Wednesday, March 24, 2021

NOKTAH 6

AIRMATA Naihara hampir jatuh tapi ditahan apatah lagi dia lihat mak cik mula mendekati.  Renungan wanita itu benar-benar membuatkan nafasnya tersekat.  Peristiwa lalu itu masih ligat menghantui harinya, di tambah dengan kejadian hari ini, entah bagaimana dia mahu teruskan hidup.  Padahal dia telah begitu berusaha untuk tidak menjadi tumpuan sesiapa jauh sekali untuk timbulkan masalah. 

Sepuluh tahun dia membina semula semangat yang runtuh, hari ini segalanya akan punah dalam sekelip mata.  Sungguh… dia tidak patut berada di sini.  Di sini bukan tempatnya.  Dia terlalu hina untuk berada bersama golongan ini.  Apatah lagi bila wajah Uncle Budi juga semakin jelas di pandangan.  Wajah yang tergaris sedikit kerutan.  Wajah penuh tanda tanya. 

Satu ketika dulu, Uncle Budi sentiasa memuji dan berbangga dengan usahanya.  Namun, setelah dia dituduh membuatkan Batrisya lemas, lelaki itu melahirkan rasa kesal yang tidak terhingga.  Jelas tergambar kecewa pada wajah lelaki ini satu ketika dahulu.

“Badli?  Apa ni?”  Suara Uncle Budi menerjah pendengaran Naihara yang sejak tadi tunduk. 

“Naihara?” 

Dia angkat wajah bila namanya diseru.  Naihara paksa dirinya senyum biarpun mata Uncle Budi bulat melihat keadaan dirinya yang tak ubah bermandikan darah. 

“Selamat hari lahir.  Moga segala bahagia milik tuan sekeluarga dunia dan akhirat,” ucap Naihara sambil menghulurkan beg kertas yang berjaya diselamatkan. 

Seperti kata mama, hadiah ini tak bernilai tapi ini adalah keikhlasannya yang tidak pernah mampu membayar jasa Uncle Budi.  Malah, dia juga rasa bersalah kerana menyembunyikan diri daripada keluarga ini hampir sedekad. 

“Oh… terima kasih.”  Dalam gugup, Budi tetap menyambut hadiah yang Naihara hulurkan.  Buat seketika, dia hilang kata dengan apa yang terjadi di depan matanya. 

Dia pandang wajah Badli yang bersahaja sebelum jatuh kepada wajah Naihara yang nampak ketakutan. 

“Apa yang jadi ni, Naihara?”  soal Uncle Budi, lembut.  Dia hulurkan beg kertas itu kepada isterinya dan menapak mendekati Naihara dan Badli.

“Badli yang buat ke?”  Belasnya jatuh melihat wajah resah Naihara yang tetap tersenyum.  Canggung. 

“Tak, tuan.  Saya yang cuai,” akui Naihara dan terus tunduk bila mata mama mencerlang tajam padanya.  Dia lebih rela semua jari dituding padanya daripada terus mencipta dendam di hati Badli. 

Keluhan lepas daripada celah bibir Budi.  Entah kenapa, ada rasa rindu untuk dia tatap wajah anak ini setelah hampir sepuluh tahun tidak bersua.  Silapnya dulu kerana memandang kecewa pada Naihara hinggakan anak ini tekad untuk tidak lagi terima bantuannya.  Pergi dalam diam dengan hanya meninggalkan pesanan terima kasih.  Membawa pergi seorang abang yang memerlukan penjagaan rapi. 

Dia cuba menjejaki, tapi setiap kali itu isterinya menahan.  Kerana beranggapan Naihara sudah begitu membencinya, dia hentikan pencarian.  Cuma sejak akhir-akhir ini, keinginannya untuk menatap wajah anak gadis ini tak dapat dibendung.   Kerana itu dia paksa isterinya mencari dan menghubungi. 

Kini, yang berdiri di depannya bukan lagi seorang anak remaja.  Sebaliknya, seorang gadis  yang sangat cantik dan sempurna.  Tapi, apa yang dia mahukan, tak berjalan seperti yang dirancang.  Sepertinya kejadian lalu kembali berulang biarpun tidak seteruk dulu.  Apatah lagi dengan panggilan Naihara padanya, dia tahu… Naihara tidak lagi menganggapnya seperti keluarga seperti waktu di mana dia kenali seorang kanak-kanak berusia sepuluh tahun. 

“Naihara pergi ikut Risya.  Dia bagi pinjam baju.  Dia tidur dekat hotel ni.  Mesti dia bawa baju lebih.  Nanti turun semula, ya.  Kita potong kek…”

“Eh, tak apa, tuan.”  Naihara pantas menolak.  Dia telan liur dan mengoyak senyum. 

