IKUTKAN hati,
dia suruh aje Johan lenyek Aatiq biar lunyai jasad itu tanpa mampu dapat
dicam. Tapi, Aatiq tak boleh mati
semudah itu. Aatiq tak boleh pergi tanpa
izin dia. Dia tak akan benarkan Aatiq tinggalkan
dia. Tambah pula, mati adalah satu
hukuman yang cukup mudah untuk Aatiq.
Sangat mudah. Sedangkan, Aatiq
perlu melalui penderitaan yang lebih dalam daripada dia.
“Bos?”
Raqib angkat
wajah. Fail yang ada gambar dua wajah
tersayang itu ditutup kasar. Dicampak ke
sisi.
“Bos nak balik
ofis?”
Raqib
angguk. “Kau pergi balik klinik
tadi. Perhatikan dia pergi mana. Apa dia buat.
Setiap gerak geri dia. Aku tak nak kau lepaskan dia walaupun
sesaat. Kau ingat tu.”
“Baik,
bos.” Johan angguk lagi. Dia teruskan perjalanan menuju ke tempat yang
diarahkan. Tanpa bantahan walaupun
sepatah.
Sebaik saja
kelibat Johan hilang, kaki Raqib melangkah ke dalam pejabat yang sepi. Rasa terkejutnya masih belum reda bila
dipertemukan Aatiq dengan cara yang dia tak sangka. Tak mampu dia bayangkan jika kakinya yang
menekan minyak dan tangan dia yang mengendalikan stereng, masih hidupkah Aatiq?
Daun pintu
ditolak kasar. Tubuh sasanya dihempas di
atas sofa kulit berwarna putih. Sebuah fail di atas meja kopi dicapai. Dibelek perlahan. Wajah Aatiq terlayar lagi di depan mata. Masih ada perkara tentang Aatiq yang dia tak
tahu dan sekarang adalah masanya untuk dia korek segalanya tentang Aatiq. Tentang lelaki yang ada dalam hati gadis
itu. Yang menjadi penyebab kepada segala
kesengsaraan. Biarlah keseronokan dia
berterusan dan ternoktah pada waktu yang sepatutnya.
Tangisan…
Kekecewaan…
Kekesalan…
Kemarahan…
Semuanya masih
bermaharajalela dalam dada hingga ke hari ini.
Tidurnya tak pernah lena bila telinga dia masih lagi terdengar jerit
sakit adik tercinta. Mata dia macam nak
buta melihatkan kemurungan arwah mama.
Ditambah berat
beban di dalam dada bila saat kepergian Raisya, dia tiada di sini. Lebih dua belas jam, baru dia tiba di tanah
air. Saat itu, hanya ada tanah merah
menutup jasad kaku Raisya. Melihatkan
mama yang bersedih, dia perlu kuatkan hati tapi bila mama mengikut jejak
Raisya, kesedihan dia menjadi nanah yang busuk.
Penumbuk dikepal
kemas.
“Kau tak akan
tenang lepas kau renggut tenang aku! Tak
mungkin!”
Dia nampak jelas
ketenangan pada wajah itu. Sesekali,
terasa damai jiwa menatap bening mata bundar yang sedikit merah dan berair. Tapi,
wajah itu jugalah yang mahu dia carik biar rosak.
Sejam lebih masa
berlalu, telefon bimbitnya bergetar.
Raqib menyeluk poket seluar dan terus dilekapkan telefon ke
telinga.
“Ya, Jo.”
“Dia tengah cari
kerja, bos. Lepas dia keluar daripada
klinik, dah dua tiga buah kedai dia masuk.
Nampak macam dia keluar masuk ke beberapa buah restoran berdekatan.”
Kening Raqib
berkerut. Restoran?
“Dalam keadaan
sakit?” tanya Raqib tapi Johan tak bagi
jawapan. Hanya nafas tenang Johan sudah
cukup menjadi jawapannya.
“Dia nak jadi waitress gamaknya?”
