Wednesday, January 06, 2016

#HURT 10

MENGGIGIL seluruh tubuh Aatiq.  Rasanya, jika ditoreh sekarang, pipinya mesti tak berdarah.  Penat dia usap kedua belah tangan tapi jari-jemarinya tetap terketar-ketar saat turun daripada kereta milik Raqib tadi.  Masuk aje ke dalam rumah, dia bagai dah tak berpijak di bumi nyata.  Segala sendi dia terasa begitu lemah.  Sebaik saja dia menutup pintu bilik, jasadnya terkulai – longlai di belakang pintu. 
Tuhan… dugaan apakah lagi? 

Dia tekup wajah ke lutut yang diheret rapat ke dada.  Teresak-esak sendiri.  Rasa mahu dipatahkan kedua tangan sendiri yang pernah lakukan banyak kejahatan.  Setelah satu, satu masalah itu datang.  Dia tak pernah tenang malah tak mungkin tenang seperti sebelum perkara itu terjadi.
Biarpun nasi berkuahkan air masak, dia bahagia masa tu.  Biarpun diherdik, dia bahagia bila ramai kawan-kawan menyokong hasil jualannya kerana tahu dia begitu memerlukan walaupun ada juga yang membenci.    
Waktu itu, dia sentiasa berlapang dada.  Dunia kecil dia dan ibu hanya ada kasih sayang, senyuman dan gelak tawa.  Tapi sekarang, dunia yang maha luas ini dirasakan sungguh sempit.  Setiap hari, bumi dan langit menghimpit jasadnya.  Dia sakit.  Teringatkan renungan Raqib aje sudah mampu buatkan dia gementar.  Ditambah lagi, bila lelaki itu buka mulut – berbicara, rasa nak aje dia lari ke hujung dunia.
“Aatiq?”  Ketukan menyusul bersama suara ibu. 
“Aatiq kenapa?”  Tadi, dia di dapur.  Dengar pintu dibuka dan dia tahu Aatiq balik.  Biasanya pasti Aatiq mencari dia tapi ini tidak. Terus ke bilik dan dikunci pintu rapat.  Pasti ada yang tak kena. 
“Aatiq, buka pintu ni, nak,” pujuk Puan Maryam bila langsung tak mendapat reaksi.  “Jangan buat ibu risau, Aatiq…” 
Mendengarkan kata-kata ibu, Aatiq sedar yang dia sedang membuat ibu risau.  Tak sudah-sudah hati ibu resah kerana dia.  Tubuh lemahnya diangkat.  Tombol pintu dibuka dan daun pintu dikuak lebar setelah dipastikan airmatanya kering.
“Ibu…”  Dia senyum membalas renungan ibu.  “Aatiq okey aje pun.  Baru nak tukar baju nak tolong ibu.” 
Tiada pilihan, Puan Maryam angguk.  Dia boleh nak mendesak tapi sudah terlalu banyak asakan dalam kepala Aatiq dan dia akan tunggu bila mana anak daranya ini bersedia untuk meluahkan. 
“Macam mana hari ni?”  Soalan berubah tajuk. 
“Oh yalah…”  Aatiq tepuk dahi. 
Puan Maryam jegilkan mata.  Suka betul tepuk dahi.  Terus senyuman semanis madu terlakar indah pada wajah anaknya.  Tangan Aatiq menyelongkar beg yang masih bersilang pada tubuh.  Sekeping kad dikeluarkan dan ditunjukkan pada ibu. 
“Ada seorang pak cik ni, bu… tiba-tiba muncul masa Aatiq duduk dekat bus-stop.  Dia tanya Aatiq okey ke tak.  Lepas tu masa Aatiq nak pergi, dia panggil.  Dia cakap sesuatu yang memang buat hati lega sangat.”  Waktu ini, memang rasa lega itu jelas terpancar pada wajahnya. 
“Cara dia pesan tu, macam ibu bagi nasihat dekat Aatiq.  Lepas tu, dia bagi kad ni.  Dia suruh pergi minta kerja dekat sini.  Katanya, kawan dia punya.  Insyaallah dapat.  Tapi…”  Bicara Atiq mati. 
Teringat kembali wajah Raqib.  Lidah pun hilang daya untuk bersuara.  Kelu dia seketika tapi cepat-cepat dia lebarkan sengih memandang ibu. 
“…Atiq tak sempat nak pergi tadi.  Esok pagi ajelah,” tambahnya buat-buat ceria.
Mata Puan Maryam merenung kad tersebut.  Rasa hendak tersembul biji mata.  Apa yang dikata, sudah dikota rupanya.  Perlu ke dia berterus-terang, dia tak tahu.  Bimbang makin banyak hati yang terluka.  Hati Aatiq lebih-lebih lagi. 
“Lepas tu, bila Aatiq nak ucap terima kasih… pak cik tu hilang, bu.  Ghaib.”  Bersungguh-sungguh dia bercerita.   “Entah-entah bunian tak, bu?”  Wajahnya serius.  Dia memang maksudkan dengan apa yang dia rasa sekarang. 
“Haih…”  Bahu Aatiq ditepuk sedikit kuat. 
Budak ni la hai…  Puan Maryam menggeleng.  Umur berapa budak ni nak hanyut dalam kisah macam tu.  Tak dinafi makhluk itu wujud dalam dunia ni tapi siang-siang buta tengah-tengah bandar.  Bukan dalam hutan. 
“Mengarut betullah.  Bunian pula dia.  Ibu rasa kalau bunian, Aatiq tak balik jumpa ibu dah.”  Lebar Puan Maryam mencebek.  “Dah, tukar baju.  Kita makan,” tokok ibu dan Aatiq hanya tersenyum.  Terbang seketika wajah dan suara Raqib daripada kepalanya. 
Seketika yang entah bila bakal muncul lagi.  Dihantar susuk tubuh ibu berlalu dan dia terus merapatkan daun pintu.  Baju-T lengan panjang yang tergantung pada belakang pintu, dicapai.  Saat melonggarkan baju kurung yang ada pada tubuh, tingkah dia terhenti lagi. 
Bibirnya tersenyum tawar.  Diusap sebaris parut di lengan.  Ini adalah kenangan.  Yang tak mungkin dia lupa sampai mati.  Dan mata kuyu itu…
Kelopak mata Aatiq bertemu rapat.  Baru seketika.  Wajah dan suara Raqib hadir lagi dan dia tahu, sudahlah lenanya dihambat igauan ngeri, jaganya juga diekori kenyataan menakutkan. 