“Saya dah nak balik.  Dah jumpa tuan.  Cuma sebelum saya balik, saya nak cakap terima kasih atas jasa baik tuan sejak dulu hingga saya mampu berdikari.”  Ucapan ini dia mahu ucapkan saat dia berusia tujuh belas tahun dulu tapi apakan daya, yang dirancang lain, ketetapan pula sangat berbeza. 

Ucapan ini adalah satu ucapan yang tertangguh. 

“Tiada apa yang dapat saya bagi untuk balas jasa tuan melainkan saya akan terus doakan tuan sekeluarga.  Maaf tak dapat balas tuan dengan duit ringgit.  Saya mohon untuk tuan halalkan segalanya.”  Kali ini, Naihara tunduk hingga separuh badan.  Menyatakan yang dia benar-benar berterima kasih atas budi yang ditelan selama ini.

“Sama-sama.  Tapi, kita kan dah macam keluarga,” ujar Budi.  Menolak bahu Naihara agar kembali memandangnya. 

Dia mahu iyakan bila perkataan keluarga itu diluahkan oleh Budi tapi dia tahu, banyak telinga dan mata yang tak sudi melihat dan mendengarnya.  Lantas dia sekadar senyum.

“Tentang kejadian dulu tu…”  Waktu ini, Naihara menoleh pada Risya dan mak cik seketika sebelum kembali merenung mata Uncle Budi yang nampak kecewa dengannya.  Sekali lagi.  Entah atas sebab apa.  Boleh jadi atas sikap cuainya hingga mengganggu majlis.

“Saya minta maaf sebabkan kejadian tu dulu.”  Satu waktu dulu di mana Uncle Budi hanya berlalu memeluk Risya tanpa sempat dia berkata apa biarpun hanya sekadar maaf.

Saat ini, wajah Uncle Budi berkerut.  Maka, benarlah bagai yang dirasa.  Naihara begitu terasa hati dengannya waktu itu hingga menyembunyikan diri. 

“Uncle…”

“Saya minta diri dulu, tuan,” pinta Naihara.  Menyekat suara Budi. 

Tiada apa lagi yang mahu dikatakan.  Dia telah hadir ke majlis ini demi memenuhi permintaan orang yang telah berbudi padanya dan membuatkan dirinya hina buat ke sekian kali.  Menjadi tontotan dan bahan tawa umum.  Setelah ungkitan demi ungkitan yang dia terima daripada mama semalam hinggakan dia tak berdaya berkata tidak. 

Setelah ini, dia akan kembali bersembunyi daripada dunia yang sering membenci kewujudannya.  Dia akan benar-benar membuang segala kisah lampau yang digalas selama ini.  Dia tak akan lagi menunggu kerana dia tahu, penantiannya akan berakhir dengan kisah menyayat hati. 

“Bad hantar Naihara balik kejap, abah,” ucap Badli.

Naihara yang mahu berlalu, terpaku seketika dengan suara Badli.  Dia tidak berani angkat wajah sebaliknya dia pantas menapak menuju ke pintu besar itu. 

“Abah tak nak dengar cerita Bad buat benda tak elok pada Naihara,” pesan Uncle Budi penuh makna kerana dia tahu sikap Badli yang sering mengasari Naihara. 

Naihara lajukan langkah bila dia yakin, Badli sedang mengekorinya.  Tapi, Badli lebih pantas menarik lengannya. 

“Lepaskan tangan saya, tuan…”  Dia menarik tangannya tapi genggaman Badli cukup kejap. 

“Lepas.”  Suaranya sedikit keras. 

Badli senyum sinis dan sekadar menanti apa yang bakal terjadi.  Setelah sekian lama, perasaan bahagia melihat Naihara terseksa rupanya masih sama.  Dia sengaja menguatkan cengkaman. 

Wajah Naihara menyeringai.

“Aku cakap lepas!”  Naihara hampir menjerit.  Naihara merentap kuat tangannya dan dia terdorong ke belakang beberapa tapak bila Badli sengaja melepaskan pegangan. 

Dia hampir jatuh terduduk jika tidak kerana tangan kasar dan lengan kekar itu menahan tubuhnya daripada belakang dan membantu dia berdiri tegak semula. 

“Maaf, saya tak sengaja,” pintanya tanpa melihat wajah lelaki itu.  Yang dia tahu, dia harus segera berlalu sebelum segalanya menjadi lebih buruk. 

Tapi sayang, kedua belah lututnya longlai.  Apatah lagi haruman itu kembali menusuk ke rongga hidungnya.  Dia mahu menoleh melihat wajah lelaki yang masih gagah menopang belakang tubuhnya tapi dia tidak temui kekuatan itu.  Liur di telan berkali-kali.  Apatah lagi bila dia dapat rasa lelaki itu meletakkan sehelai selendang di atas bahunya sebelum lengan kekar itu menjalar memeluk pinggangnya erat. 


...bersambung


1 comment:

  1. Aduhaiiiii siannya naihara.. apa jadi sbnrnya dulu tu..🤔 Thx RM 💐🌹

    ReplyDelete