SEMALAM, dia
belot pada keletihan diri. Johan memandu
tenang mengekori sebuah bas sehingga ke destinasi akhir dan Johan jugalah yang
menaiki LRT menjejaki apa yang dia cari.
Setelah itu, Johan kembali menemui dia di tempat kerja. Waktu itu, langit gelap biarpun hari masih
lagi petang.
Memasuki kawasan
perumahan kos rendah ini tak pernah buat dia rasa tak selesa. Namun, wajah yang
nampak terlena di bawah langit yang terbuka itulah yang buatkan letak duduk dia
panas.
“Semalam, pukul
berapa dia masuk rumah, Jo?”
Sakit juga hati
dia semalam. Rasa nak aje dia pergi
dekat dan simbah air. Biar sedar diri
sikit. Entah perempuan jenis apa. Depan rumah pun boleh terlena.
Dia tak pernah
tahu, yang aku ni tak pernah lena selama ni.
Semuanya sebab
kau!
“Dekat pukul enam
petang, bos. Daripada jauh saya nampak
wanita lain. Mak dia gamaknya. Tapi, sebab jauh… tak boleh nampak jelas,”
jawab Johan mendatar.
Raqib mengangguk
lemah. Laporan daripada rangkaian restoran
yang abah usahakan selama ini berselerakkan di depan mata. Ada dua restoran mengalami kerugian sejak
beberapa bulan kebelakangan ni dan ada yang mencatat keuntungan. Raqib meraup wajah. Dah hampir seminggu tak balik jenguk
abah. Dia terlalu sibuk hingga dia kerap
lalai dengan keadaan abah.
Kepala
dipanggung. Memandang tepat pada Johan
di depan mata yang sedang berdiri tegak menanti arahan dia yang
seterusnya.
“Abah apa
khabar, Jo?”
“Tuan Haji sihat
aje, bos. Mak Yam masih datang tengok-tengokkan
Tuan Haji, bos.”
Sekali lagi,
Raqib jatuhkan kepala. Nasib baik ada
Mak Yam. Dia tak pernah kenal siapa Mak
Yam. Tapi, wanita yang dia kira lebih muda daripada arwah mama itu amat baik
orangnya. Tambah pula, bila abah dah
percaya… tiada sebab untuk dia curiga.
“Tengah hari,
aku nak balik jenguk abah.” Keluhan
lepas kasar melalui rengkung. Dirapatkan
belakang tubuh pada kerusi.
“Tak payah…”
Raqib dan Johan
berpandangan sebelum kalih ke pintu.
Wajah abah muncul tanpa disangka.
Pantas Johan menyalami Haji Razali sopan.
“Kenapa tak
cakap nak datang?” Raqib juga bangkit mendekati abah. Tangan abah dipaut lembut. Tunduk mencium tangan tua itu sebelum membawa
abah duduk.
Dia pandang pada
Johan. “Ambil air, Jo.”
“Baik, bos.”
Johan terus berlalu keluar daripada pejabatnya.
Mata Raqib
beralih sepenuhnya pada abah. Dia
dihimpit rasa bersalah sebenarnya. Baru
timbul niat nak balik rumah, tapi abah dulu yang muncul. Derhaka sungguh dia.
“Tak cakap nak datang.” Dia ulang ayat tadi.
“Tak apalah.
Abah datang jenguk anak abah. Tak
perlulah abah nak cakap dan abang kalau sibuk sangat, tak payahlah balik. Ini abah dah datang. Sama juga.
Janji tengok abang sihat, abah dah lega.”
Haji Razali
senyum tipis. Lebih kepada sinis. Perlu ke dia cakap atau tidak, tak
tahulah. Elok jika dia datang secara
mengejut begini. Mencuba nasib demi
menemui anak lelaki yang seorang ini saja.
Untung, adalah Raqib. Tak ada
rezeki, lain kali dia datang lagi.
Kerana dia tahu, nak diharap Raqib balik ke rumah sekarang, kemain
susah.
Perasaan Raqib
dihembus rasa bersalah. Dia tunduk
sambil menyulam jari-jemarinya. Anak
jenis apalah dia yang sanggup mengabaikan abah.
“Abang minta
maaf, bah. Memang abang sibuk sehari dua
ni.” Entah apa yang dia sibukkan, dia tak pasti. Melainkan sibuk mengikut jejak seseorang yang
dia tak akan lepaskan dengan begitu mudah.
