Monday, March 11, 2019

Kau Bicara Tentang Cinta 44

MATA Balqish tajam merenung Zul dan Man.  Dia syak sesuatu kerana itu dia datang ke rumah Abang Zul tapi terkejut bila hanya Man sorang ada.  Mana abang.  Dah dua hari abang tak balik dan abang tak pernah macam ni melainkan ada kerja dekat luar.  Ini, kerja pun tak ada.  Ofis pun tak masuk. 
“Abang Zul tahu kan…”
“Apa yang Qish maksudkan?”  Dah lah muncul tiba-tiba ni.  Dia baru nak pergi heret Buya daripada rumah Sera nak bawak masuk ofis.
Orang gila tu tak nak masuk kerja.  Tak kisah kena kick katanya.  Sera masih pemegang saham terbesar.  Isterinya orang paling berkuasa dalam syarikat ni.  Haih… memanglah, gila!  Nak aje dia maki masa jumpa Buya malam tadi.  Tapi, mak su pulak ada.  Mahu sampai ke telinga ayah, dia pulak kena maki biadap depan orang tua.

“Kot ya pun, masuklah ofis.  Memanglah bini kau tu kira bigbos tapi ada yang kena running.  Kaulah…”  Sakit aje hati dia semalam. 
“Bagilah aku cuti seminggu, Zul.  Aku lepas kahwin mana ada cuti panjang.  Terus masuk kerja.  Bagi aku cuti honeymoon sikit…”  Buya sengih buat muka manja.
“Eh, geli sial!”  Haih… geram sungguh. 
Buya ketawa. 
“Susahlah orang gila kemaruk dengan bini sendiri ni…”  bidas Zul.
“Dah tu, tak akan aku nak kemaruk dengan bini orang lain pulak.”  Buya menyelar.  Zul sengih buat-buat.
“Aku cakap kau cuti tiga hari aje.  Lusa kau masuk kerja melainkan ada hal urgent, aku datang heret kau…”  bisik Zul tak puas hati.
Dia jugaklah nanti yang kena maki dek ayah.  Ayah tu, cubalah percaya dekat dia sikit.  Ini tidak… tak berbaki langsung.  Dia pun boleh berubah macam Buya lah.
“Eh, macam mana korang?”  Tiba-tiba Zul sengih lebar.
Buya kerut dahi.  “Apa hal nak korek rahsia rumah tangga orang pulak?”
“Aku tanyalah, gila!  Okey ke?  K.O ke?” 
“Oh, Alhamdulillah… okey aje.  Tapi itulah.  Aku nak jumpa ayah kau nanti.  Ada benda nak bincang…”
“Tentang wasiat tu lagi?”
Buya senyum.  “Itu hak Sera.  Aku tak kacau.  Adalah hal lain.  Nanti, bila dah jumpa kau ikut sama.  Aku malas nak cerita benda sama dua tiga kali.  Dan Man, mintak tolong tengok-tengokkan Balqish.  Kalau dia tanya aku, kau pandai-pandailah bagi alasan.  Aku tahu dia tak sedia lagi untuk tahu keadaan aku dengan Sera sekarang…”  pinta Buya pada Man.
Man angguk.  Akur.  Tapi, pening kepala.  Mustahil Balqish nak percaya bila dia dan Buya, tak pernah berpisah.  Melainkan bila Buya masuk tidur aje.  Itupun pernah aje diorang tertidur sama-sama dalam kereta atau dekat ofis.  Dah biasa sangat.  Itu yang buat Man lagi kecut sebenarnya. 
“Abang Zul mesti tengah carik idea nak tipu Qish, kan?” 
Sergahan Balqish membawa Zul ke alam nyata.  Buya punya pasal, dia pulak sakit kepala.  Dia kerling Man yang buat-buat pandang ke lain.
Teruk betullah Si Rizman ni.  Tak boleh pakai!  Zul lepas nafas pendek.  Tersenyum pada Balqish.
“Dia ada mesyuarat urgent, Qish…”
“Jangan nak bohong.  Qish tak call ofis dia.  Diorang cakap tak ada apa-apa meeting urgent dekat luar…”
“Dah nama urgent, ada masanya terus sampai ke telinga Buya.  Tak sempat nak lalu ofis pun.  Itu yang dia terus pergi.  Kan Man?  Kau yang hantar kelmarin.  Betul tak?”
“Hah?  Hah… ya ya…”
“Itu lagilah nampak sangat korang berdua cuba bohong.  Bila masa kalau abang pergi mana-mana dia suruh Man balik?!”  Nada Balqish mula meninggi. 
