Wednesday, January 06, 2016

#HURT 5

SATU demi satu pintu yang dia lepasi, tapi dia tetap keluar dengan rasa yang hampa.  Bukan dia tak tunjuk sijil kursus yang dia ada tapi sijil itu begitu menakutkan orang ramai.  Letih menapak, Aatiq labuhkan duduk di perhentian bas.  Mencari arah mana yang patut dia tuju sekarang.  Segalanya seperti jalan mati buat dia padahal dekat kawasan Greenwood ini begitu banyak restoran besar. 
Penat sungguh hari ni.  Semangat yang berkobar-kobar dan menyala serasa mula malap bila permohonannya ditolak tanpa sempat diberi peluang.  Dia hanya minta satu saja lagi peluang.  Bukan dua tapi hanya satu. 

Dia mahu mengalah.  Tapi, mengingatkan wajah berharap ibu dan janjinya, semangat yang malap itu kembali bercahaya.  Aatiq angkat tubuh.  Dia betulkan beg yang disilang pada tubuh.  Tudung yang dirasakan herot juga dibetulkan.  Dia paksa dirinya tersenyum. 
Kuat, Aatiq.  Kau dah janji dengan ibu.  Kau dah buat ibu menderita tiga tahun.  Kau dah buat ibu susah-payah sendiri.  Kau kena bayar seumur hidup kau.  Biarpun nyawa kau menjadi galang-ganti.  Itu pun tetap tak mampu membayar segala hutang kau pada ibu!
Tangan dikepal kemas.  Menyeru segala semangat yang berbaki.  Kakinya kembali dihayun.  Namun entah kenapa, sewaktu hendak melintas kakinya terhenti bila ada sebuah kereta yang sedang menghampiri dia, membuatkan langkahnya teragak-agak. 
Dia pandang ke depan.  Lampu hijau pejalan kaki sedang berkelip.  Hampir padam berganti merah.  Langkah cuba dipercepatkan tapi bunyi hon menghentikan langkahnya.  Saat ini lampu hijau berganti merah.  Seperti nyawa dihujung tanduk yang tajam.    Entah bila, dia terduduk di atas jalan raya. 
Orang ramai berkerumun dan Aatiq cuba buka mata.  Sikunya terasa perit.  Baju kurungnya koyak di bahagian itu.  Ada darah yang mengalir. Malah, tumit kasutnya juga patah.  Kereta itu terlalu dekat dengan tubuhnya. 
“Jo, kenapa?”  Terkejut Raqib saat Johan memberhentikan kereta.  Berterabur kertas yang ada di tangan. 
“Err… macam dah terlanggar orang, bos,” jawab Johan jujur. 
Tadi, daripada jauh dia memang dah nampak lampu merah itu bertukar hijau.  Kerana itu dia tak memperlahankan kereta.  Entah daripada mana muncul gadis itu.  Jantung dia mahu gugur juga. 
“Rasanya tak serius.  Kau keluar tengok apa yang patut.  Kalau perlu, kita bawa dia ke hospital terima rawatan,” suruh Raqib. 
“Lain kali peka, Jo.  Ingat… nyawa ada satu aje.  Tak boleh beli dekat mana-mana dah.   Hargai nyawa orang lain dan nyawa sendiri.”  Sempat dia berpesan sebaik saja Johan membuka pintu.
“Ya, bos.”  Pintu kembali ditutup rapat.  Johan terus mendapatkan seorang gadis yang sedang cuba bangkit dan menolak bantuan orang. 
“Cik tak apa-apa?”  Johan bertinggung tepat di depan gadis ini.    
“Ya, saya okey.”  Kepala diangkat dan matanya menentang tepat pada wajah pemilik kereta itu. 
Jantung yang masih tak tenang mengepam darah kembali bekerja keras.  Dekat nak terduduk atas jalan sebaik saja menatap bening mata bundar itu.  Liur ditelan.  Sesekali, dia mengerling ke dalam kereta.  Macam mana kalau bos nampak? 
“Betul okey?”  Johan cuba bertenang.  Nak-nak bila orang ramai mula berlalu meninggalkan mereka berdua saja. 
Aatiq angguk dalam senyuman.  Menghantar isyarat yang dia memang okey.  Setakat luka sikit ni, biasalah.  Dia pernah terima lebih teruk daripada ini.    
“Itu luka?”  Jari telunjuk pemandu tersebut menuding pada siku yang berdarah. 
“Eh, sikit aje ni.  Saya okey.”  Cepat dia menutup kulit yang terdedah.  Sekali lagi, dia gariskan senyuman tipis namun cukup manis. 
Seusai dia menyusun semula kertas bersaiz A4 itu, Raqib panjangkan leher memandang ke arah Johan. 
