SEBAIK saja
keluar daripada balai ketibaan, matanya tertancap pada kawan baik daddy, Uncle
Malik. Di sebelah lelaki tua itu itu ada
seorang lelaki. Driver daddy. Wajah masing-masing sugul. Kaki makin laju diatur dan sebaik saja salam
berjabat, tubuhnya dipaut kemas oleh Uncle Malik.
“Apa dah jadi
sebenarnya, uncle?” Resahnya, tak mampu
dia usulkan dengan kata-kata. Dua puluh
empat jam, termasuk transit di Dubai… dia resah. Makan tidak, apa pun tidak.
“Kita balik dulu
tengok tuan. Tuan memang tunggu Buya
sampai.” Beg galas dicapai. Dihulur pada Rizman. Lantas mereka segera berlalu ke pintu keluar
di mana sebuah Hummer putih sedang menanti.
Buya masuk di
belakang. Dengan Uncle Malik. Sejuk tangannya. Seram andai ada lagi berita yang lebih
mengejutkan. Dia tinggal daddy bulan
lepas atas urusan yang daddy sendiri minta.
Masa tu daddy nampak sihat. Tiada
apa. Menerima berita daripada Uncle
Malik yang daddy rebah tanpa sebab, itu yang meresahkan.
“Daddy ada
jantung ke, uncle?”
“Tak ada, Buya. Apapun, memang doktor nak teruskan
rawatan. Kata doktor, tuan macam hilang
semangat. Itu yang buat dia rebah tak
sedarkan diri. Bila dia sedar lepas
dekat dua puluh empat jam, dia sebut nama Buya…”
Jawapan Uncle
Malik, buat Buya raup wajah. Dah
kenapalah dia rasa kereta ni bergerak perlahan sangat. Dia tenung sisi wajah pemandu.
“Kau boleh cepat
sikit? Tekan minyak tu kuat sikit!” sergah Buya.
“Err… ya,
bos. Ba… baik…” Menerima tengkingan Buya, bodyguard segagah
itu juga kecut.
Semua orang tahu. Buya sentiasa tenang. Air wajahnya tiada siapa mampu duga. Segala urusan, dihadapi tanpa sikap melatah
walaupun sekali. Namun, jika berkaitan
keluarga, Buya boleh berubah menjadi orang lain.
“Hati-hati,
Man,” pesan Malik mengerti dengan sikap gugup Man.
“Buya, sabar.” Peha Buya ditepuk. “Tuan dah sedar. Jangan risau…”
“Macam mana saya
tak risau, uncle? Cuba uncle cakap? Kalau jadi apa-apa dekat daddy, macam
mana?” Usah kata perniagaan besar daddy,
dia memang tak pernah teringin nak ambik alih.
Dia cuma perlukan daddy. Itu
aje. Dah tua bangka begini, dia masih
seronok untuk ada bawah ketiak daddy.
Cuma, tentang impian dia lebih suka bina harapan sendiri.
Suasana dalam
perut Humvee sepi. Buya sedang berubah
menjadi orang lain. Uncle Malik
diam. Diisyaratkan pada Rizman agar
menekan sedikit pedal minyak. Perjalanan
menuju ke Hospital Colombia terasa begitu lama.
Uncle Malik
menjeling Buya sesekali. Resah. Boleh jadi bahana penat dan lapar. Bersalut pulak kerisauan.
“Buya nak makan
dulu?” soal Uncle Malik sebaik saja Man
hentikan kereta tepat di pintu lobby Hospital Colombia.
“Tak. Saya terus jumpa daddy…” Tak menanti, pintu kereta ditolak. Hanya sempat capai jaket kulitnya saja. Kemudian, tergesa-gesa masuk ke dalam
hospital menuju ke ke bilik daddy.
WAJAH daddy yang
pucat. Hati Buya meraung sendiri. Dia tak nak pergi sebenarnya bulan
lepas. Tapi, daddy desak. Kata daddy, ini peluang untuk dia cari
pengalaman dan bina kenalan. Projek ini
besar dan seeloknya Buya pergi dan belajar.
Tak lama lagi, Buya akan ambik alih seluruh empayarnya.
Berat hati nak
pergi masa tu. Tapi, dia ikut juga
kata-kata daddy kerana dia tak pernah membantah. Tapi, dia juga tak suka daddy berbicara
tentang harta dengan dia. Padanya, dia
tak sehebat daddy dalam menguruskan perniagaan.
