Sunday, March 03, 2019

Kau Bicara Tentang Cinta 41

SEJAK tadi, Riz hanya memandang Sera.  Dipandang aje makanan tanpa dijamah sedikitpun.  Air pun tak diminum.  Padahal Sera yang beria nak makan dekat gerai ni.  Tempat mereka bertiga selalu lepak.  Kali ini tanpa Naz.  Naz tak boleh nak keluar.  Banyak kerja urgent.  Naz yang memberitahunya Sera perlukan teman.  Mujurlah dia kerja luar.  Habislah awal sikit.   
Riz tahu.  Sera malu dengannya.  Setelah apa yang terjadi dan setelah Sera pertahankan perasaannya pada Buya.  Entahlah.  Dia tak tahu nak cakap apa dah sekarang.  Pada mulanya, dia memang nak tuding seluruh jari pada Buya tapi beberapa hari lepas, segalanya berubah biarpun tak sepenuhnya.
Dia lelaki.  Jadi, dia tahu perangai lelaki dan dia dapat baca perasaan Buya di sebalik pandangan mata yang basah. 

“Kalau kau tak nak makan, kita balik ajelah…”  ajak Riz tiba-tiba.  Risau juga kalau Sera tak selesa. 
“Eh, aku baru nak makan ni…”  Tangan Sera mencapai garpu dan sudu. 
Riz sengetkan bibir.  Sinis.  Baru nak makan apa, makanan dah dekat sejam terhidang depan mata.  Mahu dah sejuk.  Ais pun dah mencair. 
“Aku order air baru…”  Dia baru nak angkat tangan bila Sera menahan.  Menggeleng.  Melarang dalam diam.
“Ini pun okey.  Tapi…”
“Tapi apa lagi, Sera?”  Riz tongkat siku atas meja.  Dia pandang Sera sepenuhnya.  Bersedia untuk mendengar segala luahan hati wanita yang paling dia sayang ini.
Selama ini, Sera banyak sorok daripadanya.  Ini pun ada yang dia paksa Naz bagitahu.  Dia tahu, Sera tak nak dia kecewa.  Tapi, sebagai apa?  Andai sebagai sahabat dia memang akan kecewa bila melihat kawan baiknya menderita padahal dia berharap Sera bahagia. 
Sebagai lelaki?  Riz geleng sendiri.  Dia dah lama kuburkan perasaan itu demi sebuah persahabatan. 
“Kenapa kau geleng?”  tanya Sera.
Riz senyum. Tipis.  “Aku geleng sendiri sebab aku tahu kau malu dengan aku, Sera.  Kau segan.  Sebab tu selama ni kau tanggung sendiri.  Hari ini pun kalau aku dah paksa kau, tak desak… kau tak akan bagi aku teman kau dan aku sebagai kawan… tak akan tinggalkan kau dalam keadaan susah.  Itu janji aku dan Naz.  Itu janji kita bertiga.  Sekarang, kau buat macam ni… sepertinya kau dah letak gap dalam hubungan kita.  Adakah sebab aku cintakan kau?  Kau rasa terancam untuk meluah dengan aku?”  Ada nada kecewa pada akhir soalan Riz. 
Mata Sera nampak berkaca.  Sebahagiannya, dakwaan Riz tepat.  Sebahagian lagi kerana dia tak mahu menyusahkan kawan baiknya.  Dia mahu tanggung sendiri.  Dia tahu dia yang cari masalah.
“Hati aku rasa berat sangat, Riz…”
“Sebab keputusan yang kau sendiri buat?”  Riz menduga.
Sera diam.  Mengetap bibir.  Sudu dan garpu diletak semula.  Riz kecewa.  Kesal. Patut dia bagi Sera makan dulu kenyang-kenyang.  Tak pasal-pasal dia menyumpah diri sendiri. 
“Sebab ingkar nasihat mak su aku…”
“MasyaAllah, Sera Nur… ingkar nasihat itu dah lama.  Lepas tu mak su restu.  Dia datang lagi ke majlis kau.  Dia tak abaikan kau.  Apa yang jadi lepas kau nikah dengan Buya adalah sesuatu yang tak ada siapa tahu, Sera.  Andai aku lebih dulu tahu, aku lama dah bawak kau lari ke mana-mana.  Hakikatnya, berbeza.  Kita tak boleh nak duga hati perut orang.  Cumanya sekarang, aku tak salahkan Buya sepenuhnya…”
