DIA tak pernah
rasakan dunia ini tidak adil. Tak pernah
sekalipun, melainkan dia yang tak pernah adil dengan diri sendiri. Jika dikata dia dizalimi, tidak. Dia yang zalim pada diri sendiri. Dan, segalanya seperti satu hukuman.
Sijil di depan
mata dipandang. Dia tak ada sijil
SPM. Dia tak berkesempatan untuk
menduduki peperiksaan penting tu atas beberapa sebab biarpun sekolah tempat dia
belajar tentang hidup buka peluang pada yang layak. Yang menjadikan dia terhalang adalah, dia tak
layak.
Sekarang, hanya berbekalkan
sekeping sijil dalam bidang masakan ini saja.
Itu pun semuanya seperti tersekat.
Adakah terlalu lama dia terasing daripada dunia hinggakan dia tidak
sedar, yang segalanya telah berubah?
Birai mata Aatiq basah. Diseka
dengan hujung jari telunjuk. Dia rasa
mahu menangis lagi.
Wajah mendongak
ke langit yang begitu cerah. Tersenyum
pada langit kerana dia tahu, langit pasti membalas senyuman dia. Dia mahu berbicara pada pemilik isi langit
dan bumi ini betapa dia terluka diherdik tentang kisah lalunya.
Tuhan… aku
percaya akan rezeki-Mu. Dan, janganlah
Kau palingkan hati aku menjadi hati-hati yang mengalah melainkan terus
berjuang. Demi-Mu, Allah. Demi ibu.
Dan, tiada satu pun demi aku.
Tiada.
Air jernih itu menitis
juga biarpun dia sudah pujuk berkali-kali agar disimpan aje airmata ini. Dah banyak kedai makanan segera dan restoran
dia masuk hari ni tapi semuanya tak memerlukan khidmat dia. Hotel besar apatah lagi. Tak pandang terus pada dia. Biarpun dia merayu untuk diberi tugas sebagai
pengangkat sampah pun, itu adalah yang termulia buat insan seperti dia. Dia sudah lama hilang hak untuk memilih. Dia akan hadap apa adanya yang datang.
“Kenapa
menangis?”
“Hah?” Terkejut dengan teguran, Aatiq cepat-cepat
mengesat sisa airmata di pipi. Dia
berkalih ke kanan. Seorang lelaki yang
dia kira berpangkat ayah padanya tersenyum.
“Kenapa
menangis?” Soalan itu diaju lagi
melihatkan mata bundar basah itu terkebil-kebil. Terkejut gamaknya ditegur tiba-tiba.
“Err… tak ada
apa, pak cik.” Wajah yang tadinya
mendung bertukar ceria. Dia pandang gaya
lelaki lebih separuh usia ini. Nampak
segak. Berkopiah putih dengan kemeja
kotak-kotak dan seluar slack
hitam.
“Pak cik tunggu
bas?”
Lelaki tua itu
menggeleng. “Tunggu driver.”
Bibir Aatiq
bulat menerima jawapan itu. Beruntunglah
orang-orang yang kaya dan damai hatinya.
“Tunggu bas,
ya?”
Giliran Aatiq
pula menggeleng. “Saja rehat kejap. Penat jalan.”
Dia hanya senyum pada orang tua di sebelah. Tak tahu lagi nak berkata apa.
Ada masanya,
bila kembali berhadapan dengan masyarakat ini, dia seolah-olah risau untuk
berkomunikasi. Gamaknya, keyakinan diri
dia masih belum ditemui. Mungkin juga
kerana itu dia tak diberikan peluang bekerja.
Aatiq tunduk memandang telapak tangan.
Tak lama, dia pejamkan mata.
Takut dia pada tangan sendiri yang sudah banyak berbuat keburukan.
“Nak?”
Kelopak mata
terbuka. Dia menoleh ke kiri. Senyum seketika lantas bangkit. Kalau duduk di sini, sampai ke sudah tak
dapat kerja. Benda tu semua, bukan
datang bergolek.
“Pak cik, maaf.
Saya ada kerja lagi sebenarnya. Saya
jalan dulu, ya. Pak cik hati-hati, tau?” pesan Aatiq dan dia terus bangkit setelah
senyuman tipis diukir manis.
