Wednesday, March 24, 2021

NOKTAH 4

DADA Naihara berdebar bila dia tiba di depan pagar rumah banglo mewah itu.  Setelah sekian lama, inilah kali pertama dia dijemput ke sini dan dia hadir membawa berita gembira pada wanita yang telah berkorban untuknya dan juga untuk lelaki yang berjaya membawa bahagia pada syurganya itu.  Malah lelaki itu juga memberikan dia sesuatu yang dipanggil masa depan. 

Kerana bantuan lelaki yang dia panggil Uncle Budi, dia dapat bersekolah dan tinggal di asrama dengan selesa.  Malah, Naqim juga diberi tempat di pusat kebajikan.  Dijaga dengan rapi. 

Andai dihitung hari, hari ini genaplah lima tahun dia tidak temui wanita itu dan dia benar-benar tak sabar untuk menatap wajahnya dan memeluk jasad itu seerat mungkin.  Dia mahu buktikan yang dia bukanlah seeorang yang tidak berguna dan malang.  Dia belajar dengan bersungguh-sungguh untuk membuktikan semuanya dan sikit masa lagi, dia akan berjaya.  Dia yakin.

Naihara menapak masuk dengan penuh yakin.  Semakin jauh ke dalam dia melangkah, semakin kuat debaran di hati.  Sesekali dia betulkan baju kurung yang membalut tubuhnya.  Dia mahu tampilkan yang terbaik setelah bertahun tidak bersua. 

Hari ini, wanita yang cukup dia sayang itu telah menjadi isteri pada seorang lelaki yang begitu baik dan begitu menghargai.  Dia bahagia.  Dia bersyukur bila doakannya untuk melihat wanita itu bahagia, akhirnya tercapai.  Tiada apa lagi yang dia harapkan dan setelah ini, dia akan atur hidupnya sendiri. 

Daripada jauh, dia dapat lihat mama yang tersenyum bahagia.  Biarpun dalam persalinan yang cukup sederhana, tapi kejelitaan dan kebahagian mama terserlah.  Langsung tidak dimamah usia.  Jauh beza dengan saat mereka hidup bersama dulu.  Kerana itu, dia tak pernah kesal bila memujuk ayah satu waktu dulu. 

Naihara terus mendekat dengan jambangan bunga di tangan.  Dia buntu memikirkan hadiah buat mama bila mendapat jemputan untuk hadir ke majlis malam ini kerana itu, dia mengambil jalan senteng membeli jambangan bunga yang agak mahal. 

Sebaik saja mereka bertentangan mata, Naihara melambai.  Perasaan teruja jelas tergambar pada wajahnya.  Mama terus mendapatkannya dan menarik lengan Naihara, menjauh daripada majlis yang di adakan di laman banglo yang lapang. 

“Tahniah, mama.  Ini… Nai belikan hadiah.  Tak tahu nak beli apa.  Selamat pengantin baru.  Moga kekal…”

“Kau datang buat apa?” 

Dahi Naihara berkerut.  Belum sempat dia menghabiskan ucapannya, suara mama kedengaran sedikit membentak.  Dia pandang mama dengan riak yang bingung.  Tak faham dengan soalan yang diaju. 

Apa yang telah terjadi?  Kenapa mesti mama bertanya soalan begini padanya?  Apakah kehadirannya menjadi satu kesilapan?  Adakah kemunculannya ini tak diharap? 

“Kenapa kau boleh ada kat sini?”  Lengan Naihara disentap.  Mencari jawapan. Mengembalikan Naihara pada keadaan sekarang. 

“Er… Uncle Budi…”  Naihara telan liur.  Cuba mencari wajah Uncle Budi tapi mama memaut wajahnya sedikit kasar, memaksa mata mereka kembali bertentangan.

“Aku tanya, macam mana kau boleh ada dekat sini?  Macam mana kau tahu alamat ni dan macam mana kau tahu majlis malam ni?”  Wajah mama yang tadinya begitu indah dan manis, kini telah menjadi bengis dan kelat. 

Naihara menyeringai bila mama terus mencengkam rahangnya dan dia sedaya-upaya cuba melepaskan diri dan bila berjaya, dia berundur ke belakang dua tapak.  Dia ketakutan.  Seluruh tubuhnya menggigil.  Memandang mama dengan pelbagai andaian.

“Uncle Budi bagi tahu.  Dia ajak Nai ke sini.  Dia bagi alamat…”  Naihara genggam pangkal jambangan bunga yang tidak bersambut. 

Hatinya mula resah.  Dia terasa mahu berlari keluar tapi kakinya terasa sangat berat. 

“Salah ke Nai datang datang nak raikan hari bahagia ma?” 

“Diam!”  Jari telunjuk mama lurus tepat pada wajahnya. 

Lengannya terus ditarik hingga mereka sama-sama terlindung di balik sebuah pasu bunga yang besar, hampir dengan kolam renang.  Naihara telan liur yang terasa kelat.  Dia mula yakin, kehadirannya adalah satu kesilapan seperti mana yang mama ucapkan sejak dulu.  Sejak akalnya mula pandai mentafsir seawal usia tujuh tahun.  Dia tak perlukan jawapan mama.  Setiap tindak-tanduk mama telah memberikan segala jawapan. 