TAK tahulah kenapa mesti kereta ini berhenti di sini.  Jika mampu, dia tak mahu lagi ke sini tapi kenapa lelaki ini bawa dia ke sini.  Mata Aatiq berair.  Dipandang bangunan empat tingkat itu dari jauh.  Tiada apa yang berubah melainkan cat saja yang nampak baru.  Jika dulu, cat itu sedikit lusuh. 
Mata dia masih mampu melihat pelajar-pelajar yang sedang melepak di koridor.  Menempel pada dinding koridor.  Bergurau dan bergelak tawa masa rehat.  Alam persekolahan adalah zaman yang sangat indah untuk dikenang tapi tidak pada dia.  Ianya menyakitkan. 
Dia palingkan wajah dan menutup matanya rapat.  Dada dia berdebar tak sudah dan airmatanya terbit daripada celah kelopak yang masih terkatup.  Bergantungan pada alis yang panjang dan lebat. 
“Kenapa?” 
Aatiq buka mata.  Dia berpaling ke kiri di mana Raqib sedang memandang dia sepenuhnya.  Sebelah kaki Raqib menyilang sila dan sebelah lagi ada di bawah.  Tangan kanan Raqib hampir pada bahunya dan tangan kiri nampak menggenggam penumbuk.
Dia kerut kening menerima soalan ringkas daripada Raqib.  Apa yang kenapa?  Dia tengah hilang ni.  Hilang dalam memori lalu yang sedang menjadi parasit dalam hati dia. 
“Kenapa kau nangis?”  Diulang soalan itu agar lebih jelas bila wajah polos ini begitu terpinga-pinga. 
Barulah mata Aatiq berkelip.  Dia cuba tentang mata tajam Raqib dengan penuh berani tapi tak berjaya.  Perlahan, dikesat birai mata dengan hujung jari.
“Kenapa awak bawa saya ke sini?”  Soalan Raqib berbalas soalan.
Bibir tipis Raqib koyak dengan senyuman penuh sinis.  Dia menggeleng kecil sebelum kembali merenung tepat pada anak mata Aatiq.
“Sebab aku ada kerja dekat sini.  Boleh jawapan tu?” bohong Raqib.  Masih cuba bermain tarik-tali dengan Aatiq. 
“Apa salah saya pada awak?”  Jawapan Raqib jelas meragukan.  Kalau sebab kerja, kenapa nak heret dia sama?
Dalam dada Raqib api marah itu mula tercetus dengan begitu perlahan.  Masih belum marak dan dia juga masih mampu bertahan.  Tapi, mendengarkan petahnya lidah itu berbicara dan bertanya, mampukah dia bertahan agar tak meletus percikan api dalam dirinya? 
“Kau rasa apa salah kau pada aku?” 
“Sampai bila nak ada jawapan kalau awak tak bagi penjelasan?”  Oktaf suara mula meninggi.    
Aatiq bosan! 
Penat! 
Marah! 
Tangan Raqib yang ada dekat dengan bahunya ditepis kasar.  Buatkan wajah tenang Raqib mula berkerut.    
Dia dah letih sangat sekarang.  Setelah peristiwa Raisya dulu, dia dah tak nak berkait apa-apa atau dengan sesiapa pun.  Dia mahu biarkan semuanya berlalu biarpun dia tahu tak mungkin dia mampu lupakan.  Cukuplah!
“Saya penat.  Saya letih.  Saya nak cari kerja.  Yang awak tiba-tiba datang ugut saya masuk dalam kereta ni, apa masalah awak?  Apa hutang yang awak cakap saya tak mampu nak bayar tu biarpun hidup seribu tahun?  Sedangkan saya tak tahu siapa awak dan tak pernah tahu kewujudan awak dalam dunia ni, tahu tak?!”  Dimuntahkan segala amarah. 