“Kiranya kau nak salahkan aku buat keputusan macam tu?”  Hati Sera dipalu sayu.  Dia harap sangat saat-saat ini, paling tidak Riz menyebelahinya. 
Bukan kerana dia mahu Riz salahkan Buya.  Tidak.  Dia cuma mahu sedikit kekuatan.  Riz tak tahu, sukarnya dia untuk teruskan segalanya setelah apa yang terjadi. 
“Tidak sama sekali, Sera.  Macam aku cakap, apa yang jadi bukan dalam kawalan kita.  Aku tak dok tempat kau, jadi aku tak boleh nak cakap banyak.  Cuma pada aku, aku tahu kau sangat cintakan Buya dan aku nampak Buya pun sama…”
“Cinta dia ada harganya, Riz!  Kau lupa!”  Sera hampir tepuk meja.  Matanya tajam.
Riz telan liur.  Terkejut.  Begini sekali kecewa yang menghempas hati lembut Sera.  Benarlah bagai dikata.  Sabar dan lembutnya wanita usah dicabar.  Begini sudahnya. 
“Aku mintak maaf.  Tapi, aku hanya nak kau bahagia…”
“Dah tu kau rasa aku akan bahagia dalam rumah tu?  Gitu?”
Riz terdiam disergah sekali lagi.  Dia larikan pandangan ke lain.  Tak sanggup lagi nak pandang Sera sebenarnya tapi dia tiada pilihan lain.  Mata redup yang begitu mendung itu direnung lagi. 
“Sekarang ni, kau nak buat apa?  Kau cakap… aku akan cuba tunaikan mana yang kau rasa terbaik…”  Nada Riz rendah.  Memujuk.
Sera gigit bibir bawah. 
“Bawak aku lari?” 
Tak semena, Riz ketawa dengan bicara Sera.  Kelakar.  Gamaknya, Sera ingat dia serius bila cakap pasal ni tadi.
“Sera, itu perumpaan aje.  Kau sendiri tahu aku tak akan buat macam tu.  Macam mana sayang pun aku dekat kau, aku tak akan bawak kau lari.  Nak-nak sekarang kau isteri orang.  Ini pun aku rasa bersalah sangat jumpa kau di belakang Buya tapi aku yakin, Buya faham dengan situasi sekarang.  Entahlah, Sera…”  Belakang Riz bengkok.  Tersandar lemah pada belakang kerusi plastik. 
Sebelah tangan menggendang meja.  Mata masih tunak pada Sera. 
“Aku minta maaf.  Aku tak patut gelak.  Tapi, aku tergelak sebab aku tahu… kau tak maksudkan macam tu.  Kau tak akan bahagia walaupun aku bawak kau lari ke hujung dunia sekalipun.  Sebab bahagia kau, kau dah tinggal dalam rumah tu, Sera… dengan Buya…” 
Sera masih menyepi.  Kali ini, tangannya laju menyeka airmata agar tak gugur. 
“Sera Nur, percayalah pada aku biarpun untuk kali terakhir…”  rayu Riz. 
Mata bertentang mata.  Lama. 
“He loves you like crazy…”
“He lied to me…”
“He was…”  Riz mengingatkan. 
“Sekarang ni, apa yang menyekat kau?  Aku tak percaya Sera yang aku kenal lebih dua puluh tahun ni ada hati yang keras macam ni?  Sera yang aku kenal sangat pemaaf.  Hati dia tulus dan bersih.  Dia tak akan sakiti semut pun.  Macam mana dia sanggup sakiti hati orang lain?  Lebih-lebih lagi hati sendiri?  Kau sedar tak… kau sedang toreh hati kau sendiri, Sera?” 
Waktu ini, airmata Sera makin menitis.  Luruh.  Makin diseka, makin laju air jernih itu menjunam. Kepalanya juga makin menekur ke riba sendiri. 
“Maafkan dia, Sera…”
“Ya… aku dah maafkan.  Tapi, aku tak boleh bersama dia…”
“Atas sebab apa?”  Riz menggiat. 
“Macam mana aku sanggup buat Buya pilih aku dan tinggalkan adiknya?”
“That’s it…”  Sudahnya, Riz yang tepuk meja.  Dia mengeluh.  Buat tak tahu aje bila ada mata yang memandang. 
