HUJUNG jari Naihara mula terasa dingin. Puas dia seru keyakinan diri yang hanya sedikit berbaki sejak sekian lama, tapi segalanya tak kunjung tiba. Usah kata jari-jemarinya menjadi dingin, malah jantungnya bagai hendak meletup. Mujurlah panggilan itu akhirnya berhenti. Buat seketika, dia memujuk hati yang gentar dan dia hampir menjerit bila panggilan sekali lagi masuk ke telefonnya.
Bila dilihat pada pemanggil, dia hela nafas
lega.
“Ya, kak,” sapanya sopan.
“Jam berapa Naihara nak balik?”
“Mungkin lambat sikit. Ada kerja nak kena siapkan hari ni
juga…” Kala ini, jam sudah menginjak ke
angka empat petang. Bimbang tak sempat
dia siapkan sebelum tamat waktu bekerja.
“Tak apalah kalau gitu. Jangan risaulah. Kak Nor faham kalau dah ada kerja. Bukan selalu. Dialah dok merengek minta Kak Nor call. Call Nai. Nai janji nak balik awal. Nai janji apa dengan dia?”
Naihara ketawa kecil. Bertuah betul abangnya seorang tu. Dalam banyak-banyak benda, itu yang dia
ingat.
“Saya janji, dapat gaji nak ajak semua orang
makan KFC.”
“Laa… itu ke?”
Giliran Kak Nor pula ketawa.
“Punyalah dia berahsia. Dia kata nanti tak seronok bagitahu
awal-awal. Bertuah betul.”
“Kak Nor tolong bagitahu dia, ya? Saya lambat sikit. Apapun, saya cuba siapkan cepat.”
“Yalah.
Jangan risau. Dia tak pernah buat
masalah sejak Kak Nor jaga dia,” jawab Kak Nor perlahan.
Dia sentiasa berlapang dada untuk membantu
Naihara. Dia sedar akan kesusahan
Naihara. Telah lebih setahun sejak kali
pertama Naihara hadir di depan pintu rumahnya, mencari bantuan. Melihatkan anak gadis itu merayu hanya dengan
renungan mata. Tidak mampu berkata apa
bahana menahan hebatnya ujian.
“Maaf,
kak. Saya berterima kasih atas
budi baik kak pada saya,” ucap Naihara perlahan.
Kata-katanya pada Azlin bukan sekadar
gurauan. Benar… di setiap beratnya
beban, diberi bahu yang cukup gagah untuk menopangnya. Di sebalik hati yang tidak pernah mahu
mengerti, masih ada yang sudi memahami.
“Dia okey ke tu?”
“Hurm… merajuk.
Biasalah tu. Diam aje tengok
TV.” Kak Nor pandang wajah anak lelaki
yang cukup tampan pada pandangan matanya, sedang menonton televisyen tanpa
berkata apa kerana kecewa bila janji dimungkiri.
“Saya cuba balik cepat lepas siap kerja ni,”
ujar Naihara.
Baru saja dia matikan talian, panggilan yang
tak mahu disahut itu kembali bersambung.
Akhirnya, dengan berat hati dia jawab juga panggilan itu.
“Kenapa susah sangat nak jawab ni?” Suara yang menggumam di hujung talian itu
kedengaran cukup keras dan penuh kebencian.
“Dah dekat sepuluh tahun…” Suara Naihara terhenti di situ. Apa yang mahu dia katakan, dia tak tahu. Semuanya terluncur tanpa sengaja.
“Ehem…”
Naihara dengar wanita itu berdeham pendek.
“Baca tak whatsapp tu?”
“Ya,” balas Naihara ringkas.
“Kalau baca baguslah. Jangan tak datang. Ingat sikit jasa orang. Jangan jadi manusia tak kenang budi.”
“Saya tak pernah lupa jasa orang pada
saya. Saya juga tak lupa janji saya pada
orang,” balas Naihara.
Dia tahu wanita itu mengerti akan apa yang dia
maksudkan. Janji yang wanita ini paksa
dia ikrarkan hampir sedekad dulu, masih teguh dipegang.
“Oh, sekarang dah rasa cukup dewasa, dah boleh
cari duit sendiri… mula nak sindir aku pulak, ya?” soal wanita itu tajam.
“Bukan macam tu. Saya memang tak boleh datang. Saya kena balik segera setiap kali lepas
habis kerja,” jawabnya cuba membuat wanita ini faham. Kerana wanita ini tahu, siapakah yang perlu
dia beri perhatian.
“Jangan nak bagi alasan, ya! Tak matilah kalau kau lambat sikit…”
Hati Naihara kuncup. Dia senyum payah. Ya, tak mati.
