Tuesday, April 14, 2015

Seseorang Untuk Aku 3

"Dia amanah.  Dan, aku penjaganya..."

BAB 3

MASA makin suntuk tapi masih banyak yang tak selesai.  Liza resah sendiri.  Makin dekat nak kahwin, makin jauh pulak rasanya dia dengan Zarul.  Tak tahulah apa salah dia?  Atau masalah tu datang daripada Zarul sendiri.  Liza merenung kakaknya yang sedang membersihkan rumah.  Ditolak kerusi rotan usang tapi masih utuh itu di tepi dinding.  Dihampar tikar buluh yang baru dibeli siang tadi.  Ditukar sarung kusyen.  Langsir juga digantung yang baru. 

“Kakak tukar semua ni, habislah duit kakak nanti...”  Liza dekati Lai dan membantu kakaknya menyusun kusyen di atas kerusi. 
Lai senyum tanpa memandang adiknya.  Tangannya masih ligat menyusun apa  yang berselerak.  “Tak apalah, Liza.  Habis untuk Liza, kakak rasa puas hati.  Lagipun, memang kakak kerja selama ni untuk Liza pun.  Ini macam tak caya, kan...”  Jeda.  Dia pandang mata Liza.  Perlahan-lahan senyuman terukir.  Manis biarpun liur melalui rengkung pahit bagai hempedu.  “...Liza dah nak kahwin.  Ayah mesti suka, kan?  Mak pun mesti senyum sebab anak dara dia bakal berpunya...”  Ditarik tangan Liza dan digenggam kemas dua saat sebelum kembali menyambung kerja.
Keluhan tipis terlepas.  Liza duduk sambil menepuk kusyen.  “Tapi, kan kak...”  Dadanya rasa sebak tiba-tiba.  “...kenapa Liza rasa Abang Zarul tu tak suka Liza?  Makin dekat nak kahwin ni, makin jauh pulak kami...” 
Tangan Lai terhenti dua saat.  Dia ukir senyum dan menepuk bahu Liza.  Cuba menenangkan.  “Dugaan orang nak kahwin ni gitulah gamaknya.  Kakak pun tak tahu.  Tapi, elok apa kalau jauh.  Nak dekat-dekat buat apa tak sah lagi.  Esok lusa je lagi dah.  Liza sabarlah eh.  Boleh jadi dia sibuk.  Lagipun, majlis kan sekali harung berlangsung dekat rumah Tok Ketua.  Liza kena faham.  Ni, kakak kemas rumah kita cantik-cantik ni pun untuk korang berdua jugak.  Mesti Liza dan Zarul nak balik sini jugak, kan?  Walaupun untuk semalam.  Dahlah...”  Bahu adiknya diusap lembut.  “...jangan risau sangat.  Zarul tu okey je.  Semalam kakak nampak dia sembang dengan ayah dia dekat kebun, okey je...” 
Mata Liza meredup pada kakaknya.  Ayat terakhir menarik minat.  “Abang Zarul pergi kebun?” 
“Ha’ah...”  Lai iyakan.  Tak ada apa nak disorok.  “Kakak tengah kutip getah semalam.  Nampak gitu-gitu jelah...”
Liza hela nafas lega.  Dekat nak syakwasangka dah pun.  Tapi, selama dia tak ada di kampung ni, kakak dia dan Zarul memang tak ada apa-apa perasaan ke?  Dia pernah juga dengar kawan-kawan cakap yang Zarul kerap temankan Lai buat kerja di kebun bila Zarul balik bercuti.  Tak kanlah... Liza pandang sisi wajah kakaknya.  Hidung Lai mancung terletak.  Rambut yang sentiasa diikat itu jarang sekali dia lihat lepas bebas.  Malah, kilatannya dah pudar langsung.  Nampak sangat kakak tak sempat uruskan diri sendiri. 
“Kak...” 
“Hrmm...”  Mata Lai memandang pada langsir tipis yang baru dijahit dengan mesin usang milik Nek Leha.  Sekadar jahitan biasa.  Nak ropol-ropol tak reti.  Bolehlah bagi merai pengantin baru. 
“Kakak dengan Abang Zarul tu...” 
“Assalamualaikum...”  Belum sempat ayat Liza tamat, ada suara yang memberi salam.  Terus Liza bangkit dan berlalu ke pintu.  Wajah Zarul muncul.  Hasutan buruk dalam kepala berlalu.  Dia ukir senyum.
“Eh, Abang Zarul?  Ada apa?”  Liza menyoal ramah.  Lega.  Hilang rindu yang menggebu. 
“Mak abang suruh datang.  Nak tanya, Liza dengan Lai nak datang rumah malam ni ke malam esok?” 
Liza pandang kakaknya yang sedang buat tak tahu kehadiran Zarul.  Masih leka membelek langsir. 
“Kak, ni Abang Zarul datang...”
Lai masih buat tak tahu.  Dia tahu dan dia dengar soalan Zarul tu.  Tapi, malaslah.  Ingat peristiwa beberapa hari lepas dekat kebun.  Risau dia dengan kata-kata akhir Zarul tu.  Bila difikirkan, apalah maksudnya.  Janganlah Zarul buat benda bukan-bukan. 
“Kalau Lai nak pergi malam ni, pergi jelah.  Lagipun, esok dah malam berinai.  Rumah dia dah ramai.  Kakak pergi dengan Nek Leha malam korang akad nikah nanti,” jawab Lai lembut. 
Mata Liza jelas tak puas hati.  “Tak naklah sendiri...”
“Liza...”  Lai mengeluh tipis.  Dia dekati Liza.  “Pergilah dulu.  Mak mertua Liza sendiri jemput ni.  Nanti baju semua kakak pergi ambik esok dan terus hantar rumah Tok Ketua, ya?”  Pujuk Lai.  Dia pandang Zarul di bawah.  Mata mereka bersabung tepat dan dia tahu sejak tadi pun Zarul pandang dia.  Itu yang malas nak keluar ni.  Rasa nak dicucuk je mata Zarul ni.  “Liza pergi malam nilah, Zarul.  Nanti saya hantarkan...”
“Naik apa?”  Zarul saja mengusik.  Dia rindu nak tengok wajah itu gelabah tapi Lai dah makin tenang.  Tak kanlah tak terusik langsung jiwa wanita tu bila dia bakal jadi adik ipar?  Hairan jugak hatinya. 
“Err... basikal la...”  Dah tahu orang ada basikal je, tanya lagi.  Tak kan nak naik bas?  Bukan jauh pun. 
“Kalau gitu, malam nanti saya ajak mak saya datang jemput korang la...”
“Eh...”  Lai menafi.  “Liza je.  Saya malam korang akad nikah baru pergi.  Saya kena temankan Nek Leha.  Lagipun, esok saya nak pergi ambik baju nikah Liza...”  Lai senyum pada adiknya.  Tak sabar nak tengok Liza bergelar isteri. 
Keluhan kecewa terlepas juga.  Zarul hidupkan enjin motorsikal.  Dia pandang Liza.  “Abang balik dulu, Liza.  Malam abang datang dengan mak jemput Liza.  Siap teruslah ya.  Lepas Isyak kami sampai...” 
Tanpa menanti kata akhir, Zarul terus berlalu.  Kecewa lagi.  Tapi setidak-tidaknya, lepas juga rindu yang terlilit pada jiwa menatap bening mata sepet itu. 
“Dahlah... Liza tak payah tolong kakak.  Pergi siapkan barang Liza, ya?”  suruh Lai dan dia terus menyambung kerja. 
Mata Liza tak beralih.  Tapak kaki juga terpaku di situ.  Dia pandang Lai dan Zarul yang dah hilang daripada pandangan mata silih berganti.  Sungguhlah... syaitan kian menghasut ganas. 