“Itu kan masalah sebenarnya?  Bukan sebab Buya?” 
Sera diam. 
“Pedulikan budak tu, Sera.  Dia tak tahu apa-apa pun…”
“Tak, Riz… aku dan Balqish akan terus berantakan dan Buya akan jadi serba-salah.  Dia tak kan lepaskan adik dia sendiri.  Dia juga tak boleh tamak untuk dapatkan aku.  Lagipun, setiap kali aku pandang dia… tipu kalau aku tak ingat apa yang jadi malam tu.  Telinga aku masih jelas dengar apa yang dia cakap.  Aku ni cagaran aje, Riz…”
“Ya, Sera.  Aku nampak Buya jadikan kau cagaran.  Tapi, cagaran untuk kau terus ada dengan dia.  Lelaki seperti Buya, tak sama dengan aku, Sera.  Aku pengecut.  Andai aku luah perasaan aku dekat kau lama dulu, boleh jadi hati kau juga akan terbuka untuk aku.  Tapi, aku terlalu berhati-hati sebab takut hilang kau.  Buya pula sebaliknya.  Dia begitu tekad mengaku yang dia sayangkan kau.  Sebab dia tahu yang kau bahagia dengan dia.  Kau dah maafkan dia.  Entahlah Sera… aku tahu kau serba-salah.  Sebab tu aku kata hati kau hati yang baik.  Yang tak sanggup mungkir janji dengan adik dia… kau lukakan hati sendiri.  Cuma sekali aku rayu.  Lantaklah bahagia orang.  Adik Buya ke siapa ke.  Pentingkan bahagia kau dulu.  Kali ini aje…”  Riz pegang lengan Sera.  Lama. 
Mata Sera hanya memandang tangan kasar Riz yang sedang mencengkam lengannya yang berlapis lengan baju.  Terasa seperti keikhlasan nasihat Riz mengalir dalam pembuluh darahnya.
Mampukah dia?  Bagaimana dengan permintaan arwah orang tua Buya?  Dia memang tak sanggup.  Jika kehadirannya membawa duka dalam rumah itu, dia rela pergi.  Itu yang dia sedang buat sekarang. 
“Boleh?”  Kening lebat Riz terjongket. 
“Aku tak yakin…”
“Memang kau tak yakin.  Aku tahu.  Kau tak akan sanggup porak perandakan rumah tu.  Kalau kau ada dalam tu, Buya seronok.  Tapi, kau yang sakit jiwa dengan perangai adik dia yang macam budak tadika tu.  Daripada cara Buya, aku tahu dia tak akan biarkan Balqish sakitkan kau.  Kalau perlu elak, elaklah.  Buya mesti faham.  Kau pedulikan aje budak terencat tu…” 
Tak semena, Sera kerut kening.  Dia kesat airmatanya dan ketawa kecil.  Budak terencat?  Rasa kejam pulak kata-kata Riz tapi dia pun setuju jugaklah. 
“Jahat kau panggil dia macam tu…”
“Eh dah betul memang macam orang terencat aje.  Orang terencat kita bolehlah faham.  Dia memang tak guna akal waras dah.  Ini sihat waafiat.  Nak bertempek dengan abang sendiri dah kenapa?  Bukan umur lima tahun.  Kalau aku jadi Buya, aku letak aje budak tu dekat Pulau Jerejak.  Pandai-pandailah kau berdikari,” bebel Riz.
Rupa kemain cantik.  Sempurna.  Tapi, betullah… walau bagaimana pun kita nampak orang tu lengkap serba-serbi, Tuhan itu tak pernah jadikan manusia biasa ini sempurna melainkan Nabi dan Rasul.  Sebab tu mesti ada jugak yang buruk. 
“Buya sayang sangat adik dia, Riz…”
“Dia juga sangat sayangkan kau, Sera.  Kasih-sayang untuk adik dan isteri adalah berbeza.  Kau kena ingat tu.  Lagipun, aku sendiri tahu… kau tak mungkin lupakan Buya.  Jadi, kali ini aje.  Kebalkan hati kau.  Bahagia.  Orang lain nak menderita, sila pergi mam…”  Riz hentikan ayat di situ.
Walaupun dia nampak marah, kenyataannya hati sendiri terasa sedih.  Dia tahu jodoh antara mereka hanya mampu dinamakan kawan. 



