Monday, January 29, 2018

Kau Bicara Tentang Cinta 1, 2

BAB 1

SEBAIK saja keluar daripada balai ketibaan, matanya tertancap pada kawan baik daddy, Uncle Malik.  Di sebelah lelaki tua itu itu ada seorang lelaki.  Driver daddy.  Wajah masing-masing sugul.  Kaki makin laju diatur dan sebaik saja salam berjabat, tubuhnya dipaut kemas oleh Uncle Malik. 
“Apa dah jadi sebenarnya, uncle?”  Resahnya, tak mampu dia usulkan dengan kata-kata.  Dua puluh empat jam, termasuk transit di Dubai… dia resah.  Makan tidak, apa pun tidak. 
“Kita balik dulu tengok tuan.  Tuan memang tunggu Buya sampai.”  Beg galas dicapai.  Dihulur pada Rizman.  Lantas mereka segera berlalu ke pintu keluar di mana sebuah Hummer putih sedang menanti. 
Buya masuk di belakang.  Dengan Uncle Malik.  Sejuk tangannya.  Seram andai ada lagi berita yang lebih mengejutkan.  Dia tinggal daddy bulan lepas atas urusan yang daddy sendiri minta.  Masa tu daddy nampak sihat.  Tiada apa.  Menerima berita daripada Uncle Malik yang daddy rebah tanpa sebab, itu yang meresahkan. 
“Daddy ada jantung ke, uncle?” 
“Tak ada, Buya.  Apapun, memang doktor nak teruskan rawatan.  Kata doktor, tuan macam hilang semangat.  Itu yang buat dia rebah tak sedarkan diri.  Bila dia sedar lepas dekat dua puluh empat jam, dia sebut nama Buya…”   
Jawapan Uncle Malik, buat Buya raup wajah.  Dah kenapalah dia rasa kereta ni bergerak perlahan sangat.  Dia tenung sisi wajah pemandu.
“Kau boleh cepat sikit?  Tekan minyak tu kuat sikit!”  sergah Buya.
“Err… ya, bos.  Ba… baik…”  Menerima tengkingan Buya, bodyguard segagah itu juga kecut. 
Semua orang tahu.  Buya sentiasa tenang.  Air wajahnya tiada siapa mampu duga.  Segala urusan, dihadapi tanpa sikap melatah walaupun sekali.  Namun, jika berkaitan keluarga, Buya boleh berubah menjadi orang lain. 
“Hati-hati, Man,” pesan Malik mengerti dengan sikap gugup Man. 
“Buya, sabar.”  Peha Buya ditepuk.  “Tuan dah sedar.  Jangan risau…”
“Macam mana saya tak risau, uncle?  Cuba uncle cakap?  Kalau jadi apa-apa dekat daddy, macam mana?”  Usah kata perniagaan besar daddy, dia memang tak pernah teringin nak ambik alih.  Dia cuma perlukan daddy.  Itu aje.   Dah tua bangka begini, dia masih seronok untuk ada bawah ketiak daddy.  Cuma, tentang impian dia lebih suka bina harapan sendiri. 
Suasana dalam perut Humvee sepi.  Buya sedang berubah menjadi orang lain.  Uncle Malik diam.  Diisyaratkan pada Rizman agar menekan sedikit pedal minyak.  Perjalanan menuju ke Hospital Colombia terasa begitu lama. 
Uncle Malik menjeling Buya sesekali.  Resah.  Boleh jadi bahana penat dan lapar.  Bersalut pulak kerisauan. 
“Buya nak makan dulu?”  soal Uncle Malik sebaik saja Man hentikan kereta tepat di pintu lobby Hospital Colombia.
“Tak.  Saya terus jumpa daddy…”  Tak menanti, pintu kereta ditolak.  Hanya sempat capai jaket kulitnya saja.  Kemudian, tergesa-gesa masuk ke dalam hospital menuju ke ke bilik daddy. 