Hai… lama pulak dia.  Bercengkerama pulak ke panas-panas ni? 
Dia cuba mengintai dan sebaik saja tubuh Johan beralih sedikit, wajah gadis itu jelas di depan mata.  Dada Raqib seperti mahu pecah.  Tak berdaya dia nak tatap bibir yang tersenyum itu bagaikan tak pernah terjadi apa-apa. Sedangkan, tangan pemilik senyuman manis itulah yang merobek hati dia dengan begitu kejam. 
Dia?  Di depan mata?  Tersenyum? 
Dia menggeleng berkali-kali.  Tak… dia tak boleh senyum macam tu!  Pertemuan ini tak ubah seperti pucuk dicita ulam yang mendatang.  Dia tak rancang untuk hari ini, tapi gadis itu ada depan mata sekarang. 
“Jangan berani kau nak senyum, perempuan!  Jangan senyum macam tu!  Aku tak izinkan!”  Tangannya menggenggam penumbuk.  Kemas! 
Tak betah duduk, dia keluar daripada perut kereta dan menapak kemas mendekati Aatiq dan Johan. 
“Jo?”  Soalan dihantar dalam senyap. 
“Tak teruk mana bos.  Tapi, cik ni luka sikit.”  Berdebar juga Johan bila Raqib keluar tiba-tiba.  Dan, memandang wajah Raqib saja dia sudah dapat agak apa yang bermain dalam kepala bosnya. 
Aatiq berkalih memandang Raqib.  Oh, ada bos rupanya dalam kereta.  Ingat lelaki ini sendiri.  Kemudian, dia ukir senyuman tipis pada Raqib.  Lantas tunduk menyembunyikan wajah.  Takut dia memandang wajah lelaki kedua ini.  Air wajahnya saja sudah nampak begitu bengis.  Namun, begitu berkarisma.  Segak malah ada rupa. 
“Betul saya tak apa-apa.  Jangan risau…”  Entah kali ke berapa dia meyakinkan dan setiap kali itu juga dia lorekkan senyuman. 
Raqib memejam mata seketika. 
Jangan senyum depan aku!  Jangan senyum selamanya! 
Andai dia mampu membentak menghentikan senyuman gadis di depan dia sekarang…
“Memang kau tak apa-apa tapi hati aku…”  Kata-kata Raqib terhenti di situ.  Kata-kata yang gadis di depan dia tak faham atau mungkin buat-buat tak faham. 
Mata Aatiq memerhatikan dia dengan riak terpinga-pinga.  Polos dan luhur pada pandangan Raqib. 
“Kenapa dengan hati…”  Mata Aatiq turun ke dada bidang Raqib.  Laju dada itu turun naik.  Kemudian dia pandang semula pada wajah Raqib.
“Kenapa dengan…”
“Jo.”  Raqib memotong suara Aatiq.  “Kau tu lain kali hati-hati.  Ingat sikit.  Nyawa manusia ni tak ternilai untuk kau bunuh ikut suka hati kau!”  Marah anak, sindir menantu.  Itulah perumpaan dia sekarang. 
Terkulat-kulat Johan menerima ayat Raqib kerana dia tahu, makna setiap kata itu. 
“Dah… bangun.  Bawa dia ke klinik.  Sekarang!”  Arahan Raqib menyapa tegas.    
Wajah Aatiq semakin terpinga-pinga.  Dia pandang Johan dan Raqib silih berganti.  Dia dah kata dia okey.  Tak payah risau apa-apa.  Kenapa nak desak dia ke klinik?  Luka yang sedikit ini dia mampu rawat sendiri.  Tak nak dia terhutang budi tambah pula dengan orang yang tak dikenali.  Lagipun, dia tahu lelaki yang bernama Johan ni tak sengaja. 
“Saya okey.” 
“Cik, jom.  Saya hantar cik ke klinik.”
“Tapi, saya memang betul-betul tak apa-apa.” 
“Tolong, cik.  Jangan susahkan kerja saya,” bisik Johan.  Sengaja dia mengerling ke arah Raqib memberitahu Aatiq secara senyap yang dia tak boleh ingkar arahan. 
Tak terkata Aatiq dibuatnya.  Perkara boleh selesai di sini saja.  Tak perlu dipanjangkan.  Lagipun, dia hanya ada beberapa puluh ringgit berbaki setelah dia tolak duit yang ibu nak bagi pagi tadi.  Jika ke klinik, berapa pula yang dia perlu bayar? 
“Tapi saya…”
“Johan, cepat!”  Suara Raqib mengaum lagi. 
Dia sudah hilang dalam perut kereta dan Johan terkial-kial membawa Aatiq mendekati pintu penumpang.  Sempat dikerling pada kaki Aatiq yang berdengkut.  Dahinya berkerut.  Macam mana tak pincang langkah bila sebelah kasut patah tumitnya.  Tapi, dia hanya tahan hati biarpun belas merajai. 
