Wednesday, January 06, 2016

#HURT Prolog I,II,III & Bab 1

PROLOG

Andainya aku tahu apa yang telah terjadi
Tak mungkin aku lepaskanmu daripada pelukan
Akan aku buang jauh kesakitan di hati
Terima kasih atas apa yang telah kau lakukan
Dan, aku maafkan segala kesilapan
Andai ada satu hari lagi,
Akan aku laungkan betapa rindunya aku setelah kau pergi
Maaf… kerana menyalahkanmu
Dan, aku begitu terluka kerana melukakanmu… - RAQIB




PROLOG II

TUBUHNYA menggeletar menerima apa yang sedang menjalar masuk ke dalam rongga telinga.  Apakah dia perlu menangis?  Dia tak tahu.  Kepalanya bergerak ke kiri dan kanan, menafikan hakikat yang sudah terbentang depan mata.  Hakikat yang tak mungkin mampu dia elak.  Mata memandang wajah ibu yang sedang menitiskan airmata sedangkan dia tersenyum manis pada ibu. 
Jika menangis mampu buatkan masa berundur, dia akan menangis seumur hidup tapi ilmuan telah katakan - yang jauh itu masa lalu.  Sesuatu tak mungkin dapat dia gapai lagi.  Melainkan dia hadap dan telan segalanya biarpun tak ubah seperti menelan bara api. 
Kedua belah lengannya dipaut sedikit kasar.  Wajah dia berkerut.  Sengal sendi diperlakukan demikian.  Ibu menerpa dan memeluk dia erat.  Menangis dan terus menangis. 
“Aatiq akan okey, ibu.  Semuanya akan okey.  Percayalah.”  Dia pujuk ibu padahal dia sedang beradu kekuatan dengan jiwa sendiri. 
“Ibu… ibu…”  Suara ibu disekat sebak.  Pelukan juga kian longgar bila tubuh anak tunggalnya itu didorong ke depan.    
Sempat dia berpaling pada ibu.  Sekali lagi senyuman terguris nipis. 
“Ibu jaga diri, bu.  Semuanya akan jadi baik, bu.  Semuanya… percayalah.”  Akhirnya, airmata dia menitis jua. 
Jika dia mampu…
Tapi, dia tidak pernah mampu. 



PROLOG III

KATA-KATA doktor bagai semilir di angin lalu.  Katalah apa saja.  Buat masa sekarang, dia tak mampu untuk mencerna.  Otak dia membeku.  Akal bagaikan tak waras lantas ayat apa yang mampu dia katakan di saat matanya terpaku pada abah yang sudah terduduk di satu sudut? 
Hendak terima kehilangan seorang saja sudah sukar, bagaimana dia dan abah mahu terima kehilangan yang kedua? Abah tak mengalirkan biarpun setitis airmata tapi dia tahu, abah sedang meraung di dalam hingga lidah itu terus terpaku pada lelangit. 
Kakinya dihayun perlahan menuju ke arah abah yang sedang sandarkan kepala pada dinding.  Mencangkung, menyoroti mata abah.  Nampak berkaca-kaca tapi bibir tua itu tersenyum tipis saat bertentangan mata dengannya. 
“Abah dah sayang kedua-duanya.  Mama dan adik tapi…”  Suara abah tersekat di dalam rengkung.  Tunduk meraup wajah sebelum dipaut tubuh anak terunanya erat. 
“Abang ada, bah.  Abang ada.”  Airmata dia mengalir tanpa dia pinta saat memaut tubuh abah dan dapat dia rasa bahu abah sedikit terhinggut. 
Abah sedang sembunyikan tangis.  Dan dia juga, perlu sorok segala kepedihan biar apa pun terjadi.  Apa yang pasti, dia tak mungkin tanggung kepedihan ini sendiri.  Dia akan pastikan itu.  Titisan airmatanya akan ada bayaran yang setimpal.  Yang bersalah, akan dihukum dengan cara sendiri. 