Rasa nak menangis sekarang juga setelah semua kata-katanya diluahkan.  Sakit benak!  Kenapa lelaki ni?  Dia tak nampak Raqib cuba untuk rosakkan dia.  Biarpun dekat, Raqib tak cuba nak sentuh kulit dia walaupun pada hujung jari.  Tidak!  Jadi, apa yang lelaki ni mahukan daripada dia? 
“Apa yang awak nak daripada saya?”  Bibir Aatiq bergetar.  Sesekali, dikerling pada Johan yang hanya diam tak berkata apa.  Mengalahkan tugu! 
Dia kemudiannya memandang pada mata Raqib.  Keberanian dia dah goyah sebenarnya.  Matanya mengerling penumbuk Raqib yang semakin kejap dan nampak urat kekar itu bergerak tanda Raqib sedang bertahan marah. 
“Apa yang awak nak…”
“Kau!”  Tak sempat Aatiq menyudahkan soalannya, penumbuk Raqib sedang mendekati wajahnya. 
Mata Aatiq tertutup rapat tapi dia buka mata bila dengar suara Raqib berdesir.  Dia berpaling ke belakang.  Terkejut dia.  Tadi mati-mati dia ingat sasaran Raqib adalah wajahnya tapi kini, tangan lelaki itu…
“Bos?”  Johan kalut.  Tapi, bila Raqib menjeling, Johan kembali diam. 
Mata Aatiq bulat memandang pada cermin kereta yang sedikit retak dan tangan Raqib yang terluka.  Tak tahulah luka teruk atau tidak.  Tak nampak pulak darah mengalir. 
“Aku…”  Nafas Raqib menderam kasar. 
Antara menahan sakit pada zahir dan hati, batin dia lebih menderita.  Tapi, untuk disakiti kaum yang dikatakan lemah ini adalah sesuatu yang tidak mungkin.  Dia… tak akan sakitkan jasad Aatiq sikit pun.  Malah, nak disentuh pun dia berasa mual. 
Tapi…
“Aku… nak… penderitaan… kau!”  Sepatah-sepatah ayat itu terluah.  Buatkan airmata Aatiq kembali mengalir tanpa tangis. 
Salah apa lagi aku pada sesama makhluk-Mu, Allah?  Ya, telah Tuhan katakan… silap sesama manusia, pada manusia itulah harus kita mohon kemaafan.  Tabahkanlah hati melalui saat getir ini.  Hati Aatiq, berbisik.  Lidah dia, membeku.  Selain bertanya apakah lagi yang menimpa, dia tahu dia lebih perlu meminta kekuatan untuk melawan segala apa yang mendatang – menduganya. 
“Saya minta maaf,” pintanya dalam tangis.  Biarlah dia meminta maaf walaupun dia tak kenal siapa Raqib.  Boleh jadi dia tak sengaja usik hati Raqib. 
“Jangan nangis!”  Keras Raqib memberi amaran. 
“Saya minta maaf,” ulang Aatiq dalam airmata yang bertali arus biarpun Raqib jelas memberi amaran.  Dia ikhlas meminta. 
“Jangan bagi aku nampak airmata palsu kau, perempuan!”  Hampir tangannya singgah mencekak leher Aatiq yang ditutupi selendang namun terhenti.   Bibir dia sendiri bergetar setelah kata-katanya hilang dibasuh airmata pada wajah putih pucat itu. 
Kenapa perempuan secantik dan selembut kau begitu zalim, Aatiq?  Dan sekarang, kau cuba cuci segala luka dihati aku dengan airmata palsumu? 
Hati lelakinya - tak lepas juga daripada menyoal itu.  