“Nak..”
Langkah Aatiq
terhenti. Lelaki tua itu menggamit dia
mendekati. “Nak pergi mana
tergesa-gesa? Kerja?”
Aatiq geleng
menafi. Kerja tu dah betul tapi bukan
pergi kerja.
“Pergi cari
kerja, pak cik. Tak ada kerja
lagi.” Rasa kelakar pun ada walaupun tak adalah
kelakar mana.
“Susah sungguh
nak cari kerja sekarang, pak cik.
Nak-nak orang macam saya ni.”
Senyuman manis itu bertukar tawar.
“Orang yang
macam mana?” tanya lelaki tua itu ramah.
Aatiq memilih
untuk diamkan diri. Orang macam mana
lagi kalau orang yang menjadi sampah masyarakat. Orang yang patut dihina, dikeji. Orang yang patut dihukum sampai ke
sudah.
“Nak, dengar
cakap pak cik ni.” Lelaki itu juga turut
bangkit. Tadi, senyuman anak gadis ini
manis seperti madu. Sekarang, biarpun
sedikit mendung, tapi masih tersembunyi keindahan sinar-sinar yang bagai malu
memunculkan diri.
“Jangan putus
asa. Teruskan usaha. Peluang tu akan sentiasa datang pada yang
mencari. Percayalah.”
“Nah…” sekeping
kad dihulurkan pada Aatiq. Gadis ini
nampak benar-benar memerlukan. Tak salah
rasanya dia bantu sedikit. Selebihnya,
biarlah Tuhan tentukan setiap perjalanan.
“Itu restoran orang
yang pak cik kenal. Cubalah pergi tanya. Manalah tahu ada kerja kosong. Jumpa manager
dia. Boleh jadi, ada rezeki dekat situ.” Senyuman dikoyak ikhlas.
Lapang dada
Aatiq memandang senyuman itu. Antara
senyuman yang menenangkan gundah.
Seperti juga senyuman ibu.
Memujuk dikala resah. Kad
bertukar tangan. Aatiq terdiam seribu
bahasa. Kepalanya hanya ditunduk menatap
kad nama tersebut.
“Shella?” Perlahan nama itu meniti pada bibir. Pengurus.
The Rebung.
Betul kata pak
cik ni. Dia akan ke sana. Mana tahu, rezeki dia. Dia masih berusaha dan tak akan berputus asa. Setelah beberapa saat berlalu, dia angkat
wajah.
“Err, terima
ka…” Suaranya mati di situ bila lelaki
tadi hilang tanpa mampu dia jejak.
Eh, tak
kanlah? Dia tidak dapat tidak, berfikir
yang bukan-bukan juga. Kotlah bunian
yang datang tolong dia ke? Eh, tak
mungkinlah. Siang-siang hari ni, mana
nak datangnya orang bunian? Lagipun,
bukan dalam hutam.
Akhirnya, dia
lakarkan senyuman lebar. Ini dinamakan
bantuan Tuhan tiba pada waktu yang tepat.
Nafas dihela tenang. Tak sangka. Senyuman kembali menjadi hiasan wajah. Dia akan dapatkan kerja ini walaupun hanya
sebagai pencuci. Dia tak kisah. Janji, dia ada pendapatan tetap.
“Jangan
senyum!”
Hah? Dada Aatiq berdetak laju. Bagai nak terbang jauh semangat dia disergah
tiba-tiba. Tak sempat dia memasang
langkah dan kini dikejutkan dengan satu lagi teguran.
Kepalanya
tertoleh ke kanan dan kiri serta ke belakang.
Manalah tahu, teguran itu untuk orang lain. Tapi, hanya dia sendiri di sini dan mata
redup itu sedang memandang tepat padanya.
“Jangan
senyum!” Semakin tajam amaran itu
dikeluarkan.
Senyuman Aatiq terus
padam. Kad tadi diselit dalam beg.
“Saya rasa awak
ni salah orang,” tegur Aatiq.
Lelaki itu
menggeleng dengan mata terpejam untuk dua saat.
Kemudian, kembali merenung dia.
“Aku tak pernah silap orang.” Kasar
dan keras penafiannya.