WAJAH daddy yang pucat.  Hati Buya meraung sendiri.  Dia tak nak pergi sebenarnya bulan lepas.  Tapi, daddy desak.  Kata daddy, ini peluang untuk dia cari pengalaman dan bina kenalan.  Projek ini besar dan seeloknya Buya pergi dan belajar.  Tak lama lagi, Buya akan ambik alih seluruh empayarnya. 
Berat hati nak pergi masa tu.  Tapi, dia ikut juga kata-kata daddy kerana dia tak pernah membantah.  Tapi, dia juga tak suka daddy berbicara tentang harta dengan dia.  Padanya, dia tak sehebat daddy dalam menguruskan perniagaan.  Dia masih budak mentah yang masih belajar.  Daddy adalah tulang belakang.    
“Daddy?”  Buya labuhkan duduk di atas kerusi tepi katil.
“Buya balik, daddy.  Bukak mata…” 
Lama dia menanti, akhirnya kelopak mata daddy terbuka.  Wajah daddy tak beriak.  Hanya renungan itu nampak sayu dan pilu. 
“Buya dah balik daddy.”  Suara Buya syahdu.  Tangan daddy diramas perlahan.  Sejuk. 
“Apa dah jadi ni, daddy?”  soal Buya sedikit serak menahan tangis. 
“Buyaaa,” panggil Dato’ Bakri meleret. 
“Ya, daddy…” 
“Buya okey?”  Susah nak bersuara tapi dipaksa diri apabila melihat anak lelakinya tiba di sisi.
Buya ketawa kecil.  “Sepatutnya Buya yang tanya daddy macam tu.  Tapi, ini terbalik.”  Rambut putih daddy diusap perlahan.
“Buya okey.  Daddy pun kena okey.  Buya ni nampak aje tua.  Tapi, Buya tak boleh tak ada daddy.  Jadi, daddy kena sihat.  Buya janji, Buya akan bantu daddy, ya?” 
Dengan alat bantuan pernafasan, Dato’ Bakri cuba untuk senyum.  Mengerdipkan mata mengganti anggukan.  Tangan tuanya meraba basah bantal.  Dah dua hari sampul coklat itu ada di situ setelah dia mintak Malik sediakan semua perkara. 
Malik, bukan orang lain.  Selain peguam dia, Malik jugalah saksi jatuh bangun susah payah dia bina perniagaan dia sekarang.  Malik adalah orang kepercayaannya.  Kawan lamanya. 
“Daddy mungkin tak lama.  Sebab tu sekarang, Buya kena tengok ni…”  Susah payah Dato’ Bakri bersuara seraya menghulurkan sampul surat tersebut pada Buya.
“Apa ni?”  Tangan Buya menyambutnya.  Jangan kata daddy dah buat wasiat?  Untuk dia dan Balqish? 
“Tentang…”  Kata-kata Dato’ Bakri terhenti.  Dia terbatuk.  Batuk yang mulanya biasa, berubah menjadi kasar hingga Buya sendiri panik. 
Dia menoleh.  Uncle Malik yang baru saja muncul di muka pintu, juga kaget melihat pada keadaan Dato’ Bakri. 
“Uncle, panggil doktor…”  jerit Buya kuat.  Dia bangkit.  Sampul tadi jatuh ke bawah kerusi. 
Sebaik saja doktor masuk, tubuh Buya ditolak ke belakang sedikit oleh seorang jururawat perempuan.  Lutut Buya menggigil.  Bila tangan Uncle Malik jatuh ke bahunya, dia menoleh dengan mata yang basah. 
“Saya tak sedia nak hadap kepergian daddy lagi, uncle…” ujarnya perlahan. 
“Sabarlah, Buya…”  Tiada apa lagi yang mampu dikatakan melain satu perkataan itu saja biarpun dia tahu, sukar untuk Buya aplikasikannya. 