“Eh, dah nama urgent… memang taklah pergi dengan kereta.  Zul hantar dia pergi KLIA…”
“Abang pergi mana?”  Dahi licin Balqish berkerut.
Zul pandang Man dan Man pandang Zul. 
Satu…
Dua…
Tiga…
“Langkawi…”  Suara Zul dan Man bercantum menjadi satu.
Fuh… lega.  Nasib baiklah teknik renungan kecemasan antara mereka bertiga yang selama ini dilatih tanpa jemu, menjadi.  Zul simpan senyum.  Man juga.  Balqish nampak termangu.  Dia betulkan duduk.  Susah sangat nak percaya. 
“Qish check dengan airlines…” 
“Airline mana?” 
“Kalau bukan MAS mesti Air Asia ajelah, kan?”  tempelak Balqish geram.
Zul gamit Balqish yang dah nak berlalu.  Menggeleng sambil berdecit kecil. 
“Qish bukan budak dua tahunlah.  Qish dah dewasa kot.  Biarlah Buya tu buat kerja dengan tenang.  Esok dia balik dah.  Bagi dia uruskan semua benda dengan tenang.  Yang Qish sampai nak check flight dia dengan airline tu dah kenapa?  Come on, Balqish.  Grow up, please…”  sindir Zul. 
Dia redupkan pandangan pada Balqish dan terus mengajak Man keluar.  Perkara pertama adalah maklumkan pada orang ofis Buya tentang perkara ini.  Nanti tak pasal-pasal jadi lain pulak. 
“Saya kan, Encik Zul… bila sesekali tengok Cik Balqish tu, rasa macam dia tu bini bos pulak,” komen Man perlahan.
Zul ketawa tiba-tiba.  Man kerut kening.  Jarang sangat Man komen benda-benda macam ni.  Rasanya tak pernah.  Ini mesti kes tak tahan sangat dengan perangai Balqish. 
“Eh, samalah aku.  Aku ni sejak dulu lagi memang ada masa meluat pun ada.  Tapi, salah Buya jugak.  Manjakan sangat adik dia.  Memanglah patut dia manjakan.  Dah adik dia.  Mak meninggal awal.  Diorang pun jauh jugak beza umur.  Tapi pada-padalah.  Kau tengok, sekarang nak melekat aje.  Susah nak faham budak ni.  Dia tahu tak, sayang adik dengan sayang bini tu lain.  Kasih sayang yang Sera boleh bagi dekat Buya dengan dia bagi beza langit bumi.  Pelik betul.  Rasanya lepas ni, kalau Buya tak pernah tangankan Si Balqish ni, mahu aku yang tangankan dia…”  Zul meluahkan rasa geram sebaik saja masuk ke dalam perut lif. 
Cabut awal sikit.  Sesak nafas ada dalam ofis bila Balqish muncul tiba-tiba. 
“Tapi, risau pulak saya…”
“Pasal apa?” 
Man diam beberapa ketika. 
“Bos mesti ajak Cik Puan balik rumah, kan?”
“Dah berbaik.  Mestilah.  Kenapa yang kau kerut kening tu?  Tak suka?”
“Tidaklah tak suka, Encik Zul… saya suka aje.  Cumanya, rasa tak sedap hati.  Saya tahu Cik Puan tu jenis tak melawan.  Kalau kata Cik Balqish buat macam-macam lagi…”  Kerisauan jelas terpancar pada wajah Man.
“Kau jangan risaulah.  Aku pasti Buya dah ambik precoutious untuk mana yang patut.  Kalau tak jugak, aku ajak kau bawak Sera lari dok jauh-jauh.  Biar padan muka Buya…”  Zul ketawa.
“Waaa… berani jugak Encik Zul belot bos, ya?” 
“Eh, kau ni.  Aku gurau ajelah.  Kau jangan cakap dia pulak…”  Zul letak jari telunjuk rapat ke bibir. 
Man senyum.  Tahu takut…
“Aku tak takut.  Aku sayang hubungan kami.”
Ehhhh… Zul mengerling.  Boleh pulak dia teka apa yang bermain dalam kepala.
“Aku dengan Buya ni… bukan kau tak tahu.  Kalau lelaki boleh kahwin dengan lelaki, tentu dah aku kahwin dengan Buya.  Tapi itu haram dan aku normal.  Kau jangan risau…”  Zul ledakkan tawa sekali lagi bila Man nampak menjauh.
Kelakar betul Man ni. 
Tapi, jujurnya… hati sendiri turut risau.  Dengan sikap Balqish. 