“Saya dok depan aje…”
“Cik boleh duduk belakang dengan bos…”
“Tapi…”
“Johan!”  Sekali lagi suara parau Raqib menjerkah. 
Aatiq terus masuk di belakang.  Duduk memeluk sikunya yang terasa perit.  Takut pula dia dengan sikap Raqib.  Tapi, nak kata bukan salah dia, dia memang salah kot.  Tadi, lampu hijau sedang berkelip dia teragak-agak hendak melintas.    
Kereta bergerak laju membelah jalan raya yang sedikit lengang setelah waktu makan tengah hari.  Raqib pula hanya memejamkan mata sepanjang perjalanan kerana dia tahu, gadis di sebelah sedang memerhatikan sisi wajahnya.    
Dah kata jangan pandang, mata Aatiq tetap ingkar arahan.  Masih dan terus menjeling wajah di sebelah.   Kemudian, dia pandang pada Johan.  Kesian dekat pemandu ini.  Mestilah akan dimarahi kerana kesilapan dia. 
Tuhan…
Dugaan apalah yang sedang datang ni?  Tak sanggup nak fikir.  Dia mahu mulakan segalanya dengan impian baru.  Dia nak kerja dengan rajin biar apa pun rezeki untuk dia.  Tapi, benarlah.  Orang seperti dia, jalan tak akan mudah.    
Kali ini, dapat dia rasa yang lelaki di sebelah ini pula sedang merenung dia.  Seboleh-bolehnya dia terus palingkan wajah ke kiri.  Dia takut.  Takut di apa-apakan.  Kudrat apa yang dia ada untuk melawan?
Sisi wajah Aatiq dipandang tak berkelip.  Dia senyum sinis sendiri.  Cantik.  Memang cantik.  Dan, tak mungkin sesiapa pun yang menyangka gadis secantik ini rupanya berhati binatang. 
 “Bos, dah sampai.”  Kereta berhenti di depan sebuah klinik. 
Terkulat-kulat Raqib bila Johan berpaling pada dia dan Aatiq.  Hai… lama sangat direnung wajah gadis ini sampai tak sedar mereka dah sampai destinasi. 
“Okey, kau pergi hantar dia.”  Matanya kembali dipejamkan.    
Johan terus saja keluar daripada perut kereta. 
Mendengarkan kata-kata lelaki di sebelah, Aatiq cuba membuka pintu kereta tapi gagal.  Dekat manalah dia mahu tekan.  Mana dia pernah naik kereta canggih gini-gaya.  Banyak sangat butangnya.  Silap tekan nanti…
Melihatkan Aatiq yang terkial-kial, Raqib mendekat.  Bersilang tangan dengannya.  Mata kuyu lelaki ini, biarpun nampak redup tapi begitu tajam menikam anak mata dia.   
“Tepi…” 
Aatiq rapatkan tubuh ke belakang bila tangan kasar lelaki itu menekan satu punat.  Saat ini, wajah mereka begitu rapat dan jika Aatiq tidak berkalih ke pintu, hidung mereka boleh berlaga sesama sendiri.
“Turun,” bisik Raqib tepat pada telinganya. 
Laju Aatiq menolak pintu yang sudah sedia terbuka. Tapi Raqib, menghentikannya seketika.  Mereka saling memandang.  Mata Aatiq berkaca-kaca menahan ketakutan dan mata Raqib bagai tersenyum mengalukan pertemuan mereka. 
“Akhirnya, kita jumpa.”  Ayat itu berbisik cukup tajam dan nyilu. 
Hangat nafas Raqib menyapa ke seluruh ke wajah Aatiq membuatkan dada gadis itu bergendang laju.  Seluruh tubuhnya menggigil.  Hujung jarinya mula kedinginan.
Ayat Raqib tu… menakutkan.  Buat dia berfikir sejenak.  Dengan siapa lagi dia berbuat salah ni?  Dia tak tahu.  Siapa lelaki ini?  Dia mahu bertanya tapi mulutnya terkatup rapat. 
Pintu kereta dibuka daripada luar.  Tautan renungan dua pasang mata terlerai.  Johan sedang menanti dia keluar dan cepat-cepat Aatiq meloloskan diri.  Getaran dalam dada dia masih tak reda. 
Kenapa lelaki itu sebegitu?  Sedangkan mereka tak pernah bersua.  Wajah lelaki itu tak pernah ada dalam memorinya.  Lantas, kenapa ayat yang dituturkan jelas yang mereka pernah bertemu satu waktu dulu. 
Mata Raqib terpaku lama pada langkah Aatiq yang pincang.  Memandang gadis itu melangkah payah dengan luka dan juga kasut yang rosak.  Tak lama, dia berpaling ke depan.  Andai nak dibandingkan hati dan bahagia aku yang rosak, apalah sangat kasut buruk kau tu, perempuan! 



