Sunday, March 17, 2019

Kau Bicara Tentang Cinta 48

TANGANNYA cuba menggapai, tapi Sera menepis kuat.  Buya keliru.  Kenapa?  Apa salahnya?  Dia berlari sekuat hati mengejar langkah Sera yang tak berapa gagah itu tapi kenapa masih tak mampu dia saingi?  Kenapa kian jauh jasad itu daripadanya. 
Sera!!!  Dia menjerit tapi Sera langsung tak menoleh. 
Saat ini, Buya buka mata.  Dadanya berpeluh biarpun pendingin hawa begitu sejuk mencengkam.  Dia angkat tubuh.  Mengucap panjang.  Mimpi itu serasa seperti nyata.  Dia pandang jam.  Empat pagi.  Sera tiada di sisi.  Dia pandang seluruh bilik dalam kesamaran lampu tidur.  Pakaiannya Sera terdampar di sisi.  Pakaian dia juga.  Tapi, mana Sera.  Dia tolak selimut dan baru nak jatuhkan kaki, pintu bilik terkuak daripada luar. 

Wajah Sera muncul.  Nampak terkejut bila melihat padanya.
“Eh, abang jaga?”
Buya raup muka.  Lega. 
“Terjaga.  Sera pergi mana?” 
“Pergi intai Balqish.  Lagipun, tadi dahaga…” 
“Itu macam baru lepas  mandi?” 
“Ha’ah.  Rimas.  Itu mandi…” 
Buya senyum tipis.  Dia tepuk tilam di sebelahnya, meminta Sera duduk di situ.  Dia seperti masih terbawa-bawa dek mimpi itu. 
“Abang tak larat nak bangun lagi.  Bagi abang tidur kejap.  Pukul lima Sera kejutkan, ya?”  Serentak itu, dia letak kepalanya atas riba Sera dan tanpa berkata apa, lenanya kembali bertamu.
Sera hanya diam.  Menatap wajah itu sepuas hati.  Dia harap, lelaki ini bahagia seperti sebelum masa dia muncul.  Hanya itu yang dia mahukan.  Malah, dia akan korbankan segala bahagianya untuk itu. 
Tak sedar, airmatanya jatuh.  Dia… akan merindui lelaki ini seumur hidupnya. 



BUYA buka mata.  Tuhan… dah lewat.  Dah dekat jam tujuh pagi.  Sera tiada di sisi.  Mesti dah turun.  Dia pun tak sedar bila Sera kejutkan dia.  Tengok sekarang dah lewat.  Dia bergegas bangkit dan menuju ke bilik.  Setelah Subuh, dia bersiap dengan pakaian yang telah Sera sediakan dan terus turun ke bawah dengan rambut yang masih belum kering bersama sehelai tuala di tangan.
“Sera?  Sayang tolong lap rambut abang kejap…” 
Dia dah biasa begitu sejak ada Sera.  Entah… jujurnya, dia mahu dimanjakan.  Apatah lagi kerana mimpi semalam. 
“Sera?”  panggilnya tapi keadaan rumah sepi. 
Eh, mana semua orang ni?  Dia menjengah ke dapur.  Hanya ada mak cik dan pembantu yang lain.
“Kenapa, Buya?”
“Sera mana?”  soalnya.
“Eh, tak nampak lagi.  Ingatkan dia masih ada dekat atas…”
Kerutan pada dahi Buya kian ketara.  Dia genggam tuala itu kemas.  Dia menapak ke pintu besar yang sedikit terbuka.  Kotlah Sera ada di laman.  Biasa pagi-pagi macam ni Sera suka ambik angin segar tapi dia terkejut bila Uncle Malik muncul pagi-pagi ni. 
“Eh, uncle…” 
“Hurmm… awal nak pergi kerja?” 
“Oh saya saja siap awal.  Uncle ada hal ke datang pagi-pagi ni?” 