BAB 1

TALI beg galas digenggam kemas.  Aatiq menengadah wajah ke dada langit yang begitu terang.  Merasai hangatnya sinaran matahari di saat dia kedinginan.  Sepertinya alam nan indah ini mengalu-alukan dia sekali lagi.  Mata dipejam rapat.  Betapa bersyukurnya dia atas segala peluang yang masih mampu dikecapi setelah bertahun-tahun terkepung.   
Mata memandang ke kiri dan kanan.  Arah mana dia perlu pergi, masih tidak pasti lagi.  Dalam hati rasa bimbang itu masih menebal.  Sangat.  Risau andai tersilap laluan lagi. 
Tuhan… hanya satu destinasi hamba.  Hanya pada ibu.  Tuntuni langkah hamba, Allah.  Moga hamba tak tersesat di pertengahan jalan.  Telapak tangan diraup ke wajah. 
Hanya pada Tuhan dia meminta.  Moga tenang hati.  Damailah jiwa yang begitu merusuh.  Setelah lima minit berdiri di situ, dia akhirnya memilih hala ke kanan.  Kata orang, jika tak pasti arah tujuan, maka pilih kanan kerana setiap tingkah dengan anggota kanan, ianya adalah kebaikan.  Semoga di sepanjang perjalanannya, dia temui kebaikan yang dicari. 
Bibir Aatiq pecah dengan senyuman tipis.  Nafas lega dilepaskan.  Dia perlu bersyukur atas semua ini.  Bukan mudah dia harungi hari-hari tanpa ibu.  Sebaliknya dia hanya ditemani dengan titisan airmata ibu kali terakhir dulu.  Menjadikan memori itu memori yang memilukan. 
Apa pun terjadi, Aatiq tak nak pandang belakang lagi.  Dia tekad menetapkan pandangan matanya ke depan.  Dia akan hayun langkahnya ke depan. 
Di belakang – terlalu banyak kesakitan, keperitan dan tangisan.  Dia sekarang mahu senyum.  Mahu lupakan semuanya.  Mahu bahagiakan ibu.  Mahu dilunaskan janji yang begitu lama tertangguh. 
Sebuah teksi berhenti tepat di depan Aatiq.  Terus dia masuk ke dalam perut teksi dan mengukir senyum pada pemandu. 
“Nak pergi mana, cik?” 
Aatiq koyak senyuman tipis.  “Stesen bas, pak cik.” 
Tanpa bersuara, pemandu hanya menjalankan tugas biarpun dalam benak diserang satu dua soalan tapi dibiarkan saja berlegar dalam kepala sendiri. 
“Jauh juga ya stesen bas, pak cik.”  Saja.  Cuba mencipta suasana dengan masyarakat.  Setelah sekian lama tak berdunia. 
“Jauh sikitlah.  Ni, cik nak pergi mana?”
“Kuala Lumpur, pakcik.  Ibu saya ada dekat sana.” 
“Cik ni belajar dekat sini, ya?”  Akhirnya, terluah juga soalan yang berlegar dalam minda.  Nampak sedikit jakun gadis yang kelihatan pucat ini.  Seperti tak pernah berada dalam kelompok yang bergelar masyarakat. 
“Duduk asrama, ya?”  teka pemandu teksi lagi.
Pahit senyuman yang terlakar pada bibir Aatiq.  Tidak dapat tidak, dia hanya angguk. 
“Dah lama tak jumpa ibu saya.  Rindu betul dekat dia.”  Senyuman masih mekar biarpun jelas tawar. 
“Betullah tu.  Rindu ibu, balik jenguk dia.  Mak ayah ni, cik… selalu tunggu anak balik walaupun sekejap.  Yalah, dah tua nak jalan jauh tak larat tubuh.  Tapi, pak cik yakin ibu cik tu faham sebab anak dia menuntut ilmu.  Untuk kesenangan ibu juga.  Betul tak?”  Kening pemandu teksi terjongket sebelum kembali fokus pada jalan raya.
Kali ini, liur yang ditelan Aatiq kembali kelat.  Birai mata dia terasa lembab lagi.  Dia dah rosakkan bahagia ibu.  Dia hanya balas kata-kata pemandu teksi dengan anggukan beberapa kali. 
“Belajar kursus apa?”  Soalan lain pula muncul di saat dada masih terasa begitu sebu. 
“Err…”  Aatiq gagap.  “…memasak, pak cik.”  Dia tak tipu kerana itulah kemahiran yang dipelajari. 
“Oh, nak jadi cheflah, ya?”  Soalan kali ini kedengaran teruja. 
“Taklah…”  Aatiq menafi telahan pemandu teksi.  “Pandai masak untuk ibu saya dah cukup.  Saya tak ada niat nak jadi chef, pak cik.” 
“Eh, kenapa pula?  Rugilah, nak.  Sekarang ni hotel-hotel dan restoran besar memang nak pakai chef.  Cubalah mohon.” 
“Betul tu, pakcik…”  Teringat pesan guru yang mengajar, begitulah katanya.  Banyak peluang kerja namun yang menjadi persoalannya…
“Nak ke diorang terima orang macam saya ni, pak cik?”  soal Aatiq menyambung. 
Akhirnya, dia kalih ke kiri.  Dibiarkan sepasang mata bundar itu memandang keindahan alam yang terbentang untuk dia sekali lagi. 
Sekali lagi yang akan dia hargai selamanya. 


