PAGAR automatic rumah Haji Razali terbuka
lebar. Sebaik saja kereta itu menjalar
masuk ke porch, Mak Yam terus
berdiri. Bila pintu kereta dibuka dan
Haji Razali turun, tahulah Mak Yam yang anak lelaki Haji Razali ada bersama,
bukan saja Johan seperti kebiasaannya.
“Assalamulaikum,
Tuan Haji,” sapa Mak Yam bersama huluran senyum.
“Waalaikummusalam. Dah lama sampai, Yam?”
“Baru aje, Tuan Haji.” Pandangan ditala ke belakang seketika sebelum
kembali memandang Haji Razali. “Tuan
Muda ada ke?” soal Mak Yam
perlahan.
Bila Haji Razali
angguk, muncul wajah Raqib di depan mata.
Tersenyum tipis yang langsung tiada manisnya. Anak muda yang begitu tampan ini, begitu
lokek dengan senyuman. Sejak sekian
lama, tak pernah dia lihat Raqib ikhlas mengulum senyum. Semuanya terpaksa.
“Mak Yam
sihat?” tanya Raqib sambil memandang
mata yang buatkan rindu dia pada mama membuak-buak.
Mata arwah mama
juga sejernih mata Mak Yam. Sangat
berkilau tapi sejak kejadian itu, kilauan itu malap hinggalah mata itu tertutup
buat selama-lamanya.
“Sihat aje, Tuan
Muda. Tuan Muda dah makan ke?” Elok juga anaknya masak lebih. Cukuplah ni untuk tiga orang.
Raqib menggeleng
bersama senyuman yang masih lagi tergaris tawar. Dikerling Johan yang sudah berdiri di sisi. Tadi, lapar juga tapi sekarang dah kenyang menelan
bebelan abah. Nasihat yang dia terima
sebagai bebelan. Entahlah.
“Aku masuk sekejap. Lepas ni kita ke sana,” bisiknya lantas masuk
ke dalam rumah.
Kot dibuka dan
dicampak di atas sofa. Tubuhnya
direbahkan. Mata dipejam seketika dan
sebaik saja kelopak mata terbuka, gambar keluarga yang tergantung di dinding,
tepat memanah anak mata. Mata kuyu Raqib memerhati tajam. Akhirnya, jatuh juga setitis airmatanya
sebelum dia hanyut terlena bahana lelah.
Lama setelah susuk
tubuh Raqib hilang, barulah Mak Yam kembali memandang pada Haji Razali.
“Saya ada bawa
makanan dari rumah ni, Haji. Bolehlah
makan. Lagipun, saya ada benda nak
bincang dengan Tuan Haji ni.” Apa yang
sedang ada dalam hati, berat juga lidah dia nak menzahirkan. Tapi, jika ini kebaikan… eloklah.
“Yalah,
Yam. Mari masuk dulu.” Kemudian, dia berpaling pada Johan yang kaku
mematung.
“Mari masuk,
Jo. Kita makan dulu.” Digamit Johan agar mengikut langkahnya
biarpun dia tahu, Johan hanya akur pada arahan Raqib tapi Johan juga terlalu
hormatkan dia.
Sebaik saja
masuk ke ruang tamu, dia terlihat akan tubuh Raqib terkulai di sofa. Nampak tenang lenanya tapi sesekali, tubuh
sasa itu bagai disentap sesuatu dengan begitu rakus. Hinggakan peluh kecil mula terbit pada dahi.
“Yam, awak
siapkan makan dulu. Nanti kita bincang
apa yang awak nak cakapkan tu,” suruh Haji Razali.
Dia juga ada sesuatu
yang perlu ditanya pada Johan sementara Raqib terlena ni. Jika tidak, manalah Johan dan Raqib pernah
berpisah. Asyik bertempek aje berdua.
“Iyalah,
Haji.”
Sebaik saja Mak
Yam menghilang di dapur, Haji Razali terus memandang tepat pada Johan.
“Berapa hari dia
tak tidur, Jo?”
“Dia tidur, Tuan
Haji. Tapi, sejam dua macam tu aje.”
Sebagai seorang
pemandu dan juga penjaga Raqib, dia bersimpati tapi masalahnya, Raqib bukanlah
jenis manusia yang mendengar kata orang lain.
