sangat.  Rasanya, dah hampir empat puluh lapan jam dia tak tidur.  Sudahlah balik dengan tergesa-gesa.  Satu apa makanan pun tak dijamah sepanjang penerbangan.
Sampai aje, dikejutkan dengan berita tentang Sera.  Setelah itu, daddy.  Dia picit kepala dan menggeleng sendiri.  Dia rasa kebuluran sekarang.  Tapi, dia tak mampu nak telan makanan.  Tak selera langsung. 

“Dia bukak kedai hari ni, Man?” 
“Tak, bos.  Saya ada pergi kedai dia tadi.”
“Rumah?”
“Kosong, bos…”  Rizman sempat jugak lalu tadi rumah tu.  Berkunci.  Memang tiada penghuni.  Kata jiran, Sera tinggal dengan ibu saudaranya. 
“Mana dia pergi?  Tak datang jenguk daddy padahal daddy kemain ingatkan dia…”  Kepala disandar pada sofa tapi baru nak pejamkan mata, kelopak mata kembali terbuka lebar sebaik saja dia nampak Uncle Malik dan susuk di belakangnya.
“Sera?”  seru dia. 
Sebaik saja gadis itu berdiri di sisi Uncle Malik, tersenyum.  Berpakaian serba putih.  Hati Buya sebu tiba-tiba.  Nampak Sera, dia ingat keputusan daddy.  Tanpa sempat dia bertanya lanjut, daddy bawak segala rahsia hingga mati. 
“Takziah, Encik Bunyamin…” 
“Erm…”  Hanya itu yang dia ucapkan.  Muncul akhirnya.  Tapi, sejak bila Sera ada? 
“Uncle kenal Sera?”  Mata Buya beralih pada Uncle Malik.  Ucapan takziah itu dibiarkan sepi. 
“Ya, uncle kenal dia.  Adalah sesekali arwah ajak uncle jumpa Sera.” 
Luka di hati Buya kian lebar.  Jadinya, Uncle Malik memang tahu sesuatu yang sengaja dirahsiakan kerana kehendak daddy. 
“Kenapa baru datang?”  Soalan beralih pada Sera.   Buat masa sekarang, dia tak boleh nak fikir akan wasiat daddy.  Biarlah dulu.  Fikiran dia berkecamuk teruk. 
“Saya…”
“Tak sudi?”  duga Buya pantas.
“Sera dah datang awal lagi, Buya.  Sebab ramai orang, dia tak dapat nak masuk pun jenguk dalam rumah,” jawab Uncle Malik bagi pihak Sera. 
Nafas pendek dilepaskan.  Buya bangkit.  Bercekak pinggang.  Segalanya dah selesai.  Malas nak fikir lagi.  Dia perlu uruskan apa yang masih berbaki.  Dengan apa cara sekalipun.   Cuma, bukan hari ini. 
“Alang-alang Sera dah ada ni, boleh kita…”
“Uncle.  Kejap.” Larang Buya daripada Uncle Malik terus bersuara.  Sera masih tak tahu.  Dia masih tak sedia untuk biar Sera tahu. 
“Kita bincang nanti tentang hal tu.  Sekarang, saya nak rehat…”  Kaki diatur mahu meninggalkan ruang tamu yang baru saja lengang.  Tapi, tak sampai dua langkah, Buya hampir terjatuh.
Lutut dia lemah.  Sempat dia paut lengan Rizman.  Kemudian, dia memisat mata yang berpinar.  Menggeleng berkali-kali.  Pening!
“Bos tak makan langsung ni sejak balik semalam.  Ini yang lemah.”  Rizman berbisik pada Malik. 
Fuh… nafas pendek lepas daripada mulut Uncle Malik.  Dia senyum pada Rizman.  Mengisyaratkan agar lelaki itu juga berehat.  Semua orang penat.  Kemudian dia dekati Sera. 
“Uncle nak mintak tolong sikit, boleh?” 
“Apa, ya?”
“Boleh tolong bagi Buya makan?”
“Eh, saya… errr… macam pelik pulak…”  Sera sengih.  Janggal dengan permintaan itu.  
“Uncle mintak jasa baik Sera.  Kali ini aje.  Dia tengah serabut.  Tak makan, tak tidur dah dua hari.  Sekarang, kalau pembantu rumah sediakan makan, dia tak akan sentuh.”
Sera rasa nak gelak.  Kalau dah Uncle Malik dan pembantu rumah yang dah biasa dengan Buya pun tak boleh nak buat apa, dia apatah lagi?  Magik apa yang dia ada?  Dia bukan Harry Potter yang ada tongkat sakti.  Dia tiada apa.
“Uncle tahu Sera berat hati.  Tapi, kali ini aje.  Uncle risau dekat dia.  Sera pun mesti risau, kan?”  telah Uncle Malik.
Risau?  Entahlah.  Semalam dia rasa takut sangat dengan lelaki ini tapi hari ini, timbul belas yang bukan sedikit.  Apatah lagi mengingatkan jasa dan kebaikan hati arwah Uncle Bakri.  Mungkin dengan penuhi permintaan Uncle Malik, dia dapat balas sikit lagi jasa arwah. 