SEJAK semalam, dia memang berat hati nak ikut permintaan Buya tapi kerana keyakinan mak su, dia ikut juga.  Ya, keyakinan mak su kerana masih tersimpan rasa curiga setelah apa yang terjadi. 
Sejak tadi, kereta dah berhenti di depan rumah.  Buya pula sedang berbincang dengan Man.  Dia tak tahu tentang apa.  Hanya dia yang masih melekat di dalam perut kereta.  Tak ada rasa nak keluar.  Bimbang… ya, tersangat bimbang. 
“Hey, kenapa tak keluar?”  Buya lebarkan pintu.  Tadi dia dah bukak tapi Sera masih membatu.
“Saya nak balik rumah mak su…”
“Sayangggg…”  Buya masuk ke dalam perut kereta semula.  Tangan Sera digenggam kemas. 
“Abang tahu apa yang Sera rasa tapi boleh tak Sera percaya abang sikit.  Tak banyak abang minta.  Sikit aje.  Biar semua kepercayaan Sera pada abang pulih sikit demi sedikit.  Abang tak paksa.  Cuma, abang minta sikit.  Abang dah janji akan jaga Sera.  Abang akan lindungi Sera biar apa pun jadi.  Abang tak akan mungkir janji…” 
“Ya, saya tahu.  Tapi, manusia diminat jangan berjanji bila masa gembira…”  Ayat yang diluah sangat mendalam. 
Buya angguk mengerti.  “Tapi, abang janji dengan Sera masa hati dan diri abang sendiri tengah berduka, Sera…”  Lengan Sera dipaut dan ditarik perlahan.
“Dah lewat malam.  Abang kena tidur awal.  Lagipun, abang tahu Sera penat.  Kita masuk…” 
Barulah Sera keluar daripada kereta.  Matanya terpejam.  Dua kali dia keluar daripada rumah ini dan andai kali ketiga Buya menjadi sebab dia angkat kaki daripada rumah ini, dia tak akan kembali lagi.  Selamanya. 
“Courage, sayang…”  bisik Buya dan menarik tangan Sera.    
Mereka berjalan beriringan.  Dan baru saja dua langkah melewati ambang pintu, bunyi tepukan memecahkan hening ruang rumah yang begitu sepi.  Bergema.  Apatah lagi diselangi gelak tawa. 
“Qish tak tidur lagi?”  soal Buya sambil menarik tangan Sera agar isterinya itu berdiri lebih rapat. 
“Macam mana nak tidur.  Qish dah dua malam risaukan abang Qish tak balik.  Call tak dapat…”
“Telefon abang tak ada bateri.  Abang lupa bawa charger…”
Balqish kian ketawa.  Kelakarnya alasan.  Macamlah dekat Langkawi tu tak ada kedai elektronik sampaikan tak boleh nak beli charger. 
“Tak tahu pulak Langkawi tu mundur sangat sampaikan nak beli charger pun tak boleh…”  Kaki Balqish mendekat beberapa tapak. 
“Atau sebab abang sengaja nak menyepikan diri, taknak diganggu sebab abang tengah bulan madu dengan bini abang?  Gitu?”  Balqish menuduh.
Buya senyum tipis.  Dia dah agak ini yang akan terjadi.  Zul dengan Man dah cakap pada dia.  Cumanya tadi, dia harap semua ini terjadi esok.  Dia pandang Sera.
“Sera naik atas dulu.  Kejap lagi abang naik…” 
“Saya…”
“Naik dulu, ya.  Tukar baju ke atau apa-apa ajelah.  Nanti abang naik.  Tolong sediakan baju kerja abang untuk esok sekali kalau Sera larat…”  Buya senyum.  Memberi keyakinan yang semuanya akan baik-baik aje. 
“Iyalah…”  Sera akur.  Dia langsung tak memandang pada Balqish yang sejak tadi merenungnya bagai tembus ke belakang. 
“Kenapa, Qish?  Dah tengah malam nak buat drama.  Abang penat.  Abang baru sampai rumah, Qish dah macam ni…”  Buya jelas kecewa. 
“Oh, penat.  Habis tu, Qish ni tak penat dok tanya sana-sini abang pergi mana?  Selama ni abang tak pernah macam ni.  Sebab perempuan tu…”
“Qish…”  Buya sekat suara adiknya. 
“Perempuan tu, kakak ipar Qish.  Isteri abang.  Qish nak biadap dengan abang sekalipun, silakan.  Tapi, jangan dengan dia.  Tak mudah untuk dia terima pujukan abang balik ke sini…”
“Eh, abang.  Dia yang keluar.  Kita tak halau!”
