Tuesday, April 14, 2015

Seseorang Untuk Aku 1

"Dia amanah.  Dan, aku penjaganya..." 

BAB 1

DINIHARI yang dingin.  Lai mengayuh basikal sedikit laju.  Dia dah lambat ni.  Selebihnya dia terasa seriau.  Bukan takut dengan lembaga atau jelmaan tapi takut dengan lembaga manusia yang berupa syaitan tapi menjelma menjadi manusia. 

Dia terus menuju ke kebun getah Haji Saad.  Menjadi pekerja Haji Saad sudah beberapa tahun setelah dia dan adiknya hilang tempat bergantung.  Lai melajukan kayuhan.  Dia kena cepat.  Semalam dia tak kerja sebab temankan Liza fitting baju pengantin.  Hari ni dia kena ganti balik.  Haji Saad dah terlalu baik untuk dia ambil kesempatan. 
Lai pandang kiri kanan.  Bunyi cengkerik dan unggas bersahutan.  Tuhan... janganlah ada apa-apa benda buruk.  Lindungi aku.  Tak lama, kayuhannya diperlahankan.  Lai terus berhenti di dalam pagar kebun getah Haji Saad. 
Phew... nafas lega dihela.  Nampak lampu suluh  yang malap di hujung barisan sana.  Lai letak topi di atas kepala.  rambut yang lurus panjang itu diikat kemas.  Disorok dalam topi lusuh.  Kakinya terus melangkah ke arah bangsal untuk mengambil dua buah baldi saiz sederhana. 
Bila dia mendekati susuk tubuh yang sedang terbongkok-bongkok menghadap pokok getah, bibirnya mengukir senyum.  Awal pulak Nek Leha hari ni.  Biasa aku sampai dulu. 
“Nek Leha awal sangat ni, daripada tahajud terus turun ke?” 
Nek Leha hampir terlompat.  Tak adalah tua lagi.  Boleh aje nak panggil mak cik tapi dia dah terbiasa dipanggil Nek Leha. 
“Eh, kamu ni, Laila.  Bagi salam tak boleh ke?”  Wajah Nek Leha berkerut.  Budak Laila ni mana suka bagi salam.  Main sergah je.  “Buatnya aku ni lemah jantung... dah tersungkur dekat sini haa...”  Dia menggeleng tanda tak puas hati. 
Dalam kesamaran lampu yang ada di dahi, nampak wajah Lai yang sedang tahan ketawa. 
“Ala, Nek Leha ni.  Kan saya tahu Nek Leha tak ada lemah jantung.  Sebab tu kita sakat...”  Tawanya berhambur.  Inilah satu-satunya hiburan yang tinggal sekarang.  Bukanlah hiburan tapi bolehlah untuk melepaskan rasa walang di dalam hati sekarang. 
“Hah?  Lambat pulak hari ni?  Kenapa?”  Biasanya Lai awal.  Semalam tak datang.  Temankan si adik katanya.  Bila sebut tentang adik, Nek Leha berasa belas pada Lai.  Ya, tak ada siapa tahu melainkan Tuhan dan mereka berdua saja tapi itulah... benda nak jadi.  “Semalam keluar dengan Liza?”
Lai angguk.  Dia pasang lampu suluh pada dahinya.  Diketatkan lilitan getah.  Biar selesa nak buat kerja. 
