Sunday, March 17, 2019

Kau Bicara Tentang Cinta 47

RASANYA dia nak dakap Balqish tapi dah lama dia tak buat begitu sejak adiknya itu menginjak dewasa.  Buya kesat birai mata bila Balqish akhirnya muncul di depan mata. 
“Abang tak nak tanya apa-apa.  Janji Qish balik, abang dah okey.  Yang jadi, abang tak nak fikir.  Janji Qish balik.  Sihat.  Abang okey…”  Buya hampir menangis saat ini. 
Kalau Sera balik nanti dan lihat Balqish ada, isterinya itu akan jadi orang yang paling gembira. 
“Ini, kalau Sera tahu dia akan jadi orang paling gembira.  Kalau Qish nak tahu, dia tak dapat tidur dua tiga malam dah risaukan Qish.  Abang tanya kawan-kawan Qish, mana Qish pergi?  Qish buat kami semua risau…”  Seboleh-bolehnya, Buya cuba untuk bersikap biasa dengan Balqish.

Dia ingat nasihat Sera.  Anggap saja seperti tiada apa yang berlaku.  Andai Balqish masih berfikiran macam anak remaja, mereka yang matang inilah perlu mainkan peranan. 
“Qish mintak maaf…”  Susah payah Balqish bersuara. 
“Tak, jangan mintak maaf.  Qish pun tahu abang tak pernah salahkan Qish sejak dulu.  Abang tahu Qish tak sengaja.  Ini Qish dah balik, abang betul-betul bersyukur.  Qish dah makan?” 
Balqish geleng. 
“Nak makan dekat rumah, abang mintak mak cik sediakan makan yang Qish suka.  Atau nak keluar makan?  Sera tak ada sekarang.  Kalau dia ada, mesti dia masak sedap-sedap untuk Qish…” 
Balqish gigit bibir bawah.  Sejak tadi, tak habis-habis dengan nama Sera.  Dia labuhkan duduk.  Buya juga sama.  Setentang dengannya.  Ada jarak.  Andai dulu, Buya hanya duduk di sisinya. 
“Qish ada benda nak cakap dekat abang…”
“Not now.  Abang nak Qish rehat dulu.  Abang nak keluar pergi jemput Sera kejap.  Nanti, malam kita bincang sama-sama,” tolak Buya.
Dia jujurnya risau kalau-kalau Balqish ungkit lagi tentang perasaan itu.  Dia tak berdaya.  Dia tak mahu kehilangan adiknya.  Dia akan menderita.  Baru saja nak bangun, Sera muncul di muka pintu. 
“Eh…”  Buya terus mendekat. 
“Abang baru nak pergi jemput Sera…”
“Kan dah cakap, Sera balik sendiri.  Tapi, sebenarnya Naz hantar.  Tak sudah-sudah susahkan Naz…”  Sera sengih. 
“Alaaa..,. kawan baik dia jugak.  Nanti abang belanjalah dia makan sedap-sedap sebab dia jaga isteri abang dengan baik.  Tapi kan…”  Buya lebarkan senyum.  Dia tutup mata Sera dan mendorong isterinya berjalan.
“Heyyy… kenapa ni?  Tersadung nanti…”  Sera cuba tolak tangan Buya tapi hanya seketika.
Tangan Buya beralih.  Dia buka mata dan nyata Balqish sedang duduk di depannya.  Dia tidak terkejut tapi dia perlu buat-buat terkejut.  Sera mengucap panjang.  Dia ikhlas menyebut nama Tuhan demi sedikit kekuatan. 
Dia hampiri Balqish dan duduk di sisinya.  Memeluk bahu itu erat.  Balqish yang mahu menolak pelukan itu, terpaksa mendiamkan diri.
“Kali ini aje, Qish.  Demi Buya,” bisik Sera. 
Lantas, dia dapat rasa tangan Balqish membelit tubuhnya biarpun tak seerat dia memeluk jasad itu.  Airmata Sera jatuh.  Dia lepaskan pelukan dan memandang pada Buya.
“Haaa… kan abang dah cakap dekat Qish.  Sera adalah yang paling gembira…”  Buya pegang tangan isterinya bila Sera kembali berdiri.
“Qish nak makan?”  soal Sera sopan.
Balqish diam.  Dia pejamkan mata seketika.  Kemudian dia pandang pada Buya.
“Sera naik atas kejap.  Lepas tu Sera turun masak.  Abang pun mesti tak makan lagi sebab tunggu Sera, kan?” 
“Sebenarnya abang dah makan dengan staff.  Tapi sikit aje.  Sekarang Sera nak masak, abang memang tersangat lapar…”  Dia senyum.
Sera angguk. 
“Abang duduk sini.  Boleh jadi banyak yang abang nak cakap dengan Balqish,” pesan Sera bila Buya mahu mengikutnya naik ke atas. 
Sekali lagi dia rapati Balqish.  Membelakangi Buya yang nampak gembira tak terkata.  Ya, dia dah nampak dengan jelas.  Bahagia Buya bukan hanya ada dia, tapi ada Balqish. 
“Kali ini aje, Qish… kali ini aje,” pinta Sera berbisik dengan rayuan sepenuh hati. 
Akhirnya, Balqish angguk. 
Sera hela nafas lega. 



