Wednesday, March 24, 2021

NOKTAH 5

SEDEKAD berlalu, haruman yang hampir dilupakan itu kini kembali segar mendakap dirinya.  Kehangatan pelukan itu masih terasa pada kulitnya yang kedinginan.  Malah, kata-kata lelaki itu buat dia kembali berdaya. 

Naihara pejam mata… mencari wajah yang kian kabur dalam memorinya.  Di saat lelaki itu menurunkannya di depan pagar asrama, mengusap pipinya bersama senyuman tipis, perasaan yang dipanggil cinta itu hadir tanpa dipaksa.  Walaupun dia tahu, dia tak akan bahagia… dia masih menghargai rasa itu sejak sekian lama. 

Hari ini, seketika tadi… deria baunya mencium lagi haruman yang sama.  Sentuhannya biarpun hanya sekadar sepintas lalu, kehangatan itu dirasakan serupa.  Tak… mustahil dunia ini begitu kecil.  Dia tak akan mudah dipertemukan dengan lelaki itu dan jika benar, lelaki tadi adalah orang yang sama, sebahagian besar hati mahu lupakan saja semua perkara. 

Naihara hela nafas perlahan.  Rambut diselit di belakang telinga.  Liur ditelan berkali-kali.  Dia telah bersedia.  Dia telah paksa dirinya untuk bersedia.  Dia keluar daripada bilik dan melangkah ke pintu besar itu.  Daun pintu ditolak perlahan dan dia melangkah masuk ke dalam majlis yang cukup meriah.  Bersama beg kertas berisi hadiah yang sempat dia beli sebelum ke sini. 

Naihara berjalan menyusur dinding.  Mengelak daripada menjadi tumpuan dan sebaik saja dia nampak wajah seorang wanita yang dia pernah dia panggil mama, Naihara tersenyum tawar.  Tanpa perisa.  Kerinduan dan kasih sayang di hatinya terbunuh bersama waktu.   

Seperti kata-kata mama, tiada siapa yang harapkan kehadirannya.  Cukuplah sekadar menunjukkan wajah dan dia akan terus berlalu.  Kakinya melangkah tanpa dia sedar.  Cuba menghampiri wanita itu tanpa mampu dia alihkan pandangan mata hinggakan ada tangan menahan bahunya.  Menolaknya perlahan hingga membuatkan dia terdorong ke belakang beberapa langkah. 

Naihara pandang wajah di depan mata.  Senyum tipis dan tunduk sedikit sebagai tanda hormat kerana dia tahu, gadis di depannya tak akan pernah menyambut huluran salam yang pernah dia beri. 

“Hurm… muncul jugak lepas sekian lama hilang?”  ujar gadis itu sedikit keras. 

“Ya, maaf lambat, cik…”

Gadis itu mengelilingi Naihara dan kembali berdiri depan Naihara dengan pandangan yang tajam dan jengkel. 

“Jujurnya tiada siapa nak jemput kau ke sini tapi abah yang bersungguh nak kau ada sama.  Dah lama tak jumpa kau katanya.  Kesian anak sebatang kara hidup merempat.” 

“Ya, cik.”  Senyuman masih bergayut di bibir Naihara. 

Dia tidak menafi biarpun sepatah.  Dia sentiasa akur dan tunduk akan setiap cacian dan hinaan.  Telah dia katakan, dirinya tidak layak hidup di atas muka bumi ini, di samping mereka yang ada di depannya sekarang.

Dia ada di sini sekarang hanyalah kerana belas kasihan seorang lelaki yang tak akan mampu dia balas jasanya.  Dia hidup kerana dia masih bernafas.  Dia punya semangat hanya kerana Naqim.   Langsung tiada berbaki untuk diri sendiri.  Dia tak perlukan semua tu untuk dirinya. 

“Risya?” 

Suara lembut itu membuatkan Naihara angkat wajah dengan debar yang bukan sedikit.  Perasaannya bergumpal lumat hingga tidak mampu dia asingkan.  Matanya bergenang, bibirnya merekah dengan senyuman tapi lidah dan seluruh jasadnya kaku tak berdaya. 

“Abah panggil,” tambah wanita itu dengan usapan lembut pada bahu Batrisya. 