“Jangan bohong diri sendiri, Qish.  Qish tahu kenapa dia keluar…  dia keluar sebab kita.  Padahal dia berhak dalam rumah ni.  Dia berhak ke atas abang…”
Waktu ini, mata Balqish merah.  Marah dan sedih.  Entah kenapa, hatinya tak ubah dihiris berkali-kali dengan belati tumpul.  Abang yang selama ini tak pernah menyakiti hatinya, dengan begitu tegar membuatnya terluka hanya kerana seorang perempuan seperti itu.
“Kiranya sekarang, Qish nampak abang sanggup buang Qish demi dia…”
“Kalau Qish tak bagi abang pilihan…”  pangkas Buya.
Balqish nampak terkedu.  Bibir diketap.  Dada yang berdebar, terus berdetak laju.  Menahan darah yang sepertinya mengalir menongkah arus. 
Marah.
Geram.
Dendam. 
“Dahlah, Qish… abang penat.  Esok abang ada hal penting nak urus.  Kita bincang nanti.  Bukan sekarang…”  Buya memasang langkah bila Balqish melelar pergelangan tangannya. 
“Kan abang dah cakap…”  Buya toleh nak membentak tapi tingkahnya mati bila airmata Balqish meleleh laju.
“Qish hanya ada abang dalam hidup, Qish.  Biarpun lepas daddy bagi segalanya pada Sera, Qish yakin Qish masih ada abang…”
“Qish, tentang harta tu… itu memang milik Sera.  Abang tak nak nafikan apa-apa lagi.  Qish tak tahu tapi nanti, abang kan ceritakan pada Qish.  Masa tu abang harap Qish faham…” 
Tak semena, Balqish ketawa.  Kuat.  Pegangannya pada lengan Buya kian kejap.  Sera juga sudah ada di tengah anak tangga.  Risau jika Buya sakiti Balqish.  Saat matanya bersabung dengan Buya, dia menghantar isyarat agar Buya tak kasari Balqish. 
“Abang ingat Qish tak tahu tentang kisah lalu antara daddy dengan orang tua dia?”  Tawa Balqish terus meledak.  Tawa yang bersulam airmata. 
“Qish lebih dulu tahu daripada abang.  Qish cuma tak nak cakap aje.  Sebab tu Qish cakap, bila semuanya tu memang asalnya bukan untuk kita… buat apa Qish nak lawan semua tu.  Paling tak, daddy masih tinggal sikit untuk kita, kan?  Qish yakin masa tu kita boleh teruskan hidup.  Biarpun tak mewah tapi Qish yakin, kita akan bahagia.  Tapi, Qish silap.  Qish memang sendiri.  Janji abang, semua tipu…”
“Jadinya, Qish dah tahu…”
Balqish koyak senyum pada hujung bibir.  Jangan ingat kerana harta tu dia jadi macam ni.  Tak. 
“Qish tak cakap dekat abang…”
“Kenapa?  Qish tak pernah gilakan harta daddy.  Qish hanya perlukan abang…”
Buya pandang Sera seketika sebelum memandang Balqish.  Terkejut.  Bingung.  Sejak bila Balqish tahu? 
“Ya, abang sentiasa ada untuk Qish…”
“Stop lying, Bunyamin…”
“Balqish!”  Buya hampir menjerit.  Pertama kali Balqish menyebut namanya dengan begitu keras dan egois. 
Adiknya itu menjauh beberapa tapak.  Sera pula sudah ada di sisi Buya.  Bersiap sedia untuk menyanggah andai tangan Buya ringan hendak menampar Balqish.  Seperti yang pernah arwah Uncle Bakri pesan, Balqish anak yang manja. 
“Abang buang Qish sedangkan Qish perlukan abang lebih daripada segalanya…” 
Saat ini, dahi Buya berkerut lebat.  Dia tak faham.  Kenapa otaknya mentafsir sesuatu yang lain dalam ayat yang Balqish luahkan.
“Abang sayangkan Qish lebih daripada segalanya.  Qish satu-satunya adik…”
“Again… stop lying.  Abang tahu kenyataannnya…”
“Kenyataan apa?”  Dada Buya kian berdebar.  Dia pandang Sera dan menggeleng tanda tak faham.  Atau sebenarnya…
“Qish tahu…” Balqish senyum tipis. 
Tuhan… Buya raup wajah.  Salah dia.  Ya, salah dia.  Tapi…
“Sejak bila?” 
“A few years…”  Airmata Balqish terus mengalir.  Hatinya sakit namun ada rasa lapang menyapa hati.  Beberapa tahun menjadi pelakon, sangat sukar untuknya.   
“Katakan apa yang abang fikirkan ni… adalah salah, Balqish,” rayu Buya. 