SENDIRI.  Macam ini gamaknya hidup sendiri.  Sebelum ni Liza di asrama, sendiri juga tapi dia tahu Liza akan balik kalau bercuti.  Ini dah lain.  Liza bakal ada rumah baru, keluarga baru.  Lai senyum pasrah.  Rumah dah cantik dirias.  Cantik ikut kemampuan dirinya.  Cukuplah gaji yang Haji Saad bayar.  Berlebih pulak tu.  Teringat kata-kata Haji Saad masa bayar gaji beberapa hari lepas. 
“Pak Haji ingatkan, Zarul suruh pinang kamu, Laila.  Kalau kamu, senangnya hati orang tua bila anak ada isteri macam kamu ni, Laila...”  Duit bertukar tangan.  Kata-kata Haji Saad mati di situ.  Buat jiwa Lai bertambah keliru. 
Dia hanya senyum masa tu dan memandang Nek Leha yang hanya tenang tak berkata apa.  Pheww... nafas berat dilepaskan.  Dia dah siap kunci pintu rumah dan dah sedia nak mengayuh basikal hendak ke pekan, mengambil baju nikah Liza.  Baru saja jejak anak tangga terakhir, sebuah kereta Toyota Hilux berhenti tepat.  Lai kerut kening.  Tahu dah kereta siapa.  Tapi pemandunya buat dia kerut kening berkali-kali. 
“Nak pergi pekan, kan?   Jom kita sama-sama,” pelawa Zarul. 
Lai letak basikal semula dan dekati Zarul yang sedang tersengih.  “Liza mana?” 
“Dia busy siapkan diri dia...” 
Ya... Lai angguk.  Malam esok mereka akan disatukan tapi Zarul ni, kenapa masih macam ni.  “Saya pergi sendiri je...”
“Lai...”  Suara Zarul menahan langkah Lai.  “Jauh jugak pekan tu.  Lagipun, awak nak pergi ambik baju bakal  isteri saya.  Tak salah saya tumpangkan...”
Lai mencebek dalam hati.  Iyalah tu tumpangkan.  Entah-entah Zarul ni memang sengaja nak datang sini.  Kan semalam dia bagitahu nak ke pekan. 
“Nanti orang nampak, tak elok Zarul...”
“Biarlah  orang nampak.  Kalau jadi apa-apa senang.  Tak payah saya sakit kepala nak fikir macam mana nak buat lagi...”  Serius.
Lai telan liur.  “Awak jangan nak mengarut ya, Zarul...”
“Kalau perlu...”  Provokasi. 
Lai ketap bibir.  Dia terus masuk ke dalam perut Hilux.  Pintu ditutup kasar.  Zarul sengih.  Terus kereta bergerak perlahan. 
“Saya harap awak hargai adik saya Zarul...”  Kan itu pilihan awak.  Hati Lai menyambung.  Masa ni, kenapalah tubir mata mula rasa panas ni.  Dia pandang ke atas.  cuba sekat airmata yang nak menitis. 
“Saya hargai masa lalu kita...”
“Benda dah berlalu tak ada guna nak dikenang...” bidas Lai.
“Kalau mampu, saya dah lupakan...”
“Dan awak memang mampu, sebab tu kita ada kat sini hari ni.”  Makin keras ayat Lai. 
Zarul terkedu.  “Kita lari?” 
“Gila!”  Lai jegilkan mata. 
“Saya gilakan awak...”
“Awak bakal adik ipar saya...”
“Bakal je.  Tak ada apa...”
“Jangan jadi gila, Zarul.  Berhenti dekat sini.  Saya boleh sendiri...”  Lai cuba buka pintu tapi Zarul pantas melelar lengannya. 
“Jangan... jatuh nanti.  Bahaya...” 
Lai kembali duduk diam.  Apa nak buat ni?  Zarul makin melampau dan makin pelik.  Menyesal pulak dia ikut Zarul ni.  Tapi, niat dia baik.
“Beg saya ada belakang, Lai...”  Zarul kerling Lai yang makin dingin.  “...kita lari je.  Lepas tu jangan balik lagi.  Segala keperluan awak, saya tanggung.  Saya dah kerja.  Saya dah mampu nak jaga awak sekarang.  Awak pernah janji tapi awak tetap menolak saya sebab adik awak tu...”
“Dah tu kenapa awak pergi pinang dia?  Kenapa bukan saya?”  Lai menjerit kuat.  Nafasnya mengah. Airmata jatuh setitis. Airmata marah. 
Terkedu Zarul dibuatnya.  “Saya cuma nak buat awak marah...”
“Memang saya marah pada mulanya tapi kalau ini buat Liza bahagia, marah saya tu bertukar sayang...” 
Tawa sinis Zarul meletus.  “Inilah yang saya benci pada awak, Lailatul.  Lebihkan adik dan langsung tak hiraukan saya...” 
“Sebab dia amanah, Zarul...”
“Dan saya ni cinta awak, Lai...”
Lai terkedu sesaat sebelum mengukir senyum.  “Pernah... sekarang tak lagi!” 
Dan, Zarul harus akur.  Lai tekad dan dia juga perlu tekad.  Apa nak jadi, jadilah!