Bila doktor separuh umur itu mendekati, Buya bangkit.  Menanti dengan kerisauan apa  yang bakal dikatakan. 
“Tuan Buya, Dato’ tak sedarkan diri tiba-tiba.  Vital dia semua okey.  Saya tak dapat nak sahkan kenapa, tapi buat masa sekarang… dia stabil.  Harap Tuan Buya sabar hingga kita lakukan pemeriksaan lanjut…”  Bahu Buya diramas sekali sebelum dia berlalu pergi dengan resah yang bukan sedikit.
Merawat pesakit yang begitu berperangaruh, sedikit sebanyak buat jiwa doktor tertekan. 
“Daddy…”  Daripada jauh, dia hanya memandang daddy.  Apa sakit daddy sebenarnya ni?  Penumbuk dikepal.  Ringan nak mencari sasaran, tapi siapa dan apa?
Wajah Buya tunduk memandang ke lantai.  Memikir dan terus memikir.  Bila Uncle Malik mendekati, menghulurkan sesuatu… barulah Buya angkat wajah. 
“Apa ni, uncle?”  soalnya seperti lupa akan sampul yang daddy hulurkan baru kejap tadi.
“Uncle percaya, tuan dah bagi pada Buya kejap tadi.” 
Sebaik saja surat tersebut bertukar tangan, Buya tarik perlahan isinya.  Mata yang tadi layu membulat tiba-tiba melihat isi kandungan surat.  Surat wasiat?  Dah agak.  Nama dia dan Balqish, adik perempuannya.  Tapi, kejap… dahi Buya berkerut. 
Dia angkat wajah.  Wajah Uncle Malik dipandang dengan pelbagai reaksi.  Kenapa ada ketiga yang dia tak pernah dengar sebelum ni?  Separuh harta daddy serahkan pada nama asing itu.  Dia dan Balqish hanya dapat satu per empat seorang. 
“Uncle?”  seru Buya.
“Ya…”
Buya panggung pandangan.  Melangut pada Uncle Malik.  “Apa ni?” 
Tak… ini bukan sebab dia gilakan harta.  Tapi, kenapa mesti ada nama asing yang tak pernah dia kenali?  Itu yang menjadi isu sekarang. 
“Uncle tak berapa pasti, Buya.  Tuan ada jawapan.  Tapi, itu adalah yang uncle sediakan mengikut arahan tuan.  Selebihnya, itu keputusan Buya dan Balqish sendiri.”  Apapun jadi, dia tak boleh nak bukak mulut.  Itu yang Dato’ Bakri pesan. 
Nafas Buya berat.  Apa yang sedang dia baca ni?  “Saya tak pernah tahu nama ni, uncle.  Dari mana dia datang, anak siapa, apa hubungan dia dengan daddy…”  Buya berbicara lebih pada diri sendiri. 
“Apa yang uncle boleh cakap, Sera tu orang yang Dato’ Bakri sayang sangat.” 
“Hah?”  Jawapan Uncle Malik buat Buya jatuh rahang.
Perempuan semuda ini?  Lebih muda daripada dia?  Ini yang daddy pilih?  Siapa ni?  Ibu tiri dia ke?  Kenapa daddy tak pernah cakap?  Dan sekarang, lima puluh peratus segala harta milik daddy kini jadi milik perempuan bernama Sera yang dia tak kenal batang hidung pun. 
Damn! 
Buya renyuk kertas tersebut dan terus saja saja keluar.  Rasa risaunya pada daddy berganti dengan amarah yang sedang meluap-luap.  Tergamak daddy sembunyikan hakikat sebegini hebat tentang hubungan daddy dengan perempuan muda tu!  Pisau cukur mana ni?!
Tergamak! 
“Bos…” 
Buya hentikan langkah.  Menoleh ke kiri.  Memandang Rizman yang tegak berdiri.  Setia sejak bertahun lamanya pada dia.    
“Kau ikut aku…” 
“Baik, bos…”  Rizman akur. 

