Tuesday, January 30, 2018

Kau Bicara Tentang Cinta 4


BUYA raup wajah menolak ingatan siang tadi di kedai bunga milik Sera.  Kurang lima minit dia keluar daripada kedai tersebut, nampak Sera bergegas keluar.  Menunggang skuter Ego warna merah jambu dan terus berlalu laju.  Sempat dia mintak Rizman ikut dan sekarang, dia dah tahu gadis itu tinggal dekat mana. 
Tangan dia, okey ke ah?  Haih… kenapalah nak sibuk tangan orang! 
Tubuh yang letih menuntut hak.  Sejak semalam, dia tak lelap walaupun sepicing.  Tiba aje, diberitakan dengan cerita yang mengejutkan.  Dia benar-benar perlukan rehat.  Kepala Buya terlentok di atas sofa putih dalam bilik daddy.  Entah berapa lama dia terlelap, dia buka mata bila bunyi mesin kedengaran bingit di telinga. 
Dua orang doktor dan beberapa orang jururawat nampak sedang mengelilingi katil daddy. 
“Doktor, arrest!”  jerit salah seorangnya. 
Arrest?  Buya bangkit.  Menghampiri dengan langkah yang longlai.  Seperti tahu apa yang bakal terjadi apatah lagi melihat seorang lagi doktor sedang menekan dada daddy.  Mengurut jantung yang mungkin dah berhenti apatah lagi dia melihat mesin itu, hanya garisan lurus dan sesekali naik semula.  Tapi tak lama. 
“Nurse, defibrillator.  Two hundreds joules.” 
“Siap, doktor…” 
Defibrillator bertukar tangan.  Doktor itu nampak cemas. 
“Shock!” 
Jasad daddy terangkat dan jatuh semula.  Urutan itu bermula sekali lagi.  Tak lama, mesin tadi melekap semula ke dada daddy.
“Berapa minit dah, nurse?”
“Empat minit tiga puluh lima saat, doktor.”  Jawapan nurse itu kedengaran lemah. 
“Cuba lagi…” 
Namun akhirnya, masing-masing mengalah.  Berdiri di tepi katil daddy.  Mencabut segala wayar yang ada di tubuh daddy.  Akhirnya, bunyi mesin itu selari.  Buya menoleh di belakang.  Ada Uncle Malik, Rizman dan Balqish yang baru saja sampai. 
Dia hanya terlelap seketika.  Tapi kini… kakinya lemah mendekati daddy yang dah terbujur kaku. 
Airmata Buya jatuh.  Tubuhnya jatuh melutut di sisi katil daddy.  Kata-kata takziah dan maaf daripada doktor yang merawat tak menjadi penawar lagi.  Segalanya sudah terjadi.  Buya bangkit bila adik perempuannya mendekati.  Menangis teresak-esak. 
“Uncle, saya cuma terlelap…” Kata-kata separa bisikan itu jelas kedengaran kesal.   
“Buya penat.  Tapi, ajal maut ni bukan kuasa kita, Buya,” pujuk Uncle Malik sambil mengisyaratkan Rizman membawa Buya keluar kerana dia tahu, emosi anak muda itu bercelaru. 
Saat Rizman menarik tangannya, Buya hanya ikut.  Akur.  Duduk di atas kerusi depan bilik daddy.  Tunduk meraup wajah berkali-kali.  Tak sedar, Rizman hulurkan sekeping kad.  Kad kedai bunga Sera.  Tertera nama dan nombor telefon gadis itu.  Buya mendongak pada Man.  Tanpa perasaan yang pastinya.  Tak faham, kenapa Man bagi dia kad nama tu dan bila masa pulak Man ambik?
“Mungkin bos nak maklum dekat dia…”  Wajah Rizman jugak mendung.  Mahu tidak.  Dia sebatang kara.  Daripada ofis-boy, Dato’ Bakri angkat dia menjadi driver dan juga orang kanan Buya.  Namun, layanannya tak ubah seperti keluarga sendiri.  Makan semeja.  . 
Kad disambut.  Lama Buya pandang.  Berkira-kira.  Apa hak Sera?  Itu yang dia mahu tanya daddy tapi apa nak kata; setelah kepergian daddy, wasiat itu telah mengatakan memang Sera berhak. 
Telefon bimbit ditarik keluar.  Nombor Sera didail lemah.  Tak lama, suara halus itu menyapa. 
“Daddy dah tak ada.” 
“Hah?”  Sera terpinga-pinga.  Siapa ni?  Lepas tu, siapa yang tak ada?
“Daddy saya dah tak ada, Sera.  Lelaki yang sayangkan awak dah tak ada.  Lelaki yang awak nak sangat jumpa tu, dah tak ada!”  Suara Buya menderam daripada dalam rengkung, menahan pedihnya kehilangan. 
“Innalillah…”  Bisikan Sera menyapa telinga Buya. 
“Awak tak nak datang lagi?”  soalnya marah. 
“Encik Bunyamin, saya bukan tak nak datang tapi ini dah tengah malam.  Saya tak boleh…”  Ikut hati, dia nak pergi. 
Patut dia pergi awal lagi masa mula-mula dia tahu Uncle Bakri tenat.  Tapi, mak su melarang keras.  Dia tak nak bantah mak su. 
Dulu, masa ayah dan ibu pergi; dia ada di sekolah masa tu.  Mak su yang datang carik dia dekat kelas membawa berita yang orang tua dia dah tiada.  Dia dah tahu ayah tak sihat tapi dia masih berkeras nak ke sekolah.  Bila kembali, ayah siap dikafankan.  Lambat sungguh berita sampai ke telinga dia.  Benar ajal maut itu ketentuan, tapi sebagai anak terasa sebaknya hati kerana tak menemani ayah di saat-saat terakhir. 
Sekarang ni, Uncle Bakri pulak.  Padahal dia dah kata nak menjenguknya esok.  Birai mata Sera basah.  Ini ketentuan.  Berkali-kali Sera pujuk diri.  Namun, airmatanya tetap jatuh.    
“Lepas Subuh esok, saya hantar orang jemput awak.”
“Encik Bunyamin… saya…”  Sera mahu meningkah namun nafas kasar Buya menyekat. 
“Saya tak kuat nak hadap benda ni sorang-sorang, Sera.”  Terus talian dimatikan. 
Airmata Buya jatuh setitis.  Seperti patah sayapnya dengan kepergian daddy.  Dan, seperti jatuh ditimpa tangga dengan keputusan daddy meletakkan nama Sera dalam senarai penerima wasiat. 
Apa dia nak cakap pada Balqish?  Malah, mampukah diri sendiri terima?