MELIHAT pada gambar yang Man tunjuk, hati yang sebu mula membahang.  Dadanya hampir pecah apatah lagi melihat tangan Riz memaut lengan Sera.  Malah, senyuman pada bibir isterinya itu… arghh… Buya ramas rambut.   
“Meeting lewat petang ni jadi, Zul?” 
Zul angguk.  “Tak boleh cancel.  Kalau kau cancel, jadi isu pulak.  Urgent pulak tu.  Sebab tu buat jugak biarpun dah habis waktu kerja.  Kau kena ingat kau sekarang lebih kurang macam ada dalam probation aje ni…”  Saja Zul memperingati kawan baiknya biarpun ayah dah dalam proses untuk menukarkan segalanya, tapi Sera belum sign sekali Buya tak jatuhkan talak.
Itu syarat Sera.  Ayah hanya ikut.
“Aku tak pedulilah.  Kalau aku kena merempat pun sebab Sera, aku rela!” 
“Hey, bro.  Come on… kau tak nak macam tu.  Emosi kau aje yang fikir macam tu.  Hakikatnya tak.  Kalau nak kira, semua tak selesai lagi.  Kau kena ingat, nama Sera masih ada dalam harta arwah daddy kau…”
“Kan aku dah cakap, aku tak kisah…”
“Ya, kau tak kisah.  Tapi, logiklah sikit.  Ini bukan drama pukul tujuh, beb.  Buang apa saja demi cinta.  Bukan jugak Romeo Juliet atau Laila Majnu.  Logik sikit…”  Zul mula berkeras. 
Buya dulu dan sekarang, berbeza sungguh.  Takut dia dengan Buya sekarang.  Cakap main lepas aje.  Ikut terlintas.  Tak fikir panjang.  Bahaya betul penangan cinta ni.  Tapi bila fikir, dia pun rasa bersalah juga.  Dialah penyumpang idea gila ni. 
“Sukalah kau, jadi salah satu punca buat rumah tangga orang retak, Zul?”  Ayat itu, bukan sekali ayah ucapkan.  Ada masa naik bernanah telinga. 
“Kau tengoklah gambar ni…” 
“Ya aku tahu.  Tapi, dorang kan kawan…”
“Masalahnya, Riz memang sukakan bini aku sejak dulu.  Aku tak buta nak nilai cara dia layan Sera…”
“Hey, bro…”  Tangan Zul mendarat pada bahu bidang Buya. 
“Walaupun Sera tu berkeras nak kau lepaskan dia, aku percaya hati dia tak mudah berubah.  Dia memang sayang kau sorang aje.  Nak-nak sekarang status dia masih isteri.  Aku tahu kau juga halalkan dia keluar daripada rumah tu.  Kau izinkan dalam diam.”
“Hati perempuan, Zul…”  Sekali lagi Buya ramas rambut.  Matanya memicing pada gambar pada skrin telefon di tangan.  Memang nampak mesra. 
“Sekarang ni adalah masa yang tepat untuk Riz hampiri Sera.  Masa hati dia tengah luka macam ni…”  Dia bukan nak taruk syak, tapi fikiran yang serabut ini telah menyumbang kepada pelbagai anasir yang tak boleh pakai. 
“Jangan macam tu.  Kalau dia tahu kau syak dia, hati dia tu akan bertambah sedih, Buya…”  Tenang, Zul mengait pesan.  Dia tenung mata kuyu Buya.