Uncle Malik angguk.  “Uncle daripada masjid tadi, terus ke sini.  Malas nak balik.  Uncle datang nak serahkan sesuatu ni…” 
“Errr… masuk dulu, uncle…”  pelawanya tapi dia masih terhendap ke luar.  Mana Sera ni?  Pergi pasar ke?  Tak mungkin. 
“Kamu carik Sera ke?”
Buya angguk.  “Biasa saya bangun, dia ada lagi dalam bilik.  Turun sama-sama.  Pelik pulak…” 
Uncle Malik diam.  Tak berkata apa.  Hanya masuk dan duduk di ruang tamu.  Saat ini juga Balqish sedang turun. 
“Qish sihat?”  soalnya teruja. 
Balqish angguk dan terus memandang pada Buya.  Seperti kata Sera, seperti kucing jatuh anak.  Dia tahu Buya mencari wajah Sera. 
“Eh, awal Qish bangun…”
“Tak boleh tidur…”  jawabnya perlahan dan turut sama duduk di depan Uncle Malik. 
“Buya, mari sini dulu sebelum kamu pergi ofis…”  panggil Uncle Malik sopan.
Buya halau resah hati.  Salah sebuah kereta tak ada dengan driver sekali.  Dia yakin Sera yang guna.  Lantas, dia labuhkan duduk di depan Uncle Malik sambil mengesat kepalanya. 
“Ini…”  Sampul coklat itu ditolak di depan Buya dan Balqish.  Eloklah semua ada.  Tak payah dia nak pening kepala tangguh lagi semua benda.  Lagipun, Sera dah amanahkan untuk dia selesaikan secepat mungkin. 
“Apa ni, uncle?”  soal Buya.
Balqish menyepi tak berkata apa. 
“Sebagai seorang peguam pada keluarga ini dah lama, uncle telah jalankan amanah Puan Sera Nur binti Saifudin terhadap segala harta miliknya…”
“Saya tak faham…”  Buya buka sampul itu dan demi membacanya, dia kaku. 
“Sera serahkan semuanya untuk saya dah Balqish?”  Dia toleh pada Balqish sekilas.
“Ya, tanpa apa-apa syarat…”  tekan Uncle Malik.
Entah kenapa, dada Buya berdetak lain macam.  Dia resah.  Lantas dia bangkit dan terus ke dapur.
“Kereta satu lagi mana?”  soalnya.
“Oh kan hantar bengkel…”
“BUkan sebab Sera keluar?”  duganya.
“Tak.  Tadi macam mak cik cakap, Sera tak turun pun lagi…” 
Buya terus mendekati Uncle Malik sekali lagi.  Dia tenung wajah tua itu lama.  Dia tahu Uncle Malik tahu sesuatu. 
“Betul ke tanpa apa-apa syarat ni, uncle?”  Soalannya sedikit mendesak. 
“Ya, Buya…” 
Buya ketawa.  “Your answer not so convincing, uncle.  Sejak bila uncle pandai bohong saya?!”  Dia hendak penumbuk atas meja kaca tersebut lantas pecah berderai.
Malah, ada kaca yang terduduk pada birai tangannya.  Darah merah mula mengalir.  Pembantu rumah mula muncul daripada dapur.  Drivernya juga muncul di ambang pintu.  Balqish bulat mata. 
“Abang, tangan abang…”  Balqish mahu tarik tangan Buya tapi ditepis agak kasar. 
Dia gamam. 
“Apa ni, Buya?  Tengok tu, tangan kamu cedera…” 
Buya bangkit tak pedulikan tangan yang cedera.  Dia sekadar tarik bilah kaca itu keluar daripada dagingnya.   Ketawa dan terus ketawa.  Adakah mimpi itu petanda?  Dia tak tahu.  Tapi, hatinya begitu sakit saat ini.  Ketiadaan Sera malah kemanjaan Sera malam tadi sangat luar biasa.  Setiap kata-katanya juga andai nak dikira agak mencurigakan tapi dia begitu hanyut dalam keindahan yang Sera berikan untuknya hingga tiada satupun fikiran buruk tentang layanan Sera. 
