Wednesday, March 24, 2021

NOKTAH 2

MELIHATKAN pergaduhan antara mama dan ayah kian memuncak, tubuh halus Naihara terus menggigil.  Suara yang semakin tinggi dan terus nyaring, membuatkan dia menekup telinga hinggalah ada telapak tangan yang cukup hangat menyentuh lengannya. 

Naihara buka mata yang kabur dek airmata.  Menoleh ke kiri dan memandang pada sekujur tubuh lemah yang demam sudah dua hari dan hari ini, demamnya kian menjadi-jadi biarpun dia berusaha mengelap seluruh tubuh itu dengan kain basah. 

“Qim lapar…” 

Naihara lap airmata dan senyum pada abangnya.  Dia angguk. 

“Kejap.  Nai pergi tengok kat dapur, ya.”  Dia pegang wajah Naqim.  Masih panas.  Lantas, dicelup tuala ke dalam besen berisi air dan diletak di atas dahi Naqim.  Tubuh kurus Naqim menggigil tak berhenti.  Bibirnya juga sudah berubah menjadi biru. 

Dia bangun dan menguak daun pintu.  Sebaik saja pintu terkuak, dua pasang mata tajam merenungnya. 

“Kau keluar ni kenapa?  Nak apa?  Kan aku dah cakap jangan keluar selagi aku tak suruh!”  Suara mama berdentum memarahinya.

“Naqim lapar…” Suara halus Naihara bergetar. 

“Haa.. itulah ajelah yang kau dua beradik tahu.  Sorang asyik sakit.  Lepas tu lapar.  Sorang pulak jenis bodoh, degil macam kau ni.  Gamaknya kalau kau tak makan sekali, boleh mampus ke?” 

Herdikan mama menikam tepat ke telinga Naihara.  Dia cuba tahan airmatanya tapi air jernih itu mengalir laju.  Dia benar-benar takut saat ini. 

 “Eh, kau ni jangan menyumpah anak-anak, boleh tak?  Berapa kali aku nak cakap, kau nak marahkan aku, marah aku.  Jangan cakap anak-anak menyusahkan!”  Kail ini, giliran ayah pula melengking.  

“Oh, sekarang nak jadi ayah yang baik pulak kau, ya?”  Mama ketawa lepas. 

“Kau tu tak payah nak berlagak jadi ayah yang baik.  Apa yang kau dah bagi pada keluarga ni melainkan kesusahan?  Dan budak tak guna ni memang punca bala yang jadi dalam hidup aku!”  Jari telunjuk mama lurus tepat di atas dahi Naihara. 

“Aku tak pernah berlagak jadi baik, Fida dan kau sendiri tahu, aku dah cuba sedaya-upaya aku.  Tapi, aku tak akan salahkan anak-anak.”

“Oh, tak salahkan anak-anak, ya?”  Mama ketawa kecil. 

“Kalau gitu, apa kata kau berhambus daripada hidup aku, bawa sekali anak-anak tak guna kau ni!  Aku dah cukup terima nasib malang sebab diorang ni!  Aku dah penat hidup merempat, susah macam ni.  Kalau aku tak lahirkan Naihara dan Naqim dulu, tentu hidup aku tak musnah macam ni!”  jerit mama sekuat hati.

Malam yang dirasakan hening, bingit dengan suara mama.  Airmata Naihara semakin deras.  Dia faham apa yang mama katakan.  Dia mengerti. 

“Kalau bukan sebab kau janji nak bagi kesenangan pada aku, kau pujuk aku lahirkan dua orang anak haram tu dan rosakkan masa depan aku… aku tak akan jadi macam ni!  Patut aku bunuh budak berdua ni sebelum dia lahir ke dunia!”

“Afidah!”  Suara ayah berdentum dan serentak itu, mama jatuh terjelepuk bila telapak tangan ayah kuat menampar pipinya.

Mama ketawa dalam tangis.  Memegang pipi dan merenung pada ayah lama sebelum beralih pada Naihara.  Tak menanti lama, Norman berlalu.  Bimbang terus menyakiti Afidah kerana itu adalah perkara yang tak pernah dia terniatkan.  Selama ini dia cukup sabar dengan karenah isterinya tapi tidak hari ini.  Dia keluar tanpa menoleh lagi. 

