Wednesday, April 15, 2015

Seseorang Untuk Aku 7

"Pertemuan itu... boleh jadi tak seperti yang dimahukan..."

BAB 7

KETERUJAAN tak mampu disembunyikan.  Lepas balik daripada kebun getah, Lai menemani Nek Leha pulang.  Senyuman pada bibirnya tak lekang. 
“Hai... seronok nampak?”  Nek Leha menjeling. 

Lai gelak.  Dia angguk.  “Liza balik semalam.  Dia dah tak marah...”
Berkerut wajah tua Nek Leha.  “Dia ada marah kamu ke?” 
Lai ketap bibir.  Diceritakan pada Nek Leha apa yang dah jadi.  Mujurlah dah selesai.  Boleh nak bercerita.  Kalau masih tak selesai, tak adanya nak bercerita pada Nek Leha.  Kena marah lagi ada. 
“Kamu ni, Laila.”  Nek Leha bermukadimah nak bagi tazkirah.  “...lebihkan sangat Liza tu.  Dia dah berlaki.  Tak payah nak fikir lagi.  Lagipun, Zarul tu tak gila untuk tak dapat beza mana halal haram.  Mana-mana agama pun haramkan.  Kita orang Islam ni lagilah kena jaga.  Dahlah kamu dok risaukan Liza tu haa... kalau kata dah tak nak duduk dalam rumah tu, kamu pindah rumah aku.  Aku dah namakan kamu pewaris aku...” 
Kata-kata Nek Leha buat Lai terkebil-kebil.  Dia dekati Nek Leha.  “Laa... ini kan hak Nek Leha...”
“Sebab hak akulah, ikut suka aku lah nak wasiatkan pada siapa.  Kamu nak sibuk kenapa?”  Sinis.  tapi dalam senyum. 
Lai ucapkan syukur.  Tak apa tak dapat mertua sebaik keluarga Haji Saad.  Nek Leha dah lebih daripada cukup. 
“Hari ni saya balik awal, nek...”
“Hah?  Nak pergi kerja rumah tumpang Haji Saad tu ke?” 
Lai angguk. 
“Tak penat ke kamu, Laila?  Subuh hari dah kat kebun getah.  Dahlah hari ni kamu menebas semak tu.  Dua tiga hari lepas sedih macam mati laki.  Ini nak kerja lagi?”  Nek Leha menggeleng.  Sempat memerli. 
Lai hanya sengih.  Dia panjat basikalnya.  Kena balik dulu bersihkan diri.  Lepas tu kena ke pasar.  Liza dah bagi beberapa pesanan.  Dia sudi lakukannya kerana itu kerja.  Dia dibayar dan bayaran pun dah diterima.  Walau tak seberapa tapi bolehlah untuk menambah simpanan. 
“Kejap je.  Kemas sikit-sikit.  Basuh pakaian dia dan masak.  Lepas tu saya baliklah rehat...” 
“Haa... lelaki ke perempuan tu?” 
“Errr...” Lai garu kepala.  “Kawan pada Zarul.  Lelaki, nek...”
Mata Nek Leha bulat.  Berat hati pulak nak menyokong tapi itu hak Laila.  Lagipun, dia dah terima bayaran.  “Aku ni risau pulak dengar lelaki ni.  apapun kamu pastikan dia tak ada, baru masuk.  Kampung kita tak luas mana.  Seorang kentut, satu kampung dengar.  Kamu faham maksud aku ni, Laila?” 
Lai angguk berkali-kali.  “Saya dah cakap dekat Liza.  Liza nanti beritahu Zarul supaya kawan dia tu keluar rumah tengah hari dalam dua tiga jam untuk saya masuk...” 
“Kalau dah gitu kata kamu, lega aku dengar.  Pergilah balik sana.  Hati-hati...” pesan Nek Leha dan dia terus naik.
Lai terus mengayuh basikal laju. 


