Sunday, March 17, 2019

Kau Bicara Tentang Cinta 46

TIDAK dapat tidak, Buya perlu masuk pejabat hari ini dan saat ini, Sera ambik kesempatan balik ke rumah mak su dengan izin Buya yang pastinya.  Inipun Razman yang hantarkan.  Buya tak nak dia penat atau tak nak dia susahkan Riz atau Naz datang jemput.  Jauh sekali nak dia guna Grabcar atau apa saja pengangkutan awam lain. 
Sebaik saja dia tiba, Riz, Naz dan Uncle Malik dah ada menanti.  Sera duduk di sisi mak su.  Tangan tua itu dipegang kemas bersama ulas senyum yang nampak sedikit tawar.  Dia tahu semua orang dah tahu.  Tiada apa lagi yang dia mahu sorok atau ceritakan.  Berkali-kali dia buka cerita pun, segalanya tetap sama.  Tiada apa yang berubah tapi dia yakin sesuatu… dia akan mampu ubah sesetengah perkara agar kerosakan itu masih dapat dibaiki biarpun mungkin tak sama seperti sedia kala. 
“Lama dah Uncle Malik sampai?” 
“Baru aje.  Air pun baru minum seteguk,” seloroh Uncle Malik. 
“Korang berdua EL ke apa?” 
Riz geleng perlahan.  “Aku cabut kejap aje.  Nak jumpa kau.  Nak pastikan kau okey…” 
“Aku pun sama.  Ini dah tengok kau, aku nak balik ofis dah kejap lagi…”  Naz pula menyambung. 
“Kau okey, Sera?”  Soalan Riz berbaur resah. 
“Aku okey.  Aku pegang nasihat kau,”  balas Sera dengan suara dan riak wajah yang meyakinkan. 
Riz hela nafas lega.  Dia pandang Naz.  “Kita dah tengok Sera okey, jom kita gerak.  Aku drop kau dekat ofis kau…”  ajak Riz. 
Naz pandang Sera.  Ya, dia tahu mereka perlu berlalu memberi ruang Sera menyelesaikan apa yang perlu.  Dia tahu bila sebaik tiba tadi, Uncle Malik juga ada sama.  Dah tentu tentang harta peninggalkan Dato Bakri. 
“Nanti aku call…”  Naz tinggalkan pesan sebelum menghilang bersama-sama Riz. 
“Ini yang Sera mintak tolong tu?”  Uncle Malik menarik kertas putih daripada sampul surat.  Diletakkan depan Sera. 
“Tapi, betul ke Sera nak bagi semua ni pada Buya dan Balqish?”  Dia bukan apa… argh sudah… kepalanya sendiri buntu. 
“Saya tekad, uncle.  Dah sampai masanya.  Tanpa apa-apa syarat.  Kalau sebelum ni banyak sangat syarat sampaikan semua benda tergantung dan terkait.  Sekarang, semua dah tahu apa yang dah jadi antara orang tua kami, saya dengan mak su dah lama maafkan semua orang.  Harta ni tak bagi apa-apa makna pada kami.  Patut hal ni dah selesai lama tapi silap saya sebab bagi banyak syarat sampaikan ini tertangguh dan menyusahkan ramai orang.  Uncle lebih-lebih lagi…” 
“Tak, Sera.  Dah tugas uncle.  Sera jangan cakap gitu…”  Jujurnya, dia juga bersyukur sangat bila Sera benar-benar dah nampak bahagia di samping Buya.
Sepertinya, segala beban amanat yang dia galas selama ini terlepas. Cuma tak sangka, masalah lain pulak yang timbul. 
“Apapun, terima kasih sebab dah bantu saya selama ni…”  Sera tarik pen daripada beg tangannya dan terus dia turunkan tandatangan. 
Tak tersisa biar satu sen pun untuknya.  Dia tak perlukan semua ini.  Semua ini hanya menjadi beban dalam hatinya nanti.  Dia pandang mak su dan mata wanita itu nampak sedih namun mak su mengerti dengan keputusannya.  Mereka hanya mahukan ketenangan dan duit ringgit ini tak mampu beli semua itu malah menambahkan beban pula. 
“Kalau betul ini keputusan Sera, uncle akan uruskan…”
“Secepat yang boleh, uncle…” 
“Insyaallah, Sera…” 