“Semalam dah cakap dekat Haji Saad nak cuti.  Ingatkan ada ganti, tapi tak ada.  Kesian Nek Leha sorang-sorang.  Lepas dah siap toreh ni, biar je saya kutip getah beku ni sorang.  Nek Leha rehat jelah dekat bangsal sana.  Hal semalam tu, memang temankan Liza.  Alaa... orang nak jadi pengantin baru ni, biasalah.  Banyak kerja sikit nak buat.  Itu yang kena berteman.  Lagipun, dia adik saya.  Arwah mak ayah dah wasiatkan untuk saya jaga dia lebih daripada saya jaga nyawa sendiri.  Nek Leha bukan tak tahu...”  Senyuman tawar terukir.
Semalam, bahagianya dia bila melihatkan senyuman lebar terukir pada wajah Liza.  Liza yang baru saja tamatkan pengajian di UiTM.  Yang nak kahwin tak menyempat.  Mujurlah dia ada sikit duit simpanan hasil dia bekerja sejak daripada tingkat dua dulu lagi.  Sejak kali terakhir dia digelar seorang pelajar. 
Adik dia tu, apalah tahu.  Nak harapkan duit hantaran pihak lelaki saja, macam tak kena.  Perempuan pun kenalah ada sikit-sikit jugak dan itulah duit dia. 
“Habislah simpanan?” duga Nek Leha dalam senyuman sinis. 
Lai angguk.  Wajah kelat.  “Memang saya simpan untuk dia pun...”  Jauh dalam hati dia rasa berduka juga. 
Sebenarnya duit itu untuk dia sambung belajar satu hari nanti yang tak tahu bila.  Sekarang dah umur 22 tahun, ada lagi ke orang nak terima dia kalau nak ambik SPM? 
“Bukan ke duit tu kamu nak buat masuk sekolah swasta ke?  Nak ambik periksa SPM nanti?”  Ya, Nek Leha tahu sebab Lai sentiasa bercerita bila mereka bekerja bersama. 
Bukan setahun dia kerjakan kebun getah seluas dua ekar milik ketua kampung ni.  Dah hampir 10 tahun dan lapan tahun lepas, dia ingat lagi macam mana Haji Saad datang minta dia bantu Lai ni buat kerja dekat kebun ni.  Nak disuruh menoreh, takut rosak batang getah ni.  Lantas, daripada dulu kerja Lai hanya mengutip getah buku. 
“Duit boleh cari, Nek Leha.  Janji saya lepas Liza tu pada suami dia.  Masa tu dia bukan lagi tanggungjawab saya...”
“Ya, betullah tu...,” sampuk Nek Leha.  “Dah sampai masanya kamu tu fikirkan tanggungjawab pada diri sendiri pulak, Laila...”  Pedih sinis Nek Leha.  Dia terus menapak ke batang getah di sebelah.  Kerja perlu diteruskan sebelum matahari tegak terpacak. 
Apa yang mampu dilakukan, Lai hanya sengih sumbing sendiri.  Dah biasa sangat dah dengan perangai Nek Leha.  Pedih macam mana pun sindiran, dia tahu Nek Leha hanya nak dia fikirkan diri sendiri. 
Sikit lagi, Lai.  Sikit lagi.  Lepas tu, biarlah adik kau tu bahagia dengan suaminya.  Kau akan bina masa depan kau sendiri.  Lai terus bekerja.  Dipegang mangkuk plastik hitam yang menjadi tempat tahanan susu getah tersebut.  Dipegangnya tanpa ada rasa jijik biarpun bau yang memang boleh melekat berhari-hari.  Kalau orang tak biasa, nak makan nasi pun tak lalu.  Tapi dia, dah sebati sejak lapan tahun lalu. 