“Sekarang ni, kita kena buat plan.  BUkan lagi plan A to Z macam tu.  Jujurnya, aku sebagai kawan baik kau rasa bersalah, bro.  Patutnya aku plan untuk kau bahagia.  Tapi, aku jahanamkan bahagia kawan baik aku.  Masa tu, aku tak sangka kau boleh separuh mati cinta dia…”  Nada Zul jelas berbalut kesal. 
“Taklah…”  Tangan Zul dibahunya, disapa.  Buya labuhkan duduk di sisi Man yang tadi diam tak berkutik. 
“Aku yang salah sebenarnya.  Aku tak tahu aku boleh jatuh cinta pada dia.  Padahal aku tak kenal dia sangat.  Aku judge dia macam tu aje sebab daddy bagi banyak harta pada dia.  Memang silap aku…”  akui Buya sambil meraup wajah. 
“Benda dah lepas, Zul…”  Senyuman diukir pada Zul. 
“Okey.  Sekarang kita kena buat plan untuk kau dan Sera bersama.  Untuk Balqish terima Sera…” 
“Aku tak tahu.  Aku buntu.  Balqish terlalu keanakan.  Aku tak tahu apa yang buat Balqish jadi macam tu.  Aku tak faham.  Bila aku tanya, dia hanya diam.  Dia cakap semua orang nak singkirkan dia.  Dia cakap Sera tak ikhlas…”  Buya menggeleng berkali-kali.  Memang tak mengerti. 
“Eleh… macamlah Balqish tu boleh masuk dan tengok hati Sera…”  Zul mencebek lebar. 
“Aku tak salahkan Balqish.  Sebab aku pun buat benda sama dulu…”
“Hey, come on.  Kita nak plan sesuatu ni…” 
“Aku tahu tapi otak aku tak boleh nak jana apa-apa dah…” 
Diam diam lama.  Memikir.  Lama-lama dia sengih.  Ting! 
“Kalau kita tipu sikit dia kata kau accident ke… okey tak?” 
“Kau gila?  Kau banyak sangat tengok drama ke apa?”  Hai… rasa nak bagi aje sedebik dekat muka Si Zul ni.  Idea bernas aje. 
“Itu dah menipu dia.  Lagi dia marah, gila!” 
Zul sengih.  Garu kepala.  “Tipu sunat, tak boleh ke?”
“Eh, gilalah...”  Buya nak sambung ayat bila Zul menyekat.
“Okeylah.  Idea lain…”  Zul kembali menyepi.  Mencari buah fikiran. 
“Man, lepas dia makan, Sera terus balik ke?” 
“Saya follow.  Kawan dia hantar ke kedai bunga…”
“Lepas tu?”  Wajah Buya nampak berkerut.  Risau. 
“Kawan dia balik…” 
Fuh… Buya lega.  Janganlah Riz pun lepak dekat situ. 
“Lepas habis meeting, aku rasa aku nak pergi kedai bunga dia…”
“Habis meeting dah malam.  Satu kerja pulak Sera nak dok situ sampai malam…”  sanggah Zul.
“Instinct aku kuat kata Sera ada dekat situ…”  Buya yakin.  Koman-koman sebelum Maghrib habislah meeting.  Entah apa-apalah. Meeting lepas waktu kerja. 
“Kalau gitu, kau guna cara pertama kau masuk kedai tu dulu…”
“Cara pertama?”  Buya geleng.  Cara pertama macam gangster.  Sera pucat lesi.
“Okey.  Sebab aku percaya sebab cara tu Sera jatuh hati dekat kau…”  Zul meyakinkan. 