Dia masih budak mentah yang masih belajar. Daddy adalah tulang belakang.
“Daddy?” Buya labuhkan duduk di atas kerusi tepi
katil.
“Buya balik,
daddy. Bukak mata…”
Lama dia
menanti, akhirnya kelopak mata daddy terbuka.
Wajah daddy tak beriak. Hanya
renungan itu nampak sayu dan pilu.
“Buya dah balik
daddy.” Suara Buya syahdu. Tangan daddy diramas perlahan. Sejuk.
“Apa dah jadi
ni, daddy?” soal Buya sedikit serak
menahan tangis.
“Buyaaa,”
panggil Dato’ Bakri meleret.
“Ya,
daddy…”
“Buya
okey?” Susah nak bersuara tapi dipaksa
diri apabila melihat anak lelakinya tiba di sisi.
Buya ketawa
kecil. “Sepatutnya Buya yang tanya daddy
macam tu. Tapi, ini terbalik.” Rambut putih daddy diusap perlahan.
“Buya okey. Daddy pun kena okey. Buya ni nampak aje tua. Tapi, Buya tak boleh tak ada daddy. Jadi, daddy kena sihat. Buya janji, Buya akan bantu daddy, ya?”
Dengan alat
bantuan pernafasan, Dato’ Bakri cuba untuk senyum. Mengerdipkan mata mengganti anggukan. Tangan tuanya meraba basah bantal. Dah dua hari sampul coklat itu ada di situ
setelah dia mintak Malik sediakan semua perkara.
Malik, bukan
orang lain. Selain peguam dia, Malik
jugalah saksi jatuh bangun susah payah dia bina perniagaan dia sekarang. Malik adalah orang kepercayaannya. Kawan lamanya.
“Daddy mungkin
tak lama. Sebab tu sekarang, Buya kena
tengok ni…” Susah payah Dato’ Bakri
bersuara seraya menghulurkan sampul surat tersebut pada Buya.
“Apa ni?” Tangan Buya menyambutnya. Jangan kata daddy dah buat wasiat? Untuk dia dan Balqish?
“Tentang…” Kata-kata Dato’ Bakri terhenti. Dia terbatuk.
Batuk yang mulanya biasa, berubah menjadi kasar hingga Buya sendiri
panik.
Dia
menoleh. Uncle Malik yang baru saja
muncul di muka pintu, juga kaget melihat pada keadaan Dato’ Bakri.
“Uncle, panggil
doktor…” jerit Buya kuat. Dia bangkit.
Sampul tadi jatuh ke bawah kerusi.
Sebaik saja
doktor masuk, tubuh Buya ditolak ke belakang sedikit oleh seorang jururawat
perempuan. Lutut Buya menggigil. Bila tangan Uncle Malik jatuh ke bahunya, dia
menoleh dengan mata yang basah.
“Saya tak sedia
nak hadap kepergian daddy lagi, uncle…” ujarnya perlahan.
“Sabarlah, Buya…” Tiada apa lagi yang mampu dikatakan melain
satu perkataan itu saja biarpun dia tahu, sukar untuk Buya aplikasikannya.
Bila doktor
separuh umur itu mendekati, Buya bangkit.
Menanti dengan kerisauan apa yang
bakal dikatakan.
“Tuan Buya,
Dato’ tak sedarkan diri tiba-tiba. Vital
dia semua okey. Saya tak dapat nak
sahkan kenapa, tapi buat masa sekarang… dia stabil. Harap Tuan Buya sabar hingga kita lakukan
pemeriksaan lanjut…” Bahu Buya diramas
sekali sebelum dia berlalu pergi dengan resah yang bukan sedikit.
Merawat pesakit
yang begitu berperangaruh, sedikit sebanyak buat jiwa doktor tertekan.
“Daddy…” Daripada jauh, dia hanya memandang
daddy. Apa sakit daddy sebenarnya
ni? Penumbuk dikepal. Ringan nak mencari sasaran, tapi siapa dan
apa?
Wajah Buya
tunduk memandang ke lantai. Memikir dan
terus memikir. Bila Uncle Malik
mendekati, menghulurkan sesuatu… barulah Buya angkat wajah.
