Rasa pilu ini sedikit pun tidak berkurang. Sekarang, pesanan yang diterima seperti menambahkan rasa itu di hati. Pernah dia menyoal diri sendiri. Apakah perasaannya jika akhirnya, pesanan yang dia tunggu selama ini tiba? Adakah dia akan gembira? Atau yang ada hanyalah duka? Kerana itu, dia tidak pernah menukar nombor telefonnya hanya kerana satu penantian.
Tidakkah ini yang dia nanti? Tapi, mengapa setelah kehendak dan doanya dimakbulkan, dia berat hati untuk terima? Saat ini, penantian itu berakhir. Persoalan itu akhirnya berjawapan. Dia tidak bahagia. Sebaliknya, keresahan yang mula merajai hati. Apa yang ada di sebalik pesanan ini pasti menuntut sesuatu yang tak berdaya dia tunaikan.
Wanita itu telah membuktikan segala kata-kata. Bahagia itu akan hadir tanpa dirinya. Dia adalah punca segala duka yang ada di dunia. Dia adalah perampas bahagia dan senyuman. Dia pembawa malang. Kelahiran di dunia ini adalah satu kesilapan yang besar.
Dan, sumpahan itu telah memakan dirinya sedikit demi sedikit, hari ke hari.
Pesanan yang sedang masuk itu dibaca sebaris demi sebaris ayat.
Tuhan… hati Naihara mengeluh. Mengeluh kesal dengan diri sendiri yang seakan tidak pernah terima segalanya biarpun berjuta kali dia akui segala ketentuan. Segalanya menjadi sangat sukar.
Dia cuba hidup dengan baik selama mana jasadnya bernyawa. Dia belajar bagai tiada siang dan malam demi untuk seseorang yang dia sayang. Dia mula mencari rezeki sendiri biarpun tidak sehebat mana. Dia benar-benar mahu lupakan semua perkara.
Namun, benarlah bagai dikata. Betapa pun kita cuba melupakan sejarah, sejarah itu sentiasa ada dalam perjalanan hidup dan sepertinya sejarah hitamnya mahu menarik dia kembali ke masa lalu yang mahu dia lupakan.
Kerana itu dia mengeluh. Kerana dia tahu, betapa kuat dia cuba melawan, dia pasti akan ditewaskan.
“Naihara…”
Naihara menoleh bila rasa bahunya dicuit orang.
“Bos tanya tu,” bisik Azlin.
“Cik Naihara? Ada masalah ke? Saya dah tanya banyak kali ni?” Dahi Encik Azmi berkerut. Dah dua tiga kail dia tanya, tapi Naihara tak menyahut langsung. Biasanya, Naihara akan fokus.
“Ada masalah ke?” Soalan itu diulang.
“Maaf, Encik Mi. Encik Mi tanya apa tadi?”
“Saya tanya report tu dah siap ke? Bila-bila masa aje dari sekarang, bos akan masuk. Saya risau dia muncul tiba-tiba. Itu yang saya harap semua dah siap sedia.”
Semua di pejabat ini tahu, pemilik syarikat iklan dan percetakan ini telah bertukar hak. Segalanya agak kucar-kacir tapi sebagai yang menguruskan syarikat ini beberapa tahun ini, dia mahukan yang terbaik bukan saja pada syarikat tapi pada semua staff.
“Ya, dah siap. Saya bagi Encik Mi semak dulu untuk apa-apa pindaan.”
“Draf design tu?”
“Saya dah emel juga pada client. Tapi, masih belum terima apa-apa maklum balas buat masa ni,” jawab Naihara jelas dan nyata.
“Okeylah kalau macam tu.” Encik Azmi nampak lega. Dia harap sangat projek yang diberi pada Naihara memenangi hati pelanggan.
“Tadi tu, kenapa ralit sangat? Saya panggil dua tiga kali, tak sedar?” Wajahnya nampak risau saat ini. Kerana dia tahu siapa yang menjadi tanggungjawab Naihara.
“Mak cik saya, bos,” jawabnya perlahan.
Menyatakan status itu adalah sesuatu yang cukup payah untuk dia luah. Tapi, apa lagi hubungan yang perlu dia dedahkan kerana itulah hubungan antara mereka sejak hampir sedekad lalu.
“Penting ke?”
Naihara menggeleng.
“Cuma tanya khabar aje,” jawabnya. Sebahagian adalah pembohongan dan sebahagian lagi adalah kebenaran.
“Okey. Kita sambung. Seperti yang kita semua dah tahu, kita sekarang dah tukar pemilik baru dan saya tak tahu lagi macam mana management baru kita. Saya tak kenal sangat pemilik baru syarikat ni. Cuma daripada khabar angin tu, adalah sikit cerita tak enak didengar. Tapi, saya percaya, apa yang tak enak tu adalah daripada orang yang tak pernah kenal dia. Kita pun tak boleh nak nilai orang tanpa kenal. Betul tak? Apapun, kita hanya boleh tunggu dan lihat ajelah.”
“Encik Mi, nak tanya… Ada tak ura-ura pemilik baru nak buang pekerja ke… turunkan gaji ke…” Suria, salah seorang pekerja mengajukan soalan. Alunan suaranya jelas berlagu resah.