Raqib tak boleh diarah jauh sekali diperintah. Raqib penakluk bukan untuk ditakluk. Setiap kata-katanya adalah arahan mati.
“Semalam pergi
mana?” Jujurnya, Haji Razali dah ada
jawapan itu tapi lebih puas hati jika Johan menjawab.
“Batu Gajah,
Tuan Haji.” Tertunduk Johan saat mata
tajam Haji Razali merenungnya.
“Macam mana dia
tahu harinya semalam?”
“Bos tak pernah ketinggalan
dalam hal itu sejak dulu, Tuan Haji.”
Hai… apalah nak
jadi? Rasa nak pecah dah kepala Haji
Razali memikirkan apa yang sedang terjadi.
Patutlah Raqib jelas bila Aatiq keluar daripada tahanan.
“Kenapa kamu bawa
dia ke sana, Jo?” Tak terzahir rasa
kesal dengan sikap Raqib. Raqib dah
berubah langsung. Seperti bukan lagi
anak dia.
“Saya hanya ikut
arahan bos, Tuan Haji,” jawab Johan.
Entah rasa
bersalah atau tidak, dia tak pasti.
Tapi, segalanya digaji. Raqib
menjaga dia seperti menjaga adik sendiri.
Lantas, kerana itu dia terpaksa akur dengan arahan Raqib yang ada
masanya, berat juga hati dia untuk laksanakan.
Termasuklah, hal sekarang.
“Ikut perintah
pun, jangan sampai rosakkan dia, Jo.
Jangan. Tak elok macam tu. Sudahlah dia tu macam tak boleh nak fikir
rasional dah. Kau pun janganlah ikut
buat perangai tak semenggah macam dia, Jo.
Kalau kau tak jaga dia, nak diharapkan aku lagilah susah. Dia nak jada diri sendiri…” Haji Razali menggeleng lama. Raqib dah tak pandai nak jaga diri
sendiri. Masih tak sedar yang diri
sendiri tu sedang lukakan perasaan sendiri.
Bukannya orang lain.
“Dia dah berubah
jadi orang yang aku tak kenal. Dah macam
kena rasuk.”
Buat masa
sekarang, Johan adalah yang paling Raqib percaya dan dia juga harap kepercayaan
itu digunapakai sebaik mungkin. Tuhan…
jangan diduga hati-hati yang rapuh ini.
Keluhan tipis
lepas jua. Bukan mengeluh kerana putus asa. Tidak.
Jauh sekali tu. Tapi, dia terasa letih
benar sehari dua ni. Mungkin kerana
jasad yang sudah dimamah usia ditambah pula perangai anak yang merisaukan. Manalah dia pernah lelap dengan lena?
“Biarlah dia
tidur. Mari kita makan dulu,” ajak Haji Razali.
Johan
angguk. Mereka terus berlalu ke meja
makan bila nampak Mak Yam sudah siap menghidang.
“Dah siap,
Yam?” Haji Razali labuhkan duduk. Diikuti dengan Johan. Terus Mak Yam sendukkan nasi.
“Eh, lain macam
masakan awak ni, Yam?” Mata Haji Razali
tak lepas memandang pada hidangan di depan mata. Selama tiga tahun ini, tak pernah Mak Yam
masak nasi Arab. Hari ni, nampak ceria
betul hidangannya.
“Tak pernah awak
masak warna-warni ni, Yam.” Tersenyum
Haji Razali. Dia pun tak adalah suka
makan nasi Arab, tapi hari ini aromanya membuka selera betul. Teringat akan air tangan arwah isteri
tercinta.
“Bukan saya
masak, Tuan Haji. Anak saya yang
masak. Dia ada dekat rumah.”
Baru saja mahu
mula suapan pertama, ianya terhenti. Dia
pandang mata Mak Yam agar berhenti saja berbicara akan hal itu. Sekadar senyuman, itu sudah cukup memberi
makna.
“Syukurlah dia
dah tamat belajar dengan baik. Jadinya,
saya dah dapat agak apa yang awak nak cakap dekat saya tu, Yam,” teka Haji
Razali.
Mak Yam angguk
beberapa kali. Syukurlah kalau begitu
mudah Haji Razali mengerti. Tak payah
dia nak berbolak-balik sana-sini.
