BERKALI-KALI dia menolak, tapi wajah gadis itu masih muncul dalam kepalanya. Wajah suram dengan renungan yang sukar dia tafsir akan maknanya. Tapi, pandangan mata basah itu terasa bagaikan pernah ditatap. Entah bila. Tapi, sepertinya dalam kisah lalu yang dia sendiri mahu lupakan.
Haq pejamkan mata. Mencari dan terus menyelak
segala kisah yang ada dalam sejarah hidupnya. Dia tak pernah ingat wajah itu
tapi sepasang mata yang memandangnya tak ubah seperti merayu untuk diselamatkan
itu pasti terselit di celah lipatan ingatan.
Biarpun selama ini dia sering kali dihidangkan
dengan pandangan yang memualkan, tapi dia juga yakin yang dia pernah melihat
renungan seperti itu walau hanya sekali. Renungan yang cukup lantang berbicara
biarpun bibir itu terkatup rapat.
“Muda ke tua driver teksi tu?” Haq tiba-tiba menyoal pembantu setianya, Jay.
“Dah berumur.”
“Kau bagi tambang lebih tak?”
“Ya, bos.”
Haq kemudian diam. Dia menyedut rokok itu dan
menghembus asapnya keluar dari kenderaan. Entah kenapa dia mengajukan soalan
itu pada Jay. Apakah dia risaukan keselamatan gadis itu. Merepek!
Apa yang dah jadi dengan aku ni?! Haq hampir menjerit tapi ditahan hati. Dia
tak mahu timbul tanggapan aneh dalam minda Jay padanya.
“Aku tak patut datang malam ni, Jay. Tapi, entahlah.
Bila dengar Abang Budi merayu, aku tak sangka hati aku yang aku rasa dah cukup
keras ni, boleh terima pujukan dia.” Haq ketawa kecil. Mengutuk diri sendiri.
Untuk apa dia hadir sekadar untuk melihat
perempuan gila itu berdiri bangga di sisi Abang Budi. Tapi, jika dia tidak
hadir, entah apa pula nasib Naihara di tangan Badli.
“Apa dah jadi dengan aku ni?” Haq tiba-tiba
meramas rambutnya.
Jay di sisi hanya diam tak bersuara. Sejak
membantu gadis malang itu tadi, Haq sepertinya mula terganggu. Jay mahu
mengajukan soalan tapi lidahnya berat. Lantas, dia hanya menelan sendiri
pertanyaan itu. Sesekali, hanya melingas pada Haq yang sejak tadi memandang ke
luar.
“Dah dua kali aku mohon tapi dua kali ditolak
dalam masa sepuluh tahun ni. Kau bagi tahu Aniq siapkan dokumen. Aku nak mohon
sekali lagi.”
“Tapi, bos… kan bos juga tahu Datuk Budi akan
halang. Kalau dia tahu kita mohon lagi sekali, saya takut…”
“Kenapa?” Haq kerling Jay.
“Kau takut dia apa-apakan aku?”
Jay diam mengemam bibir.
“Aku kenal Abang Budi. Dia akan marah tapi
setakat itu aje. Dia sendiri tahu yang aku tak akan diam selagi aku tak dapat
apa yang aku nak. Aku tahu Abang Budi lebih berhak tapi aku juga waris yang sah
dan aku layak mohon semua tu. Tapi, kalau kata kali ini pun ditolak, aku tetap
nak cuba,” tegas Haq.
“Saya faham, bos.” Jay angguk. Faham.
Haq kembali diam. Menyedut sisa rokoknya. Berkali-kali
dia cuba menolak renungan itu, tapi tak berjaya. Nampaknya renungan itu telah
melekap kemas dalam memorinya. Dia sekali lagi cuba mencari saat kali pertama
renungan itu memanah matanya.
Haq tarik telefon dari dalam poket dan menekan
nombor Aniq.
“Ya, bos? Dah habis majlis?” soal Aniq ceria.
“Kau dekat mana?”
“Ofis lagi. Ada orang paksa saya overtime,” balas Aniq bersahaja. Mengenakan Haq.
“Bagus. Kau cuba cari senarai tetamu majlis
nikah Abang Budi dalam sepuluh tahun lepas.”