JAM 3.30 petang.  Semua dah disiapkan.  Hanya tunggu kain siap dibersihkan je.  Mujurlah rumah ni ada mesin basuh.  Mudah kerja dia.  Masa pun tak terbuang.  Makanan telah siap terhidang.  Microwave pun ada.  Empunya diri sekadar panaskan je nanti.  Baju  yang kering sudah berlipat dan di sterika siap. 
Lauk basah diletak dalam peti ais.  Cukuplah  untuk dua tiga hari.  Nanti dia beli lagi. Lai memandang keluar.  Tingkap yang sejak dia tiba tadi memang ternganga lebar.  Tak takut pencuri masuk ke?  Kampung ni boleh tahan juga dengan kes kecurian. 
Lai letak tangan di atas bingkai jendela.  Nampak jalan denai yang selalu menjadi laluan utama dia ke rumah Nek Leha dan ke kebun.  Dia ukir senyum.  Langit cerah.  Bila dia dongak ke langit, nampak lagi langit tersenyum.  Matanya terpejam.  Angin petang berpuput nyaman.  Dan tenang itu dikejutkan dengan bunyi mesin baru yang berbunyi  menandakan pakaian telah siap dicuci.  Lai laju berlari ke belakang.  Dijemur beberapa helai kain dan dia dah sedia untuk pulang.  Tubuh dia dah terlalu letih.  Tanpa menanti lama, Lai tutup tingkap dan mengunci pintu.  Terus dia pulang. 


SEJUK air sungai ni.  Tapi sangat nyaman.  Qadr pandang Zarul yang tak berkata apa.  Hanya diam.  Terjun sekali dua je terus naik duduk di tebing.  Frust betul! 
“Kau kenapa, Rul?” 
Zarul senyum.  Masih tak sedia nak bercerita.  “Kau balik hari ni ada orang dah kemaskan rumah.  Kata bini aku semalam, dia dah minta kawan dia pergi sana...”  Zarul tukar tajuk.  Tak nak menjawab soalan.
Qadr angguk.  “Great.  Aku pun malas nak keluar kedai.  Jauh.  Nak pergi rumah kau macam malas nak mengacau pengantin baru...”  Saja mengusik.
Zarul sengih sumbing.  “Nanti kita baik KL sama-sama...”
“Boleh je.  By the way tak bawa Liza honeymoon mana-mana ke?”  soal Qadr.  Cuti lama sakan tapi dok rumah je. 
“Taklah.  Nanti nak naik KL, Liza tu nak sambung belajar.  Aku okey je.  Lagipun nanti aku dah busy.  Kau nanti macam mana tugas baru naik cuti ni?” 
“Macam biasa...”  Qadr mencebek.  “Mama tak puas hati!”  Dia gelak. 
“Kena kahwin kot.  Tinggalkan menantu dengan mama kau.  Dia sunyi tu...”  Zarul ketawa dengan cadangan dia. 
Senang Zarul cakap.  Tapi, bernas juga idea tu.  Setidak-tidaknya ada jugaklah teman mama.  Nak-nak bila ada cucu daripada zuriat dia.  Tapi, Qadr menggeleng.  “Tak sampai masa lagi aku kahwin, Rul.  Aku mana ada calon.  Tak sempat nak mencari...”
“Itulah... asyik terbang je.  Macam helang cari mangsa tapi sayang, nak sambar tak sempat...”  Terus dibahan Qadr.
“Membahan aku nombor satu kau ni...”  Qadr mencebek tapi bibir tetap tersenyum.  Okeylah kalau Zarul dah ketawa.  Barulah rasa macam pengantin baru.  Ini tidak, masam macam prun jeruk cuka setong!
“Eh, jomlah balik.  Malamlah kita keluar kalau kau nak.  Aku ni datang nak rehat je.  Tahu dah kau busy apply pelajaran rumahtangga...”  Qadr bangkit dan bila Zarul mengejar, dia terus berlari laju. 
Zarul ukir senyum tenang.  Setidak-tidaknya, fikiran dia tak menumpu penuh pada Lai.  Dia kena kikis.  Dia sedang berdosa besar jika terus begini. 