“BOS?!” 
Mata kuyu itu terbuka separuh daripada terus terpejam.  Dipandang wajah lelaki yang ada di sebelah.  Menjadi teman setia dia sejak beberapa tahun kebelakangan ini.  Sejak dia menggalas tanggungjawab yang abah berikan. 
“Perlu ke kita ikut bas tu?” 
Raqib menggeleng.  Kepala dia terlalu berat hari ini.  Kerja dia sangat banyak.  Akal dan jasad dia perlukan rehat. 
“Balik rumah terus.  Aku penat.” 
“Perempuan tu, bos?”  soal Johan namun melihatkan wajah tidak berperasaan bosnya, dia terus berpaling ke depan.  Gear ditukar letak dan pedal minyak ditekan mencari laluan untuk pulang setelah berjam-jam menanti. 
“Jo…”  Raqib bersuara perlahan. 
“Ya, bos?”  Akur. 
“Kau cari di mana dia duduk dan apa dia buat akan lepas ni.”  Bibir Raqib terukir dengan senyuman senget.
“Dia pasti perlukan kerja untuk makan.”  Sebab dia juga tahu yang perempuan itu bukanlah daripada keluarga berada.  Kali ini, senyuman dia semakin tajam sebelum dia rebahkan belakang kerusi dan melelapkan mata sekali lagi. 
Tidak dapat tidak, Johan hanya mengangguk.  Dalam hati terdetik sedikit bimbang.  Dia kenal siapa Raqib.  Dia tahu bagaimana Raqib lalui hidup sejak tiga tahun sudah.  Dia tahu semuanya. 
Tidur Raqib yang tak pernah lena sejak itu, semakin terganggu setelah hari ini.  Bagaimana dia mampu lena dengan damai bila wajah pucat dan tangisan mama sentiasa menerpa dia dalam lena malah jaga. 
Tak sedar, juring matanya basah.  Cepat-cepat dia berpaling ke kiri menyembunyikan air jernih itu daripada pandangan Johan.  Masanya sudah tiba untuk dia kongsi segala kepedihan.  Kepedihan yang akan dia pindahkan pada orang yang bertanggungjawab. Namun, mengapa masih mampu tersenyum dengan begitu lebar setelah meragut senyuman mereka sekeluarga? 
“Kau pastikan dia tak lepas daripada mata kau, Jo,” pesan Raqib antara dengar dan tidak. 
Sekali lagi, Johan hanya angguk dan dia tahu, mata Raqib kembali basah. 