FUH.  Lega.  Seperti yang dia yakin, lampu kedai Sera masih menyala.  Ada banyak kotak di depan kedai.  Gamaknya, stok bunga baru sampai.  Dia minta Man balik setelah menghantar dia ke situ.  Ada makanan di tangannya.  Dia tahu Sera kalau bekerja dengan bunga, tak makan pun tak apa.
Tak sedar, dia senyum.  Teringat kali pertama dulu.  Makan nasik lemak daripada bekal Sera.  Ini, dia hanya bawak roti bakar.  Dia buat dekat pantry sebelum datang sini.  Ini aje yang ada.  Niatnya adalah nak ajak Sera makan bersama. Lagipun, malam masih terlalu muda. 
Daripada celah bidai yang ditutup, dia nampak Sera sedang menelek bunga lily.  Itu bunga kegemaran Sera.  Tangan terangkat nak mengetuk pintu kaca yang berkunci rapat.  Tapi, jatuh kembali.  Memberat tiba-tiba. 
Pelbagai andaian.  Bagaimana jika Sera mengamuk?  Bagaimana jika Sera sekali lagi memaksa dia melepaskannya.  Dia tak sanggup.  Dan bagaimana jika dia terlepas kata dalam keadaan emosi yang tergendala?
Akhirnya, Buya hanya duduk di tepi dinding kaca.  Merapatkan wajah ke lutut.  Rasanya, dia mahu berlalu.  Andai Sera bahagia, kenapa dia begitu pentingkan diri untuk terus seksa wanita ini untuk ada di sisinya?
Jika dengan membiarkan Sera pergi, dia mampu lihat senyuman Sera seperti dulu… rasanya dia perlu akur.  Dia, tak boleh nak pentingkan perasaan sendiri.  Biarpun telah dia katakan, bahagia atau derita… Sera perlu bersama.  Entah berapa tebal ego yang dia tampal dalam ayatnya itu dulu.  Pasti Sera terluka. 
Sera angkat kotak kosong yang terakhir nak diletak di luar.  Nanti adalah sesiapa ambik ni.  Dia tak kisah.  Lagipun, kejap lagi dia nak balik dah.  Mak su dah telefon.  Risau.  Dia pula semalam Auntie Jane call.  Eloklah.  Ada kerja ni, tak adalah kepala semak sangat nak fikirkan masalah. 
Kunci pintu dibuka dan baru saja dia tolak pintu kaca itu, Sera mengucap panjang bila ada susuk tubuh yang sedang duduk membongkok.  Usah ditanya, dia memang cam haruman itu.  Tapi, persoalannya… sejak bila?
“Sejak bila awak ada dekat situ?”
“Hah?”  Buya angkat kepala dan menengadah wajah Sera. Dia langsung bangkit.   
“Sera sibuk?”
“Kenapa?  Ada benda nak bincang?  Dah buat keputusan?” 
Buya ketap bibir.  Dia dah cakap dah.  Sera akan ajukan soalan sama. 
Perlahan, dia menggeleng. 
“Dah makan?”
“Dah petang tadi.  Dengan Riz…” 
Hati Sera mengguriskan senyum.  Sera jujur. 
“Abang belum makan?”
“Okey…”  Sepatah Sera menjawab. 
Buya hampa.  Dia pandang papegbag di tangannya. 
“Abang buat roti bakar dekat ofis tadi.  Hari ini ada meeting urgent.  Lepas Maghrib baru habis.  Lepas tu abang rasa lapar.  Pergi pantry tengok ada roti.  Abang buat roti ini.  Sera nak makan dengan abang?  Atau kita pergi makan tempat lain.  Nak?” 
“Kan saya dah cakap, saya dah makan…” 
Bohong.  Hati Buya menjerit.  Man cakap Sera tak sentuh pun nasik tu.  Hanya kuis-kuis aje.  Air pun tak disedut.  Dia nak cakap tapi nanti Sera pasti mengamuk sebab dia hantar Man intip Sera. 
“Kalau gitu, boleh abang makan dekat dalam.  Abang lupa bawak air…”
“Hujung sana ada 7E.  Boleh beli air dekat sana…”  Sera letak kotak dan mahu masuk ke dalam bila tangan Buya menahan.
“Lima minit aje, Sera…”  rayu Buya. 
Mata Sera tajam memerhati.  Nampak Buya penat.  Rambut semak.  Rupa lagilah semak.  Kemeja yang dah ada di luar.  Lengan baju yang tak tersinsing.  Tie yang tak dibuka habis. 
“Awak ni dah kenapa?  Semak betul saya tengok.  Macam orang mati bini…”
“Abang bukan orang mati bini.  Tapi, bini abang benci abang.  Lebih kuranglah tu…”  balas Buya.  Bukan sengaja nak pergi, tapi terluah. 
“Bukan awak memang patut dibenci ke?”
“Ya.  Bencilah.  Tapi, abang lapar.  Tak makan apa-apa.  Abang bawak bekal ni nak makan dengan Sera.  Dah Sera cakap dah makan, bagi abang masuk lima minit.  Abang makan lepas tu abang balik…” 
Sera mahu menolak tapi sungguh, Buya nampak sangat penat.
“Lima minit!”  arah Sera tegas. 
Buya senyum dan melangkah masuk.  Dia kuncikan pintu.  Sera menoleh bertanya dalam diam.
“Dah malam.  Bahaya…”
“Ada dengan awak dalam ni, lagi bahaya…”  tempelak Sera. 