BUYA yang dia tengok semalam dengan yang hari ini, bezanya macam langit dengan bumi.  Mak su melarang keras, tapi tak tahu kenapa… suara sebak Buya tengah malam tadi, benar-benar menggamit supaya dia ke sini.  Tapi, langkah kaki tertahan pulak sekarang bila dah tiba dalam rumah agam besar ini.  Sera hanya berdiri di sebelah tiang.  Melihatkan ramai orang besar datang, terasa kerdil sungguh dia.  Tak apalah.  Janji dia datang biarpun lewat sikit. 
“Sera?”
“Ya Allah…”  Sera urut dada lantas menoleh ke belakang bila nama dia diseru.  Siapa pulaklah yang tegur dia ni?  Ingatkan tiada siapa kenal, tapi ada jugak. 
Seorang lelaki separuh usia senyum.  Lebar.  Sera kerut kening.  Macam pernah nampak.  Ke…
“Uncle Malik?”  duganya. 
Bila lelaki itu senyum dan angguk, Sera tak dapat sembunyikan rasa suka.  Amboi, orang ziarah kematian, kau seronok pulak.  Laju Sera memandang sekeliling.  Buatnya orang nampak.  Pengsan! 
“Uncle sihat?  Lamanya tak jumpa…”
“Alhamdulillah.  Sera okey?  Kedai macam mana?” 
“Syukurlah.  Semua okey.”  Semalam aje K.O.  Tak pasal-pasal tutup kedai awal.  Satu bisnes aje.  Itu pun dia kena ganti rugi sebab batalkan saat akhir.  Semua sebab Buya menyerbu.  Heh. 
“Sera?” 
“Err… uncle, takziah.”
“Ya, terima kasih.  Tapi, uncle ini bukanlah orang yang selayaknya terima ucapan takziah tu.  Tapi…”  Bibir Uncle Malik terjuih pada susuk tubuh yang baru muncul berbaju Melayu putih. 
Sera toleh.  Lelaki itu.  Nampak lemah dan tak bermaya tapi masih ada sedikit baki senyum terguris pada bibir itu menyambut tetamu yang datang menziarah.  Entahlah.  Patut ke tidak dia dekati.  Rasanya, dalam keadaan yang macam ni, Buya pasti lupa pada dia.  Buya tentu tak ingat langsung wujudnya seorang Sera dalam dunia ni. 
“Kenapa termenung?  Tak nak jumpa Buya?” 
Teguran Uncle Malik mematahkan suara hati Sera.  Mulut merah gadis itu koyak dengan senyuman tipis.  Menggeleng kecil.  “Nanti-nantilah.  Dia nampak sibuk…” 
Uncle Malik yang mampu angguk dengan keputusan Sera.  Gadis ini nampak aje lemah, tapi setiap keputusan dia begitu tegas.  Tengoklah kemunculannya di sini.  Dia sendiri tertanya, macam mana Sera boleh lepas ke mari padahal dah tentu ada yang melarang. 
“Kiranya lepas ni uncle dah tak kerja dengan keluarga  arwah dahlah, ya?”  Manalah tahu, bertukar majikan pulak. 
“Kerja.  Uncle kan lawyer keluarga arwah.  Mana uncle nak pergi.  Daripada muda sampai sekarang, uncle masih setia dengan keluarga ni.  Lagipun, arwah selalu pesan untuk tolong Buya.  Itu dikira amanah.” 