DUA jam setengah berada dalam perut bas, dia tiba di Terminal Bandar Tasik Selatan.  Tiada yang menjemput dan tiada siapa yang menanti.  Tapi, senyuman di bibir tetap terukir melihat kebahagian manusia lain yang disambut gembira oleh orang-orang yang begitu menanti kepulangannya. 
Ibu…
Hati menyeru nama itu berkali-kali.  Rindunya tak terkata lagi.  Cepat-cepat dia atur langkah keluar daripada bangunan dan menuju ke stesen LRT.  Tak sabar rasanya nak menatap mata ibu setelah sekian lama.  Kali terakhir, dengan airmata tapi harapnya kali ini ianya bersama senyuman. 
Akhirnya dia tiba di rumah setelah naik turun beberapa buah bas dan LRT.  Nampak sunyi dan sepi.  Nampak seperti tiada penghuni.  Tapi, laman depan nampak bersih. Nyatanya masih berpenghuni. 
Pintu diketuk.  Catnya sudah luntur. 
“Assalamualaikum?!”  Kuat dia lantunkan suara.  Tapi, tiada jawapan. 
“Assalamualaikum?”  Sekali lagi Aatiq lontarkan salam tapi masih sepi tak bersambut. 
“Cari Mak Yam ke, dik?” 
Salam ketiga Aatiq terbantut.  Dia berpaling ke kiri dan memandang pada yang menegur.  Dia tak ingat wajah itu.  Entah orang baru atau lama, dia tak pasti. 
“Err, ya.  Saya cari Mak Yam.  Kakak ni…”  Suara Aatiq melerat panjang.  Memang dia tak ingat akan jiran dia yang satu ini. 
“Kakak ni jiran Mak Yam aje.”  Saat ini wanita itu sedang membuka pagar rumah sebelah.  Ya, hanya rumah dia tak berpagar sejak dulu. 
“Mak Yam kerja tak balik lagi.  Biasanya lepas Asar baru dia sampai rumah.” 
Langsung Aatiq memandang jam di pergelangan tangan.  Baru jam dua petang.  Masih terlalu awal.  Tapi, ibu kerja?  Sejak bila? 
“Boleh saya tahu, dia kerja dekat mana?” 
“Rumah tauke apa entah.  Dekat Taman Bukit Permata.” 
“Hah?”  Terkejut juga dia.  Taman Bukit Permata tu jauh juga.  Ibu pergi dengan apa?  Tak letih ke ibu turun naik bas. 
“Dah lama dia kerja, kak?” 
“Entahlah, dik.  Lepas anak dia pergi belajar jauh, dia kata sunyi.  Nak kerja.  Itu yang jadi orang gaji rumah tauke tu.” 
Terbersit hati Aatiq dengan ayat yang didengari.  Ya, memang dia pergi belajar.  Belajar erti hidup.  Belajar erti untuk lebih menghargai setiap helaan nyawa dan setiap saat bersama ibu.  Belajar untuk lebih sabar. 
“Kakak tahu tak, rumah mana?”  Dia mula tak sabar nak bersua dengan ibu.  Tapi, bila kakak jirannya menggeleng, bahunya sedikit jatuh.
“Maaflah, dik.  Kakak masuk dulu, ya?” 
Aatiq angguk bila dia ditinggalkan dengan bunyi pagar yang dibuka.  Apapun, syukurlah bila ibu sihat.  Jika dulu, ibu berniaga kecil-kecilan.  Tak tahulah kenapa ibu berubah arah menjadi pembantu rumah. 

Dia labuhkan duduk di atas bangku yang sejak dulu ada di depan rumah.   Merasa angin menyapa, entah kenapa terasa murah airmatanya menitis.  Sebaik saja dia tutup mata, air jernih itu laju melalui juring mata.  Bibir diketap kuat.  Dia masih sedih.  Sedih yang amat.  Betapa kuat dia cuba melupakan, semakin melekap segalanya.  Bagai baru semalam dia mendengar jeritan itu.  Bagai baru semalam dia lakukannya.  

2bCont...

Dapatkan #HURT di kedai2 buku berdekatan atau secara online di www.p2u.my.  Keluaran Januari 2016 daripada Penulisan2u.

14 comments:

  1. Best sgt SUA... cam2 rs bila baca... tp yg sedih lg byk... tp cite br nie menarik... byk rahsia lah RM

    ReplyDelete
  2. Bara prolog dah blh rasa kehebatan cerita ni.
    RM blh buat terbaik dari SUA... InshaAllah.

    kak nOOr.

    ReplyDelete
  3. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  4. cedey....br bac permulaan cite dh bergenang ayaq mata...huhuhu

    ReplyDelete
  5. X sabar nak tunggu sambungan...
    😊😊😊😊😊😊

    ReplyDelete
  6. X sabar nak tunggu sambungan...
    😊😊😊😊😊😊

    ReplyDelete
  7. citer nih habis kat blog ke .....atau akan dibukukan

    ReplyDelete
  8. Tulis lah crta mcm mna pn kak rehan.. sy tetap bca... ☺

    ReplyDelete
  9. Sdihnyw....bnyk questions mark lam kpala...hrap t smua trjwb...gud job akak

    ReplyDelete
  10. intro je dh terkesan di hati..

    ReplyDelete
  11. dalamnya kepedihan dan kesakitan mereka...sukar digambarkan...

    ReplyDelete
  12. sua mmg the best! suka sgt....
    baru mula baca hurt... dah penasaran nak baca next...

    *Fir*

    ReplyDelete
  13. cerita yang paling menarik yang pernah saya baca..

    ReplyDelete