“Uncle lega bila nampak Sera dengan Buya bahagia…” 
“Oh… tentang tu patut saya dengan dia dah lama bahagia.  Saya mengaku silap saya layan sangat hati merajuk.  Tak sedar, cepatnya masa berlalu dan masa bahagia untuk kami berdua makin singkat…” 
“Makin singkat?”  Dahi Uncle Malik berkerut. Tak tahu kenapa, Uncle Malik dapat rasakan sesuatu yang sedang dirancang oleh Sera.  Tapi, tak mungkinlah… gamaknya ini hanya fikiran buruk dia saja. 
“Iyalah.  Dengan apa yang jadi.  Otak saya sendiri pun tak boleh nak jana.  Tapi, boleh saya tanya uncle satu benda?”
“Tentang Balqish?”  duga Uncle Malik.
Sera senyum. 
“Buya mesti tersangat sayang dekat Balqish, kan?” 
Seketika, Uncle Malik diam.  Kemudian mengangguk perlahan. 
“Sejak dulu, Buya sangat sayangkan Balqish.  Apa saja untuk Balqish.  Balqish kena bahagia.  Boleh jadi, umur dorang tu agak jauh beza, jadi memang Buya layan Balqish macam puteri.  Dia manjakan Balqish.  Sejak dulu, tiada siapa boleh marah Balqish.  Arwah orang tuanya pun tak boleh marah Balqish…”
Barulah Sera mengerti, betapa pentingnya Balqish pada Buya.  Malah, dia juga dah tahu kenapa Buya tak pernah tinggikan suara pada Balqish biar apa saja terjadi.  Malah malam tu juga, Buya nampak begitu bersalah kerana meninggikan suara pada Balqish.
“Saya tahu dia tak akan bahagia tanpa Balqish, kan?” 
Dengan berat hati, Uncle Malik mengangguk. 
“Kenal dua beradik tu, diorang sangat rapat.  Sebab tu, masa mula-mula dia tahu sebahagian besar harta Dato Bakri tinggal pada Sera dan sikit pada dia dan Balqish, Buya nak bagi semuanya pada Balqish.  Dia tak nak adiknya susah.  Dia susah tak apa.  Dia selalu janji dengan Balqish yang dia akan ada dengan Balqish dalam apa saja keadaan dan berjanji akan sayang Balqish seorang aje.  Tapi, dia maksudkan sebagai seorang abang dan adik.  Tak lebih daripada tu.  Cumanya, uncle sendiri tak sangka yang Balqish memang simpan perasaan pada Buya.  Uncle yakin Buya sendiri terkejut…” 
“Ya…”  Sera angguk.  Memang Buya sendiri terkejut malah dia berkali ganda terkejut demi mengetahui hakikat hubungan dua beradik itu.  
“Tapi sekarang, uncle yakin Buya akan bahagia dengan Sera.  Tentang hubungan dia dan Balqish, biarlah masa merawatnya.  Manusia ni, ada masanya tak boleh nak tamak sangat.  Ada masa, nak genggam dua benda dengan dua belah tangan, tak kuat mana.  Jadinya perlukan dua belah tangan untuk genggam satu-satunya.  Jadi, yang satu lagi perlu dilepaskan.”  Nasihat itu, Uncle Malik tujukan buat Sera sebenarnya bila Sera nampak sedikit goyah kini. 
Dia pandang Sera yang sedang tunduk sejak tadi.  Kemudian pada Saira yang sejak tadi diam tak berkata apa.  Faktor usia gamaknya.  Lidah dan sikap Saira sudah begitu pasif. 
“Uncle rasa, kami akan bahagia tanpa Balqish?” 
Kali ini, agak lama Uncle Malik menyepi.  Dia akhirnya senyum. 
“Buya akan belajar terima hakikat tu…” 
Jawapan Uncle Malik sangat tak meyakinkan hati Sera.  Sepertinya, dialah petualang dalam hubungan dan dalam rumah itu.  Andai tidak kerana dia, dah tentu segalanya berjalan lancar seperti biasa. 
Sera senyum.  “Uncle tolong uruskan ya.  Saya dah serah segalanya.  Saya tak terkait lagi dalam hal arwah Dato Bakri…”  Dia sengaja menukar hala tuju perbualan. 
“Insyaallah…”  janji Bakri dalam senyuman tawar. 