“Apa ni, uncle?” soalnya seperti lupa akan sampul yang daddy
hulurkan baru kejap tadi.
“Uncle percaya,
tuan dah bagi pada Buya kejap tadi.”
Sebaik saja
surat tersebut bertukar tangan, Buya tarik perlahan isinya. Mata yang tadi layu membulat tiba-tiba
melihat isi kandungan surat. Surat
wasiat? Dah agak. Nama dia dan Balqish, adik perempuannya. Tapi, kejap… dahi Buya berkerut.
Dia angkat
wajah. Wajah Uncle Malik dipandang
dengan pelbagai reaksi. Kenapa ada ketiga
yang dia tak pernah dengar sebelum ni? Separuh
harta daddy serahkan pada nama asing itu.
Dia dan Balqish hanya dapat satu per empat seorang.
“Uncle?” seru Buya.
“Ya…”
Buya panggung
pandangan. Melangut pada Uncle
Malik. “Apa ni?”
Tak… ini bukan
sebab dia gilakan harta. Tapi, kenapa
mesti ada nama asing yang tak pernah dia kenali? Itu yang menjadi isu sekarang.
“Uncle tak
berapa pasti, Buya. Tuan ada
jawapan. Tapi, itu adalah yang uncle
sediakan mengikut arahan tuan.
Selebihnya, itu keputusan Buya dan Balqish sendiri.” Apapun jadi, dia tak boleh nak bukak
mulut. Itu yang Dato’ Bakri pesan.
Nafas Buya
berat. Apa yang sedang dia baca ni? “Saya tak pernah tahu nama ni, uncle. Dari mana dia datang, anak siapa, apa
hubungan dia dengan daddy…” Buya
berbicara lebih pada diri sendiri.
“Apa yang uncle
boleh cakap, Sera tu orang yang Dato’ Bakri sayang sangat.”
“Hah?” Jawapan Uncle Malik buat Buya jatuh rahang.
Perempuan semuda
ini? Lebih muda daripada dia? Ini yang daddy pilih? Siapa ni?
Ibu tiri dia ke? Kenapa daddy tak
pernah cakap? Dan sekarang, lima puluh
peratus segala harta milik daddy kini jadi milik perempuan bernama Sera yang
dia tak kenal batang hidung pun.
Damn!
Buya renyuk
kertas tersebut dan terus saja saja keluar.
Rasa risaunya pada daddy berganti dengan amarah yang sedang
meluap-luap. Tergamak daddy sembunyikan
hakikat sebegini hebat tentang hubungan daddy dengan perempuan muda tu! Pisau cukur mana ni?!
Tergamak!
“Bos…”
Buya hentikan
langkah. Menoleh ke kiri. Memandang Rizman yang tegak berdiri. Setia sejak bertahun lamanya pada dia.
“Kau ikut
aku…”
“Baik,
bos…” Rizman akur.
BAB 2
BARU saja dia
selesai bungkus bunga yang dipesan, pintu kedainya ditolak daripada luar. Sera angkat mata. Tersenyum seperti biasa. Terus ke depan.
“Selamat datang,
encik. Boleh saya bantu?” Dia menyapa sopan.
Tapi, sapaannya
tak bersambut. Hanya renungan tajam yang
menikam wajahnya sebelum tetamu ini melingas ke sekeliling kedainya yang hanya
sekangkang kera.
“Err… encik nak
beli bunga ke? Boleh saya tahu untuk
majlis apa?” Suaranya masih lagi mesra
biarpun liur yang ditelan sudah mula terasa pahit.
Along mana pulak
ni nak datang mintak duit perlindungan.
Ingatkan dalam TV aje ada benda macam ni. Tapi, dah bertahun dia berniaga di sini tak
pernah pulak ada yang datang buat perangai tak semenggah macam ni.
“Atau encik
sebenarnya nak tanya jalan?” Kening
tipis Sera terjongket sedikit.
Iyalah. Mana tahu. Sesat.
Itu yang selalu terjadi sebenarnya.
Orang nak tanya tempat.
“Ni kedai awak?”
“Err… ya,
saya…” Debaran Sera sudah lain
macam. Sah, memang ahlong ni.
“Jadinya, nama awak
Sera?”
Okey… Ini memang sangat menakutkan. Tapi, Sera tetap angguk. Dia milikan tunggal. Tak berkongsi dengan sesiapa.