MATA Aatiq sesekali mengerling pada kereta mewah yang masih terpakir gagah di depan klinik.  Tak nampak langsung isi perut kereta.  Ditutup dengan cermin gelap.  Boleh jadi, lelaki tadi masih merenung dia dengan pandangan yang begitu mengerikan. 
Pelik betul.  Tak pernah dia tengok wajah itu dengan mata kepalanya.  Tak pernah!  Giat dia cuba dia mengorek memori lalu yang sudah ditanam dalam.  Tapi, wajah itu tetap tak timbul.    
“Bos awak tu, siapa ya?” Terpacul soalan itu pada Johan yang sedang berurusan di kaunter.
“Tadi tu, memanglah salah saya tapi, kereta dia tak rosak langsung.  tambah pulak, saya dah cakap saya okey.  Kenapa dia tu…” 
Johan hanya diam tak beri reaksi.  Dia tak mampu berikan jawapan yang Aatiq mahu melainkan ditinggalkan tanda tanya dalam kepala gadis comel itu.  Tiada apa yang mampu dilakukan. 
“Saya dah uruskan semuanya.  Lepas ni, harap cik boleh balik sendiri.  Maafkan saya sebab tak hati-hati.  Jaga diri.”  Langsung, Johan menghilang di balik pintu kaca itu. 
“Oh, Encik Johan…” 
Suara Aatiq menahan langkah Johan. 
“Saya pun minta maaf kalau lepas ni, Encik Johan dengan kena marah dengan bos.” 
Johan hanya angkat tangan.  Aatiq ukir senyum bila tubuh Johan berlalu melepasi pintu kaca klinik.    Tapi, senyumannya mati mengingatkan wajah dingin itu. 