PINTU bilik yang ternganga itu, membuatkan suara Balqish dan Buya jelas di pendengarannya.  Sera tenang.  Tiada apa yang mahu dikesalkan.  Dia terima ini sebagai satu ketentuan dalam perjalanan hidup yang panjang. 
Tidaklah semuanya memeritkan.  Masih banyak keindahan.  Itu dah cukup untuk dia sebenarnya.  Sejak dulu, dia tak pernah tamak malah hari ini juga sama.  Dia masih Sera yang sama.  Yang mencari kesederhaan dalam hidup. 
“Abang harga perasaan Qish pada abang.  Tapi, kita bahagia hidup sebagai adik-beradik selama ni.  Abang janji tak akan abaikan Qish.  Tak akan tinggalkan Qish.  Abang sayangkan Qish sangat.  Bahagian Qish terutama.  Tapi, Qish kena faham… sebab Qish satu-satunya adik abang,” luah Buya lembut.
“Qish tahu tapi abang juga tahu Qish hanya ada abang dan apa yang Qish rasa sejak dulu tak mudah untuk Qish bunuh…”  Esakan Balqish mendiamkan bicaranya. 
Buya raup wajah. 
“Kalau Qish macam ni, susah untuk kita hidup sebumbung dan Qish tahu abang tak mampu tanpa Qish.  Qish adalah amanah daddy dan mommy malah abang dah biasa ada Qish.  Qish jangan buat abang macam ni.  Jangan buat abang serba-salah.  Abang nak kita macam dulu tapi perasaan Qish tu…” 
“Abang nak kata Qish pentingkan diri, kan?”  duga Balqish tanpa sempat Buya habiskan kata. 
Buya diam.  Dia tak nafi tak juga iyakan. 
“Qish tak kisah.  Abang boleh tuduh Qish apa saja sebab abang lagi kenal Qish dan abang juga tahu, tak ada siapa boleh handle Qish melainkan abang sorang…”  Ini satu lagi kenyataan yang tiada siapa tahu melainkan arwah orang tuanya dan Buya. 
Malah, Abang Zul pun tak tahu dan rasanya Uncle Malik begitu erat memegang rahsia. 
Buya angguk.  Balqish adalah anak yang pernah mengalami depresi yang teruk.  Kerana itu, mereka tumpukan sepenuh perhatian pada Balqish.  Hanya kerana itu sebabnya yang dia tak ceritakan pada ZUl sekalipun bila Zul kerap kali marah melihat cara dia melayan Balqish. 
“Abang nak Qish jadi gila?”  soal Balqish penuh emosi.
Buya geleng berkali-kali. 
“Abang tahu betapa susah Qish pulih, kan?  Lepas mommy pergi, lepas daddy pergi dan apa yang jadi… abang sendiri tahu Qish hampir kalah sekali lagi…”
“Abang tahu…”  Buya sedar, dia yakin Balqish hampir alami perkara itu lagi saat adiknya itu keluar rumah.  Kerana itu dia begitu risau dan resah. 
“Qish nak abang dengan Qish seorang aje.  Qish tak kisah.  Qish akan buang segala yang abang tak suka, tapi Qish tak nak ada perempuan lain dalam hidup abang.  Abang dah abaikan Qish sejak abang kahwin…”
“Tak betul tu, Balqish…”  Buya kian buntu. 
“Sera sayangkan Balqish tak kurang seperti abang sayangkan Qish…”  Bersungguh-sungguh dia yakinkan Balqish biarpun tak mudah.
“Ya, abang dah banyak kali cakap pasal ni.  Tapi, kalau susah sangat… Qish akan pergi.  Anggap ajelah Qish tak pernah wujud dalam keluarga ni, dalam hidup abang…” 
“Balqishhhhh…”  Buya picit kepala.  Menyengat tiba-tiba. 
Dia pandang tangan Balqish.  Menggigil.  Dia tahu Balqish sedang menyeru emosi yang tak menentu itu kembali dalam diri.  Dia tahu sangat.  Lantas dia bangkit dan mendekati Balqish.  Bahu itu disapa dan ditepuk perlahan.
Dia kemudiannya mencangkung dan mengoyak senyum.
“Qish tidur dulu.  Esok kita sarapan sama-sama.  Abang ponteng kerjalah esok.  Kita pergi makan tempat yang Qish suka, ya?”  pujuknya.
Kerana seperti kata Sera, hati yang merajuk… pujukanlah ubatnya.  Tapi, memang sejak sekian lama… ini sajalah caranya untuk redakan emosi Balqish yang begitu mudah terusik dan sakit Balqish bukan mudah.  Tiada siapa tahu kenapa dia begitu manjakan Balqish. 