“Ini kedai sendiri
atau sewa?”
“Sewa.”
“Mahal?”
“Bolehlah untuk
saya survive tiap-tiap bulan dengan pendapatan saya,” jawab Sera. Jujur.
Buya tarik
kerusi. Dihenyak duduk. Jauh daripada Hospital Colombia hingga ke
Greenwood mencari alamat yang dah dia hafal.
“Okey,
encik. Kalau encik bukan datang nak beli
bunga atau hadiah, saya harap encik boleh keluar daripada kedai saya. Rasanya saya dah lama menyewa kedai ni. Tak pernah pulak ada orang datang buat
masalah dengan saya…” Dalam gugup, dia perlu
luahkan jugak. Tak nak bisnes dia
terganggu. Apatah lagi bila lelaki
berbadan kasar yang datang bersama lelaki ini sudah mula menukar papan tanda
kedainya.
Open
to closed!
“Bukan saya yang
buat masalah dengan awak. Tapi, awak!”
Mata Sera terasa
suam. Dia hampir menangis. Kalau dia diapa-apakan, rasanya dia tak mampu
melawan. Dia akan kalah dengan
mudah.
“Okey.” Tenang Sera.
Sebolehnya, Sera cuba hati sendiri yang dah menjerit ketakutan. “Saya tak tahu apa salah saya dan apa masalah
yang saya dah bawak. Saya cuma jual
bunga dan hadiah. Saya tak pernah buat
masalah…”
“Awak memang dah
bawak masalah dalam hidup saya!” Buya hampir
hentak meja. Kakinya menapak ke depan
selangkah demi selangkah. Hampir pada
gadis itu.
Melihat kaki
lelaki ini yang mahu, Sera menapak ke belakang.
Di kaunter, ada gunting dan pisau.
Dia perlu sesuatu untuk pertahankan diri. Baru nak capai gunting, tangan Sera dilipat
kasar ke belakang. Dia mengaduh dengan
kerutan lebat pada wajah.
“Demi Tuhan,
encik… saya memang tak buat salah apa-apa…”
Airmata jatuh lagi. Rasanya muka
dia dah pucat sangat dah ni.
“Mungkin saya
perlu ingatkan awak…” Bisikan Buya kedengaran tajam di pendengaran Sera.
Liur ditelan
berkali-kali. Disekat tangis agar tak
terus merebak. Apa yang dia tengok dalam
TV, penjahat tak suka perempuan yang menangis.
“Encik lepas
tangan saya. Kita bincang,” ajaknya cuba
berdiplomasi.
“Okey…” Buya mengalah. Dihantar isyarat agar Rizman keluar terlebih
dulu. Pintu kedai dikunci rapat. Buya kembali duduk. Merenung tajam pada Sera yang berdiri sambil
menggosok pergelangan tangan.
Dalam diam, dia
perlu akui. Sera cantik. Saat pertama kali wanita ini senyum menyambut
kehadiran dia tadi, memang Sera cantik.
Tapi, kenapa Sera sanggup guna wajah itu untuk memperdayakan orang tua
seperti daddy.
“Kau kenal
Bakri? Dato’ Bakri?”
Dahi Sera
berkerut. Uncle Bakri ke? Betullah kot gamaknya. Itu sorang aje nama Bakri yang dia
kenal. Yang dah banyak bantu dia selama
ini. Idea bukak kedai bunga ni jugak,
idea Uncle Bakri jugaklah. Modal
mula-mula dulu pun Uncle Bakri jugak yang bagi.
Setelah itu, dia berusaha. Modal
itu dipulangkan semula. Cuma jasa yang
masih tinggal tanpa dapat dia membalasnya.
Lambat-lambat
Sera angguk.
“Awak tahu dia
tengah nazak?”
“Hah?
Nazak? Rasanya bulan lepas dia…”
“Apa nak
kata? Segalanya dah berubah dalam
sekelip mata…”
Wajah Sera
mendung. Hilang takut. Berganti risau. “Dia dekat mana sekarang? Boleh saya jenguk dia? Ada benda yang saya nak cakap…”
“Kenapa? Nak cakap awak sayangkan dia?”
Sera angguk
tanpa silu. Memang dia sayangkan lelaki
tua itu. Setidak-tidaknya, layanan Uncle
Bakri seperti seorang ayah. Dia rasa tak
keseorangan dalam dunia ni.