Suasana sepi
beberapa ketika. Aatiq beranikan diri
menilik wajah di depan biarpun anak mata lelaki itu tak pernah lepas daripada
wajahnya. Dia mahu ingat jika dia
benar-benar terlupa. Dia mahu kembalikan
setiap peristiwa lalu yang ada kaitan dengan lelaki ini tapi dia masih gagal.
“Kita ni…” Atiq masih menilik wajah itu lama.
“Kita saling
kenal ke sebelum ni?”
Sekali lagi
lelaki tadi menggeleng. “Kau tak kenal
aku dan sekarang, aku nak kau kenal aku.
Yang pasti, aku dah lama kenal kau.
Cuma sekarang baru dapat cakap dengan kau.”
“Kita ni rakan
sekolah, ya?” Memori Aatiq bagai
berbalam. Dia yakin dia pernah lihat
wajah ini tapi…
Tawa lelaki di
depan mata mencantas usaha dia menggali segala memori yang ada.
“Kau ada nampak
aku sebaya kau ke?”
Tiada jawapan
melainkan gelengan Aatiq saja. Lelaki
di depan dia sekarang ni nampak tua beberapa tahun saja. Mungkin masa dia tingkatan lima, lelaki ini
tingkatan enam atas.
“Sungguh saya
tak ingat.” Dia tak menipu. Dia tak pernah reti untuk menipu melainkan
dipendam segalanya sendiri.
“Tak apa. Masa akan buat kau ingat semuanya.” Raqib meratah segenap inci wajah yang nampak
begitu tenang.
Andai Aatiq tahu
dia siapa, mampukah wajah itu terus beriak tenang?
Dia beralih pada
sekujur tubuh Aatiq yang bertutup sopan.
Jika tak diingatkan apa yang dah jadi, rasanya dia mungkin jatuh suka
pada gadis seperti Aatiq. Nampak sopan
dan baik pada luaran. Namun, Aatiq indah
khabar daripada rupa. Zahir yang nampak
bersih, tak akan mampu menyucikan kotoran yang pernah Aatiq lakukan.
“Err, awak. Saya bukan nak kurang ajar tapi saya nak
cepat ni. Saya jalan dulu.”
Suara Aatiq
mencantas renungan Raqib. Saat Aatiq
hendak berlalu, dia lebih laju mencengkam lengan Aatiq. Nampak mata Aatiq merah memberi amaran tapi dia
tetap tenang bagai tak terkesan langsung akan amaran gadis itu.
“Awak ni nak apa
daripada saya sebenarnya?” Terkejut
bukan kepalang dia bila lelaki asing ni begitu berani melelar lengannya.
Sudahlah bertegur
tanpa amaran. Dia tak kenal pun. Mungkin wajah ini hadir dalam ribuan manusia
yang pernah berselisih dengan dia tapi dia tak pernah tahu siapa lelaki
ini.
“Rasanya saya tak berhutang apa-apa dengan
awak. Baik awak lepaskan sebelum saya…” Dia cuba rentap tangannya, tapi semakin kejap
pula dicengkam.
“Jerit?” Kening lebat Raqib terjongket tinggi. Dia gariskan senyuman senget. Cukup tajam dan mengilukan pada pandangan
Aatiq.
“Berani kau
cakap kau tak ada hutang apa-apa dengan aku sedangkan aku tak fikir kau mampu
bayar hutang kau pada aku biarpun kau hidup 1000 tahun,” bisik Raqib. Begitu tajam menusuk gegendang telinga Aatiq.
Terasa payah
liur yang ditelan. Mata Aatiq
berair. Dia pandang sekeliling. Ada mata yang mula menjeling tapi tiada
seorang pun berani mendekati. Ikut hati
dia mahu jerit tapi kotak suara dia terkunci mendengarkan ayat akhir lelaki
ini.
“A…apa hu…
hutang saya?” Gagap dia menyoal kembali.
“Kau nak
tahu?” cabar Raqib.
Gadis itu diam
tak beri reaksi tapi anak mata bundar itu jelas menunjukkan jawapan.
“Ikut aku.” Saat ini BMW X6 itu berhenti tepat di depan
mereka.
Aatiq kerut
kening. Dia cam kereta ni. Bila pemandu itu keluar, dia hampir jatuh
rahang. Dia cam pemandu itu. Kemudian, dia berpaling pula pada lelaki di
depan mata. Lama dia merenung mata yang
juga yang merenung dia.