TELEFON bimbit masih lagi melekap pada telinga.  Ingat nak sambung Ijazah.  Kakak pun dah ingatkan berkali-kali dalam kelembutan.  Biarpun tak ada paksaan tapi Liza tahu, Kak Lai memang nak dia sambung belajar lagi.  Dia pun memikir, kesian kakak yang banyak membantu tapi dia pun tak boleh nak tolak jodoh yang dah datang di depan muka pintu.  Anak ketua kampung yang diminati ramai pulak tu.  Siapa tak kenal Zarulhakim Haji Saad. 
“Abang Zarul tak buat lagi baju?” 
Zarul diam dihujung talian.  Tak tahulah apa yang merasuknya.  Boleh dia buat keputusan untuk ayah dia meminang anak yatim piatu ini.  Memanglah kenal daripada zaman kanak-kanak tapi dia lebih rapat dengan kakak pada Liza.  Dah jodoh gamaknya. 
“Abang dengar tak ni?”  Suara Liza dah berubah.  Nak kahwin ke tidak ni?  hatinya merungut berkali-kali.  Macam tak bersungguh langsung. 
“Dengar...”  Malas Zarul menjawab.  “...nantilah abang pergi.  Ni haa... macam mana semalam?” 
“Okey je.  Kak Lai cakap...”
Dup!  Jantung Zarul bagai nak gugur dengan nama Kak Lai tu.  Dia tahan hati sendiri.  Memasang telinga akan cerita Liza. 
“...baju tu dah sesuai dah dengan Liza.  Lagipun, kakak cakap itu je yang dia mampu  untuk bayar deposit dulu.  Dia minta kita bayar baki selebihnya...” 
 “Liza takut kita ni susahkan Kak Lai je...”  Liza luahkan kerisauan hati. Risau jugak kakaknya semalam.  Dia masih tak kerja.
Zarul hanya mengetap bibir.  Cuba membendung rasa resah.  Tak tahulah salah siapa dalam hal ini semua.  Tapi, terlanjur bicara – kata itu kota. 
“Tak apa.  Ayah abang kan janji nak support semua.  Lagipun, abang bukan tak kerja.  Liza tak payahlah risau sangat.  Lepas kahwin nanti, kita ajak Kak Lai duduk sekali,” cadang Zarul tanpa sedar.  Tapi itulah yang hati dia niatkan dua tiga hari ni. 
Rasa tak sanggup dah nak tengok perempuan bernama Lailatul itu terus bekerja keras demi sesuap nasi. 
“Kak Lai dah tolak awal-awal lagi.  Dia kata dia nak jaga rumah pusaka ni,” ujar Liza perlahan.  Memanglah Zarul ada cakap dan dia pun dah usulkan pada kakaknya tapi tak sempat habis ayat, ditolak mentah-mentah.  Memanglah  kakak tu keras hati! 
“Laa...”  Keluhan kecewa menebal dalam rengkung.  Apa nak dibuat ni? Dah terlalu lambat ke untuk dia tarik balik segala keputusannya? 
Zarul raup wajah berkali-kali.  Dia pandang baju Melayu yang bakal dipakai beberapa hari lagi.  Baju yang menjadi tanda dia adalah pengantin pada hari tersebut.  Tak ada nafsu langsung.  Tak teruja pun! 
“Yang abang kecewa sangat Kak Lai tak nak tinggal dengan kita tu kenapa?”  Soalan Liza kedengaran membentak.  Sikit-sikit, tanya pasal Kak Lai.  Naik pelik dah!
“Tak adalah kecewa.  Tapi, dia dah banyak susah untuk Liza dan untuk kita.  Tapi, kalau itu keputusan dia, biarlah...”  Zarul pandai menutup kecewa.  “Kalau gitu, tak apalah.  Abang nak ikut ayah keluar kejap...”  Zarul terus matikan talian tanpa menanti kata. 
Dia letak telefon di dalam poket.  Terus berlalu keluar dan memanjat motorsikal EX5 Dreams biru itu dan mencari destinasi pada wajah yang dia rindu. 