SEBAIK saja daun pintu dibuka, wangi masakan menujah  hidung.  Qadr terus masuk ke dalam rumah.  Dicari kelibat yang Zarul katakan.  Dia pantang jendela yang dah terkatup rapat.  Mesti dia tu yang tutup.  Orang situ port nak intai awek basikal lalu.  Terus Qadr kuak kembali. 
Dia ke serambi yang ada di kiri rumah kayu ini.  Bersidai pakaiannya.  Termasuk pakaian kecik?  Erk?  Dia berlalu pula ke bilik tidur.  Cadar tegang.  Dah bertukar tuala.  Elok terletak di atas katil.  Kemudian dia masuk ke dapur.  Saji diangkat.  Hidangan terbentang dengan mata.  Biasa je tapi cukup buat perut yang lapar terus bernyanyi. 
Dia terpandang sekeping nota kecil.  Tulisan tangan yang cantik!

            Panaskan dulu sebelum makan.


Ringkas tapi masih lagi pesanan!  Qadr senyum sendiri.  Pandai isteri Zarul carikan pembantu rumah sementara ni.  tanpa menanti dan tanpa ambil peduli tentang pesanan tersebut, Qadr terus melahap.  Hingga licin segalanya dan pinggan hanya dilonggok di dalam sinki.  Langsung tak sama dengan apa yang telah dididik semasa di alam kolej. 
Yang pasti tubuhnya minta direhatkan.  Berenang melawan arus sungai memang buat tubuh letih.  Qadr rebahkan diri di tengah tilam.  Wangian yang mencucuk hidung.  Macam manalah wajah perempuan ni, ya?  Dia tak boleh lari daripada bertanyakan itu.  Matanya semakin layu dan akhirnya dia terlelap juga. 