“Tak pasti,
bos,” jawab Johan gagap. Jarang dia
menjawab begitu kerana dia tahu, Raqib hanya mahukan jawapan yang tepat.
“Cari
kepastiannya, Jo. Aku tak pernah suka
jawapan tak pasti!” Talian
dimatikan. Raqib campak telefon di atas
meja.
Sebuah lagi fail
dicapai. Laporan pendapatan rangkaian restoran
milik keluarganya dicapai. Ditatap
lama. Apa langkah yang patut dia buat
sekarang? Kedua belah tangan ditekup
pada kiri dan kanan kepala.
Dua kelopak mata
tertutup – namun, dicelahnya terbit juga air mata.
SEBOLEH-BOLEHNYA,
dia tak nak tayang wajah kecewa tapi beberapa hari ini memang emosi itu yang
menguasai diri. Biarpun dia tersenyum
lebar di depan ibu, tapi hati dia milik ibu.
Ibu yang melahirkan dia. Ibu
lebih kenal dia. Sekali pandang saja,
ibu dah dapat agak apa yang terjadi.
“Sabarlah,
nak. Bukan Aatiq tak cuba langsung.” Bahu Aatiq digosok perlahan. Tahu sangat apa yang bermain dalam hati anaknya
sekarang.
Sehari dua ni, Aatiq
senyum terpaksa. Makan pun nampak tak
berapa berselera. Kerap jugak dia nampak
Aatiq termenung bila sendiri.
“Lagipun,
simpanan ibu ada lagi.”
Wajah ibu
dipandang. Itulah yang dia tak nak. Terpaksa susahkan ibu sampai ke sudah. Bila nak berakhir derita ibu dengan keadaan
dia?
“Aatiq…” Sebak memalu dada hingga tak mampu untuk dia
berbicara. Mata dipejam seketika
mendamaikan kegelisahan yang semakin menjalar daripada hari ke hari. “…Aatiq ni tak sudah-sudah susahkan ibu,
kan?” soalnya.
Anak matanya berair. Wajah cantik ibu direnung penuh kasih. Laju tangannya naik merayap pada pipi ibu yang
mula nampak berkedut. Seiring dengan
usia dan kerja keras. Tapi, pada matanya
ibu selamanya akan kekal jelita.
“Kalaulah Aatiq
sabar sikit…” Bukanlah dia mahu menafi takdir.
Dia hanya salahkan diri sendiri.
“Aatiqqqqq,”
seru ibu panjang. Mencantas kekesalan Aatiq
yang begitu jelas.
“Kesal tu bagus,
nak. Tapi, tak ada apa nak dikenang
benda yang dah lepas. Aatiq pun manusia
biasa. Bukan calang-calang manusia boleh
bertahan sabar. Kita ni, manusia lemah Aatiq. Sentiasa kalah. Hanya pada Allah ajelah Aatiq perlu minta
kesabaran tu. Doa banyak-banyak moga
segalanya mudah untuk Aatiq. Benda dah
jadi, tak ada siapa boleh sangkal. Yang penting
sekarang, Aatiq kena terima segalanya dengan tabah hati dan baiki diri untuk
jadi lebih baik hari ni dan seterusnya,” pujuk ibu lembut.
Hampir setiap
malam Aatiq diganggu igauan yang begitu ngeri gamaknya. Tak tahulah apa yang muncul dalam mimpi
anaknya, dia tak mampu nak duga. Namun,
setiap kali itu Aatiq pasti menangis dan pasti berjaga, duduk di atas sejadah
hingga ke Subuh. Saat itu, tak berdaya dia
untuk mencelah bicara Aatiq dengan Kekasih Agung. Lantas, dibiarkan saja Aatiq mencari
ketenangan.