“Don’t lie.  Uncle tahu sesuatu…”  Airmatanya mula jatuh. 
Telah dia katakan, dia tak nak semua ni.  Dia hanya nak Sera.  Ini bukan hak dia pun pada asalnya.  Kenapa Sera buat semua ni?  Dia tak faham! 
“Duduk dulu, Buya…” 
“Tak… uncle cakap dekat saya sekarang!”  jeritnya sekuat hati.
Uncle Malik nampak terkedu.  Hinggakan bahu Balqish juga terhinggut dengan suara Buya. 
“Qish tahu sesuatu, kan?”  Mata Buya tajam beralih pada Balqish dan bila adiknya itu menggeleng, dia raup wajahnya.
Dia yakin, Balqish dan Uncle Malik tahu sesuatu tapi kenapa sepatah pun tak diberitahu?  Sera Nur itu isterinya.  Cinta matinya!  Kenapa susah sangat orang nak faham?! 
“Saya tak nak semua ni.  Uncle call Sera sekarang.  Kat mana pun dia, uncle suruh dia balik.  Atau saya akan pergi jemput dia sekarang.  Saya tak perlukan semua ni walaupun satu sen.  Saya tak nak semua ni kalau ini syaratnya…” 
“Uncle dah cakap, Sera pulangkan tanpa apa-apa syarat!”  tegas Uncle Malik. 
“Uncle ingat saya nak percaya?”  selarnya.  Hormatnya pada Uncle Malik hilang tiba-tiba.  Dia mula biadap dalam keadaan emosi yang sangat mengganggu. 
Tangan kanannya menggigil.  Marah, benci, sakit hati… semuanya berbaur.  Kenapa Sera buat dia macam ni?  Andai benar Sera mahu tinggalkan dia, pergi saja.  Usah tinggalkan dia dengan kenangan yang begitu manis dan indah.  Malah, hingga ke saat akhir, Sera masih berikan keindahan padanya.  Yang dia tak akan lupa sampai bila-bila.  Bagaimana Sera boleh pergi padahal mereka bahagia bersama? 
Sera pentingkan diri! 
“Atau Qish ada cakap apa-apa dekat Sera?” 
Balqish geleng. 
“Mustahil.  Sera bukan macam yang Qish kenal.  Hati dia terlalu lembut apatah lagi dengan derita orang lain, Qish.  Qish cakap dekat abang, Qish cakap apa pada Sera, Qish?  Abang rayu pada Qish…  dia bukan saja cinta abang. Tapi, dia cinta mati, abang.  Tolonglah Balqish…”  rayunya.
Saat ini, dia sudah jatuh melutut di depan Balqish.  Memegang lutut Balqish dan terus merayu.
“Abang sayangkan Qish sebab Qish adik abang tapi silap kalau Qish minta abang daripada isteri abang.  Dia tak akan sanggup hampakan Qish lepas tahu segalanya tapi Qish tahu tak, Qish akan hidup dengan mayat hidup.  Abang  tak akan sama bila dia tak ada, Qish.  Kenapa perlu Qish seksa abang macam ni?  Tak boleh ke Qish nampak ikhlasnya Sera sayangkan Qish?  Qish untung sebab Qish dapat dua orang yang akan sayang Qish sangat.  Abang dan Sera.  Tapi, kenapa Qish perlu tamak sampaikan Qish akan hilang kedua-duanya?”  luah Buya kerana dia yakin, kebisuan Balqish telah memberi jawapan.
Airmatanya mengalir dan terus mengalir. 
“Tolong abang, Qish…”  Dia terus merayu.  Tunduk dan terus tunduk di depan Balqish yang benar-benar nampak gamam dengan apa yang sedang jadi.
Lelaki yang dulunya begitu kuat kini tersungkur kerana cinta.  Buya yang langsung tak hiraukan tangan yang luka, malah sanggup jatuhkan lutut merayu di depannya?  Sedalam inikah cinta yang Sera pahatkan dalam hati abang? 