DUA tiga hari berlalu, rutin sama berjalan.  Qadr semakin tertanya dan semakin membuak rasa hendak mengenali pembantu rumah tu.  Sungguh!  Dah tanya pada Zarul tapi Zarul pun tak tahu.  Katanya nak tanya Liza tapi sampai sekarang diam. 
Biasa tengah  hari dia akan keluar tapi memandangkan hari terakhir dia di sini, dia nekad mahu tatap wajah tu.  Dia akan balik awal. 
Telefon bimbitnya bergetar.  Qadr tarik daripada poket seluar.  Nama wanita tersayang terpapar.  Terus dijawab.
“Ya, ma... rindu jugak...” 
“Qadr bila nak balik?”  soal mama. 
“Esok, ma.   Jangan risaulah.  Dua minggu lagi Qadr temankan mama ya?”  Dipujuk sedaya mungkin ratu hatinya. 
Tiba-tiba cadangan spontan Zarul terlintas dalam kepala.  Dia ukir senyum lebar biarpun calonnya tak ada. 
“Ma... kalau Qadr kahwin, mama okey?” 
“Hah?”  Hampir terlepas gagang telefon daripada tangan mama.  Biar betul anak aku ni?  Pergi majlis orang kahwin terus dapat aura nak kahwin.  Kenan!  “Qadr ni saja nak main-mainkan mama ya?”  Mama gelak lepas.  Boleh tahan anak dia bergurau sekarang.  Sejak bila percayakan sebuah perkahwinan dan hidup terikat? 
“Mama ni… I’m serious.  Lagipun, kalau Qadr bertugas jauh nanti, mama adalah teman.  Nak-nak ada cucu…”  Suara Qadr mati seketika.  Dia pejamkan mata.  Terus meniarap.  Haruman cadar itu membangkitkan rasa lelah dalam diri.  Dia ketawa kemudiannya.  “…what say you, mama?” 
“Eh, kalau gitu, mamalah paling gembira.  Dah jumpa calon dekat majlis kahwin kawan Qadr tu ke?” 
“Taklah…”  Qadr mengubah kedudukan.  Terbaring terlentang.  Lepas bebas dengan mata merenung tepat pada siling.  “Saja tanya… calon tak ada.  Tak sempat nak cari, ma.  Lagipun, lepas pergi nanti tak sanggup nak tinggal lama-lama…”  Dia terus hamburkan gelak.
Sesaat tadi teruja juga nak kahwin.  Tengok pada Zarul ada isteri selembut Liza, rasa cemburu dan teringin tu ada.  Bila sesekali jumpa Kapten Ziyad dalam apa-apa majlis rasmi bersama isteri tersayang, Puan Teratai Nur yang cantik menawan tapi dah nampak berisi sikit tu, sejuk hati.  Tapi dia… Qadr menggeleng.  Dia bukan tak percayakan sebuah perkahwinan tapi kebanyakan wanita yang dia damping selalunya bukan jenis suka terikat. Buatkan dia juga malas nak mengikat apa-apa. 
“Muhamad Al-Qadr…”  Mama menyeru. 
“Ya, mama…”  Dia masih gelak.  “Just joking, mama.  Lupakan jelah.  Just saying…”  Qadr mencebek pada diri.  Dia tak pernah serius dengan mana-mana wanita.  Padanya, cukuplah mama seorang wanita di dalam hati.  Lagipun, lelaki patut lebihkan kerjaya.  Barulah jantan namanya. 
“Qadr suka buat mama teruja… lepas tu…”  Keluhan tipis mama menyapa telinga Qadr.  Rasa bersalah pulak dah. 
“Mama, janganlah merajuk.  Qadr tak ada masa, ma…”
“Dah tu tengah cuti dekat kampung tu, tak ada ke anak dara yang berkenan di hati?”  soal mama menyampuk. 
“Mama…”  Qadr rasa nak gelak dengan telahan mama.  “Qadr datang kenduri kawan lama.  Lepas tu nak hirup udara kampung.  Bukan nak intip anak dara orang…” 
Mama ketawa di hujung talian.  Qadr pun ketawa sama.  Tapi tak lama bila dia terpaksa menahan kuap. 
“Qadr nak rehat jap.  Nanti nak keluar ke rumah keluarga Zarul.  Esok nak balik dah.  Dia pun lusa kot baru balik KL dengan isteri dia.  Lagipun petang ni, Qadr ada program lain…” 
Tak tahulah menjadi atau tidak.  Sekadar merancang.  Setelah perbualan dengan  mama tamat, Qadr terus keluar untuk bertemu dengan Zarul.  Dan lepas ni dia tahu pertemuan mereka akan ambil masa yang lama. 
“Rul...”  Qadr menyeru tanpa memandang Zarul yang sedang ralit membelek album kahwinnya.  Tak dapat nak tolak keghairahan diri untuk melihat kot-kot adalah terselit sekeping dua gambar gadis tu. 
“Aku nak balik kejap lagi...” 
Zarul pandang Qadr.  “Kata nak lepak.  Esok kau dah nak balik.  Lagipun, kejap lagi tu pembantu rumah tu datang.  Karang kau ada dengan dia dalam rumah tu, bikin panas line pulak...”  pesan Zarul.  Separuh bergurau pun dia bersungguh sebenarnya.  “Kau nak kena cekup?”  giat Zarul.
Qadr buat muka seriau tapi tak lama.  Dia terus gelak dan menggeleng.  “Tak naklah aku benda gitu.  Tak pun, kau cakap jelah dekat dia, jangan datang hari ni.  Cukuplah tu sampai semalam je.  Aku nak balik rehat cukup-cukup ni.”
“Eleh...”  Zarul mencebek lebar.  “Macamlah jauh sangat KL sini dengan KL sana?” 
“Memanglah tak.  Tapi, alang-alang balik biarlah segar.  Baru namanya bercuti,” sela Qadr bersahaja. 
Nak tak nak, Zarul hanya akur.  “Yalah.  Nanti aku cakap dekat bini aku biar dia bagitahu kawan dia jangan datang.”  Zarul terus bangkit dan berlalu ke dalam rumah mencari Liza. 
Saat terpandang senyuman manis Liza, tak mampu dia melarang hati daripada membandingkan manisnya senyuman itu dengan senyuman gadis yang masih menakluki hati.  Zarul menggeleng beberapa kali.  Beristighfar.  Kuat sungguh setan yang  hasut aku ni!  Dia senyum sinis dan terus menyuarakan kata. 