LELAH!  Cepat sungguh matahari naik.  Tak habis lagi dua ekar dia kutip getah buku.  Nek Leha nak bantu tapi ditolaknya tegas.  Kesian.  Ini tugas dia.  Biarlah dia  yang buat.  Peluh meleleh di atas belakang dan leher.  Pada dahi.  Lai kesatnya rakus dan berlalu pada dua barisan getah yang terakhir.  Nyamuk tak payah nak cerita.  Penat tepis, tetap berdengung menyanyi dekat telinga. 
“Boleh tolong?”
“Hah?”  Lai kalih lipat.  Dia melopong beberapa saat.  Ingatkan Nek Leha tapi suara lelaki.  Dia mencari wajah Nek Leha.  Ada di bangsal.  Kenapalah Nek Leha tak jerit ada orang datang ni?!  “Err... macam mana boleh sampai sini?  Sesat?” 
Zarul ketawa.  Wajah gelabah Lai memang mencuit hati.  Lai berlalu ke pokok sebelah dan dia mengikut. 
“Saja datang tengok pekerja ayah saya buat kerja?” 
“Amboi... mentang-mentang dia anak tokey...”  Lai senyum tipis menyembunyikan pedih yang makin tebal.  “Kalau tak okey, nak pecat ke?”  Saja cuba berbahasa. 
Sekali lagi, Zarul hamburkan tawa.  Tadi masa dia lalui Nek Leha, Nek Leha larang dia dekati Lai.  Takut timbul fitnah tapi dia yakinlah Nek Leha, tak lama.  Kejap pun jadilah.  Lai dah terlalu banyak mengelak. 
“Tak sampai pecat.  Lagipun, ayah kata awak ni pekerja kesayangan dia...”
“Bodek...”  Lai mencebek.  “Tak ada apa nak bagi pun kalau bodek...”  Dia angkat baldi dan berlalu pada pokok yang lain. 
“Bagi hati jelah...” 
Lai terdiam sesaat dan senyum kemudiannya.  “Saya dah bagi adik saya pun.  Tu kira hadiah dan amanah terbesarlah tu...”  Senyum tipis pada Zarul.  Buat hati Zarul makin tak keruan. 
Rasanya, dia terpukul beberapa kali.  Tapi, riak Lai macam tak ada apa.  Dan rasanya jugak bukan salah dia sepenuhnya. 
“Nanti lepas saya kahwin, awak datang tinggal dengan saya?” 
“Untuk apa?”  laju Lai menyoal. 
“Tak ada apa.  Untuk buat awak selesa.  Tak payah lagi kerja...”
“Kalau saya Liza, sesuailah awak cakap gitu, Zarul.  Tapi saya Laila...”  Dia sengih lagi dan berlalu pada barisan getah  yang terakhir.  Zarul tetap mengikut.  Kali ini berdiri dekat di belakang Lai.  Hingga Lai dapat rasakan, Zarul ni lagi menyemak daripada nyamuk yang ada. 
“Marah saya?” 
Lai geleng. 
“Sedih?” 
“Tak perlu...”  Tegas. 
“Saya rindu...”
“Pergilah cakap dekat adik saya.  Atau nak saya sampaikan rindu awak tu pada dia?”  Sinis!  Sakit hati.  Macam manalah Liza boleh berkenan pada Zarul ni?  Lai nak berlalu tapi Zarul tak berganjak.  Matanya jatuh pada tangan Lai.  Bau busuk getah buku menusuk hidung. 
Dulu... dia teringat yang dulu-dulu setiap kali balik bercuti.  Dulu yang dah lama berlalu.  Dulu yang tak akan berulang lagi.
“Tepilah, Zarul.  Nampak dekat orang nanti, apa pulak dia kata.  Saya nak mengorat adik ipar sendiri nanti...”  Lai langgar lengan Zarul dengan bahunya.  Dan, kaki Zarul tak lagi mengikut Lai.  Dia hanya memandang betapa gigihnya gadis itu bekerja demi sesuap nasi dan demi adik sendiri hingga lupa pada diri sendiri. 
Telefon dalam poket sekali lagi bergetar.  Pada mulanya malas nak jawab.  Kot-kotlah Liza.  Tapi, ditarik juga bila dirasakan orang lain.  Sungguh, nama kawannya naik pada skrin.  Kawan baik yang dah agak lama tak jumpa. 
“Weh, hidup lagi kau?”  Ayat kurang ajar.  Tapi dah biasa. 
Zarul gelak dengan sapaan pemanggil di sebelah sana.  “Dapat emel aku?” 
“Dapat... gila nak kahwin dah.  Terkejut aku baca emel...” 
Zarul terus ketawa.  “Datang ke?” 
Sure... aku kebetulan tengah cuti tu.  Nanti aku datang.  Aku nak dok homestay lah weh.  Kau cari yang elok sikit.  Mesti ada, kan?” 
Zarul gelak mendengar permintaan yang rasanya boleh dijadikan bahan tu.  “Sejak bila kau tinggalkan hotel lima bintang?”  Ya, setahu dia kawan dia seorang ni memang tak layan homestay bagai ni.  Budak Bandar.  Lepas tu asyik travel ke Bandar besar seluruh dunia. 
“Weh, aku pun anak Melayu.  Nak rasa hidup kampung.  Aku kan tak ada kampung...”  Tawa berhamburan.  “Tapi, pastikan ada tab mandi, water header, air-cond...”  Gelak lagi. 
“Amboi...”  Zarul juga gelak.  “Yalah... ada je dekat hujung kampung sikit.  Aku tempah siap la untuk kau.  Berapa orang?” 
“Sorang...” 
Zarul kerut kening.  “Berani?” 
“Kalau tak berani, kau hantarlah peneman sorang.  Pastikan berlainan jantina la...”  Ketawa mereka bersatu lagi. 
Bila talian mati, Zarul senyum sendiri mengenangkan kawan dia yang sengal tu.  Kemudian dia pandang pada Lai yang dah berjalan mendekati bangsal.  Nampak tubuh itu makin susut.  Wajahnya pun tak macam usianya.  Kulit putih itu pun nampak kusam. 
Semasa melalui bangsal, Lai sedang bersihkan tangan.  Nek Leha nampak sedang terlelap.  Zarul mendekati motorsikal. 
“Saya balik dulu, Lai...”  Ucapan itu seperti dulu-dulu juga. 
Lai angkat tangan tanpa berpaling. 
“Lai...”  Seru Zarul.  Lai kalih.  Kening berkerut.  “Perlu ke saya rancangkan yang lain?” 