  

BAB 2

BARU saja dia selesai bungkus bunga yang dipesan, pintu kedainya ditolak daripada luar.  Sera angkat mata.  Tersenyum seperti biasa.  Terus ke depan. 
“Selamat datang, encik.  Boleh saya bantu?”  Dia menyapa sopan.
Tapi, sapaannya tak bersambut.  Hanya renungan tajam yang menikam wajahnya sebelum tetamu ini melingas ke sekeliling kedainya yang hanya sekangkang kera. 
“Err… encik nak beli bunga ke?  Boleh saya tahu untuk majlis apa?”  Suaranya masih lagi mesra biarpun liur yang ditelan sudah mula terasa pahit.
Along mana pulak ni nak datang mintak duit perlindungan.  Ingatkan dalam TV aje ada benda macam ni.  Tapi, dah bertahun dia berniaga di sini tak pernah pulak ada yang datang buat perangai tak semenggah macam ni. 
“Atau encik sebenarnya nak tanya jalan?”  Kening tipis Sera terjongket sedikit.  Iyalah.  Mana tahu.  Sesat.  Itu yang selalu terjadi sebenarnya.  Orang nak tanya tempat. 
“Ni kedai awak?” 
“Err… ya, saya…”  Debaran Sera sudah lain macam.  Sah, memang ahlong ni. 
“Jadinya, nama awak Sera?”
Okey…  Ini memang sangat menakutkan.  Tapi, Sera tetap angguk.  Dia milikan tunggal.  Tak berkongsi dengan sesiapa. 
“Ini kedai sendiri atau sewa?”
“Sewa.”
“Mahal?” 
“Bolehlah untuk saya survive tiap-tiap bulan dengan pendapatan saya,” jawab Sera.  Jujur. 
Buya tarik kerusi.  Dihenyak duduk.  Jauh daripada Hospital Colombia hingga ke Greenwood mencari alamat yang dah dia hafal. 
“Okey, encik.  Kalau encik bukan datang nak beli bunga atau hadiah, saya harap encik boleh keluar daripada kedai saya.  Rasanya saya dah lama menyewa kedai ni.  Tak pernah pulak ada orang datang buat masalah dengan saya…”  Dalam gugup, dia perlu luahkan jugak.  Tak nak bisnes dia terganggu.  Apatah lagi bila lelaki berbadan kasar yang datang bersama lelaki ini sudah mula menukar papan tanda kedainya. 
Open to closed! 
“Bukan saya yang buat masalah dengan awak.  Tapi, awak!” 
Mata Sera terasa suam.  Dia hampir menangis.  Kalau dia diapa-apakan, rasanya dia tak mampu melawan.  Dia akan kalah dengan mudah. 
“Okey.”  Tenang Sera.  Sebolehnya, Sera cuba hati sendiri yang dah menjerit ketakutan.  “Saya tak tahu apa salah saya dan apa masalah yang saya dah bawak.  Saya cuma jual bunga dan hadiah.  Saya tak pernah buat masalah…”
“Awak memang dah bawak masalah dalam hidup saya!”  Buya hampir hentak meja.  Kakinya menapak ke depan selangkah demi selangkah.  Hampir pada gadis itu.    
Melihat kaki lelaki ini yang mahu, Sera menapak ke belakang.  Di kaunter, ada gunting dan pisau.  Dia perlu sesuatu untuk pertahankan diri.  Baru nak capai gunting, tangan Sera dilipat kasar ke belakang.  Dia mengaduh dengan kerutan lebat pada wajah. 
“Demi Tuhan, encik… saya memang tak buat salah apa-apa…”  Airmata jatuh lagi.  Rasanya muka dia dah pucat sangat dah ni. 
“Mungkin saya perlu ingatkan awak…” Bisikan Buya kedengaran tajam di pendengaran Sera.    
Liur ditelan berkali-kali.  Disekat tangis agar tak terus merebak.  Apa yang dia tengok dalam TV, penjahat tak suka perempuan yang menangis. 
“Encik lepas tangan saya.  Kita bincang,” ajaknya cuba berdiplomasi. 
“Okey…”  Buya mengalah.  Dihantar isyarat agar Rizman keluar terlebih dulu.  Pintu kedai dikunci rapat.  Buya kembali duduk.  Merenung tajam pada Sera yang berdiri sambil menggosok pergelangan tangan. 
Dalam diam, dia perlu akui.  Sera cantik.  Saat pertama kali wanita ini senyum menyambut kehadiran dia tadi, memang Sera cantik.  Tapi, kenapa Sera sanggup guna wajah itu untuk memperdayakan orang tua seperti daddy. 
“Kau kenal Bakri?  Dato’ Bakri?” 
Dahi Sera berkerut.  Uncle Bakri ke?  Betullah kot gamaknya.  Itu sorang aje nama Bakri yang dia kenal.  Yang dah banyak bantu dia selama ini.  Idea bukak kedai bunga ni jugak, idea Uncle Bakri jugaklah.  Modal mula-mula dulu pun Uncle Bakri jugak yang bagi.  Setelah itu, dia berusaha.  Modal itu dipulangkan semula.  Cuma jasa yang masih tinggal tanpa dapat dia membalasnya. 
Lambat-lambat Sera angguk. 
“Awak tahu dia tengah nazak?” 
“Hah? Nazak?  Rasanya bulan lepas dia…” 
“Apa nak kata?  Segalanya dah berubah dalam sekelip mata…” 
Wajah Sera mendung.  Hilang takut.  Berganti risau.  “Dia dekat mana sekarang?  Boleh saya jenguk dia?  Ada benda yang saya nak cakap…” 
“Kenapa?  Nak cakap awak sayangkan dia?”
Sera angguk tanpa silu.  Memang dia sayangkan lelaki tua itu.  Setidak-tidaknya, layanan Uncle Bakri seperti seorang ayah.  Dia rasa tak keseorangan dalam dunia ni.
Damn!  Hati Buya menyumpah namun dia tahan dirinya.  Bangkit dan menghampiri Sera. 
“Awak tahu dia ada anak?” 
Sera angguk.  Tapi, dia tak pernah kenal.  Selalu Uncle Bakri cerita tapi dia hanya senyum dengan setiap gurauan Uncle Bakri yang mahukan dia jadi menantu. 
“Saya anak dia.”
Mata Sera bulat.  Sedikit pun tak berganjak bila lelaki ini mendekati hingga dia terpaksa mendongak menentang pandangan mata kuyu itu. 
“Bun…”
“Ya. Bunyamin.”  Senyuman Buya lebar.  Menakutkan. 
Sera larikan pandangan.  Pelbagai persoalan timbul dalam kepala.  Apa yang buat Bunyamin datang ke sini?  Tidakkah Bunyamin ada di luar negara?  Mungkin sebab Uncle sakit, Bunyamin pulang.  Tapi, kenapa muncul di kedai dia tiba-tiba?  Kasari dia? 
“Encik Bunyamin datang kedai saya, sebab Dato’ Bakri atau sebab saya?” 