“Naihara…”  Mama kedengaran lelah menyebut namanya.  Wajah diraup berkali-kali dan dia cuba mendamaikan resah sendiri.

Wajah Naihara dipandang lama.  Wajah yang saling tak tumpah dengan seseorang yang cukup dia benci.  Wajah yang mahu dia lupakan dan memandang wajah Naihara saling tak ubah memandang wajah itu dan dia mahu lenyapkan segalanya. 

“Aku tak akan benarkan kau ganggu-gugat bahagia aku lagi, Naihara.  Terima kasih sebab selama ni kau faham dan rahsiakan hubungan kita.  Aku harap, kau terus faham dan kekal faham buat selamanya.  Jangan muncul lagi depan aku dan keluarga aku, Naihara.  Kalau dulu aku merayu, hari ni aku akan melutut…”  Mama terus jatuhkan lutut tapi sempat Naihara sambut dan membawa mama kembali berdiri.

Naihara gamam dengan tindakan mama.  Lidahnya kelu tak mampu berkata apa.  Andai sebegini sekali tindakan mama, dia akan tunaikan.  Segala berita gembira ditelan sendiri.  Penghargaan yang mahu dia zahirkan ditelan begitu saja.  Jika satu hari, umurnya masih ada, dia akan zahirkan rasa itu.  Jika tidak, dia serahkan aje pada Tuhan untuk membalas segala kebaikan yang Uncle Budi taburkan.

“Saya mintak maaf,” pinta Naihara.  Mengakui khilaf yang dirasakan memang miliknya.  Dia senyum janggal. 

“Tapi ni…”  Dia hulurkan juga jambangan itu buat wanita ini. 

“Kali ini aje.  Lepas ni tak akan wujud lagi Naihara dalam hidup mak cik…”  ujarnya dengan mata yang mula bergenang.  Panggilan itu bertukar. 

Sama seperti kali pertama mama memintanya menukar panggilan antara mereka.  Perasaan pedih itu masih sama.  Saat itu, mama hanya meminta dia memanggil mak cik hanya di depan umum.  Tidak bila hanya mereka berdua.  Itu permintaan dan rayuan mama.  Tapi hari ini, mama telah rampas segalanya. 

“Kali ini aje, Naihara.  Ingat janji kau!” tekan mama dan menyambut jambangan bunga tersebut.

“Ya, saya janji,” ucapnya sambil memandang mata wanita itu, mencari kekesalan yang mungkin ada. 

Tapi sayang.  Mata dan kata-kata itu seiring.  Malah,  hatinya juga sama.  Kata-kata itu bukan sekadar ucapan, tapi punya maksud yang mendalam. 

“Saya balik dulu…”  Dia terpaksa akur. 

Tapi, kakinya masih tidak mampu bergerak.  Dia masih mahu meminta buat kali terakhir.  Untuk memeluk jasad itu tapi dia tahan diri.  Kerana telah dia katakan, bunga itu adalah yang terakhir kali.  Tiada yang lain. 

Dia menoleh mahu berlalu dan mama lebih dulu menjauh.  Dia matikan langkah.  Memandang susuk tubuh wanita itu dan dia ketap bibir bila wanita itu menghumbankan jambangan Bunga pemberiannya nya ke dalam tong sampah. 

Nafas Naihara tercungap-cungap.  Dia bagaikan lemas di dalam udara yang tak terbatas.  Ditumbuk dadanya berkali-kali bagi meredakan rasa sebu.  Mereka telah benar-benar jauh.  Mama menjadikannya benar-benar sebatang kara dan dia tak pernah mampu menyalahkan wanita itu atas setiap rayuan dan permintaan yang dirasakan tidak masuk akal. 

Dia membuka langkah tanpa sedar dalam sekelip mata, dia menjunam jatuh ke dalam kolam renang.  Sedaya-upaya dia mahu timbul dipermukaan, sekuat itu juga ada sesuatu yang menarik kakinya agar dia terus kekal di dasar.

Nafas yang sejak tadi tercungap-cungap, kini sepertinya berada di hujung helaan.  Matanya terbuka dan tangannya cuba menggapai tapi yang dia mampu capai hanyalah udara yang tidak mampu dijadikan tempat berpaut. 

Tatkala udara di dalam paru-parunya hampir putus, tangannya yang hampir terkulai layu itu digenggam kemas.  Pandangannya berbalam.  Denyut jantungnya seperti mahu terhenti.  Dia hanya dapat rasa ada tangan yang membetulkan kepalanya dan menghembuskan udara masuk ke paru-parunya.  Kemudian, dia dapat rasa tekanan yang agak kuat di tengah dadanya.  Silih berganti dengan hembusan udara pada mulut yang ternganga. 

Saat dia buka mata, pandangan kaburnya hanya terbias dengan sepasang mata kuyu dan juraian rambut panjang yang basah.  Bila segalanya jelas, yang tinggal padanya hanyalah haruman tubuh itu saja. 


... bersambung

1 comment: