Wednesday, January 06, 2016

#HURT 8

MALAMNYA tak pernah tak terganggu.  Hampir setiap malam, malah kian kerap pula sejak akhir-akhir ini kejadian itu menghiasi mimpinya.  Seluruh tubuhnya perlu dibasuh dengan wuduk. 
Dia tidak tenang.  Dada dia tidak lapang.  Dan, hanya pada Pencipta udara inilah dia perlu pinta sedikit ruang untuk bernafas dengan tentang.  Saat dia membasuh kedua belah tangan, bagai mengalir darah merah itu daripada kedua belah telapak tangan namun kenapakah darah itu tak pernah mahu kering? 
Tuhan…

Aatiq terus membasuh celah jari-jemari.  Kanan dan kiri – beralih pada anggota lain pula.  Biarpun terasa dosanya tak pernah hilang bersama air yang mengalir, dia masih tak puas membasuh segalanya. 
Tak sedar, airmatanya menitis lagi.  Sesekali, nafas dia sesak benar.  Dia mendongak ke siling yang kekuningan.  Mata dipejam rapat.  Wajah-wajah yang terluka muncul dalam kepala.  Suara jeritan kesakitan Raisya – mengaum kuat.  Kelopak mata Aatiq terbuka.  Dia terus membasuh muka sekali lagi sebelum keluar dari bilik air, menuju ke bilik.    
Telekung disarung ke tubuh.  Terasa begitu hening. Malah, setiap saat, dirasakan hidup dia bagai berada dipenghujung jalan yang mati.  Jika tidak kerana ibu, pastinya dia akan begitu kejam dan jahil merenggut nyawa sendiri. 
Lama dia berteleku di atas sejadah seusai solat sunat taubat dua rakaat.  Sujud akhirnya lama.  Airmata menitis tak terseka.  Setelah itu, dia bangkit dan duduk di birai katil bujang yang sudah usang.  Bunyi unggas bersahutan.  Seperti bunyi itu sedang memanggil, dia bangkit dan berjalan ke pintu besar.  Ditarik selak dan dikuak pintu kayu itu lebar. 
Dinginnya udara sepertiga malam.  Terasa begitu nyaman memujuk hatinya yang dia sendiri telah lukakan. Dengan tubuh yang masih dibaluti telekung, Aatiq labuhkan duduk di atas kerusi rotan usang yang ada di depan pintu. 
Sepi.
Tiada satu suarapun yang berbisik melainkan unggas cengkerik yang bertasbih.  Dia pandang ke dada langit yang nampak terang namun sebutir bintang pun tiada menghiasi.  Seperti juga dia.  Melihat pada riak wajah, pasti masyarakat tak mampu menerka apa yang telah dia lakukan.  Wajahnya bersih dan tenang namun… hatinya hitam.  Tiada seri. 
Airmata Aatiq mengalir lagi.  Kemudian dipejamkan mata.  Lama. 
Raisya… aku tak pernah putus mendoakan kesejahteraan kau setelah kau pergi.  Tak pernah sesaat aku lupakan kau dan kesakitan yang kau alami.  Tak pernah sesaat aku tersenyum setelah apa yang aku buat dekat kau, Raisya.  Tak pernah sesaat aku berhenti daripada menyalahkan diri sendiri. 
Kau menang biarpun kau pergi. 
Aku kalah walaupun aku masih di sini. 
Senyuman aku – pergi bersama kau, Raisya.  Kembali pada Penciptanya. 
Tawa aku – terlalu sumbang bila diselangi tangis kekesalan aku padamu. 
Adakah keterlaluan jika aku bertanya, Raisya?  Adakah kau ampunkan aku? 
Dan, Aatiq tahu, soalan itu tak pernah berjawapan melainkan airmatanya kembali laju mengalir. 