HATI Sera berdegap kencang bila mengetahui kenyataannya tentang keadaan Balqish.  Balqish tak berkata apa tentang itu.  Gamaknya kerana rasa malu dan harga diri yang masih tersimpan.  Padanlah andai Balqish merayunya.  Dan dia begitu tekad untuk bahagia tanpa kisahkan apa-apa? 
Dia mahu menitiskan airmata bila Buya muncul di depan mata.  Tersenyum tipis.  Nampak penat.  Dia tahu, emosi Buya juga sangat penat.  Sera bangkit dan menarik tubuh itu lantas dipeluk erat.
“Balqish dah tidur?” 
“Gamaknya.  Abang tinggal tadi dia tak tidur lagi…”  Dia balas pelukan Sera. 
“Sera harap dia baik-baik aje…”
“Insyaallah.  Dia kuat, dia tabah…” 
Sera angguk.  Seperti faham akan makna di sebalik ayat Buya.  Andai tak kuat dan tak tabah, boleh jadi Balqish dah gila.  Dia bersyukur untuk itu dan dia begitu bangga demi kesabaran Buya. 
“Sera nak share satu rahsia dengan abang ni…”  bisik Sera tanpa lepaskan pelukan.
Buya senyum tipis.  “Apa rahsia tu?  Sera cerita dekat abang, abang ni boleh simpan rahsia.  Jangan risau…” 
“Rasanya Sera suka dekat abang sejak arwah daddy abang selalu cerita tentang abang dekat Sera.  Buya macam itulah.  Macam inilah.  Masa tu tak tengok muka abang pun lagi.  Abang percaya tak?” 
Buya angguk berkali-kali.  “Abang percaya.  Sera pun kena percaya yang abang pun jatuh cinta pada pertama kali tengok Sera…”
“Iyer ke?  Bukan abang berkasar ke dengan Sera macam tu?”  Sera kedengaran curiga. 
Buya ketawa. 
“Sera cantik sangat.  Abang rasa tercabar sebab ingatkan Sera mak tiri abang.  Siapa boleh tahan ada mak tiri muda belia cantik jelita…” 
Giliran Sera pula ketawa.  Dia leraikan pelukan biarpun tangan Buya masih tak lepas memeluknya.  KEdua belah telapak tangan mendarat pada dada Buya. 
“Sera suka tengok abang senyum dan ketawa macam ni.  Patutnya Sera tak payah layan sangat hati merajuk.  Kalau tak, kita tak rugi masa bahagia bersama, kan?” 
“Eh… silap abang.  Patutlah kalau Sera merajuk.  Itu abang bersyukur sebab Sera merajuk.  Kalau Sera marah dan benci abang… lagilah haru.  Tapi, malam tu sebenarnya abang Cuma nak sedapkan hati Balqish.  Sera mungkin tak tahu tapi Balqish dia istimewa sikit…”  Dia berat hati nak cakap keadaan Balqish pada Sera sebenarnya. 
“Sera tahu dia istimewa.  Sera faham.  Cuma malam tu, sebab terkejut… akal waras tak boleh nak cerna apa-apa sebab hati sangat-sangat sakit.  Sera pertahankan abang sehabis daya tapi Sera rasa abang tipu Sera.  Sebab tu Sera merajuk…” 