“Saya tak boleh nak jamin tentang hal ini…” Encik Azmi melepaskan keluhan berat di sebalik senyuman pincang yang diukir.
“Saya tak nak bagi harapan palsu pada awak semua termasuk saya sendiri. Nak-nak dengan projek yang tak banyak. Yang ada pun sekarang, tak besar mana. Apa saja yang bakal terjadi, saya harap kita semua dapat terima dengan lapang dada dan terus berusaha selagi ada bersama syarikat ni,” jawabEncik Azmi perlahan. Dia pandang wajah-wajah yang ada di depan mata. Mengerti dengan kerisauan semua bila nasib diri tak ubah seperti telur di hujung tanduk.
“Semalam pembantu bos baru kita ni ada telefon saya dan dia tak sebut apa-apa tentang buang pekerja. Dia cuma harap semua berjalan seperti biasa dan anggap ajelah seperti tiada perubahan pemilik atau apa saja. Dia akan datang sendiri ke pejabat ni dan bincang dengan kita semua,” tambah Encik Azmi. Cuba memujuk resah anak buah yang ada di depan matanya.
“Tapi kan, Encik Mi…” Suara Sharul menarik semua mata memandangnya.
“Daripada apa yang kita semua tahu, pendapatan syarikat ni dah sangat merosot sejak beberapa bulan kebelakangan ni. Mungkin sebab tu bos lama jual tapi tertanya juga, atas sebab apa bos baru kita beli, ya?”
Syarikat pengiklanan dan pencetakan yang telah menjadi tempat mereka mencari rezeki ini tidaklah besar mana. Aneh bila ada yang berminat membelinya dan khabarnya dengan harga yang agak tinggi. Entah apa motif di sebalik pembelian itu, dia tak tahu dan bukan tempatnya untuk mengambil tahu.
“Seperti saya cakap tadi, saya pernah dengar cerita tentang bos baru kita ni dan kalau awak semua google atau baca berita atau apa saja tentang bisnes pun, lelaki ni memang seorang yang disegani. Dia berjaya bina perniagaan yang kukuh hanya pada usia dua puluh tujuh tahun. Tapi, sekadar itu sajalah yang saya tahu dan saya sendiri tertanya kenapa dia berminat dengan syarikat yang pendapatan kasar tahunan tak sampai seratus ribu pun. Nak-nak sekarang ni pulak. Persaingan sangat kuat. Padahal pendapatan dia yang dilaporkan adalah bernilai puluh juta. Saya yakin, dia ada sebab tersendiri yang saya tak berani nak teka. Jadi, yang mana bukan urusan kita tu, biarkan ajelah. Saya nak kita fokus pada kerja.” Encik Azmi tenang menjawab.
“Satu saya boleh jamin, dia orang yang rasional bila berkaitan bisnes. Dia tak akan aniaya pekerja sendiri. Saya yakin, dia taklah sekejam yang dimomokkan.” Encik Azmi koyak senyum namun koyakan itu nampaknya tidak selari.
Gamaknya, keyakinan ini sekadar untuk menyedapkan hati sendiri. Betapa dia bimbangkan diri sendiri, dia lebih risaukan pekerja di bawahnya. Lebih-lebih lagi Naihara yang baru saja mula dua bulan lepas. Sementelah dia tahu Naihara punya tanggungjawab yang besar yang tiada siapa tahu melainkan dirinya. Segalanya akan jadi sangat sukar jika Naihara dibuang kerja dengan statusnya yang masih dalam tempoh percubaan.
Mendengarkan kata-kata Encik Azmi, hati Naihara terasa berat. Dia tunduk. Mengemam bibir. Memikirkan nasib sendiri. Andai mahu membuang pekerja, rasanya dialah yang akan jadi mangsa pertama.
Pencapaiannya masih boleh dipertikaikan andai nak dibanding dengan orang lain. Biarpun tugasnya sebagai perunding pengiklanan dan perekabentuk, tapi dia juga bertanggungjawab untuk kemaskini akaun, membantu Encik Azmi. Kerja ini adalah yang paling sesuai untuknya. Kerana itu dia tolak semua tawaran yang hadir biarpun gaji yang ditawarkan lebih lumayan.
“Apapun, kita doa moga semuanya baik-baik aje,” tambah Encik Azmi dengan senyuman tipis.
Dia alihkan pandangan pada Naihara yang sekali lagi nampak ‘hilang’ dan dia faham kerana semua yang ada di depan matanya juga dengan ekpresi wajah yang sama.
Risau!
Bimbang!
Takut!
“Kita tangguh dulu mesyuarat kita. ” Encik Azmi bangkit tapi tidak terus keluar. Sebaliknya, dia dekati Naihara.
“Saya faham apa yang awak risaukan tu. Saya tahu tentang tanggungjawab awak,” ujar Encik Azmi sebaik saja semua orang berlalu keluar.
“Risau tu, ya. Tapi, saya akan terima apa saja yang datang pada saya,” balas Naihara dengan senyuman tipis.