“Dia tak nak
saya kerja. Dia kata, biar dia yang
kerja dan jaga saya. Tak sampai hati nak
hampakan dia. Lagipun, saya datang kerja
dulu, dia tak tahu.”
Terdiam seketika
Haji Razali. Dia dah anggap Maryam
seperti adiknya. Selesa dengan Maryam
biarpun kerap kali saat terpandang Maryam, kerinduan pada isteri dan anaknya
ibarat pembunuh senyap. Tapi, dia tetap
berasa damai ada teman untuk berbual sesekali.
Suapan pertama masuk ke mulut.
Dikunyah perlahan kemudian tersenyum.
Pandai betul Aatiq masak. Sedap.
“Sedap dia
masak, Yam. Betul tak, Johan?” Soalan Haji Razali beralih pada Johan.
Johan
mengangguk, mengiyakan pertanyaan Haji Razali.
Sejak tadi memasang telinga biarpun mata memandang pada pinggan. Timbul perasaan syak akan sesuatu tapi risau
syakwasangka dia jauh tersasar.
“Hah, Jo. Pergi kejut Raqib. Biar dia rasa masakan sedap ni. Dia kan selalu merungut makan dekat kedai tak
sedap. Pergi cepat,” desak Haji Razali
dan Johan terus bangkit tanpa berkata apa.
Sebaik saja
Johan menjauh, Haji Razali memandang Mak Yam.
“Anak awak
sihat, Yam?”
“Alhamdulillah,
Tuan Haji. Sihat aje dia.”
“Macam mana dia bila
dah balik ni?” Rasa ingin tahu
membuak-buak juga. Tambah pulak, dia dah
rasa Aatiq tu macam anak sendiri aje.
“Syukurlah, Tuan
Haji. Dia nampak lebih yakin. Katanya nanti nak cari kerja. Dia hari tu ambil kursus memasak. Tapi, tak tahulah siapa yang akan bagi dia
kerja, kan?” Itulah juga yang Aatiq
risaukan. Bimbang apa yang dipersembah
nanti mendatangkan kebencian.
“Saya akan bagi,
Yam. Jangan risau. Orang yang berusaha, pasti ada jalan. Awak suruh dia datang ofis Raqib nanti,”
cadang Haji Razali.
Terkebil-kebil
mata Mak Yam menerima cadangan yang dirasakan sukar untuk diterima itu.
“Tapi, Haji
bukan tak tahu…”
“Kadang-kadang,
Yam… yang saling membenci itu perlu didekatkan agar saling kenal hati
masing-masing dan tahu rahsia apa yang tersimpan dalam hati masing-masing,”
putus Haji Razali dalam senyuman tipis.
Dia kemudian
tunduk bila Johan dan Raqib mendekati.
Johan menarik kerusi dan setelah Raqib duduk, barulah dia kembali
labuhkan duduk.
“Nasi,
bos.” Diletak pinggan yang sudah berisi
nasi di depan Raqib.
“Nak daging
kurma ke, ayam masak merah, bos?”
“Dua-dua,” jawab
Raqib sambil meraup wajahnya. Terkejut
juga bila Johan kejutkan dia. Begitu
mudah dia terlena sedangkan dia perlu jaga.
“Acar?”
Raqib
angguk.
“Sudu,
bos…”
Raqib menggeleng
pula. “Bagi air basuh tangan…”
Terus Johan
membantu Raqib mencuci tangan. Kemudian,
disuap makanan ke mulut. Suapan pertama,
airmata dia hampir mengalir.
Sedap masakan Mak
Yam. Rindu dengan masakan mama. Lama juga dia memandang pada pinggan sebelum
dia angkat wajah memandang pada Mak Yam.
“Mak Yam masak,
tak pernah tak sedap.” Ikhlas
pujiannya.
Dengan Mak Yam,
rasa tenang sikit pandangan. Entahlah
kenapa. Pernah juga terlintas, nak aje
minta Mak Yam gantikan tempat arwah mama.
Tapi… Raqib ketap bibir. Bergetar
bibirnya mahu menyembunyikan rasa. Tersenyum tipis namun kali ini sudah ada
manisnya.
“Terima kasih,
Mak Yam.”
“Sama-sama, Tuan
Muda.” Senyuman Raqib mencuri perhatian
tapi dia masih tak berani dia nak cakap lebih-lebih kerana dia tahu emosi dan
jiwa Raqib tak pernah stabil.