Senyuman Sera terukir tipis.  Lembut dan mendamaikan hati tua yang resah.  Sejak tadi, dia lihat Sera terjenguk-jenguk.  Seperti sengaja sembunyikan diri.  Nak-nak dia dah tahu apa yang jadi di kedai bunga Sera semalam bila Buya menyerang tanpa usul-periksa. 
“Sera boleh pulak datang?  Mak su tahu?”  Bukan Malik tak tahu, betapa marahnya Shukriyah pada Dato’ Bakri.  Inilah halangan yang dia katakan tadi. 
Senyuman Sera pudar warnanya.  Angguk.  “Mak su bagi sebab Sera berkeras.  Bukan apa, uncle.  Mak su baru tahu semalam yang Sera kenal Uncle Bakri.  Dia marah sangat sampaikan Sera cakap uncle nazak, tak berkesan langsung pada dia.  Jujurnya, Sera nak tahu, tapi Sera lagi tahu yang mak su tak akan jawab.  Sama dengan arwah dan jugak uncle bila Sera tanya dulu sebab kenapa arwah layan Sera baik sangat…” 
 “Kan arwah dah cakap, dia kawan baik dengan arwah ayah Sera.  Lagipun, pada uncle, yang dah lepas tu… biarlah lepas.  Yang penting, masa depan kita.”  Liur yang ditelan terasa kelat. 
Dia menjaga amanah.  Tak boleh nak cerita apa-apa. 
“Sera setuju tu, uncle.  Apapun, arwah dah banyak bantu Sera.  Memang Sera dah bayar balik semua modal dia bagi, tapi kasih-sayang dan jasa dia, Sera akan bawak mati.”  Serentak itu, Sera menoleh ke belakang.  Nampak Buya di sisi lelaki gagah semalam. 
Nampak tenang tapi wajah itu sembab.  Buya menangis gamaknya. 
“Dia nampak tak terurus,”  komen Sera perlahan.
Uncle Malik senyum.  Dia tahu siapa yang Sera maksudkan. 
“Sera tak nak tolong uruskan dia?” 
Mendengarkan soalan Uncle Malik, Serak gelak kecil.  Tu dia… ketawa lagi.  Tapi cepat-cepat dia tutup mulut. 
“Dia yang Sera maksudkan tu, dah tua bangka, uncle.  Dah boleh uruskan diri sendiri.  Cuma, Sera tak tahu kenapa tiba-tiba dia datang carik Sera.  Apa yang dia nak?  Ke sebab arwah Uncle Bakri yang mintak dia datang jumpa Sera.  Entahlah…”  Bahu Sera terjongket.  Nak ditebak kemungkinan, tak tahu mana satu.  Banyak sangat.
“Mungkin arwah nak Buya terus tolong jagakan Sera bagi pihak dia.”
Wajah Sera tak beriak.  Dia faham maksud yang Uncle Malik mahu sampaikan di sebalik ayat itu.  Tapi, dia menggeleng perlahan. 
Pesanan mak su terngiang.  Apapun jadi, bukan daripada darah keturunan ini. 
Tapi, kenapa? 

7 comments:

  1. adoihhh....must be something huh? x sabor nih..

    ReplyDelete
  2. Tq update lg akk😘woaaa buya&Sera hrp2 terungkai la segala misterinya😊

    ReplyDelete
  3. Misteri kenapa mak su marah sgt dgn arwah bakri..xsbr nk tgu nxt n3,tq sis rehan.

    ReplyDelete
  4. Atau daddy penyebab mak ayab Sera meninggal?


    -widad amsyar-

    ReplyDelete
  5. Must be something between parent Sera dgn daddy Buya ni..
    Tq RM 😘😘

    ReplyDelete
  6. Hmmm.. mvm ada rahsia besar 🤔 thx RM for the update 🌹🌷

    ReplyDelete