“Oh, jomlah, ma…”  Risya memeluk erat tangan mama.

“Tak, sayang.  Risya pergi dulu.  Ma cakap dengan Naihara kejap.  Lama dah tak jumpa.”  Senyuman wanita itu sangat manis.

Naihara cengkam hati sendiri.  Cemburunya meluap-luap.  Andai sekali wanita itu ukirkan senyum demikian untuknya… tapi, permintaan terakhirnya yang wanita ini tunaikan telah berlalu bertahun dulu.  Ditunai dan dimusnahkan dalam masa sesaat. 

“Ma cepat tau…”  Risya berlalu bila saja ibu tirinya mengucup pipi mulusnya. 

Senyuman yang tadinya manis dan lebar kini bertukar corak.  Tiada lagi senyum jauh sekali kemanisan.  Telah dia katakan, jika dulu mama memandangnya dengan penuh benci, tanpa sedikitpun rasa sayang, kali ini juga sama. 

Pandangan mama masih kekal begitu.  Cuma dia yakin, kehadirannya kali ini biarpun tidak diharapkan, tapi mama seperti tiada pilihan selain akur dengan kehendak Uncle Budi. 

“Apa khabar, mak cik?”  soal Naihara lembut.

“Kenapa lambat?” 

“Maaf.  Hari ini banyak kerja.  Lepas tu, saya pergi cari hadiah.  Rasa tak sopan nak datang tangan kosong.” 

Mata mama jatuh pada tangan Naihara yang menggenggam kemas tali beg kertas bersaiz kecil itu.  Sebelah keningnya terjongket. 

“Tak perlu bawak apa pun tak apa.  Kau patut bawak diri aje.  Hadiah yang kau bagi tu, tak guna juga nanti.  Buat membazir aje.  Baiklah kau simpan untuk makan sendiri,”  balas mama perlahan.

Naihara ketap bibir dan tunduk.  Hadiah ini adalah tanda terima kasihnya kerana dia tidak pernah berpeluang untuk menzahirkan rasa terima kasihnya selama ini.  Tapi, mak cik benar-benar hebat dalam mencincang niat baiknya. 

“Pergilah makan.  Budi tengah cakap dengan adik dia.  Lepas makan, boleh datang jumpa dia.  Lepas tu, boleh terus balik.  Majlis ni habis tengah malam.  Nanti susah pulak kau nak balik.” 

Naihara angguk.  Mengiyakan. 

“Hurm satu lagi… jaga perangai tu.  Jangan jadi macam dulu.  Kali ini, tak sama macam dulu.  Jangan rosakkan majlis!”  pesan mana lantas berlalu tanpa menoleh lagi.

Sekali lagi Naihara tunduk.  Akur.  Dia senyum tipis.  Tanpa dia sedar, airmata menitis jatuh ke atas permaidani indah ini.  Telah dia katakan, mama menjemputnya hanya kerana Uncle Budi sedangkan mama langsung tidak mahu melihat dia di sini.  Jika mama tidak mengungkit segala budi yang dia telan, dia pasti tidak berada di sini dan menyakitkan pandangan mata orang. 

Naihara pejam mata rapat.  Membiarkan titisan airmatanya yang terakhir jatuh sebelum dia mengesat birai mata dan mengangkat wajah.  Senyum dan melepaskan nafas  kasar.  Apapun jadi, dia perlu makan dan dia tak akan menolak rezeki memandangkan dia masih belum sempat menjamah makanan sejak pagi. 

Dia baru saja membiarkan air putih itu melalui kerongkong yang terasa kering dan kontang bahana menahan rasa yang bergelojak dan memberontak.  Dia lepaskan nafas kasar bila air putih itu langsung tidak berbaki.  Mengesat hujung bibir dengan belakang tangan. 

Kakinya mahu saja membawa dia berlari tapi mengenangkan Uncle Budi, dia perlu bertahan untuk seketika lagi.  Sesekali, dia pegang dahi dirasakan berdenyut akibat terhantuk kuat pada pintu tadi.  Rasa seperti tiada apa tapi terkesan juga.  Dipicit perlahan sebelum berlalu ke meja yang terhidang pelbagai juadah yang hampir tak pernah dia lihat jauh sekali merasa.  Pinggan dicapai dan baru saja dia mahu mengambil hidangan pastry caviar itu, dia dapat rasa ada susuk tubuh kasar yang berdiri tepat di belakangnya. 