“Lagipun, tengah
pening sikit, bah. Restoran dekat Kota
Damansara dan Wangsa Maju tu asyik rugi aje sebulan dua ni. Itulah masalah utama kalau asyik bertukar
chef, bah. Abang dah pening ni. Yang dekat sini pun, semput-semput aje
untungnya,” luah Raqib jujur.
Apapun jadi,
restoran ini milik abah. Abah yang
usahakan dengan jerih payah. Biarlah
abah tahu. Mana tahu abah ada buah fikiran
untuk dia tingkatkan keuntungan.
“Risiko orang
berniaga, abang. Biasalah tu. Ada masa untung, ada masa rugi. Sama juga kita manusia ni. Ada masa kita tersilap. Apa yang penting, kita usaha baiki. Baik pulih apa yang dirasakan rosak tu.” Tajam nasihat Haji Razali menikam telinga
Raqib.
Liur ditelan
kasar. Abah kalau bagi nasihat, tak sah
kalau tak buat dia kelu. Dia tahu, dalam
masa yang sama, abah sindir dia. Biarpun
wajah itu tersenyum dan lantunan suara itu kedengaran mesra, tapi pedihnya
tetap terasa.
Tidak dapat
tidak, dia lorek senyuman tipis. Dibelek
kertas di depan mata. Cuba larikan mata
daripada bertembung dengan anak mata abah.
“Satu lagi abah
nak pesan. Urusan dunia ni tak
berkesudahan, abang. Kalau kita nak
urusan dunia kita lurus dan lancar, kita kenalah jaga urusan akhirat. Kita jaga urusan akhirat untuk Allah, Dia
akan jaga urusan dunia untuk kita. Tak
rugi apa. Dua-dua dapat. Abanglah yang jadi manusia paling beruntung,”
tambah Haji Razali lagi.
Dia bukan tak
tahu. Raqib makin culas daripada tikar
sejadah. Hendak dirotan, Raqib bukan
lagi tujuh tahun. Sedangkan sebelum
tujuh tahun, Raqib sudah menjaga solat dan puasa. Rajin menolong orang dan tak pernah menipu. Tapi, hanya kerana menghadapi kehilangan,
Raqib berubah. Sayangnya, perubahan itu
adalah ke arah yang membinasakan.
Makin berdesing
telinga Raqib menerima nasihat abah kali ini.
Dah lama tak dihidangkan dengan kata-kata pedas ini. Biarpun segalanya adalah kebenaran, dia hanya
mampu terima dengan senyuman tipis.
Masuk, tapi sukar untuk mendampingi ruang hati waktu ini.
“Tapi, kalau
abang rasa perlu, carilah chef baru.
Usaha dengan doa, selebihnya tawakallah.
Usaha cari orang baru yang pandai masak.
Buat interview ala kadar nak
cukup syarat aje. Lepas tu, minta pada
Tuhan moga Dia berikan yang terbaik untuk abang. Selebihnya, urusan Dialah tu,” nasihat Haji
Razali.
Dia tahu sangat
Raqib dah mula panas punggung dengan kata-kata dia. Tapi sebagai orang tua, tak mahu dia lihat
Raqib terus begini. Tak
berkesudahan.
“Abah tak pernah
ada halangan selama mana abang nak berbuat kebaikan. Abah doakan kejayaan anak abah. Tak berjaya dunia, abah tak ralat mana. Tapi, abah nak abang berjaya di akhirat,”
sambung Haji Razali lebih lembut daripada tadi.
Kata-kata yang penuh dengan kata-kata tersirat. Harap sangat Raqib mengerti.
Raqib dah nampak
tewas dengan ujian dunia dan pasti Raqib akan tewas juga di akhirat. Itu yang akan merugikan seseorang
manusia.
Raqib angguk dua
tiga kali. Mengerti. Tapi, tak tahulah dapat diaplikasi atau
tidak. Suasana sepi seketika sebelum dia
berpaling pada abah.
“Bah…” Mata abah dipandang tepat.
Dah tiga tahun
lebih berlalu. Begitu pantas tapi kenapa
sakit itu tak pernah pergi meninggalkan dia?
Padahal, ada waktunya dia begitu mencuba untuk memaafkan dan melupakan
semuanya tapi masih tak berjaya.
“Abah tahu
tak?”
“Ada apa yang
abah perlu tahu?” Dahi Haji Razali
berkerut.
“Dia…” Bibir diketap. Berat untuk diulang. Entahlah abah dah tahu atau tidak. “…dia dah keluar.”
“Siapa dia tu?”
“Dia yang buat
keluarga kita jadi macam ni,” jawab Raqib lancar.
Kerutan pada
wajah Haji Razali berlapis-lapis. Dia
faham segala apa yang Raqib cuba sampaikan.