“Ibu tahu Aatiq
masih ingat dan rasa ibu, Aatiq tak mungkin lupa. Macam mana pun… cubalah, nak. Pasal kerja tu jangan dok risau sangat. Rezeki ni Allah milik Allah dan dia akan bagi
pada sesiapa yang berusaha dan meminta pada Dia. Ibu nak Aatiq tahu… Aatiq tak sendiri dalam
dunia ni. Mana pun Aatiq pergi, ibu
sentiasa ada di belakang.” Puan Maryam mengucup
dahi Aatiq lama. Memujuk Aatiq adalah
satu-satunya perkara yang dia boleh buat sekarang selain doa.
Kucupan dan
nasihat ibu adalah penawar. Aatiq paut
lengan ibu dan melentokkan kepalanya di atas bahu ibu. Benar kata ibu. Dia tak mungkin lupakan. Dan, dia juga dah janji pada diri untuk hidup
sebagai hamba yang paling hina di dalam dunia ini. Dia tak layak untuk senyum jauh sekali
ketawa. Malah, tak berhak marah bila
dizalimi kerana dia telah lama menzalimi diri sendiri.
“Aatiq cuma
harap ada sikit rezeki untuk Aatiq demi menjaga ibu,” ujarnya separa
berbisik. Tangan ibu yang sedang melipat
kain dipandang. Tadinya, dia yang lipat
kain tapi sekarang, ibu dah ambil alih.
“Ni siku Aatiq
yang berjahit tu dah okey ke?” soal Mak
Yam mengubah arah perbualan.
Tubuh Aatiq
tegak. Dia selak penuh hati-hati kesan
tiga jahitan di bawah pangkal siku.
Taklah teruk mana. Bila ibu lihat
dia cepat-cepat turunkan lengan baju hingga ke pergelangan tangan.
“Terima kasihlah
dekat orang yang tolong Aatiq tu. Dia
dah buat baik, moga Allah balas kebaikan dia dengan kebaikan.” Ibu senyum dan disusun hasil lipatan bersama
dengan apa yang Aatiq lipat tadi.
Minda Aatiq berundur
ke belakang seketika. Wajah beku itu
muncul dalam kepala. Ayat terakhir itu
masih lagi berdengung. Mengerikan. Kemudian, dia pandang semula pada ibu. Lama.
Hingga dia mula mengagak yang bukan-bukan. Tapi, kemungkinan itu tetap ada. Biarpun ibu larang untuk dia imbau segalanya
tapi dia perlu sebagai perisai diri yang ampuh agar tak terjeremus dalam lembah
hitam yang sama untuk kali kedua.
Dia cuba korek
semua ingatan lepas namun sayang, memang wajah itu tiada dalam memorinya. Atau, sebahagian memorinya sudah lupus? Jika ya, dia adalah manusia yang paling
bersyukur kerana memori yang ada ini begitu membebankan hingga kini.
“Bu.”
“Erm…”
“Masa Aatiq tak
ada dekat rumah, ada tak lelaki datang cari Aatiq?” Manalah tahu, ibu terlupa ke. Tiga tahun bukan masa yang singkat untuk ibu
ingat semuanya.
“Hah?” Berkerut dahi Mak Yam. Tak paham pula dia dengan pertanyaan Aatiq
ni.
Aatiq ada teman
lelaki ke? Seingat dia ada seorang saja
kawan lelaki yang pernah Aatiq cerita.
Tapi, sekadar kawan biasa. Nama
pun dia dah lupa siapa.
“Kawan Aatiq
ke?”
Bila Aatiq
menggeleng, muncul beribu tanda soal dalam kepala Mak Yam. “Kalau bukan kawan, kenapa dia perlu cari Aatiq?”
“Itulah…” Dia sendiri juga pelik. Suara parau itu bergema tak henti-henti dalam
kepalanya. Aatiq tunduk memandang tikar
buluh yang sudah nampak lusuh. Tangan
terus membantu ibu menyusun lipatan.
“…sepatutnya dia
tak kenal Aatiq sebab Aatiq tak pernah kenal dia. Aatiq tak pernah ingat wajah dia. Aatiq…”
Wajah lelaki itu menyerang lagi.