“Hah? Bos gila ke apa? Hampir sedekad lepas. Saya
pakai lampin lagi, bos.” Aniq mengeluh.
Apa lagilah yang tak kena? Dia dahlah sibuk ni.
Dengan tak cukup man-power nya lagi.
“Aku tahu kau pakai lampin masa tu. Tapi
sekarang, tak pakai dah, kan?” selar Haq pula.
Aniq diam. Haq senyum tipis. Tahu masa ni,
muncung Aniq pasti dah keluar sedepa.
“Aku ingat dia guna event planner. Aku tak pasti planner tu wujud lagi
ke tak dan itu kerja kau untuk cari. Aku nak senarai tetamu. Rasanya tak ramai mana yang datang masa tu. Aku
pun tak tahu sebab aku tak lama dekat situ. Apa pun, aku nak senarai tetamu,
siap dengan usia.”
“Bos!” Aniq hampir menjerit.
“Sepuluh tahun tu. Entah-entah ada yang dah
mati pun.”
Adoiii… Aniq tepuk dahi. Dia tolak ke tepi
semua dokumen yang ada depan mata.
“Kalau gitu, bagi sekali tarikh mati.”
“Kubur dekat mana, nak tahu tak?” perli Aniq.
Haq gigit bibir menahan tawa.
“Bagi semua yang boleh kau dapatkan.”
“Okey. Saya cari. Esok saya letak atas meja bos
dengan surat resign saya sekali!” Aniq
terus matikan talian.
Jay menggeleng pasrah. Rasanya, Haq terlalu
bagi muka pada Aniq sejak dulu hinggakan adiknya mula bersikap biadab.
“Bos kena tegur Aniq tu. Makin menjadi-jadi
perangai dia.”
Haq hanya senyum tipis. Dia pandang Jay. Beza
usia Jay dan Aniq agak jauh. Aniq masih jelas sikap keanak-anakkannya. Panas
baran dan kerap kali bertindak melulu. Tapi, Aniq punya kemampuan.
“Dia budak lagi, Jay. Sampai masa, dia akan
serius bila dia jumpa orang yang mahu dia lindungi. Percayalah.” Sama juga
sepertinya.
Jika dulu, dia sering kali ceria. Dia membesar
dalam keluarga yang bahagia biarpun tanpa ayah dan ibu. Arwah Kak Bahiyah
membuatkan dia sentiasa rasa cukup. Kehadiran Abang Budi, melengkapkan
keluarganya. Apatah lagi dengan kehadiran Badlishah dan Batrisya. Bahagia yang
diharapkan berkekalan ke akhir masa itu, entah bila terlanggar ujian yang berat.
Semuanya hancur sekelip mata. Merenggut senyuman dan rasa hangat dalam dirinya.
Hingga mencipta sikap yang begitu dingin dan kejam pada diri seorang Baihaqi.
“Tapi, dekat sepuluh tahun, lama sangat tu,
bos.”
“Hurm… aku tahu.” Haq usap janggut tipisnya. Nalurinya
kuat mengatakan dia pernah memandang sepasang mata sayu itu satu waktu dulu.
“Boleh saya tanya, kenapa bos nak tahu tentang
tetamu tu?” Jay juga tertanya memandangkan kala itu, dia belum lagi bekerja dengan
Haq.
Tapi, bila Haq menyepi, Jay tahu Haq tidak
berniat untuk menjawab soalannya dan perkara itu pasti menjadi salah satu
rahsia dan beban yang Haq simpan selama ini.
Haq tidak tahu kenapa mesti dia meminta Aniq
mencari maklumat itu yang sebenarnya langsung tak berguna. Apa yang mahu dia
buktikan? Tapi, tidakkah kejadian malam ini sepertinya pita perakam yang
diulang? Pelakon yang sama dengan sedikit perubahan tempat dan plot. Namun,
perasaan dan emosinya masih kekal sama. Dan renungan itu…
Haq pejam mata. Jelas dalam mindanya renungan
sayu Naihara.
...bersambung
Oo adik ipar rupanya.. Thx RM 💐🌹
ReplyDelete