Wednesday, March 24, 2021

NOKTAH 7

NAFASNYA tercungap-cungap seperti mana saat dia di selamatkan daripada lemas satu ketika dulu.  Dia menoleh separuh dan wajah tampan itu jelas pada pandangan matanya.  Lelaki itu nampak tenang memandang pada Badli.  Langsung tidak menoleh padanya. 

Rambut panjangnya diikat kemas.  Segak dengan suit lengkap.  Biarpun ada bau yang tidak selesa itu daripada hembusan nafas lelaki ini, bau yang selama ini menemaninya masih kuat memeluk tubuh lelaki ini. 

“Eh, apa ni?” 

Suara keras Badli membawa Naihara memandang ke depan.  Masih di situ.  Membiarkan lelaki itu memeluk pinggangnya tanpa mahu ditolak.  Entah kenapa, dia sepertinya telah diselamatkan oleh lelaki ini.  Perasaan ini sama dengan satu ketika dulu. 

Tangannya ringan memaut lengan sasa lelaki ini dan menyorokkan sebahagian wajah di sebalik lengan gagah itu.  Lelaki itu jongketkan senyuman sinis.  Nampak puas dengan apa yang tak dirancang ini. 

“Dia datang dengan aku tadi.  Aku tinggal kejap aje kau terus nak try.  Patutnya, aku yang tanya soalan tu.  Apa ni?  Kacau perempuan orang.” 

Suara garau itu buatkan Naihara menelan liur.  Dia tahu pengakuan itu adalah untuk menyelamatkannya tapi jantungnya mula bergetar. 

“Perempuan kau?” 

“Iya…”  Haq senyum tipis. 

“Tapi, tengok cara kau tu, macam tak percaya.  Aku nak bagi bukti pada kau, tapi rasanya dah jelas kot apa yang kau nampak ni?”  Haq juihkan bibir pada lengannya yang dipeluk erat oleh gadis yang dia sendiri tak tahu namanya. 

“Kot ya pun kau suka makan sisa aku, tunggulah aku dah puas makan dulu.  Nanti aku hantar pada kau…” 

Naihara ketap bibir.  Tak sengaja, dia cengkam lengan itu kuat sebaik saja mendengar ayat yang jelas berbentuk penghinaan. 

Menyedari akan apa yang terjadi, Haq pejam mata seketika.  Gadis ini adalah mangsa dan dia juga sedang mengambil kesempatan dalam keadaan Badli yang nampak marah.

“Tapi, rasanya yang ni… aku akan simpan sendiri.  Yang ni tak macam yang pernah kau dapat dengan mudah tu.  Yang ni tak akan senang-senang berpaling daripada aku.  Apa pun jadi…”  ujar Haq dengan nada bangga. 

Berharap agar salah faham yang terbentuk pada gadis ini berkurang.  Tiada niatnya untuk menghina.  Apatah lagi bila nampak cara gadis ini menolak Badli sejak di dalam dewan.

Yang menjadi pertanyaan, bagaimana gadis ini boleh berada dalam majlis yang nyata bukan sesuai untuknya.  Majlis sebegini dan orang demikian tidak sesuai untuknya.  Jika bukan kerana hubungan dengan Badli, masakan gadis ini boleh muncul di situ? 

Tapi, bila gadis ini melarikan diri dan Badli mengejar, dia yakin ada satu hubungan lama antara dua orang manusia ini.  Dia tak teragak-agak untuk terus menggiat sikap baran Badli.  Dia kenal anak muda ini.  Badli seorang yang panas baran.  Masih mentah. 

Lama Badli mendiamkan diri.  Hanya membiarkan Haq mengasak dan mencabar dirinya.  Setiap kali, dia mengalah.  Ya, dia bukan kalah.  Tapi, dia mengalah kerana belum tiba masanya untuk dia musnahkan Haq.  Jika tiba hari itu, dia akan pastikan Haq lebur.  Senyuman sinis itu akan padam.  Wajah dan pandangan dingin itu akan hancur. 

Melihat pada sikap Naihara, dia kembali teringat akan kata-kata gadis ini.  Gamaknya, Haq adalah kawan yang dimaksudkan.  Tapi, mustahil!  Bagaimana manusia seperti Naihara yang sikapnya berbeza langit dan bumi dengan Haq boleh ada di sisi Haq. 

“Dia ke kawan yang kau cakap tadi?”  soal Badli tepat pada Naihara yang masih menyorokkan wajahnya. 

“Tak perlu tanya.  Percayalah dekat mata kau sendiri,” selar Haq bersahaja. 

“Naihara!”  seru Badli keras.  Sabarnya kian menipis.  Tangannya sudah mula ringan untuk mencari sasaran.

“Ya…”  balas Naihara cukup perlahan tapi jelas pada pendengaran.

Haq sengaja jongketkan sebelah kening pada Badli.  Dia nampak Badli sejak tadi menggenggam penumbuk dan dia juga tahu, mustahil untuk penumbuk itu singgah pada wajahnya. 

Pengecut. 

Pautan pada lengannya kian kejap.  Haq menggeleng kecil.  Macam mana perempuan yang langsung tidak pernah dia kenal, begini berani memeluk lengannya?   Tidakkah perempuan ini punya sedikit harga diri? 

Saat dia mengetatkan pelukannya pada pinggang ramping itu juga, gadis yang dipanggil Naihara ini hanya kaku tidak menepis.  Dia tidak tahu apakah kisah antara Badli dan Naihara.  Sebahagian hati mahu saja membiarkan perempuan ini rebah dalam permainan Badli tapi entah kenapa, perasaannya menolak dan memaksanya membawa gadis ini jauh daripada Badli.   

Badli lepaskan nafas berat.  Genggamannya juga kian longgar.  Dia masih banyak masa untuk dapatkan Naihara.  Dia punya senjata yang sejak sekian lama disimpan kemas.  Dia sunggingnya senyuman pada Haq kerana dia tak akan mampu menyakiti lelaki ini sejak dulu.  

Dia tahu, Haq bukan sekadar mempunyai wajah dan sikap yang dingin tapi kekejaman Haq sedikit sebanyak membuatkan dia kecut untuk terus melawan.  Haq gila.  Kegilaannya ada masa tak tercapai dek akal. 

“Kalau kau tak nak abah kau meraung tengok anak dia pakai kain kafan esok, aku boleh tadah muka aku untuk kau tumbuk.”  Haq mendabik dada.  Membuka laluan untuk Badli bertindak. 

Tidak mampu berbuat apa sementelah di tempat umum, Badli tahan hati.  Satu hari nanti… lelaki di depannya akan tersungkur dan saat itu dia tak akan teragak-agak untuk memijak kepalanya. 

Masa masih panjang dan dia akan pastikan kemenangan adalah miliknya.  Jika dengan menakluki Naihara akan membuatkan Haq kalah, dia akan hunus senjata terakhirnya. 

Haq bawa Naihara melangkah bersamanya.  Dikejapkan pelukan bila dia rasa langkah Naihara hampir tersadung berkali-kali.  Haq hentikan langkah.  Menyelak rambut Naihara dan menyelitnya di belakang telinga bila dia yakin Badli masih lagi merenung mereka. 

Dia kerling Badli dengan hujung mata dan menjatuhkan bibirnya tepat di atas cuping telinga Naihara sebelum terus membelai rambut lembut itu.  Saat ini, hatinya ketawa melihat wajah merah Badli. 


...bersambung


1 comment:

  1. Oo dahsyat juga ganbaran seorang haq tu hihi.. Thx RM 💐🌹

    ReplyDelete