“Kau tengok ayah kau.  Kau tengok betapa pengecutnya ayah kau.”  Afidah bangkit.  Merapati Naihara yang sedang menggigil di tempat dia berdiri.  Bagai tahu apa yang bakal diterima olehnya. 

“Aku patut bunuh kau sejak aku tahu kau wujud.  Kau adalah satu-satunya perkara yang paling aku kesalkan dalam hidup aku, tahu tak?!”  jerkah Afidah pada anak perempuan yang hanya berusia sepuluh tahun. 

Lengan halus itu dicengkam dan direntap kuat hingga tangisan kasar Naihara mula kedengaran.   

“Mama…”  rayu Naihara minta dilepaskan.

“Kau tahu tak… aku benci ayah kau tapi aku lebih bencikan kau.  Kenapa mesti kau lahir bawak malang dalam hidup aku?  Kau memang punca semua ni.  Selagi kau hidup, aku tak akan bahagia.  Selagi kau hidup, semua orang yang dekat dengan kau akan menderita.  Kau anak haram dan aku harap kau mati!”  jerkah Afidah kuat seraya menampar wajah itu berkali-kali hinggakan darah merah mula terbit pada hujung bibirnya. 

“Kau selalu tanya kenapa nama kau binti Abdullah kan padahal ayah kau nama Norman?”  Afidah ketawa.  Dia dekati Naihara yang mengesot ke tepi dinding. 

“Sebab kau tu anak luar nikah!  Tak akan ada tempat dalam dunia ini untuk anak luar nikah macam kau!  Kau tak akan bahagia sampai kau mati!  Sesiapa saja akan bencikan kau!  Kau dengar tak?”  Tidak menanti, Afidah terus menghayunkan tangan pada tubuh halus itu.

Tak cukup dengan itu, dia mencapai penyangkut baju besi yang ada di dinding dan memukul Naihara seperti manusia kerasukan tanpa mempedulikan tangisan dan rayuan anak itu.

Hinggakan tangis Naihara berhenti, rayuannya padam… Afidah juga menghentikan perbuataannya. 

“Kau keluar mengadu dengan sesiapa, aku bunuh abang kau!”  Amaran keras dikeluarkan.  Afidah terus masuk ke bilik dan menutupnya kuat.

Naihara tidak berkata apa.  Bibirnya terkatup rapat.  Hanya airmata yang terus mengalir.  Dia menolak pintu dan mengesot mendekati Naqim yang sedang menangis dan menggigil. 

“Nai?’  seru Naqim dalam tangis.

Naihara hanya terus memeluk tubuh panas abangnya dan menangis. 

“Nai sakit…”  adunya lemah.  Airmatanya terus mengalir di dada Naqim hingga dia sedar yang sekujur tubuh Naqim mula menggigil. 

“Qim?”  Dia kesat pipi. 

Tubuh Naqim mula kejang.  Mata hitamnya mula hilang.  Naihara kalut.  Dia berlari mengetuk pintu bilik mama tapi tiada sahutan.  Entah apa yang perlu dia lakukan, dia tak tahu.  Melainkan terus memeluk Naqim berharap derita Naqim pergi. 

“Jangan tinggal Nai.  Jangan tinggal Nai,” rengeknya.

Di saat Naqim diberi rawatan, abangnya itu bukan lagi seorang yang lincah. Segala berubah saat itu tanpa siapa duga. 

 

 

PANDANGAN mata diangkat bila ada tangan yang singgah di bahunya.  Saat ini, Naihara baru sedar yang dia kembali larut dalam ingatan lalu yang cukup perit untuk dikenang.  Setelah sekian lama dia ikat kemas segalanya dalam lipatan sejarah, ikatan itu sedikit demi sedikit terurai tanpa dia pinta. 

Wajah diraup beberapa kali bagi menutup resah.  Dia koyak senyum, membalas senyuman Azlin. 

“Sorry.  Saya tak perasan Cik Lin ada kat belakang.”