20 comments:

  1. Sakitnya ya allah... kasihan aatiq..

    ReplyDelete
  2. Kasihannya Aatiq dipersalahkan.... sedihhhh....

    ReplyDelete
  3. mak aiii pedihnyerr rasa hati ni

    ReplyDelete
  4. Kesiannya aathiq...masih salahkan diri dia menyebabkan raisya mati padahal ada cireta sebalik kejadian...ditambah pula dgn dendam dan tuduhan raqib...tabahlah aathiq dan moga2 raqib tau cite yg sebenarnya.

    Mardhiahmad

    ReplyDelete
  5. Ya Allah... Hati ini menangis lagi...

    ReplyDelete
  6. huh, tak sabar nak baca crpen seterusnya... ganbate kak RM...

    ReplyDelete
  7. ALLAH..petang yg hujan di kolumpo mengiringi hati seorang #Aatiq & #Raqib yang menangis.. kita juga.. sob sob sob

    ReplyDelete
  8. Aatiq...kite pn nangis...klu la mmg ade aatiq dlm dunia ni..

    ReplyDelete
  9. Haihhhhhhhhh.... sangatttt tak puas hati... kenapa aatiq suka sangatttt salahkan diri sendiri...
    Orang lain pulak .... suka salahkan diri dia....
    sakitnya hatiiiii..... HURT....

    ReplyDelete
  10. menangis.. T_T
    aatiq dipersalahkan dan salahkan diri sendiri sedangkan hakikatnya apa yg jadi tu ada cerita disebaliknya yg raqib tak tahu..

    ReplyDelete
  11. Ini citer 1st yg sy harap hero nyer xkan same dgn heroin nyer...sbb sy kesian kt aatiq ni..mst die akn slalu ingat kisah silam die kalo die ngan raqib bersame...

    ReplyDelete
  12. kesiannya kt aatiq...huhuu...knp sdih sngt entry ni...kak rehan cter ni akn dihabis kt dlm blog je ke...hrp2 habis dlm blog je...dh lama tkde mini novel...seksa klau nk tguu dipublishkn

    ReplyDelete
  13. raqib tau tak yg aatiq jugak menderita sama mcm dia....

    ReplyDelete
  14. allah..sedihnya :(

    *Fir*

    ReplyDelete
  15. Ya Allah.. :'( cantik karya ini.. Sudi untuk semua Follow Blog saya untuk koleksi2 cerpen tahun 2016 ini.. in Shaa Allah... Terima kasih.. :) hananielda.blogspot.com

    ReplyDelete
  16. Terasa pedihnya menjadi seorang aatiq kerana saya juga dipanggil dengan nama sedemikian. Sobs ;<

    ReplyDelete
  17. Kak rehan nk smbngn lg....smpai ending...hiiii...best

    ReplyDelete