“Saya lagi rela kalau saya seorang aje yang dibuang kerja kalau betul bos baru nak kurangkan pekerja. Orang lain dah lama dekat sini dan banyak tanggungjawab lain.” Walaupun dia tahu, dia juga punya tanggungjawab yang agak berat, dia tak boleh nak pentingkan diri jika benar dia perlu dikorbankan.
Sementelah, apalah sangat perkara ini jika nak dibandingkan dengan apa yang telah dia lalui sejak dulu. Walaupun d baru saja merangka kehidupan ke arah yang lebih baik, siapa sangka rancangan masa depannya begitu rapuh dan sekarang hanya tunggu masa untuk runtuh menyembah bumi sahaja.
Dan, jika benar takdir hidupnya tidak indah… dia tak kisah untuk bermula semula. Biarpun perlu mengesot, merangkak. Tapi bagaimana dengan Naqim? Sanggupkah untuk kembali seret Naqim pada jalan yang begitu sukar?
“Tak baiklah cakap macam tu.” Suara Encik Azmi kedengaran kesal. Menolak kata-kata Naihara.
Dia tahu potensi yang ada pada Naihara malah, dia juga tahu Naihara banyak membantu staff lain menyiapkan kerja. Langsung tidak mengeluh, jauh sekali mengadu kepenatan.
“Saya tahu macam mana awak bekerja, Naihara. Dah dua bulan saya perhati dan buat penilaian pada awak. Ikut hati saya nak aje bagi awak sign kontrak sekarang tapi memandangkan kita dah tukar bos, saya tak berani nak berlebih.” Kontrak telah disediakan tapi rezeki masih tidak berpihak pada Naihara buat masa ini.
“Jangan risaulah. Saya akan pertahankan awak dan semua staff.” Encik Azmi sengih lebar. Nampak yakin hingga Naihara juga turut lebarkan senyum.
“Lagipun, kita tak ramai. Apalah sangat pekerja yang tak sampai lima belas orang andai dibandingkan dengan syarikat besar bos tu.” Encik Azmi ketawa halus memujuk resah di hati pekerjanya, malah hati sendiri.
Naihara seorang gadis yang sangat misteri. Selain nama, kelulusan, nombor telefon dan alamat rumah sewa… tiada apa yang asing dalam resume yang dikemukakan. Namun yang membuatkan dia tertarik untuk terima Naihara bekerja dua bulan yang lepas adalah kerana jawapan yang diberikan oleh gadis ini.
“Awak ingat lagi apa yang awak jawab pada saya masa saya interviu awak? Saya tanya kenapa awak nak kerja dekat tempat kecik macam ni dengan kelulusan kelas pertama awak?”
Seketika, Naihara diam. Kemudian, bibirnya mula merekah dengan senyuman.
“Sebab saya mahukan peluang dan ruang untuk teruskan hidup,” ulang Naihara dengan suara yang hampir berbisik. Itu adalah jawapan yang lahir daripada hati dan harapannya.
Dia pandang Encik Azmi dengan pandangan yang sedikit berkaca dan senyum yang makin lebar. Ya, dia tidak kisah untuk bermula di mana saja. Dia akan berusaha. Dia hanya mahukan satu tempat di mana dia ada rasa dihargai setelah dia berusaha. Paling tidak, untuk buatkan orang memandangnya dan memberi ruang untuk dia bernafas. Menyatakan yang dia juga berhak hidup di atas muka bumi yang begini luas. Masih ada ruang untuknya biarpun hanya sekangkang kera. Demi terus menggendong tanggungjawab biarpun begitu berat dengan penuh keikhlasan.
Peluang dan ruang itulah yang dia dapat bila diterima bekerja di sini biarpun peluang dan ruang itu tidak selebar mana. Cukup untuk dia menghela udara.
“Ya. Walaupun baru dua bulan, saya memang nampak awak berusaha untuk buktikan kata-kata awak tu, Naihara. Saya berterima kasih pada awak sebab tak buat saya kesal bila pilih awak,” puji Encik Azmi lantas berlalu dengan senyuman tipis.
Naihara hela nafas lega. Dia labuhkan duduk seketika, meraup wajah berkali-kali cuba meredakan segala keresahan yang datang menghimpit daripada segala arah. Dalam masa yang sama. Skrin telefon yang terang itu membuatkan dia mengalih pandangan. Dia tahu, dia perlu berikan jawapan segera.
Sesungguhnya, Naihara tidak mampu membenci sesiapa melainkan diri sendiri yang tidak pernah tahu cara untuk membenci. Andai sekali hatinya sudi, dia benar-benar mahu membenci wanita ini sehingga ke dasar hati.
Tapi, hatinya benar-benar lemah.
Kesungguhan yang dia bina selama ini, goyah begitu saja saat mendengar suara wanita itu.
Tuhan… izinkan hamba membencinya.
Tanpa sedar, airmatanya jatuh setitis.
... bersambung
Hmm, apalah kisah hidup naihara sblm ni.. Thx RM share kat blog 💐🌹 wp dh terima buku,nk komen kat blog dulu 😄
ReplyDeleteStill boleh beli lagi ke novel ni ?
ReplyDelete