“Sedap, kan?” giat Haji Razali pula.
“Itulah… abah
suruh abang balik makan dekat rumah selalu, abang tolak. Rugi tak merasa sebelum ni. Ini kira rezeki abanglah hari ni.”
Tak pasal-pasal
dia mencebek sendiri dengan kata-kata abah.
Terhibur juga seketika biarpun sebelumnya, hati dia terasa juga dengan
sikap abah. Mata Raqib menala pada Mak
Yam sekali lagi yang sekadar berdiri di sisi meja.
“Mak Yam tak
makan sekali?” Tak selesa pulak bila dia
makan Mak Yam memerhati. Macam kejam
sangat tuan rumah makan, pembantu rumah kenyang dengan tengok aje.
“Duduklah kita
makan sekali.”
“Mak Yam dah makan. Tuan Muda makanlah. Makan bagi kenyang.” Terkejut juga Mak Yam dengan pelawaan Raqib
tapi dia hanya menggeleng perlahan.
Bukan tak sudi tapi dia dah kenyang.
“Lagipun,
esok…” Suara Mak Yam jeda di situ.
Serba-salah
datang menerpa tiba-tiba saat melihatkan Raqib nampak ramah hari ini. Raqib perlukan seseorang sebenarnya. Dia boleh nampak itu di sebalik kebengisan
dan kekerasan hati anak muda ini.
“Kenapa, Mak
Yam?” Tak jadi Raqib teruskan
suapan. Daripada riak wajah Mak Yam dia
macam dapat agak.
“Mak Yam nak…”
“Mak Yam dah nak berhenti kerja. Anak dia dah habis belajar. Dah kerja dan nak jaga Mak Yam. Tak nak Mak Yam kerja dah. Itulah anak yang baik,” jawab Haji Razali memotong
suara Raqib yang sudah dapat mengagak akan kata-kata Mak Yam yang
tergantung.
“Anak yang baik
ni, tak nak buat orang tua dia risau walaupun sikit,” tambah Haji Razali,
sempat lagi dia menyindir Raqib.
Liur ditelan
kasar. Terbatuk Raqib bila ditampar
dengan sindiran abah. Johan pantas menyuakan
gelas berisi air sirap pada Raqib. Raqib
meneguk sedikit rakus. Abah ni…. tak
beragak nak sindir dia pun. Depan Mak
Yam dengan Johan pula tu.
“Sayanglah, Mak
Yam. Nanti siapa nak tengok-tengok abah
bila saya tak ada?” Pandai dia mengelak
sindiran abah.
“Dah sampai masa
Tuan Muda jaga Tuan Haji.” Mak Yam
gariskan senyuman. Mungkin dah sampai
masa untuk dia berkata-kata. Untuk kali
terakhir… mungkin.
“Mak Yam faham
perasaan orang tua ni, Tuan Muda. Sebab,
Mak Yam pun sunyi sangat bila anak jauh.
Sekarang, anak ada sama, dalam dada ni…”
Telapak tangan mengusap dada.
Nafas tenang lepas perlahan.
“…rasa lega
sangat. Lapang. Tak adalah risau memanjang.” Itulah yang dia rasa selama terpisah dengan
satu-satunya anak yang dia ada. Tak
betah nak duduk.
Kata-kata Mak
Yam buatkan Raqib terkedu. Dua kali
dibidik tepat mengena dahi. Matanya mati
dengan senyuman. Tiada rasa nak marah
seperti selalu. Sempat dia kerling pada
abah yang masih berselera makan sebelum dia pandang belakang tubuh Mak Yam yang
sedang berlalu ke dapur.
“Tak pernah pula
abang tahu Mak Yam ada anak, bah?” Suasana
yang sepi persisnya dilanggar garuda itu cuba dihidupkan kembali. Selera dia dah ada tadi, tapi sedang hilang
semula. Tenangnya direnggut
serta-merta.
“Sebab abang tak
pernah nak tanya. Macam mana abang nak
tahu,” jawab Haji Razali.
Ya, benar kata
abah. Dia tak pernah bertanya tentang
sesiapa. Tak pernah dia ambil tahu
tentang perkara lain melainkan tiga perkara.
Abah, perniagaan dan juga gadis itu.