PERUT yang dah terlalu lapar, memaksa Buya bangkit dan turun ke dapur.  Sepi.  Seperti dilanggar garuda.  Tiada lagi gelak tawa besar milik daddy.  Tiada lagi cerita dongeng yang daddy selalu cerita pada pembantu rumah. Cerita yang diulang-ulang.  Kisah persahabatan dua orang yang diuji dengan kehadiran beruang.  Di mana, seorang membiarkan kawan baiknya itu dibaham beruang demi menyelamatkan diri.   
Pentingkan diri!  Pengkhianat!
Cerita yang diulang berkali-kali hingga dia dah boleh hafal setiap ayatnya.  Sampai kadang-kadang dia buat muka bosan.  Tapi, daddy tetap bercerita seperti satu cerita baru yang tiada siapa pernah tahu.  Lama-lama bila fikir, seperti ada makna tersirat di sebalik cerita itu.  Kalau tak, tak kanlah daddy asyik cerita aje. 
Kakinya terus menuju ke dapur.  Nampak susuk tubuh sedang membancuh air.  Dia pandang meja makan.  Ada nasik ayam.  Wangi.  Gamaknya, bau inilah yang terus menyeksa perut dia. 
“Bagi nasik sikit untuk saya, mak long…”  suruh Buya.  Dia nak tarik kerusi tapi tak jadi bila wajah itu menoleh.
Eh, ingatkan pembantu rumah ni?  Tapi ini…
“Kejap, ya…”  Sera senyum.  Pinggan dicapai.  Diletak sopan atas meja.  “Duduklah…” 
Buya kaku merenung.  Memegang kerusi. 
“Saya sendukkan nasik.  Baru aje masak ni…” 
Barulah Buya labuhkan duduk.  Menghantar pandangan yang penuh tanda tanya.  Mana semua orang?  Tak kan Sera sorang?  Tak takut ke perempuan ni dekat dia lepas apa yang jadi semalam.  Atau Sera dah mula rasa berhak dalam rumah ni? 
Arghh… kenapalah fikiran jahat mudah sangat merasuk kepala dia?
“Jemput makan.”
Buya langsung kehilangan kata.  Dicapai sudu.  Nasik disuap ke mulut.  Pahit rasanya biarpun haruman menggoda hidung.  Bukan salah nasik rasanya.  Tapi lidah dia. 
“Kenapa awak ada lagi dekat rumah ni?” 
“Dengar kata, awak tak makan dah dua hari.  Makanlah.  Semua orang risau dekat awak,” pujuk Sera lembut. 
“Lagipun, semua orang penat.  Biarlah diorang berehat.  Saya masak simple aje untuk semua orang.  Tapi, diorang tak nak makan selagi lagi awak tak makan.  Diorang lebih risaukan awak daripada diri sendiri…”
“Habis tu, awak risaukan saya jugak ke?” 
Menerima bicara Buya, haiii… lembut mendayu.  Tak tahulah apa yang buat Buya berkasar semalam.  Soalan ini semakin menjadi-jadi. 
“Sebab risau, ini yang saya ada lagi dekat sini.  Masak untuk semua orang…”  Saat ini, Sera letak gelas air coklat panas.  Dia tahu Buya tak selera nak makan.  Setidak-tidaknya, Buya boleh kenyang sedikit dengan coklat panas. 
Bila Buya tolak pinggan ke tepi, Sera labuhkan duduk.  Tak boleh, nak paksa macam mana. 
“Minum ni sikit.  Nanti perut tu kosong.  Awak perlu tenaga.  Minumlah.  Saya nak kena balik dah ni…” 
Baru nak angkat muk, tingkah Buya mati.  Dia pandang Sera.  Betullah gamaknya, perempuan ini ibu tiri dia yang sedang menjalankan tugas seorang ibu sekarang.  Sebab tu, Sera nampak selesa aje.  
“Apa yang saya nak buat dekat awak ni, Sera?”  soal Buya lebih pada diri sendiri. 
“Kenapa dengan saya?” 
Mata Buya terpejam.  Muk diletak semula.  Dia bangkit tapi Sera menahan.  Dia dah janji dengan Uncle Malik nak pastikan Buya makan.  Setidak-tidaknya, minumlah air tu.  Dia dah kena balik.  Mak su tak henti-henti telefon nak dia segera keluar daripada rumah ni dan jangan toleh lagi.   
“Kalau awak tak makan, tak minum… saya rasa saya tak jalankan tanggungjawab saya pulak, Encik Bunyamin.”  Wajah Sera sayu.
Mata Buya merenung gadis yang hanya separas dada dia saja.  Sah.  Memang Sera ada hubungan dengan daddy dan dia.  Tapi, tak mudah untuk dia biarkan Sera bermegah sendiri.  Tanggungjawab yang Sera katakan, dia langsung tak hadap. 
Lambat-lambat, Buya ukir senyum.  Duduk.  Menjamah semula hidangan.  Dia ada cara tersendiri untuk tahu apa yang dah jadi biarpun semua mulut dikunci.  Dan, kunci itu adalah gadis ini.
Sera Nur. 