Tapi, macam mana Raqib tahu? Itu
yang menjadi persoalan.
“Abang dapat
tahu daripada mana?” Soalan itu
terlontar dalam emosi yang masih
tenang.
Dia pun tahu
bila Maryam yang cakap. Tapi, Maryam sendiri tak pasti semalamkah harinya. Raqib pula yang dapat tahu dengan tepat. Pelik!
Senyumannya
bergayut kejap pada bibir menerima soalan abah.
Macam mana dia tahu? Silap soalan
abah tu. Salah sama sekali kerana dia
sentiasa ambil tahu semua tentang pesalahnya.
“Abang tak
pernah biarkan dia sendiri, bah. Abang
akan jadi bayang-bayang dia, bah. Biar
dia rasa dia adalah manusia paling malang dalam dunia ni. Biar dia rasa kesal dilahirkan ke dunia,”
luah Raqib tenang tapi di sebalik ketenangan itu, wajah tampan itu jelas diamuk
marah.
Astaghfirullah…
Haji Razali menggeleng kesal.
Apa yang
dikatakan begitu menusuk hati tuanya.
Melihatkan pada senyuman Raqib, senyuman itu penuh dendam dan
kesakitan. Rupanya Raqib semakin jauh
terasing dalam dunianya sendiri. Dia
cuba untuk bawa Raqib kembali ke dunia nyata. Namun, dunia gelap itu lebih kuat
menyedut Raqib pergi.
“Abang sedar tak
apa yang abang cakap sekarang ni?”
Rendah perlahan Haji Razali bertanya.
Dengan Raqib
kena selalu tenang. Tak boleh silap
kata. Dia tak nak anaknya ini bertindak
lebih daripada kemampuan biarpun Raqib nampak mampu sekarang. Mampu kerana amarah yang digoda syaitan. Untuk akhirnya Raqib temui adalah
kekesalan.
“Abang tahu kan,
maksud kata-kata abang tu?” Sekali lagi,
dia minta penjelasan.
Manalah tahu
Raqib sekarang dalam keadaan kerasukan.
Kerana itu perkataan itu dituturkan dengan yakin. Bila
Raqib mengangguk, Haji Razali raup wajah tuanya lama. Apalah bakal jadi nanti, tak boleh dia
agak.
Raqib yakin
kerana dia hanya percayakan diri sendiri sekarang selain daripada Johan. Abah sekarang dah nampak licik mengelak. Tak payah abah cakap, dia nampak jelas yang
abah dah memaafkan dan melupakan. Dengan
begitu saja.
Kerana itu, dia
sentiasa berat hati hendak bersua empat mata dengan abah. Abah terlalu pandai berlakon. Seperti tak apa. Sedangkan, ada masa dia nampak abah
mengalirkan airmata saat bersendiri.
“Abang tak
mungkin lupa, bah. Sakit dalam dada
abang ni, kenapa mesti abang nak tanggung sorang? Kenapa mesti abang nak biarkan dia gembira
lepas apa yang dah dia buat? Abang tak
akan bagi dia senyum sepanjang hidup dia.
Abang tak izinkan!”
Bicara Raqib
mati bila Johan letakkan dua muk kopi panas di depan mereka. Kemudian, Johan hanya berdiri di sisi. Setia menanti arahan seterusnya.
Hampir saja dia
membentak dengan soalan abah. Tapi
ditahan. Melainkan suara itu terbit jauh
daripada dalam dada yang sebak. Liur
ditelan berkali-kali. Biarlah
kata-katanya mati di situ. Dia bangkit
dan menyeluk poket jeans.
“Jomlah. Abang hantar abah balik,” ajaknya. Lama-lama abah di sini, lain pulak jadinya
karang dan dia tak nak begitu.
“Petang karang
abang balik rumah. Abang ada hal sikit
nak diuruskan sebelum balik ni.”
Dikerling Johan menghantar isyarat agar bersedia.
Mengerti dengan
permintaan Raqib, Johan terus berlalu.
Haji Razali
terpaksa bangkit. Beginilah setiap kali
bila bersua mata. Tak sempat dia mahu bertanyakan
khabar, marah lebih merajai hati Raqib.
Api itu tak pernah padam.
“Abang nak dia
jadi macam mana baru abang rasa puas hati?
Cuba cakap dekat abah?” Bahu
Raqib diusap mesra. Haji Razali masih
cuba memujuk.
“Dia perlu rasa
apa yang abang rasa. Apa yang abah
rasa…”
“Apa yang abang
rasa dan apa yang abah rasa? Cuba abang
cakap dekat abah?” celah Haji Razali
pantas.