“Anak dia tu,
perempuan ke lelaki?” Rasa berminat pula
nak tahu siapa anak wanita yang menjaga makan pakai dia dan abah sejak tiga
tahun sudah. Yang entah daripada mana
datang tapi abah menggajikannya.
“Abang
berminat?”
Senyuman Raqib
terukir sinis. Dia suapkan nasi ke
mulut. Membiarkan soalan abah tergantung
tak berjawapan.
“Minat abang
hanya satu, bah,” jawab dia
akhirnya.
Memang tujuan
hidup dia sekarang hanya satu. Dia akan
kejar penghutangnya. Sehingga segala
selesai, dia tak akan ada tujuan lain lagi.
“Abangggg…” Panjang abah menyeru. “…sampai bila?” Patah segala selera dengan kata-kata Raqib
ni.
“Sampai semuanya
terbalas, bah.” Hampir dia hentak
pinggan mendengarkan soalan abah. Tapi,
dia tak nak buat begitu. Mak Yam ada
dalam rumah ni. Marah abah pun, dia
masih hormat sangat dekat Mak Yam.
Jangan ditanya sehingga
bila, sedangkan abah sendiri sudah tahu jawapannya. Sampai segalanya
terbalas. Sampai airmata itu mengalir
tak terseka. Sampai gadis itu melutut
mencium kakinya.
Sampai dia
puas!
Bila
masing-masing diam tak berkutik, Raqib kembali tunduk menyuap nasi tanpa henti.
Hingga licin satu pinggan, dia minta
Johan tambahkan lagi. Dia perlukan kudrat
yang bukan sedikit. Dah banyak hari
makan minumnya tak terjaga. Sementelah,
lama betul tak rasa betapa nikmatnya masakan wanita bergelar ibu biarpun ibu
pada orang lain.
“Jangan sampai
masa terbalas tu, harga yang perlu abang bayar tak terjangkau dek akal,” balas
Haji Razali dan suasana kembali sepi biarpun dia tahu, Raqib sedang memandang
dia penuh persoalan.
TQ luv..but i want more.. ;p
ReplyDeleteWaiting for nx realease
ReplyDeleteMakin tertnya2. Apa salah aatiq yg bebenornya
ReplyDeleteAtiq x kenal raqib?? Makin tertanya tanya d buatnya...
ReplyDeleteLIKE
ReplyDeleteRM..akak x tau pun secret..tapi yg pasti akak suka HURT ni..keep writing Sis!
ReplyDeleteape ler salah aatiq pada raqib....dendam yg tak sudah...sian aatiq...
ReplyDeleteBestnye....Sambugan plzzz
ReplyDeleteKarya RM as usual memang best. Tak sabar untuk baca bab seterusnya.
ReplyDeleteKarya RM as usual memang best. Tak sabar untuk baca bab seterusnya.
ReplyDeletebest.. tak tahu pun secret tapi tahu yg karya RM mmg best. tak sabar nak tunggu next entry..
ReplyDeleteyes.. mmg setiap karya RM, ada sesuatu untuk hati ni berbisik.. :)
Mmg meresap dlm jiwa
ReplyDeleteXde masalah pn klu storyline hurt mcm secret...RM,sy mmg ternanti2 smbungan hurt...
ReplyDeletex sabar menanti HURT versi cetak!!!
ReplyDeleteBest sgt...misteri cerita ni...sy suka...-intan
ReplyDeleteMisteri btol...ape agaknyw slah aatiq ni....
ReplyDeleteaaah saya tau cite tu!! cume akak punye versi ni hmm pelakunye betul ke aatiq? so tamat dekat blog ke kak?
ReplyDeletebest..
ReplyDeletekak RM..citer korea ke citer Hindustan ke asalkan yang membawa manfaat takpe..bukan semua orang layan citer korea..saya suka citer ni kak..kesilapan pada typing, normallah tu..saya kerja bahagian artwork dah lali..manusia bukan robot nak perfect..GOOOD LUCCKK kak!! tak sabar nak baca yang seterusnya
ReplyDeleteBEST 3X.
ReplyDeletetak kisah ler...secret ke ...rahsia ke..yg penting coretan RM mmg best
ReplyDeleteape yg aatiq dh buat ni...
ReplyDeletesianya aatiq almost kill by raqib...
ReplyDelete