Soalan Zarul rasa menjerut leher.  Dia faham dan dia menggeleng berkali-kali tapi Zarul dah berlalu pergi.  

...bersambung

18 comments:

  1. Best best! Sambung lagi :D Nak lagi hehehehe

    ReplyDelete
  2. nk lg...best3x

    ReplyDelete
  3. Bab 1 pu dah best....x sabar tggu..

    ReplyDelete
  4. Lama nye menyepi kak RM??
    Tau2 dah ader citer baru...
    best...rindu la ngan RM...

    ReplyDelete
  5. Lama nye menyepi kak RM??
    Tau2 dah ader citer baru...
    best...rindu la ngan RM...

    ReplyDelete
  6. Betul .... bab 1 pun da best... Next plse.....

    ReplyDelete
  7. teruja dan tertanya2.....tabahnya Lai....

    ReplyDelete
  8. Huhu. Kembali mendera emosi dgn kisah hati kak rehan... Best2!

    ReplyDelete
  9. laila n keperitan hidupnya.. best!!..

    ReplyDelete
  10. Zarul ni suka pd Laila tp parents dia tersilap pinangan kut

    ReplyDelete
  11. apa la zarul ni.. kesian kat laila..jgn la kacau dia lg..nk kawen dh kot.. shuh, p main jauh2

    ReplyDelete
  12. Zarul ni nmpk mcm suka Lai tp mcmne la blh erpilih liza ni... mst kwn zarul tu qadr

    ReplyDelete
  13. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  14. Macang penoh bace doh cite lailatulQadr niehh . Dakpe ahh . Nati nok beli . Sedak ekpon cite yer .

    ReplyDelete