Tuhan… siapa lagi yang dah aku lukakan hatinya?  

21 comments:

  1. Banyak betul persoalan ni????

    ReplyDelete
  2. Adoiiii....sesak nafas...mcm mna la ksudhn agaknyew....

    ReplyDelete
  3. best! nmpak lain dari yang lain.. harap tiada kahwin paksa :-)

    ReplyDelete
  4. jgnlah aatiq n raqib kena kahwin paksa RM.. gaya cerita penuh suspen n mengasyikkan... biar karya RM ni lain dari penulis lain.. like!

    ReplyDelete
  5. publish or habis di blog?

    ReplyDelete
  6. Lumrah manusia kn RM..cpt sgt jatuh hukum..simpan dendam..x redha dgn ape yg Allah takdirkn..

    ReplyDelete
  7. Kesian dkt Aatiq. Sengsara sbb Raisya. Dihukum tnpa org tau kisah sbnr. Cerita awk semua best... nanti sambung lg. Keep it up

    ReplyDelete
  8. Banyak persoalan. Tertanya-tanya apa salah aatiq. Teruja nak tahu apa yg jadi seterusnya.

    ReplyDelete
  9. Ohh...drpd mimpi tu nmpk cam raisya yg salah..yerla kn budak miskin sapa yg nk dgr ckp dia betol tak..

    ReplyDelete
  10. Bukan salah aatiq
    Adik kamu yg jahat
    Selalu begitu
    Yg miskin akan ditindas
    Sedih sangat

    ReplyDelete
  11. Aatiq mangsa buli....
    Dan akan di buli kembali oleh raqib....
    Sad....

    ReplyDelete
  12. Aatiq mangsa buli....
    Dan akan di buli kembali oleh raqib....
    Sad....

    ReplyDelete
  13. Sdihnya cerita ni. Hope kluar versi novel.

    ReplyDelete
  14. Rm ni suka nama psang2..dulu lailatul n qadr..x leh baca lagi sbb x sampai lagi yg order..ni nama mlaikat pula raqib n atiq...dari nama dah tahu mana yg baik n yg sbaliknya...buat teruja je nok baca..he..he

    ReplyDelete
  15. RM, tadi sy repeat bc CINTA BIAR SAJA ADA.. Naqi and Ariq... Sangat sweet, sangat lain dari yang lain.. sangat menyentuh hati.. so, sy ada cadangan.. apa kt RM yang penuh potensi ini, panjangkan semula cerita ini.. buat versi cetak.. macam novel RM yg lain.. PLEASE CONSIDER... oh ya, kalau saya nak beli novel naqi n ariq yg sudah bercetak boleh lg tak? walaupun dah baca ending, still ingin memilikkinya...THANK YOU..

    ReplyDelete
  16. RM..cerita baru yg buat akak tertunggu2 lg sambungannya. Tp tolong jgn buat sad ending ye..bila baca prolog 1 tu mcm sedih pula endingnya..

    ReplyDelete
  17. RAQIB NI DAH SALAH SANGKA KAT AATIQ. RAISYA SEBENARNYA YANG SALAH...SIAN AATIQ..HUWAA

    ReplyDelete
  18. oh..aatiq nyer psal la ni raisya meninggal

    ReplyDelete
  19. kesian sgt dekat aatiq.....teruknya perangai adik raqib....dia penah tau tak adik dia buat aatiq masa sekolah mcm mana.....

    ReplyDelete