MALAM bersejarah.  Malam lepasnya tanggungjawab dan amanah.  Lai dipaksa juga tidur di rumah Haji Saad malam ni.  Tak dapat nak menolak bila Nek Leha juga menyuruh.  Tak apalah.  Kali terakhir untuk adik tersayang biarpun dia terpaksa memaniskan muka bila bertembung dengan Zarul. 
Yang dah jadi antara dia dan Zarul biarlah dia tanam dalam-dalam.  Biar tak bertanda.  Biar tak terkesan.  Biar hilang macam tu je.  Sejak tadi, dia hanya temankan Liza.  Tak boleh nak bergerak langsung.  Melihatkan jari-jemari Liza yang dah merah berseri, Tuhan jelah tahu betapa bahagianya dia. 
“Ni bilik Liza, ya?” 
Liza angguk.  “Bilik Abang Zarul...” 
Lai sengih.  Hati terbersit jugaklah.  Dia renung seluruh bilik.  Besar.  Tak macam rumah dia.  Liza sebelum ni tidur atas katil bujang je.  Itupun dia beli masa ayah tengah sakit dulu.  Bila ayah dah tak ada, dia biarkan Liza gunakan katil tu dan dia hanya beralaskan tikar biasa.  Tapi, tak apa.  Dia spesis tulang besi urat dawai. 
“Cantik, kan?”  soal Liza.
Lai angguk.  “Mestilah cantik.  Bilik bakal pengantin...”  Dia ketawa.  Liza juga.  Tapi tak lama bila Liza diminta keluar bila majlis akad nikah nak bermula.  Lai hanya memandang.  Dia juga turut bangkit dan mendekati almari yang terbuka.  Ada pakaian Liza dan Zarul di situ.  Dia letak beg yang dia bawa daripada rumah tadi.  Beg milik Liza.  Ada beberapa barang lagi milik Liza. 
Baru saja dia tutup pintu almari, Lai terkejut bila daun pintu bilik ditutup.  Wajah Zarul keruh. 
“Kita lari...” 
Lai kerut kening.  “Gila!”  suara cukup perlahan.  Takut ada yang terdengar.  Tak kan tak ada orang perasan Zarul masul bilik sedangkan Liza dah keluar.  “Awak gila ya, Zarul?  Liza dah keluar.  Saya pun nak keluar dah.  Yang awak masuk bilik ni kenapa?” 
Zarul senyum senget.  “Ini bilik saya.  Padahal bakal kita awak juga tapi awak menolak...”
“Benda dah lambat, Zarul... kita tak ada jodoh!”  Geramnya, Tuhan ajelah tahu.  Lai mahu melepasi pintu tapi Zarul menahan. 
“Saya boleh kahwin, tapi kalau Liza derita awak bertanggungjawab...”
“Hey... sebelum nak kata saya, cermin diri sendiri!”  Lai dah diamuk marah.  “Siapa yang mulakan?  Awak atau saya?”
Zarul terdiam.  Lai ambil kesempatan meneruskan kata.  “Awak yang mulakan dan jangan semudah itu ada nak minta saya tamatkan.  Kalau saya tahu awak buat adik saya derita, awak tahulah nanti...” 
Lai terus tarik tangannya tapi Zarul masih kuat mencengkam.  “Saya cinta awak, Laila...”
“Dan saya benci awak, Zarul.  Zarulhakimi  yang saya kenal dulu dan Zarulhakimi yang jadi adik ipar saya ni, beza dia macam  langit bumi!”  marah Lai.  Sekali lagi direntap, tangannya lepas daripada genggaman Zarul.  “Masa dah tiba Zarul dan saya ucap terima kasih awak tak buat kerja gila batalkan perkahwinan awak dengan Lizahani...”  Lai ukir senyuman plastik.
Dia terus keluar dengan hati-hati.  Lega bila semua dah ada dekat dengan Liza tapi tak lama, Zarul juga keluar dengan wajah masam. 
Biarlah.  Janji senyuman pada wajah Liza.  Dan, saat akad nikah mahu dilangsungkan, mata Zarul tetap menjeling Lai.  Liza kerutkan kening.  Dijeling pada kakaknya dan Zarul silih berganti. 

