Wednesday, March 24, 2021

NOKTAH 8

TUBUHNYA tegak.  Tapi, mata terus mencerun pada Naihara setelah dia membiarkan gadis itu duduk di sebuah sofa yang agak tersorok di lobby hotel.  Seperti juga tadi, Naihara masih lagi tunduk.  Rambut yang diselit di belakang telinga juga sudah jatuh semula hingga kembali menutup seluruh wajah. 

 Sejak tadi, dia cuba melihat dengan lebih jelas wajah Naihara tapi tidak berjaya.  Yang ditatap hanyalah sisi wajahnya saja.  Dia nampak mata redup yang dihiasi dengan bulu mata yang lebat dan lentik.  Dia nampak hidung yang mancung terletak.  Dia dapat rasa mulusnya kulit pucat itu.  Dia juga tahu,   gadis ini adalah gadis yang sama yang terhantuk pada pintu kerananya. 

Dia berkeras untuk tidak hadir ke majlis malam ini, tapi kata-kata Abang Budi memaksa dia muncul dan tak sangka, dia disajikan dengan kejadian yang menarik.  Apatah lagi bila Abang Budi bagai cuba bermesra dengan gadis ini tetap Badli pula mengasaknya. 

Fikiran liarnya terus mencari kesimpulan.  Gamaknya, ini perebutan cinta antara ayah dan anak.  Tapi, mustahil.  Kerana wanita gila itu masih teguh berdiri di sisi Abang Budi sejak sepuluh tahun dulu.  Jika benar seperti tanggapannya, pasti ada sesuatu yang menarik bakal terjadi tak lama lagi. 

Kala itu, dia hanya akan duduk menyilang kaki menikmati segala tayangan dengan tenang. 

Jujurnya, dia cukup benci dengan perempuan seperti ini.  Betapa dia membenci wanita yang cuba memanjat ke tempat tidurnya, dia lebih lagi membenci wanita lemah seperti ini.  Yang tidak langsung cuba mempertahankan diri sedangkan dia dapat lihat dengan jelas, siapa pemangsa dan siapa pula mangsa. 

Mengingatkan cara wanita ini tunduk meminta maaf, dia benar-benar jengkel.  Di sebalik segala rasa benci, meluat dan tidak senang melihat cara gadis ini, dia tak sangka… dia masih rasa mahu menyelamatkannya bila nampak gadis ini berkeras mahu lepaskan diri daripada Badli. 

Haq berbisik sesuatu kepada pembantunya dan lelaki muda itu terus berlalu.  Haq labuhkan duduk di sisi Naihara.  Bersandar tenang sambil menyilang kakinya. 

“Apa hubungan kau dengan Badli?” 

Naihara geleng. 

“Dengan Budi?” 

Kali ini juga, Naihara menggeleng. 

“Atau kau kawan dengan anak perempuan dia?” 

Jawapan yang diberikan masih sama.  Penafian dalam diam. 

Haq julingkan mata ke atas.  Mula rimas dengan sikap perempuan ini. 

“Dengar sini.  Aku tak akan minta maaf atas apa yang dah jadi.  Aku tak kisah apa kau fikir pasal aku.  Tapi, satu aku nak pesan dekat kau.  Badli tak sesuai dengan kau.  Seluruh tempat ni, majlis macam tu, keluarga tu, tak sesuai untuk kau.  Sini bukan tempat kau!”  tegas Haq.

Naihara angguk pula kali ini.  Mengerti. 

“Aku tolong kau tadi sebab rasa bersalah aku buat kau terhantuk pada pintu.  Sini…”  Haq selak rambut Naihara dan dia nampak kesan bengkak pada dahi itu.  Malah, ada garisan luka. 

Dia yakin sejak awal kerana hayunan pintu yang dilakukannya agak kuat.  Namun, bila mangsa menafi, dia juga malas hendak peduli. 

Naihara mengelak. 

Haq sunggingkan senyum sinis. 

“Kenapa?  Nak berlagak suci pulak?  Padahal tadi, boleh aje kau biarkan lelaki asing yang kau tak pernah kenal peluk kau.  Kau pun, boleh tahan peluk lengan aku,” sindir Haq tajam. 

Naihara kemam bibir.  Dia cuba menahan airmata daripada gugur.  Haruman ini makin mencucuk.  Malah, suara parau ini juga dirasakan cukup sama.  Boleh jadi benar mereka adalah orang yang sama, kerana itu dia merayu lelaki ini membawanya pergi dalam diam.  Tapi, dia tak berdaya untuk bertanya atau mengatakan kebenaran.  Apa yang baru saja terjadi benar-benar bukan kemahuannya. 

Dia hanya mahu berlalu tanpa disedari oleh sesiapa.  Tapi kini, bukan hanya Risya, Badli, Uncle Budi dan mama, tapi juga lelaki asing ini. 

“Aku dah mintak budak aku panggilkan teksi untuk kau.  Aku harap kau balik sekarang.  Ini dah malam.  Sekali lagi aku pesan dekat perempuan macam kau ni.  Tempat ni bukan untuk yang lembik dan lemah macam kau.  Lebih baik kau kembali daripada mana kau datang biarpun tempat asal kau itu adalah loji kumbahan sekalipun!”  tekan Haq dan dia terus angkat tubuh. 

Haq hanya beri isyarat agar Jay membawa gadis itu masuk ke perut kereta.  Dia dah malas nak layan.  Dan rasanya dia juga perlu berlalu biarpun majlis masih berlangsung.  Dah tak betah untuk berada dalam satu ruang dengan Abang Budi dan isterinya.

Segalanya cukup merimaskan hingga dia dapat rasa, oksisen yang dihirup begitu beracun.   Haq sangkut sebatang rokok pada bibirnya.  Mahu dinyalakan, tapi api daripada Zippo itu sekadar menyala tanpa mencari mangsa bila dia terpandang wajah gadis itu yang sudah ada di dalam kereta. 

Wajah itu cukup jelas.  Jika itulah wajah seorang gadis bernama Naihara… dia dapat agak kenapa Badli begitu menggila.  

... bersambung


1 comment:

  1. Oo haq tu adik budi ke.. makin mebarik ni.. Thx RM 💐🌹

    ReplyDelete