Tapi, tidakkah dulu yang dikatakan lambat sikit itu telah mengubah hidup
Naqim? Dan, semua salah itu diletak di
atas bahunya. Hingga ke hari ini, dia
masih menggalas kata-kata itu. Dijadikan
hukuman buat diri sendiri.
“Maaf tapi saya memang tak boleh.”
Naihara dapat dengar dengusan nafas wanita itu
di hujung talian. Semakin kasar dan
keras.
“Dengar sini, Naihara…” Suaranya menggumam, menahan geram.
“Budi selalu sebut tentang kau. Dia fikir kau dah lupakan dia. Kau bencikan dia. Kalau kau ingat jasa yang Budi dah bagi untuk
kau dan abang kau, aku nak kau datang walaupun sekejap. Tunjuk muka kau dan lepas tu, kau boleh
balik. Tak ada siapa nak kisah kau wujud
atau tak. Budi aje yang nak tengok kau
lepas sekian lama ni!” tegas wanita itu.
Buat seketika, Naihara mendiamkan diri. Tidak lagi berani bersuara setelah beberapa
kali dia menolak dengan sopan. Telah dia
katakan, yang kalah pada pengakhiran kisah adalah dia.
“Saya faham,” balasnya lambat-lambat.
Dia sendiri tak pernah lupa akan bantuan yang
diberikan. Untuk dirinya dan Naqim
hingga dia mampu berdiri di atas kaki sendiri yang masih begitu goyah. Dia mencuba.
Bukan hanya kerana satu alasan untuk dia elak
daripada ke tempat itu, tapi dia punya seribu satu sebab untuk mengelak
daripada semua orang. Apa yang pernah
terjadi, cukup membuatkan dia beringat.
Dia sering mengelak daripada apa saja masalah. Dia lebih rela dirinya dianggap bagai tidak
wujud.
Kenapa setiap kali, wanita itu cuba meruntuhkan
keyakinan dan semangatnya bila dia baru saja menyusun segalanya dengan penuh
daya?
KAKINYA terasa menggeletar. Dia tak mampu nak melangkah masuk. Kerana itu dia masih berdiri di sini. Sejarah adalah bukan sesuatu yang boleh
diambil mudah. Kerana sejarah itu adalah
guru yang paling tulus untuknya belajar tentang hidup. Sejarah hampir sedekad lalu terlakar kemas
dalam buku hidupnya. Tak akan
padam. Dia juga tak mahu melakar kisah
yang baru andai kisah itu memeritkan.
Tuhan… Naihara menumbuk dadanya berkali-kali
bagi meredakan rasa sesak.
Akhirnya, dia buat keputusan untuk berlalu biar
apapun yang bakal menantinya nanti.
Malang bila belum sempat dia menoleh pintu itu dikuak kasar. Dahinya terhantuk pada birai pintu hingga
membuatkan dia jatuh terduduk, menahan rasa pedih.
Tunduk hingga dagu rapat ke bahu. Menyebabkan rambut ikal yang panjang mengurai
itu turut jatuh dan menutup hampir seluruh wajahnya. Dia cuba mengelak masalah, tapi masalah itu
begitu pantas memangkas langkahnya.
“Eh, okey ke?”
Suara parau itu menyoal pantas.
Duduk mencangkung rapat di depan gadis yang masih duduk bersimpuh.
“Luka tak?
Mari saya tengok…” Tangan itu
cuba menyelak rambut Naihara tapi pantas ditepis.
“Saya okey.
Maaf, saya tak sengaja…”
Dahi itu kerut kening seketika bila menerima
permintaan maaf sedangkan dia yang patut mengajukan perkataan itu.
“Betul ni okey?
Kalau tak okey, bagi bagitahu sekarang.”
Nada itu kedengaran keras.
“Ya, saya okey.
Maaf sekali lagi…” Dia bangkit
dan terus berlalu, mencari bilik air.
Dia menutup pintu tandas itu rapat dan meraup
wajahnya berkali-kali bila dia sepertinya kenal akan haruman dan suara
itu. Dia tidak mahu dipertemukan dengan
manusia yang tidak mahu dia temui.
Tapi, haruman itu… Naihara pejam mata. Menyelam ke dalam ingatan yang menyakitkan. Mencari secubit memori yang indah untuk dia kenang. Kerana haruman itu telah mencetuskan satu rasa dalam hatinya. Rasa rindu pada masa lalu yang hanya tercatat bahagia untuk sedetik cuma.
... bersambung
Oo ada rahsia lain lg.. byknya rahsia seorang naihara. Thx RM 💐🌹
ReplyDelete