Syaitan menghasut lagi dan kali ini, Liza tewas.  

~> bersambung

11 comments:

  1. Helah yang memakan diri sendiri. Dah bukan jodoh awak zarul dengan lai...nampak sgt zarul ni tak matang....keputusan yang dibuat sesenang itu nak dilerai denngan lari.

    ReplyDelete
  2. fuhhh...gilerrr meroyan zarul neh

    ReplyDelete
  3. Geramnya zarul ni..cinta kakak..pinang adik..

    ReplyDelete
  4. Bahaya kisah cinta mcm ni,zarul pn satu,cinta kkak tp pegi pinang adik bt ape.? Mne blh main2 bnda cenggini.sian kt lai...

    ReplyDelete
  5. geram lak kat zarul nie....eeeeeee

    ReplyDelete
  6. Makin mencengkam jiwa! Xsabar nk tggu n3 bru

    ReplyDelete
  7. RM...buat novel ajerlah cerita nie...best sgt,dlm blog sampai bab 6 jer lah..tak mau terdera hati dan perasaan nie hah~immaz~

    ReplyDelete
  8. Habis kat blog ke?

    ReplyDelete
  9. meroyan ker pe si zarul ni. dh kalu btul nk kat si akak, knp p pinang si adik. kan dh jd mcm ni

    ReplyDelete
  10. best..kesian la lai,tpi xpe dia ada qadr..hehe

    ReplyDelete
  11. tu la zarul..nk buat org marah sekalipon jgn sampai merosakkan kesemuanya..

    ReplyDelete