DIA akhirnya tiba tepat pada masa yang dijanjikan.  Balqish sedang menanti di depan kedainya.  Nampak lesu dan tak bermaya tapi pandangan itu masih tajam dan penuh kebencian.  Rasanya, Balqish terpaksa temuinya dengan permintaan yang dia tahu dia tak akan mampu tunaikan. 
“Duduklah…” pelawa Sera.
Dia pandang kedai bunga yang hampir kosong.  Semua stok dia dah hantar pada Auntie Jane.  Hanya ada sedikit bunga lily yang nampak sedikit layu biarpun dalam tempat sejuk.
Gamaknya, lily itu juga sepertinya.  Biarpun didakap dengan kasih sayang Buya, perasaan dan harapannya layu.  
“Kau tak cakap dekat abang, kan?”  soal Balqish memulakan bicara.
Sera angguk dalam senyuman.  Dia nak cakap tapi seluruh hatinya menahan bila mendengar bicara antara Buya dan Zul.  Malah, keputusannya itu dirasakan tepat bila mendengar cerita daripada Uncle Malik pagi tadi.  
“Balqish sihat?”  Sera tetap mesra.  Seperti Sera sedia ada. 
Balqish tak beri jawapan. 
“Buya risau dekat Qish.  Semua orang risau.  Saya pun risau…” 
“Perlu ke kau risau?”  Kala ini, barulah Balqish sunggingkan senyuman sinis. 
“Kalau Qish rasa tak perlu, tak apa.  Tapi, orang lain betul-betul risaukan Qish.  Qish off handphone, Buya dah macam kucing jatuh anak…” 
“Kenapa nak risau macam tu sekali?  Dia dah ada kau…”  Suara Balqish kasar. 
Sera lepaskan nafas pendek.  Sehari dua ni, nafas dia semput betul.  Berjalan sikit mengah.  Makan lebih sikit, mulalah sengkak. 
“Saya dengan Qish berbeza…”
“Apa yang beza?  Cuba kau cakap?  Sedangkan aku jugak perempuan yang boleh bagi apa yang kau bagi pada dia…” 
Sera beristighfar dalam hati.  Dia faham apa yang Balqish maksudkan.  Ya, Balqish juga perempuan yang normal malah lebih cantik dan indah daripadanya.  Boleh jadi Balqish boleh bagi lebih lagi. 
“Dia sayangkan Balqish sangat…”
“Kalau sayang, dia tak akan buat aku macam ni…”  Nada Balqish mula keras. 
Sera raup wajah.  Tak putus-putus menyebut nama Tuhan. 
“Balqish tak faham sesuatu…”
“Tak… aku faham segalanya.  Daddy yang paksa abang kahwin dengan kau dan abang kahwin dengan kau sebab nak dapatkan balik harta tu.  Itu yang abang cakap dekat aku tapi kenapa dia berubah tiba-tiba?  Aku tak faham dan aku sendiri tak faham, sedangkan kau dah dapat segalanya daripada daddy, kenapa kau mesti nak abang?  Dialah satu-satunya yang aku ada?  Tak boleh ke kalau kau tak tamak, Sera?  Tak boleh ke kau korbankan salah satu?  Aku tak nak harta tu pun sebenarnya.  Harta aku sebenarnya hanya abang seorang…”  ujar Balqish dalam nada merayu. 
“Aku pujuk hati aku untuk jumpa kau.  Bukan abang.  Sebab aku masih percaya yang kau adalah seorang yang baik dan bukan seorang yang tamak seperti yang daddy katakan.  Sebab tu aku merayu kau, Sera… kau ambiklah segala harta tu.  Kau bahagiakan dengan harta tu semua.  Aku sanggup keluar daripada rumah tu dan aku akan bagi semua bahagian aku pada kau.  Aku cuma perlukan abang…”  Kala ini, airmata Balqish mula merembes. 
Hati Sera terbersit.  Dahinya berkerut.  Rasa kesal dan simpati kian menghempap diri.  Tapi, Balqish salah faham.  Dia juga tak mahukan semua tu.  Dia hanya ada Buya.  Tapi, dia telah katakan pada lelaki itu, Balqish tak sepertinya yang masih ada mak su. 
“Kalau Buya tu sejenis barang, dah lama saya bagi pada awak Balqish.  Tak perlu awak minta.  Tapi, dia manusia…”  pujuk Sera perlahan.
“Ya, kalau dia barang… aku dah lama rampas dia, Sera.  Tapi, sebab dia manusia baru aku merayu pada kau…”  luah Balqish perlahan bersulam esakan halus.
Tuhan… entah kenapa Sera nampak Balqish lebih mencintai Buya daripada dia mencintai suami sendiri.  Tarian dia dan Buya kian pincang dan hampir tergelincir bahana air mata Balqish yang kian lebat menitis di atas altar tarian bahagia mereka. 