Damn! Hati Buya menyumpah namun dia tahan
dirinya. Bangkit dan menghampiri
Sera.
“Awak tahu dia
ada anak?”
Sera
angguk. Tapi, dia tak pernah kenal. Selalu Uncle Bakri cerita tapi dia hanya
senyum dengan setiap gurauan Uncle Bakri yang mahukan dia jadi menantu.
“Saya anak dia.”
Mata Sera bulat. Sedikit pun tak berganjak bila lelaki ini
mendekati hingga dia terpaksa mendongak menentang pandangan mata kuyu itu.
“Bun…”
“Ya.
Bunyamin.” Senyuman Buya lebar. Menakutkan.
Sera larikan
pandangan. Pelbagai persoalan timbul
dalam kepala. Apa yang buat Bunyamin
datang ke sini? Tidakkah Bunyamin ada di
luar negara? Mungkin sebab Uncle sakit,
Bunyamin pulang. Tapi, kenapa muncul di
kedai dia tiba-tiba? Kasari dia?
“Encik Bunyamin
datang kedai saya, sebab Dato’ Bakri atau sebab saya?”
“Kedua-duanya. Dan, Cik Sera Nur yang terutama…” Senyuman sinis Buya terukir tajam.
...bersambung
Jujurnya, saya dah lama tak boleh menulis. Sejak daripada bulan 10 tahun lepas kot. Ini pun saya tak menulis lagi. Cerita ni, cerita yang saya tulis sebelum bulan 10.2017 tu haa. Rasanya, tak adalah menarik mana plotnya. Klise sangat. Tapi, bolehlah untuk bahan bacaan ringan dan percuma.
Doakan saya boleh cepat pulih daripada penyakit tak boleh menulis ni. Perit jugak bila idea ada, nama2 watak dah ada, plot dah teratur, tajuk pun menarik... tapi, bila nak menaip, biarpun otak bekerja tapi jiwa jadi kaku.
Yeay akhirnya ada jgk buah tgn sis rehan yg seterusnya...
ReplyDeleteMoga ide melimpah ruah utk siap kan karya ni..karya ni abis kt blog atau akn dibukukan nnt sis rehan
hbs kat blog, insya'allah (spt yg puan penulis mentioned)
DeleteBaeu baca bab 1 n 2...dh teruja rasanya...
ReplyDeleteJujurnya bab ni saya dah baca sebelum ni...tertunggu2 juga rehan nak sambung...n..ni memang seronok sangat baca...tq RM...tak mengecewakan
ReplyDeleteAda yang berubah sikit ya? Eh, tak kisah la...
ReplyDeleteMoga Karehan kembali bersemangat seperti dulu..
-widad amsyar-
Karehan... Sy dah excited giler ni.. Laju2 updates ye. Love you!
ReplyDeleteBab 1 pun dah jatuh hiba ni,,,karya karehan mmg kena dgn jiwa,,,tkasih
ReplyDeletethanks RM...x pernah mengecewakan
ReplyDeleteyes masih igt lg cerita ni tahun lps keluar moga puan penulis diberi semangat utk menulis
ReplyDeleteBuya sama dgn nama kucing kita lah rehan...hihihi
ReplyDeletecerita ni yang tak habis tu kan ? tapi tak ingat tajuk sebelum tu. ni dah tukar pulak. moga RM teruskan penulisan cerita ni ye =D
ReplyDeletesemoga RM lebih bersemangat dan berjiwa kental semula..story RM mmg mengancam..nama Buya ni sy trkenang ms sekolah dulu..nama pggln sy oleh kekawan..tq RM pilih nama ni..suka sgttttt
ReplyDeleteSaje tunggu lama sket br bc.. nk marathon 😃😀 oo rupanye ni kisah buya dulu tu.. thx RM, sudi smbg kisah buya dan sera ni 🌹💐
ReplyDeleteSaya pun suka baca secara marathon hihi
DeletePatutlah rasa mcm dejavu, mcm pernah baca..rupanya mmg cerita lama huhu tapi dah tak ingat sangat tajuk @ full story..apa pun tetap follow cerita ni. & semoga Allah permudahkan urusan RM untuk kembali menulis seperti sebelum ni..never give up RM. WE ALL LOVE U.
ReplyDelete