 “Kedua-duanya.  Dan, Cik Sera Nur yang terutama…”  Senyuman sinis Buya terukir tajam.  


...bersambung

Jujurnya, saya dah lama tak boleh menulis.  Sejak daripada bulan 10 tahun lepas kot.  Ini pun saya tak menulis lagi.  Cerita ni, cerita yang saya tulis sebelum bulan 10.2017 tu haa. Rasanya, tak adalah menarik mana plotnya.  Klise sangat.  Tapi, bolehlah untuk bahan bacaan ringan dan percuma.  
Doakan saya boleh cepat pulih daripada penyakit tak boleh menulis ni.  Perit jugak bila idea ada, nama2 watak dah ada, plot dah teratur, tajuk pun menarik... tapi, bila nak menaip, biarpun otak bekerja tapi jiwa jadi kaku.  

15 comments:

  1. Yeay akhirnya ada jgk buah tgn sis rehan yg seterusnya...
    Moga ide melimpah ruah utk siap kan karya ni..karya ni abis kt blog atau akn dibukukan nnt sis rehan

    ReplyDelete
    Replies
    1. hbs kat blog, insya'allah (spt yg puan penulis mentioned)

      Delete
  2. Baeu baca bab 1 n 2...dh teruja rasanya...

    ReplyDelete
  3. Jujurnya bab ni saya dah baca sebelum ni...tertunggu2 juga rehan nak sambung...n..ni memang seronok sangat baca...tq RM...tak mengecewakan

    ReplyDelete
  4. Ada yang berubah sikit ya? Eh, tak kisah la...


    Moga Karehan kembali bersemangat seperti dulu..


    -widad amsyar-

    ReplyDelete
  5. Karehan... Sy dah excited giler ni.. Laju2 updates ye. Love you!

    ReplyDelete
  6. Bab 1 pun dah jatuh hiba ni,,,karya karehan mmg kena dgn jiwa,,,tkasih

    ReplyDelete
  7. thanks RM...x pernah mengecewakan

    ReplyDelete
  8. yes masih igt lg cerita ni tahun lps keluar moga puan penulis diberi semangat utk menulis

    ReplyDelete
  9. Buya sama dgn nama kucing kita lah rehan...hihihi

    ReplyDelete
  10. cerita ni yang tak habis tu kan ? tapi tak ingat tajuk sebelum tu. ni dah tukar pulak. moga RM teruskan penulisan cerita ni ye =D

    ReplyDelete
  11. semoga RM lebih bersemangat dan berjiwa kental semula..story RM mmg mengancam..nama Buya ni sy trkenang ms sekolah dulu..nama pggln sy oleh kekawan..tq RM pilih nama ni..suka sgttttt

    ReplyDelete
  12. Saje tunggu lama sket br bc.. nk marathon 😃😀 oo rupanye ni kisah buya dulu tu.. thx RM, sudi smbg kisah buya dan sera ni 🌹💐

    ReplyDelete
  13. Patutlah rasa mcm dejavu, mcm pernah baca..rupanya mmg cerita lama huhu tapi dah tak ingat sangat tajuk @ full story..apa pun tetap follow cerita ni. & semoga Allah permudahkan urusan RM untuk kembali menulis seperti sebelum ni..never give up RM. WE ALL LOVE U.

    ReplyDelete