Bagaimana mereka bisa bertahan? 
Lama kelamaan, mereka berdua akan jatuh tersungkur dengan kesakitan yang bukan sedikit. 
“Tak boleh ke Balqish hanya sayang dia sebagai abang dan terima saya sebagai seorang kakak?”  Sera masih cuba memujuk. 
“Aku tanya kau… macam mana kau boleh tukar perasaan kau dalam sekelip mata?  Kau yang baru sekejap bersama dia sedangkan aku seumur hidup…” 
Sera terdiam bila Balqish menyelar.  Ya, yang hidup subur itu tak akan mudah dicantas.  Biarpun dicantas, ia tetap akan bertunas. 
“Balqish yakin ke Buya akan bahagia?” 
“Selama ini dia bahagia.  Dia lakukan segalanya untuk aku.  Andai dia tak terima aku lebih daripada seorang adik pun, aku tetap tak boleh nak tengok dia dengan perempuan lain, Sera.  Selama aku hidup, aku sentiasa sedar yang aku ini yatim piatu yang tak pernah kenal mak ayah sendiri.  Aku tak pernah minta lebih sebab aku tahu abang begitu hargai aku.  Tapi, sekali ini aje aku nak minta… kau pulangkan abang pada aku…” 
Kali ini, luahan Balqish sudah tenggelam timbul digasak esakan.  Sera yang melihat pun turut sama menitiskan airmata.  Dia buntu.  Dia mahu memujuk tapi dia tahu pujukkan tak akan tukar kehendak Balqish dan tak dapat pulihkan keadaan. 
Apatah lagi bila terkenangkan kata-kata Zul dan Uncle Malik tentang hubungan dua beradik  ini. 
Tak, Riz… Sera menafi.  Aku tak pernah mampu berdiri atas derita orang demi bahagia aku.  Jauh sekali untuk aku menapak dan menari. 
Sera tarik kerusi dan berdiri sangat rapat dengan Balqish.  Dia capai tangan Balqish dan sebelah lagi menyentuh pipi mulus itu.  Dia nampak keikhlasan dalam setiap bicara Balqish.  Dia tahu Balqish begitu sayangkan Buya dan antara mereka perlu mengalah untuk kebaikan bersama.  Daripada tiga hati terbelah, lebih baik hanya satu hati saja. 
“Dahlah… jangan nangis.  Saya faham dan jangan risau.  Sebelum kita jumpa ni pun, saya dah buat keputusan.  Sebab saya sangat sayangkan Buya, saya nak dia bahagia dan saya juga tahu, Balqish lagilah sayangkan dia.  Berbelas tahun hidup bersama, saya tak boleh salahkan Balqish bila Balqish ada perasaan tu dan saya juga tahu, Buya tak pernah tenang bila Balqish pergi.  Sejak kali pertama dulu.  Masa tu, saya patut dah sedar tapi saya mati-mati ingatkan Balqish nak balik harta peninggalan tu.  Saya silap fikir Balqish macam tu.  Sekarang ni, saya cuma nak satu daripada Balqish…”  Sera senyum. 
Tangannya turun mengusap bahu Balqish. 
“Balik rumah.  Kita tak akan buat orang yang kita sayang risau.  Balqish balik dulu.  Jangan fikir sangat.  Semuanya akan jadi baik.  Saya janji…”  Sera kerdipkan mata sekali. 

Dahi Balqish berkerut lebat.  Mencari kesahihan dalam setiap kata-kata Sera.  

9 comments:

  1. Aduiiii.. ..Pasaipa mcm sera Ni bg hrpn dia nk beralah dgn keadaan cmni...

    ReplyDelete
  2. Benci ..meluat aku dgn si balqis..spesis paku pakis sungguh

    ReplyDelete
  3. Ni bukan jalan peyelesaian sera...geramnya dengan perangai si balqis ni...

    ReplyDelete
  4. omaiiiiiiiiiii...plss buya buatlah pilihan yg tepat..😭😭

    ReplyDelete
  5. Please buya for once ckear the air and
    Be a man

    ReplyDelete
  6. berkorban demi orang tercinta....begitukah sera nur?

    ReplyDelete
  7. Rasanya balqish ni bkn cinta dh tp obses..
    Tolong la sera jgn beralah

    ReplyDelete
  8. itulah cinta yg meraja dihati.. takkan nampak kasih sayang org lain... kesian tapi marah pd kau balqish... simpati dan lelah pada kau sera...

    ReplyDelete
  9. ishhh sera nk mengalah lagi...

    ReplyDelete