Tak fahamlah
dia. Raqib tak pernah tahu apa yang dia
rasa dan dia sendiri sukar untuk menerka apa yang ada dalam fikiran anak
lelakinya.
Wajah ditoleh
pada Haji Razali. Direnung tajam mata
abah. Nampak sinar kemaafkan dalam mata
abah biarpun abah tak bersuara.
“Mungkin abah
mampu maafkan, tapi abang…” Raqib
menggeleng. Menyatakan yang dia
benar-benar tak mampu. Dia tak nak!
“…dia perlu rasa
apa yang abang rasa selama ni. Itu
aje.” Langsung dia melangkah keluar
daripada pejabat.
Perlahan-lahan,
Haji Razali mengekori langkah anaknya.
Hingga tiba di depan pintu, BMW X6 itu sudah sedia menanti dengan pintu
yang ternganga lebar. Nampak Johan
sedang menyarungkan kot pada tubuh Raqib.
“Abang hantar
abah balik,” ajak Raqib sekali lagi dan Haji Razali hanya akur.
Dia masuk di
belakang bersama dengan Raqib. Bila
kereta bergerak, jari-jemarinya meraba tangan kasar Raqib. Tangan yang begitu kekar hingga menampakkan
urat saraf yang kasar dan gagah. Tapi sayang,
anak lelakinya ini tak segagah mana kerana tak mampu menepis kemarahan. Orang yang kuat itu adalah yang mampu bertahan
saat dibadai marah.
Raqib… bukan
orang yang gagah.
“Kita ni, abang…
tak sudah dengan marah. Tak bahagia
dengan dendam. Tak tenang dengan
kebencian. Ya, betul apa yang abang
fikir tu. Abah dah lama maafkan
mereka. Tak ada apa lagi yang mampu abah
buat melainkan memaafkan,” luah Haji Razali jujur.
Malas dah dia
nak sorok hakikat. Memang betul dia dah
lama memberikan kemaafan setelah pihak di sebelah sana diputuskan
bersalah. Jika tidak, bahu dia bagai nak
rebeh. Berat dengan beban. Nak meneruskan kehidupan pun, tak
senang.
“Sebab abah
yakin, dia pun tak maksudkan apa yang dah jadi.
Dia pun tentu menyesal tak sudah dan rasanya kekesalan itu dah cukup
untuk buat dia resah selama-lamanya. Tak
perlu abang nak tambah resah tu semua. Sudahnya,
abang sendiri yang resah. Tak pernah
tenang bila cuba ganggu-gugat hidup dia,” nasihat Haji Razali tanpa jemu.
Separa wajahnya
ditoleh pada Raqib.
“Abang faham
kan, maksud abah ni?”
Tiada
jawapan. Raqib biarkan soalan abah tak
bersambut. Pada dia, ianya tak mudah
seperti yang abah kata. Benda yang
berlaku bukannya boleh dia lupa sekadar memetik jari. Mata abah dipandang tepat.
Dan, keluhan
berat lepas daripada dada Haji Razali bila Raqib sekadar memandang dia tanpa memberi
apa-apa reaksi. Dia tahu yang Raqib tak
mahu terima nasihatnya lagi.
ahhhhhh.....tak sabar nyer....nak lagiiiii
ReplyDeletenk lg jgk..huhu
ReplyDeleteTeka teki..musykil..
ReplyDeleteDari awal saya baca hurt, hati turut terasa sama kepedihannya. T_T
ReplyDeleteBest. Nak lagi....dendam giler punya huhu
ReplyDeleteMmg pendendam raqib nih....aduh sengsara la agaknye aatiq nnt...
ReplyDeleteYou are Killing me!!! Hahaha..
ReplyDeleteNk lg
ReplyDeleteOmai i'm trap again...RM what have u done!
ReplyDeletex sbr nye nk tau jd ape lps ni...rase2 cite ni brape bab yek?? x sbr nk tau ending die walaupun masih awal lg..hehe
ReplyDeletesampai terbalas apa yang kau buat..haha dan kau akan bayar harganya kemudian
ReplyDeletebest..nk lgi..
ReplyDeleteRM nak lagi...nampaknya Aatiq semakin dekat dgn Raqib
ReplyDeleteayah raqib taukan siapa aatiq tu.....
ReplyDeletehuh..dendam la tu
ReplyDeletemcm mana agaknya bila raqib jumpa aatiq depan2..
ReplyDeleteAatiq xslh pon yg slh adik raqib nanti raqib akn thu cerita sbnr
ReplyDelete