Dia? Dan, getaran dalam dadanya semakin
mengganas.
“Ingat
aku?”
Bagai kehilangan
kata, segala yang terjadi beberapa hari lepas terlayar kembali. Luka pada sikunya terasa pedih tiba-tiba.
“Saya ingatkan
semuanya setakat hari tu aje.”
Raqib dekatkan
bibirnya ke sisi wajah Aatiq. “Ikut
hati, aku nak lenyek kau atas jalan raya tu, perempuan!” Keras ditekan ayat akhirnya.
Airmata Aatiq yang
sekadar menari di birai kelopak, menitis akhirnya. Ingatkan semuanya akan berakhir di situ. Tapi hari ini, soalan yang sama muncul
lagi. Apa salah dia pada lelaki
ini? Dosa apa lagi yang telah dia
lakukan? Benar gamaknya, hukuman sebelum
ini tak pernah cukup hingga hukuman kedua sedang dijatuhkan.
Tapi, siapa lagi
yang akan menghukum dia?
Atas kesalahan
yang mana?
Sakit dedam tiada penawar nya hanya akan memakan diri....hanya kemaafan yang akan melapang kan jiwa ubat segala ketenangan
ReplyDeleteAllah... ada apa dalam hati raqib sebenarnya...
ReplyDeleteTakutnye...nak kena jahit ke?
ReplyDeletemarah2...dendam2 pn sweet lg..
ReplyDeletenangisssssssss
ReplyDeletesekeras2 hatinya ada bahagian yg tetap lembut..
ReplyDeletebest.
ReplyDelete(-_-)' jahit hati aku sekali #aatiq
ReplyDeleteRasanya hati raqib pun x sanggup nak lukakan aatiq. Huhu sian aatiq
ReplyDeleteX sabar nak tggu ada hero kedua...
ReplyDeleteMcm mana gelabahnya raqib ,agaknya 😊😊
Sedih dgn aatiq.. Nangis.. T_T
ReplyDeleteRaqib terlalu berdendam. Kesian aatiq, tak tau punca kenapa dia dibenci. Tlg lah biar raqib pula terseksa nnt.
Next??! :D
ReplyDeleteSaye rase si Raqib nie mesti sweet & romantik 😍
ReplyDeleteSedih tak tahu apa silapnya.
ReplyDeleteDendam yg disaluti cinta...sy sngt brhrp crita ni hbis di blog rehan^_^
ReplyDeleteSuwiit!!! I pun tkot jarum....temankn i raqib ;)
ReplyDeleteAlahai, rajin. Dlm hati still ada Taman bunga.
ReplyDeletesalam, sorry lari tajuk sikit. saya nak tanya la, cerita cinta biar saja ada tu jual lagi tak? kesian saja baca sedih sedih tapi tak tau ending dia. :(
ReplyDeleteSedih tak tahu apa silapnya.
ReplyDeleteSedih tak tahu apa silapnya.
ReplyDeletebest..
ReplyDeleteraqib lawan rasa suka yg bertandang...tu yg kejap kasar kejap macam amik berat..pergh...pedih..pedih
ReplyDeletejust nak bagitahu rehan....buku Laila&Qadr dah sampai thru' courier dr karyaseni smlm....tqvm....dah lama tunggu buku ni since last year....
ReplyDeleteSaya suka raqib...ada lembut dlm kerasnye.....
ReplyDeleteSaya suka raqib...ada lembut dlm kerasnye.....
ReplyDeleteRehan, kasi habes sblm ramadhan boleh? Tak khusyuk la taraweh cenggini... hahahahaaa!
ReplyDelete**Request melampau kipas susah mati rehan
Seriously...
ReplyDeleteI hate raqib...
Damn!!!
~noriatul~
damn!!!....rasa nk sgt benci raqib....tp hati dia buat org jatuh cinta la........huhuhu...
ReplyDeleteallah tak tahu nak kata apa. penasaran hati bila baca hurt. hati ni pun mcm terpalit sama rasa sakit tu. Sabar aatiq... raqib tu keras tapi ada lembutnya.
ReplyDelete*Fir*