MATA Raqib tak lepas sesaat memerhatikan wajah itu daripada kejauhan.  Biarpun sedikit jauh, tapi pandangan mata dia masih tajam dan tepat.  Dia tak pernah tersasar merenung sasarannya.  Dia tahu Aatiq menangis.  Tapi, adakah tangisan itu mampu membasuh luka di hatinya?  Membasuh segala dosa yang telah Aatiq lakukan?
Kepala Raqib menggeleng sendiri.  Tak sangka.  Kedatangan dia seperti dapat dirasakan oleh Aatiq dan gadis itu keluar menyerah diri padanya.  Jika mahu, dia boleh arahkan Johan menculik Aatiq tapi melihatkan Aatiq berbalut telukung begitu, terasa berat tindakannya malah lidah dia juga memberat sama. 
Hanya mata yang memerhati.  Lidah pula tak dibenarkan bekerja.   
“Bos?”  Johan berpaling memandang Raqib.
“Erm…” 
“Tak nak balik lagi?”  Rasanya dah dekat sejam mereka duduk dalam kereta ni.  Jujurnya, dia juga letih.  Esok, pasti lebih banyak tugas yang menanti. 
“Kejap, Jo.  Aku tak puas lagi nak tengok dia.”
Dahi Johan berkerut.  Tak dapat dia pastikan maksud kata-kata Raqib namun, selain pilih untuk diam… tiada apa lagi yang mampu dilakukan. 
“Aku tak maksudkan macam apa yang kau fikirkan tu, Jo.”  Mata kuyu Raqib mengerling Johan.  Nampak Johan terkulat-kulat dengan kata-katanya. 
Sekilas ikan di air, dia dah tahu apa yang bermain dalam kepala Johan dengan ayatnya tadi.  Kemudian, dia kembali memandang Aatiq.  Tak takutkah perempuan ni duduk sendiri di pagi yang begitu hening?  Dahlah tak berpagar.  Senang-senang aje orang nak culik.   Pandangan mata diredupkan lagi.  Bila Aatiq berpaling ke arahnya, bagai berlaga pandangan.  Raqib senyum sendiri. 
Ataupun, dia sudah terlalu berani?  Sebab tu sanggup bermain dengan hati aku?  Bahagia aku?  Keluarga aku?  Dan, orang-orang yang aku sayang? 
“Macam ni ke rupa dia tiga tahun dulu, Jo?”  soal Raqib tiba-tiba.  Lebih pada diri sendiri sebenarnya.  Entahlah.  Rasa seperti tak ada apa yang berubah pada wajah itu melainkan tubuh itu nampak begitu kurus.   
Johan telan liur.  Dia tak pasti.  Tapi, daripada apa yang pernah dia lihat, nampak tak berubah.  Masih cantik dan sejuk mata memandang.
“Saya rasa dia makin cantik, bos,” jawab Johan jujur.  Pandangan dia sebagai lelaki yang pernah melihat wajah itu dulu. 
Tawa sinis Raqib terluah.  Menggeleng sambil meraup wajah yang jelas penat.  Johan ni, semua orang dia cakap cantik.  Namun, jauh di sudut hati, dia perlu akui yang Aatiq memang nampak cantik. 
“Tapi sayang, hati dia tak secantik zahir dia.  Kalau orang tu ada hati yang cantik, dia tak akan rosakkan bahagia orang lain.  Betul tak, Jo?” 
Johan tak beri reaksi.  Sekadar memandang wajah Raqib daripada cermin pandang belakang.  Dia tahu betapa terseksanya Raqib sejak dulu malah setelah bersua kembali dengan Aatiq, kesakitan itu nampaknya semakin menjadi-jadi.    
“Kau rasa kenapa dia tak tidur lagi masa ni, Jo?”  Masa ini adalah waktu yang seronok untuk mengayam mimpi.  Tapi, Aatiq tak tidur. 
Mata Johan turut merenung jauh pada Aatiq yang nampaknya kembali menengadah langit yang kelam.  Dengan bertelekung, sah-sah Aatiq bangkit untuk solat malam dan dia tahu, Raqib tahu itu.  Tapi, soalan itu masih ditanya.  Gamaknya, bos dah habis soalan nak ditanya. 
“Kita balik, bos?”  ajak Johan.
Perlahan-lahan, Raqib kalih kepala memandang Johan.  Dia angguk tipis.  Mata dipejamkan. 
“Esok kau ikut dia lagi.  Sampai dia dapat kerja dan aku nak tahu, dekat mana dia kerja.”   Di mana Aatiq mahu bertapak dia akan pastikan ianya berakhir tanpa permulaan pun. 
“Baik, bos.”
“Satu lagi…”  Mata Raqib terbuka semula. 
“…aku nak tahu sijil apa yang dia ada.” 
Johan angguk.  Akur. 