Naihara menoleh.  Pinggan di tangan hampir tergelincir melihat senyuman sinis pada wajah yang tak pernah dia lupa itu.  Liur ditelan berkali-kali.  Naihara pantas meletakkan pinggan di atas meja sebelum jatuh ke lantai.  Menahan diri yang mula gugup. 

“Setelah sekian lama… tikus kecik ni keluar daripada persembunyian mencari makan?”   

Suara kasar itu… masih tak berubah.  Herdikan demi herdikan masih berdengung dalam kepalanya sejak dulu. 

“Tuan jemput saya…” 

“Ya, aku tahu.  Cuma aku ada bertaruh dengan Risya yang kau tak akan datang.  Tak guna… kau buat aku kalah!”  Badli ketawa kecil.  Menyeluk kedua belah tangan dalam poket seluar. 

Sekujur tubuh Naihara kejang.  Tawa itu biarpun kecil tapi masih tajam membunuh semangatnya sedangkan dia tak mahu apa-apa masalah.  Pesanan dan amaran mak cik terngiang-ngiang jelas. 

Dia melilau ke kiri dan kanan berharap dia dan Badli tak menjadi tumpuan.  Dia benar-benar bimbang kisah tujuh tahun lalu berulang dan beban kesalahan terus dihempap di atas bahunya tanpa diadili. 

“Maaf, saya dah nak balik.”  Naihara mahu berlalu tapi Badli menahan membuatkan Naihara kembali berundur. 

“Nak pergi mana?  Kau belum jumpa abah aku, kan?” 

“Tak apa.  Saya dah jumpa mak cik,” balas Naihara. 

“Dan kau baru saja jumpa aku,” ujar Badli penuh makna. 

Naihara telan liur.  Kerongkongnya kembali terasa kesat.  Malah, dahinya mula berdenyut.  Kesannya agak cepat kerana rasa takut dan bimbang berdepan dengan lelaki ini. 

“Nah.”  Badli menghulurkan pinggan yang dipegang oleh Naihara tadi.

“Saya dah kenyang.”  Sebolehnya, Naihara menolak.  Dia tidak mahukan apa-apa saat ini.  Yang dia mahukan hanyalah keluar daripada tempat ini dengan segera. 

“Jangan bohong!”  Mata Badli terjegil dengan jawapan Naihara. 

“Aku nampak kau baru nak makan.  Kau nak ni, kan?”  Badli mengepit seketul caviar pastry dan diletakkan di atas pinggan. 

“Apa lagi kau nak?”  soalnya tapi Naihara terus menggeleng. 

“Saya dah makan sebelum ke sini,” bohongnya.

Badli berdecit. 

“Sejak dulu, kau tak pernah pandai nak bohong.  Itu salah satu benda yang aku suka pada kau,” bisik Badli dan diletakkan lagi sepotong kek di atas pinggan. 

“Jom.  Duduk makan. Aku temankan.  Lepas ni, aku hantar balik.”

“Tak, tuan.  Saya dah makan.  Saya memang nak balik sekarang.  Saya datang dengan kawan.”  Biarpun Badli katakan, dia tak pernah pandai menipu, keadaan telah memaksa dia terus mencipta pembohongan.

Sementelah melihat renungan dan senyuman tajam Badli padanya, dia yakin wajahnya benar-benar pucat saat ini.  Kehadiran Badli masih memberi kesan yang kuat padanya.  Dia perlu akui yang rasa takutnya pada lelaki ini masih berbaki. 

Kening Badli terjongket.  Dia letakkan pinggan di atas meja.  Terus memerhatikan Naihara tanpa berkelip.  Gadis ini telah benar-benar berubah.  Telah menjadi sangat indah.   

Yang tidak berubah hanyalah sikap Naihara padanya.  Yang masih takut kerana dia dapat lihat susuk tubuh itu menggigil dan bibir merah Naihara bergetar.  Wajah yang sudah sedia putih itu, semakin putih kerana pucat. 