Namun, bila Balqish menggeleng… dia hampir terduduk andai Sera tak paut pinggangnya.  

32 comments:

  1. Apa pulak la ulah si balqis ne.. Jgn ckp dy bukan adik kandung buya n dy dah jatuh cnt ngn buya sudah...

    ReplyDelete
  2. Balqis anak angkat..?jatuh cinta dgn buya la tu...

    ReplyDelete
  3. Aduiiii...apa kes pulak balqis nih....

    ReplyDelete
  4. Aduiiii
    Apa kes pulak balqis nih

    ReplyDelete
  5. Balqish anak angkat. N jatuh cinta dgan buya. No.

    ReplyDelete
  6. Aduhai.dh kelam balik nik..bukan sekadar mendung..angin semkin bertiuo kencang nampaknya

    ReplyDelete
  7. Omg incest. Balqis is in love with. Buya. اَللّهُ jauhkan dan berikan balqish ke pangkal jalan

    ReplyDelete
  8. Dramaaaaa. Apa lagi yang yang menjadi rahsia ni? Adik bukan adik? Adik suka abang? Fuh!

    WidadAmsyar

    ReplyDelete
  9. Jgn kata bkn adik beradik...sktnya hati...kesian sera nur

    ReplyDelete
  10. Ingatkan dah nampak sinar bahagia,aduss.....

    ReplyDelete
  11. Aduhhh..balqish ade hati dgn Buya?
    Not biological sibling?
    Pls RM, nk next chapter..lame nye weekend.. 😓

    ReplyDelete
  12. Apakah?? Balqis jatuh cinta ke kt Buya? Mati la nak tunggu next weekend pulak baru boleh tau.. **nak nagis**

    ReplyDelete
  13. Ni balqish ni anak angkat kot yg sukakan abg angkatnya

    ReplyDelete
  14. I guess...Balqish anak angkat Bakri. And adik Sera Nur. Seraaammm

    ReplyDelete
  15. Berselirat citer ni... adoi haii. Buku kan sahaja lah ms rehan. X larat nk tunggu minggu depan nuuun

    ReplyDelete
  16. Kalau tidak berselirat bukan cikRM la tu😄😄😄 sbb tu saya sukaaaaa nau baca tulisan cikRM. Keep it up. Luv u ketat2. Tengkiuuuu😙😙😙

    ReplyDelete
  17. 6 hari tu lama nau nk nunggunya.. stess mak. Tp i like the story line

    ReplyDelete
  18. haha.. ni kalau kena lempang si balqish ni..baru melalak... ada je nk buat kacau

    ReplyDelete
  19. aduuh,balqish nie kacau je tau..

    ReplyDelete
  20. aduuh,balqish nie kacau je tau..

    ReplyDelete
  21. Apa yg balqidh tau,, btw buya u can do it.. Aq rasa hang la paling sakit n teruji skrg. .So sbbkan hang laki so aq expect more realistic tapiiiiiii realistic macam mna pon hati adik kna jaga, lesian dia sensorg..huhu.. Semoga berbahagia bersama semua.. Knye

    ReplyDelete
  22. Banyak Rahasia Hati yg mulai terungkap. Bacanya ikut was-was sama kebenaran tentang Balqis dan Buya...Seraaaa tolong pertahankan Buya apapun yang terjadi.

    ReplyDelete
  23. Kalau adik bradik angkat ok lagi. Jangan jatuh cinta dengan abang kandung sendiri pula.

    >>n.h<<

    ReplyDelete
  24. nak lagiiiiiiiiiiiiiiiii 😍😍😂😂😂😭😭😭 the suspense is killing me hahA

    ReplyDelete
  25. adoii..please laa sera..jgn terlalu bermurah hati.. cari jln lain.. win2 situation.. buya patut jadikn ni pengajaran ..memanjakn akan memudaratkn..see... untung dpt wife hati suci... tp sakan kena redah dugaan yg kau heret buya...

    ReplyDelete