RASANYA esok nak gerak awal pagi.  Tidaklah panas dan dia nak balik terus ke rumah.  Cuti yang perlu dimanfaatkan sepenuhnya.  Qadr melangkah gagah menjejaki anak tangga.  Badan sudah basah kuyup.  Hujan lebat masa dia berjalan-jalan di pekan dengan Zarul tadi.  Sampai ke rumah hujan terus mencurah.  Langit kelam.  Baru jam 6.00 petang tapi gayanya macam 12.00 tengah malam. 
Langit sedang menangis!
Qadr dongak ke langit.  Nampak gaya macam hujan sampai lewat malam ni.  seronoklah berbungkus malam ni.  Kenalah rancangan dia nak balik awal.  Awal pun, lewat jugak.  Bila dia tolak pintu, tak berkunci!  Qadr kerut kening.  Bukan dia nak melatah.  Langkahnya cukup perlahan.  Tanpa dapat dikesan.  Bila dia melepasi pintu, ada selonggok kain yang nampak baru diangkat daripada ampaian.  Dia ketap bibir.  Dadanya berdebar. 
Kakinya menapak lagi.  Hidung ditujah dengan haruman masakan kampung.  Liur ditelan berkali-kali.  Kan dah pesan tak payah datang.  Tak kanlah... Qadr maju ke dapur dan mata dia terus terpaku pada sesusuk tubuh kurus yang sedang mengelap table-top. 

Bertopi lusuh warna kuning!  Dia ke? 

30 comments:

  1. adoi..mcm ada benda buruk nk jadi kat lai dan qadr.

    ReplyDelete
  2. kyaaaaaaaa....x sabar next entry!!!!!!

    ReplyDelete
  3. Walaupun niat liza x brape baik.. tp itulah yg terbaik untuk lai... tq rehan..

    ReplyDelete
  4. Mcm dh nak smpai ke prolog aritue je...nak lagi dan lagi kak rehan.. n3 make my day..chewah

    ReplyDelete
  5. Oh... Jangan kena cekup sudah.
    Waaa... Nak lagi kak Rehan..

    ReplyDelete
  6. Curiosity kills the cat...curiosity makes qadr met his fate...rm kutahan tanganku taip tapi apakan daya dia derhaka padaku dengan menaip....pls rm. Nak lagi...ngeee

    ReplyDelete
  7. Adoi...takkan kena tangkap basah plk..kesian dekat laila

    ReplyDelete
  8. best sgt..nk lgi..

    ReplyDelete
  9. bgus juga klu kena tngkap basah dngn qadr.pandai liza, cri jodoh untuk lai.nk lg rmmmmmmm.hehe mkin penasaran tau....

    ReplyDelete
  10. 10q RM...as usual sy x sabar nak tgu next n3

    ReplyDelete
  11. actually.. sejak awal Qadr n Lai dh mmg brjodoh.. dah byk kali brtemu wlau x brsua..

    ReplyDelete
  12. waduh bikin ribut gini

    ReplyDelete
  13. RM,

    menunggu sambungannya..sudi-sudikanlah!! Sgt2 dihargai! Terima kaseh...

    ~ Kak Aminah AR

    ReplyDelete
  14. minta dijauhkan lah perkara yg buruk tu..

    ReplyDelete
  15. jeng jeng jeng...!!! makin hangat nie..
    RM cepat upload!!!! luv u many2

    ReplyDelete
  16. mst adk lai punya angkara... x cukup agaknye kakak dia dh bela dia... kesian kat lai.. macam2 masalah tau dugaan yg dia keen tempoh.. tp klu dia ngan qard pun ok gak... leh g jauh

    ReplyDelete
  17. sudah jumpa!!! Lai dengan Qadr :D

    ReplyDelete
  18. Pas nie kena cekup la pulak..huhuhuhu
    sdih part akn dtg..

    ReplyDelete
  19. Ala sambunglah lagi. Dah berdebar ni huhu

    ReplyDelete
  20. alamak what happened next... Ada sambungan lagi tak nie.... Teruja nie tak sabar nak tunggu.

    ReplyDelete
  21. aik..hari tu dah ada entry ni kan...qard kawin ngan lai...qard pi belayar..tinggal lai kat umah mentua..mak mentua tak suka...hhihihi

    ReplyDelete
  22. Aduhhhh.....berdebar hatiiiii....

    ReplyDelete