“Saya dah keluar dan bila saya tengok awak duduk aje dekat dalam bilik miting ni, itu saya masuk semula.”  Azlin tarik kerusi dan dilabuhkan duduk.

“Kenapa ni?  Ada masalah?  Kot masalah kewangan ke, saya boleh bantu?” pelawa Azlin biarpun dia tahu, Naihara bukanlah seorang yang mudah menyelak helaian kisah hidupnya. 

“Tak ada apalah.”  Naihara senyum.  Menyusun kertas dan bangkit.  Menghadapi Azlin. 

“Terima kasih sebab risaukan saya dan sudi tanya.  Saya baik-baik aje.  Cuma risau sikitlah dengan kerja saya dekat sini.  Kalau kata bos baru nak suruh saya jadi cleaner pun saya sudi asal ada kerja,” guraunya di hujung kata. 

Wanita di depannya saat ini adalah satu-satunya yang menghargai kewujudannya selain Encik Azmi.  Untuk itu, dia benar-benar berterima kasih. 

“Aku yakin, tentang tu semua orang risau.”  Azlin menjuihkan bibir ke luar. 

Dapat dilihat melalui kaca pada pintu bilik mesyuarat beberapa orang staf yang sedang berborak dengan riak wajah gundah. 

“Tapi tadi tu, betul ke mak cik awak?”

“Hurm… saudara jauh.  Jauh sangat,” jawab Naihara penuh makna. 

“Kenapa?  Dia ada cakap apa-apa ke?” 

“Tak ada.  Dia cuma jemput saya pergi majlis dia.”

“Laa… itu aje ke?  Ingatkan apalah tadi.” 

“Itulah masalahnya.  Dah dekat sepuluh tahun saya tak jumpa dia.  Rasa janggal sikit tiba-tiba dia jemput saya.”

“Hurm… pergi ajelah.  Paling tidak, awak masih ada saudara walaupun jauh.  Betul tak?”  Azlin senyum.  Positif.  Tanpa syak apa-apa.

Naihara tidak menjawab.  Hanya senyum tipis.  Tiada siapa pernah tahu akan apa yang terjadi sejak dulu dan hampir sepuluh tahun lepas.  Yang menjadikan dia yatim-piatu sebelum masa. 

“Nanti bawa la buah tangan.  Hari ini gaji.  Tau kan?”  Azlin sengih, mengusik.  Siapa tak suka bila dengar gaji dah masuk, kan? 

“Eh, ya ke?”  Wajah Naihara bercahaya. 

“Tadi monyok.  Sebut gaji terus sengih lebar, ya?”  Dia cuit dagu Naihara. 

“Cik Lin tahu tak…”  Naihara membalas senyuman Azlin.   

 “Haaa apa?”  Azlin tongkat siku atas meja mesyuarat.   

“Dalam pada berita buruk yang kita terima, akan ada berita gembira.  Contohnya, gaji,” gurau Naihara.

Azlin mencebek.  Tapi, dia perlu akui kebenaran kata-kata Naihara.  Gadis yang seringkali menyendiri dan pendiam ini, bila sesekali mengeluarkan ayat, cukup memberi kesan. 

“Betullah tu, kan?  Hurm… petang ni nak ikut saya keluar?” 

“Maaf sangat, CikLin.  Saya ada hal penting petang ni.  Lain kali, ya?” 

“Hai…”  Azlin peluk tubuh. 

“Sejak dua bulan awak kerja dekat sini, entah berapa kali lain kali dah, ya?”  Sengaja Azlin redupkan pandangan. 

Naihara sengih.  Malu. 

“Maaf.  Kali ni saya betul-betul ada hal.”

“Okeylah.  Saya tahu dah jawapan awak.  Saja aje ajak.  Okey, sambung kerja.  Encik Mi pesan nak esok pagi,” beritahu Azlin dan terus berlalu. 

Dia pandang telefonnya.  Bersedia untuk menjawab panggilan yang masuk bertalu-talu. 


... bersambung

1 comment:

  1. Aduhaiiiii besarnya dugaan naihara waktu kecil 😥🥺 Thx RM 💐🌹

    ReplyDelete