11 comments:

  1. Aduhai.. Ada mulut tanya la buya.. Jgn duk berprasngka jer

    ReplyDelete
  2. Mesti ada kisah disebalik cerita yg arwah bakri sll cerita tu...penyesalan menyebabkan bakri buat keptsn tu..n buya plk salah sangka...suka trburu2..haihla buya3...nk je ku ketuk2 dia ni...tq sis rehan

    ReplyDelete
  3. Jangan berperasangka Buya, nanti kesal.tak sudah..😃

    ReplyDelete
  4. heh,tak tau tanya...bukan kau blh baca fikiran sera nur pun buya...

    ReplyDelete
  5. 2sahabat tu mst daddy Buya dan ayah Sera..pengkhianatan tu, mst Daddy Buya...sbb tu dia rase menyesal..
    Kenapalah Buya cepat sgt huat conclusion...😢

    ReplyDelete
  6. Kuat sungguh syak wasangka buya ni...siasat la dulu...

    ReplyDelete
  7. Apakah rahsia yg tersembunyi tu ye...

    ReplyDelete
  8. Oo sungguh tersirat kisah dongeng tu...😓 aduhai... tanya je la.. memandai je berprasangka buya ni..😟 thx RM for the update 🌹🌷

    ReplyDelete
  9. dah lama tak meronda di rehan makhtar.,,,sera Nur,,,,mg bersabar jaaa

    ReplyDelete