Buya mahu buka semula kunci bila Sera melarang.  Dia simpan senyum dan duduk di atas bangku.  Bekas dikeluarkan.  Dia suap roti ke mulut.  Peh… ngeri betul makan roti bakar yang dah sejuk ni.  Rasa macam makan kulit kayu.  Ini idea Zul dengan Man lah ni.  Air tangan suami boleh menyejukkan hati isteri yang membara. 
Wajahnya berkerut seribu.  Lehernya tak ubah seperti leher angsa demi menelan roti tersebut.  Sera yang menjeling rasa nak tergelak.  Dia tahu sangat dah taktik tu.  Paling tidak, Si Zul tu yang bagi cadangan.  Tak payah nak berdrama.  Dia tak akan terpukau. 
“Tak sedap ke roti tu?  Hai… pelik-pelik.   Malam makan roti bakar.  Nak buat drama pun, pilih-pilihlah skrip…”  Sekali lagi Sera menempelak.
Buya terbatuk kasar.  Dahla roti ni kesat.  Air pun tak ada.  Isteri pulak menyindir seperti dapat dihidu rancangannya. 
“Nah…”  Sera hulur botol air. 
Buya senyum.  “Tiba-tiba abang ingat mula-mula kita kenal.  Sera bagi abang air jugak…”
“Saya bagi sebab takut awak mati dekat sini.  Satu hal pulak jadi kes…” 
Senyum Buya mati. 
“Dah nak habis lima minit awak.  Cepat sikit.  Saya nak balik dah ni…”  Dia dahlah datang dengan motor.  Semalam dia tinggal motor dekat kedai.  Naz datang ambik.  Siang tadi Riz pulak datang jemput. 
Buya gigit lagi tapi sedikit.  Memang susah nak telan.  Lain macam kerasnya.  Tapi, dia paksa juga.  Sera dah capai helmet dan beg.  Bersedia nak berlalu.  Tiada pilihan, Buya turut bangkit.  Tegak macam tugu. 
“Saya dah nak balik.  Awak tak habis makan lagi, sila makan dekat luar.  Saya nak kunci kedai…” arah Sera, tegas.
Dia tolak Buya keluar dan terus dikunci pintu.  Bekas Buya tadi disua pada lelaki itu dan dia terus sarung helmet dan memanjat skuternya. 
“Abang tak ada kenderaan…”
“Hey, don’t lie.  Call aje Man atau Zul.  Macam The Flash dorang akan datang.  Tak payah nak raih simpati.  Saya naik motor aje.  Tuan Putera mana sesuai naik motor dengan saya…”  Sera dah hidupkan enjin bila Buya berdiri depannya.
“Teman abang makan kejap.  Kali ini aje.  Boleh?  Roti tadi keras betul…” 
Huh… mengaku pun kau roti keras. 
“Sini tak banyak kedai makan.  Awak ajaklah orang lain.  Saya nak balik cepat ni.  Dah lewat…”
“Abang tak akan berganjak…”
“Saya langgar…”
“Silakan…  abang lebih rela patah kaki kalau itu buat Sera ada dekat abang.”
“Hey… yang patah kaki awak.  Bukan saya…”  Dia mahu pulas minyak tapi tak jadi bila cahaya daripada lampu motornya membuatkan matanya jelas nampak riak wajah Buya yang sangat berharap. 
Seperti kata Riz… bahagia dia ada dengan Buya.  Ya… tapi, entahlah.  Dia lepaskan keluhan. 
“Saya temankan awak kejap.  Kedai belakang Petronas sana.  Yang dekat sini tak bukak pulak hari ini.  Saya pergi dengan motor.  Awak pandai-pandailah…” 
“Tapi, abang tak tahu.  Sera kan tahu abang tak pernah naik teksi ke apa pengangkutan awam…” 
Eh eh dia ni!  “Saya tak ada helmet lebih…”
“Okey.  Bagi abang dua minit…”  Saat ini sengih Buya lebar.  Dia terus berlari entah ke mana-mana.  Sera malas nak pandang dan ya, dua minit Buya kembali dengan helmet.
“Awak curi?” tuduh Sera.
“Fitnah tu, yang.  Abang beli dekat budak tu tadi.  Tiga kali ganda harga dia beli dulu.  Somehow, duit memang menjadi, kan?”  Dia sengih menyarungkan helmet di kepala.
“Ya… duit memang berkuasa sampaikan orang buta nak nilai hati orang,” balas Sera perlahan.
Buya ketap bibir.  Tersalah bicara.  Dia Cuma nak bergurau. 
“Pada orang.  Tapi, Sera tahu… sekarang Sera yang paling bernilai…”  pujuk Buya seraya memegang tangan isterinya. 
Sera laju menarik tangan sendiri.  Dia mahu turun bila Buya menahan. 
“Abang tak ada lesen motor…” 
“Really?”  Sera menggeleng lama. 
Buya sengih.  Dia tarik walletnya dan ditunjuk lesen pada Sera.  Sungguhlah.  Memang tak ada. 
“Sera bawak.  Abang bonceng belakang…”  Tak menanti Sera bersuara, Buya terus naik di belakang. 
“Abang dah sedia…”  Dia sangkut dagunya atas bahu Sera.  Bila isterinya tak menolak, tangannya perlahan-lahan mula melingkar pinggang Sera. 
“Abang nak bersama Sera biarpun untuk sehari aje lagi…”  bisiknya.  Airmatanya jatuh tepat atas bahu Sera. 