Lelaki yang hanya dia kenali sebagai ‘bos’ melalui panggilan Johan.
“Aatiq?” tegur ibu melihatkan Aatiq yang kembali
mengelamun. Butir bicara Aatiq tak jelas
mana.
“Aatiq ni, dah
kenapa?” Langsung dia pegang dahi Aatiq
tapi Aatiq sedikit mengelak.
Terkejut.
“Aatiq okey,
kan?”
Laju Aatiq
angguk. Dia tersengih lebar dan terus
bangkit bersama kain yang sudah tersusun.
“Aatiq nak tidur
dengan ibu malam ni.” Mata dikenyit dan
kakinya diatur ke bilik ibu. Katalah apa
saja, dia tak kuat untuk bersendiri di malam yang sunyi melainkan kepedihan dan
kesakitan yang akan datang menggugah lenanya.
Mengerti dengan
apa yang dihadapi oleh Aatiq, Mak Yam hanya mengangguk lemah. Dia juga turut bangkit tapi dia yakin tentang
sesuatu. Naluri hatinya kuat mengatakan,
Aatiq sedang berdepan dengan masalah lama yang baru muncul.
Allah… lindungi
dia. Dia anak yang taat namun tersilap sekali. Dia anak yang mahu bahagiakan ibunya. Jauhkan segala kesulitan.
Mata seorang ibu
basah juga bila nyata, Aatiq masih tak mampu tersenyum seperti mana satu waktu
dahulu.
hebatnya dugaan & cabaran menjadi seorg Aatiq
ReplyDeleteSis!! Cerita ni sgt2 terkesan di jiwa akak..peritnya penderitaan yg di lalui Aatiq...kuat betul kudrat dia hingga terjadi sesuatu yv amat buruk pada raisya!! Kenapa lah Raqib tu x bak siasat betul2 kenapa sampai terjadi peristiwa malang itu!!!
ReplyDeleteSiannya kat aatiq.. bukan salah dia sepenuhnya, raisya yg mulakan dulu. Dia dah terima hukuman pun akibat kesalahan yg x disengajakan. Kenapa la raqib terus nak seksa dia.
ReplyDeleteYa memang betul... sngt tekesan.. rasa betapa polosnya atiq.. kasihan dia..
ReplyDeleteAllah.. sakitnya tuh, di sini <3 T_T
ReplyDeleteYa Allah... jgn sesal sgt akan kesalahan yg bukan di lakukan
ReplyDeleteKesian sungguhhh aatiq
Kenapa begitu sedih takdirnya
Masa depan nya musnah bkn kerana salahnya....
Sakitnya hatiiii
Hebatnya ujian aatiq tp lagi hebat bila dia tetap sabar dan berdepan dgn ujian tu.
ReplyDeleteAllah....tu je yg blh ku ucap
ReplyDeleteAllah....tu je yg blh ku ucap
ReplyDeletesakitnya terasa hingga ke hujung hati.... (: (:
ReplyDeleteHaishh, dendam sungguh raqib dkat aatiq. Serius sdih hidup aatiq.
ReplyDeleteKesalahan yg tidak disengajakan.
ReplyDeletesian kat aatiq....hidup penuh duka ...huhuhu
ReplyDeletePoor aatiq...hopefully character aatiq stay positive even dia rase bsalah towards arwah raisya ...
ReplyDeleteGuilty is killing her.
ReplyDeleteape salah dia..xde peluang kedua ke tuk dia..
ReplyDeletehuwaaaa..tertekan jiwa raga betul la...RM memang berjaya membuat air mata ku mengalir kluar...huwaaaaaaaaaaa
ReplyDeletex sabar nk thu lg citer nie...kak RM cpatlaa sambung..x sabar nie...dok trtunggu2 je kt blog kak RM nie...
ReplyDelete-Liana -
kesian aatiq...tp takpe..sabar aatiq..nnt raqib paham..tp tak tahu bila...haih...
ReplyDeletesian nyer
ReplyDelete