“Sekarang, abang pujuk…”  Buya kenyit mata.  Dia kucup pipi isterinya dan Sera ketawa kecil. 
“Sera dah lama terpujuk dah…”  jawab Sera. 
“Ya, abang tahu.”
“Abang pernah cakap dekat Sera, kalau kata Sera tak bahagia abang nak biarkan Sera dengan keputusan sendiri, kan?” 
Dahi Buya berkerut.  “Sera tak bahagia ke?”  Dadanya berdebar tiba-tiba.
Sera senyum.  Debaran Buya reda.
“Sera sangat-sangat bahagia.  Cuma Sera rasa rugi sebab merajuk daripada awal.  Kalau tak, dah banyak bahagia kita bersama…”
“Better late than never.  Lagipun, itu semua jadi pengajaran…”
“Kira sekarang ni, aci lagi ke janji abang tu?” 
Buya angguk.  “Abang nak Sera bahagia.  Tapi, abang harap abanglah punca Sera bahagia…” 
“Ya, memang abang punca Sera bahagia.  Sebab tu, apapun jadi esok hari biarpun tak mudah untuk kita dengan apa yang sedang jadi sekarang, kita kena bahagia.”
“Ya, abang akan bahagia.  Sera pun kena bahagia…”  Buya kedengaran yakin. 
Dia paut tubuh isterinya ke dalam pelukan.  Entah bagaimana dia mahu ceritakan pada Sera tapi anehnya, Sera tak tanya langsung tentang apa yang dibualkan dengan Balqish atau isterinya sengaja tak mahu bebankan suasana yang sudah begitu memberat dan menyesakkan. 
“Sera tak tahu kenapa, Sera rindu abang sangat sekarang…” 
“Hurmm… lain macam aje rindu tu…”
“Lain eh?”  Sera ketawa.
“Biasa abang aje yang asyik cakap rindu.  Malam ni Sera pulak.  Abang mula rasa aneh ni…”  Dia tolak bahu Sera dan melemparkan pandangan penuh syakwasangka.  Sekadar gurauan. 
“Sera sendiri tak tahu tapi Sera rindu abang…” 
“So?”  Kening Buya terjongket. 
Perlahan-lahan, Sera buka butang baju Melayu Buya satu persatu-satu.  Buya lebarkan senyum.  Apatah lagi bila Sera memeluknya sekali lagi.  Erat daripada sebelum-sebelumnya. 

Dan Sera… menyepi.  Kerana dia bimbang, jika bersuara… esakan yang akan menjadi kata-kata.  

4 comments:

  1. Adehhhh.... Sera... Sera. ... Awt la trlalu baik sgt Ni.... Tq tripple update 😘

    ReplyDelete
  2. Adehhh.. Masing2 cuba nk bahgiakan org lain yg disayangi. Balqish je yg penting diri

    ReplyDelete
  3. buta.. balqish masih buta... moga ada kesedaran yg tidak terlewat utk kau balqish...

    ReplyDelete
  4. balqish tu kene diajarkan utk melepaskan... heheheh

    ReplyDelete