Mata Balqish basah.  Dia tak berkata apa.  Dia tak kisah apa saja.  Andai dia perlu untuk hidup dengan abang sebagai mayat hidup, dia rela.  Asalkan abang dengannya.  Itulah perjanjian yang telah dia buat dengan Sera.  Dan, dia juga tahu Sera berlalu keluar sebelum Subuh tadi tanpa disedari sesiapa melainkan dia saja bila wanita itu masuk ke biliknya senyap-senyap tanpa tahu yang dia langsung tak dapat lelapkan mata. 
Bimbang Sera mungkir janji.
“Harga yang saya bayar untuk lihat Balqish dan Buya bahagia, bukan murah.  Balqish dan dia, kena bahagia…” 
Itulah yang Sera bisikkan padanya sebelum berlalu keluar dengan sehelai sepinggang.  Kala itu, dia terasa menang.  Dia puas hati kerana Sera menepati janji.  Tapi sekarang, melihatkan abang begini… entah bagaimana bahagia antara dia dan Buya mahu tercipta?  Usah kata lebih bahagia, malah segalanya seperti telah ranap sekelip mata. 
Dia pandang Uncle Malik.  Menyoal dalam diam tapi lelaki itu hanya membisu.
“Uncle tak tahu bila penerbangan dia.  Tapi, dengar kata Sera nak pergi luar negara.  Uncle tak tahu ke mana atau bila tapi uncle Cuma dapat agak.  Cuba Buya pergi tanya mak su dia…”
“Hah?”  Buya semakin teresak-esak.  Dia panggung kepala dan memandang pada Balqish. 
“Qish, abang serahkan semua harta tu pada Qish.  Harta abang hanya Sera Nur.  Maafkan abang tak dapat nak jadi abang Qish lagi.  Abang nak jadi abang Qish selamanya dan nak bagi seorang kakak yang sangat baik pada Qish, tapi Qish tolak kami.  Abang faham sebab abang kenal hati isteri abang.  Dia tak pernah bahagia bila orang lain sakit hati kerana dia.  Dia tak pernah pentingkan diri tapi kali ni, abang harap dia jadi pentingkan diri untuk abang biarpun sekali.  Qish maafkan abang sebab mungkir janji untuk ada dengan Qish selamanya…”  Dia bangkit dan mengusap kepala Balqish seketika sebelum berlari keluar. 
Dia… tiada lagi hak di dalam syarikat milik arwah daddy jadi tiada sebab untuk dia pergi ke ofis.  Uncle Malik akan uruskan selebihnya.  Dia hanya mahukan Sera. 


PERJALANANNYA dirasakan begitu perlahan.  Airmatanya terus merembes hingga membuatkan pandangan sangat kabur.  Akhirnya, dia tiba di rumah mak su.  Zul, Riz, Man dan Naz dah sampai lebih awal bila dia menelefon mereka demi menjejaki Sera.  Nyata, Naz dan Riz sendiri terkejut dengan apa yang diceritakan.
 “Dah mak su cakap dekat kau, Buya… kalau Sera Nur tak bahagia, pulangkan dia pada mak su…”  Mak menitiskan airmata.  Nampak kecewa. 
“Tak, mak su,” nafinya.  Itu telahan tak berasas. 
“Sera bahagia.  Kami bahagia…”  Ya, andai dia mampu ceritakan tentang urusan bilik tidurnya, dia mahu katakan.  Tapi, itu semua rahsia antara mereka.
Dia cuma nak mak su tahu, mereka bahagia dan Sera berikan tonik yang sangat berbisa untuknya lantas meninggalkan dia sendiri. 
“Mak su betul tak tahu dia pergi mana?” 
Mak su geleng.  “Kalau mak su tahu, mak su adalah orang pertama yang sekat dia, Buya.  Tapi, tak boleh ke kau kesan dia?  Kau mesti kenal orang imigresen kot-kot Sera dah terbang pergi…” 
“Uncle Malik dah check.  Belum ada nama tu terbang keluar daripada Malaysia.  Sebab tu saya mati-mati ingat Riz atau Naz mungkin tahu Sera dekat mana?” 