Badli simpan senyum. 

Entah apa perasaannnya pada Naihara saat ini, dia agak keliru.  Benci itu masih ada tapi ada bahagian lain perasaan yang sukar untuk dia tafsirkan saat melihat Naihara berbaju kurung moden putih dengan rambut hitam yang beralun lembut hingga ke paras pinggang. 

“Mana kau sembunyi selama ni, ya?  Jenuh aku carik tapi tak jumpa.  Lepas habis sekolah, langsung tak ada berita kau.  Tiba-tiba muncul malam ni.  Aku memang tak percaya dengan mata aku sendiri tadi kalau Risya tak bagitahu,” cerita Badli seraya menoleh pada adiknya yang sedang memandang tajam pada mereka berdua. 

“Saya tak ke mana,” jawab Naihara perlahan. 

Dia pejam mata seketika bila Badli terus merenungnya.  Dalam hati tak putus berharap moga lelaki ini tidak menimbulkan sebarang masalah.  Dia dan Badli seusia dan Risya hanyalah muda setahun daripada mereka.  Bersekolah di sekolah yang sama hingga ke tingkatan lima atas belas kasihan Uncle Budi yang juga abah kepada Badli dan Risya hanya kerana dia adalah saudara jauh kepada mak cik.    

Mak cik memberinya peluang tapi syarat untuknya sangat berat.  Melainkan terima dan galas segalanya syarat, dia tiada pilihan lain.  Mak cik merampas panggilan itu daripadanya dan akhirnya, panggilan itu terus hilang. 

Dia mamah dan telan segala hinaan.  Dia perlu bertahan. 

“Maaf.  Saya nak balik sekarang…” 

“Hey!”  Suara Badli menderam menahan geram. 

Lengan Naihara disambar dan digenggam kemas.  Rahangnya turun naik menahan marah menerima penolakan Naihara.  Sedangkan dulu, apa saja… Naihara hanya terima.

Apa yang membuatkan gadis ini berbeza sekarang?  Padanya, tiada!  Hanya kerana Naihara telah menjadi seorang gadis yang sangat jelita hingga mampu membuatkan hati lelakinya bergelora, selain itu Naihara masih sama.  Masih lemah.  Masih tak layak menumpang hidup di atas muka bumi ini jika tidak kerana belas keluarganya. 

“Aku cakap makan dulu.  Nanti aku hantar.  Ayat mana yang kau tak faham ni?”  soalnya keras dan tegas. 

Naihara hanya mampu memandang wajah Badli dan di balik pandangan itu juga dia nampak jelas, niat buruk Badli padanya. 

“Saya mintak maaf,” ucap Naihara sekali lagi untuk kesalahan yang tidak pernah dia lakukan. 

Dia tolak tangan Badi sekuat hati dan air di tangan Badli tumpah di atas pakaiannya.  Badli senyum.  Naihara tahu, Badli sengaja.  Dalam suasana semua tetamu tertumpu di pentas, dia tahu dia akan terus diasak oleh lelaki gasar ini. 

“Tolong,” pinta Naihara separuh merayu. 

“Jangan buat saya macam ni.  Saya tak nak timbul apa-apa masalah.  Tuan tolong buat tak nampak saya.”  Nadanya semakin rendah perlahan.  Kedengaran cukup syahdu. 

“Saya nak balik sekarang…” 

“Boleh.  Tapi…”  Badli capai segelas lagi air yang berwarna merah terang itu dan terus dituang tepat di atas dada Naihara. 

Pakaian yang putih mula bertukar warna di bahagian dada dan depan tubuhnya.  Naihara tahan hati.  Dia menoleh ke sisi dan ada beberapa pasang mata yang mula memandang dan mulut sumbang sudah mula berbicara.  Apatah lagi bila sepasang mata milik mak cik sedang tajam merenungnya menghantar pelbagai amaran. 

Sepuluh tahun dulu telah cukup jauh dia tinggalkan tapi hari ini, seperti ia baru semalam terjadi.  Sejarah malang itu berulang dengan sendiri tanpa dia pinta. 


... bersambung



1 comment:

  1. Siannya naihara.. jahatnya badli!! Thx RM 💐🌹

    ReplyDelete