Sera menyepi.  Terasa sejuk bahunya.  Buya menangis.  Perlahan, dia pulas minyak.  Skuter itu berlalu perlahan.  Tanpa dia sedar, tangannya juga merayap pada tangan Buya.  Hatinya mula menyoal.  Mampukah yang hilang arah itu, kembali bertujuan?  

...bersambung

14 comments:

  1. Berbaloi tunggu lama RM...kusut sungguh masalah diaorng...

    ReplyDelete
  2. Sedih dlm kemanisan....
    Terima kasih RM....

    ReplyDelete
  3. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  4. Sambungan yg 👍👍👍👍👍. Namun nampaknya masih ada sinar pd hubungan mereka. Tq sis rehan.

    ReplyDelete
  5. alamak..xberenti pulak airmata nie..

    ReplyDelete
  6. The best. Moga cinta kembali ke arah destinasi bahagia mereka
    Update cepat

    ReplyDelete
  7. thanks kak Rehan. https://jarikontot.blogspot.com/2019/03/saya-mencari-penjual-novel-ini.html

    ReplyDelete
  8. RM saya tak pernah lupa...rasa berbaloi menunggu lama...x sabar nak tunggu habis cerita Buya n sera Nur...

    ReplyDelete
  9. Alhamdulillah, Akan dibukukan ke Rehan. Sedih part last tu,tapi nampak cahaya bahagia Sera & Buya.

    ReplyDelete
  10. Moga bahagia sedang mengintai buya dan sera dan akan menampakkan wajahnya tak lama lagi..

    ReplyDelete
  11. sedihnya kisah hidup mrk berdua...dah halal kan... kenapalaj adiknya yg terencat akal tu tak sedar sedar..hmmm

    ReplyDelete
  12. Akak, saya sayang akakkkkkk.. Tq kak

    Saya sgt rindu buya n sera, hehe.. Leganya dapat dengar kisah ni lagi.. Tq kak 😊

    ReplyDelete