DADA Aatiq berdebar tak sudah.  Silau lampu kereta itu mula meninggalkan kawasan tempat tinggalnya.  Pantas dia berdiri.  Melemparkan jauh pandangan tapi kereta itu telah menjauh pergi.  Seluruh tubuhnya meremang tiba-tiba.  Cepat-cepat Aatiq berpaling dan dia hampir terduduk bila susuk tubuh ibu tercegat di pintu. 
“Allah… nak gugur jantung Aatiq, bu.”  Diusap dadanya perlahan seraya melepasi ambang pintu.  Dikerling ibu yang merenung sedih.
“Ibu baru jaga?’ 
Puan Maryam menggeleng.  “Ibu jaga bila sedar yang Aatiq tak ada sebelah ibu.”  Ibu dah jaga lama rupanya.  Pasti berdiri aje dekat situ memerhatikan dia.  Aatiq lorekkan senyuman.  Tangan ibu dipegang. 
“Aatiq terjaga, bu.  Itu bangun solat terus alang-alang Tuhan kejutkan Aatiq.  Rugi pula kalau tak terus solat.  Dua rakaat aje pun.  Lepas tu Aatiq rasa panas, itu yang keluar duduk dekat depan,” terang Aatiq cuba dihalau keresahan dalam pandangan mata ibu.
“Ibu tahu.”  Melainkan membalas senyuman Aatiq, Puan Maryam tak mampu berbuat apa lagi sedangkan dia tahu, Aatiq jaga daripada dihambat mimpi yang ngeri. 
Sejak Aatiq balik, setiap malam juga Aatiq bagai berlari di dalam lena.  Tidur anaknya memang tak pernah nyenyak. 
 “Pergilah tidur.  Esok nak sambung cari kerja lagi, kan?” 
Laju Aatiq angguk.  “Ini kalau lena balik, takut terlajak Subuh.  Ibu kejut nanti.  Bukan apa, selesa sangat tidur takut tak sedar diri.”  Dia tersengih menggaru kepala dibalut telekung.
“Iyalah…”  Mata tua Puan Maryam menghantar kelibat anak yang hilang di balik dinding bilik sendiri. 
Ibu tahu Aatiq tak tenang dan cara mana Aatiq mencari jalan tenang itu, adalah yang terbaik sekarang, nak. 

Hati ibu berasa begitu pilu tapi melainkan sabar dan doa, dia sendiri tak tahu ubat apa lagi yang perlu dia suntik untuk Aatiq tinggalkan jauh mimpi ngeri itu di belakang.  Atau paling tidak, lawan hingga kengerian itu tewas tak bangkit lagi.  

18 comments:

  1. Org dh baca ulang kali seseorg utk aku..bezzz

    Ngilu hati bila ngenang yg raqib ni bnci aatiq
    klu lah dia siasat

    ReplyDelete
  2. haduhhh bersabarlah hati.....
    RM memang mahu menguji...
    cerita yg secoet2 ni la yg mendera jiwa...

    ReplyDelete
  3. Walau x boleh marah raqib... nk marah jugak...
    Cuba imbas kembali apa mama ckp.. bkn raisya di buli, dia membuli
    Dah betul lah tu.... mama pn kenal perangai anak dia....
    Wake up raqib.... plsssss.... buka mata... gali cerita sampai akar umbi...
    Jgn sesalan merantai jiwa....
    Atiq pun... adehhhh.... jgn ikut hati kecewa... percaya qada dan qadar Allah SWT...
    Sayu nya hatiiiiiii
    Sakittttt sangatttttt
    HURTTTTT.....

    ReplyDelete
  4. Mesti ada yg berlaku ke atas aatiq bila didekati raqib

    ReplyDelete
  5. Mana bule benci rehan. Nanti xde citer lain pulak yg kuar hehe

    ReplyDelete
  6. Patutla raqib benci aatiq sbb raisha dah tipu yg aatiq selalu buli dia. Sedangkan raisha tu yg pembuli.. teruk betul la. Raisha ni..

    ReplyDelete
  7. RM, ate x mampu nak nunggu #hurt10 abes dh #hurt8 sekali harung jalan.. hehek
    suke beno suspen suspen kan.. huhu berdebor-debor kita dibuatnya..
    cepat skit updet eh? :-)

    -FH-

    ReplyDelete
  8. Mna blh bnci rehan....tp still nk mrah gak kt raqib...haishh bengang btol la ngan dia ni...nk mrah2 aatiq ape hal bro....adoiiii..tremotional sdah....

    ReplyDelete
  9. pelik!pelik! si raqib ni klu dendam dan benci kat aatiq ...bakpenye sibuk dok care ke dia nye....dok intai sampai ke rumah xnampqk atiq nampak bumbung rumh pun jadi...itu bukan benci tapi angau namanye...

    ReplyDelete
  10. wei raqib..sakit kut aatiq tu ko ni suka2 je..

    *emo...kui kui kui

    ReplyDelete
  11. raqib dan aatiq ...sama2 menderita....sakitnya tuh disini...huhuhu

    ReplyDelete