“Aku mintak kawan aku manager hotel checkkan nama dia dekat mana-mana hotel…”  pelawa Riz dan Zul hampir serentak.
Buya diam.  Andai itu yang terbaik, dia akur. 
Dia buntu.  Saat ini, tangan yang berbalut mula terasa sakit.  Berdenyut.  Seperti juga hatinya.  Denyutan saat demi saat begitu menyakitkan. 
“Apa saya nak buat, mak su?” 
“Mak su tak tahu.  Tapi, cuba kita masuk bilik dia… mana tahu ada apa-apa petunjuk…”  ajak mak su. 
Buya ikut mak su dan sebaik saja bilik itu dibuka, aroma tubuh Sera menerpa rongga hidung.  Menjadikan airmatanya kian murah.  Sekujur tubuhnya menggigil dan sebaik saja dia duduk di birai katil, tangannya mengelus cadarnya.  Masuk ke bawah bantal.  Tak dihiraukan mak su yang sedang membelek helaian buku-buku Sera malah membuka setiap laci yang ada. 
Dahi Buya berkerut bila belakang tangannya terlanggar sesuatu yang agar keras.  Dia angkat bantal dan demi sebatang plastik itu jatuh di lantai, dia sekali lagi gamam.  Tangannya terus menggeletar. 
“Mak su… ini…”  panggilnya dengan suara yang serak. 
Mak su menoleh dan turut gamam bila melihat apa yang ada di tangan Buya.
“Tuhan, Sera Nur… apa kau buat ni?!”  Mak su menangis. 
Buya senyum tipis dalam tangisan.  “Sampai hati Sera.  Sekali aje abang harap Sera pentingkan diri sendiri demi bahagia kita…”  rayunya sambil menyeka airmata yang terus jatuh ke pipi.
Lain yang dicari, lain yang dia jumpa.  Sera sedang membawa zuriatnya bersama. 



MELIHAT keadaan Buya, Zul jatuh melutut.  Buya sedang menangis dan terus menangis di penjuru bilik.  Teresak-esak seperti anak kecil yang kehilangan mainan tersayang.  Tak… seperti seorang anak kecil yang ditinggalkan ibu.  Ya, itulah yang tepat. 
“Kenapa, Zul?”
“Aku tak tahu…”  Zul patah bicara. 
“Tak kan macam ni, Zul…”
“Aku tak tahu…”  Zul menggeleng lagi. 
“Aku dah janji dengan dia…” 
“Ya, aku tahu… tapi, kau kena tahu dia bukan jenis perempuan yang menari atas duka orang lain…”
“Tapi, duka aku!”  Buya menjerit sekuat hati hingga bahu Zul terhinggut bahana terkejut. 
Perlahan-lahan Buya dihampiri.  Tangannya mendarat pada bahu Buya. 
“Memang duka kau. Tapi, kau juga kena ingat… duka dia juga, Buya…” 
Segala hubungan yang ada telah dia guna tapi Sera langsung tak dapat dikesan.  Entah mana Sera pergi dia tak tahu.  Kala ini, dia benar-benar tak kisah tentang sesiapa saja termasuklah adik sendiri.  Dia hanya mahu ada bersama Sera dan anak yang sedang dikandung.  Mana boleh dia biarkan Sera sendiri di saat Sera memerlukan. 
Gamaknya, Sera tak benar-benar sayangkan dia kerana itu isterinya itu pergi begitu saja.  Hatinya hancur dan dia merajuk!  Cuma, pada siapa dia mahu membawa rajuk hati?  Tiada siapa yang akan memujuk. 
Buya hanya tersandar lemah.  Memegang pregnancy test.  Ada di dalam biilk Zul, menanti berita yang akan dibawa oleh Uncle Malik.  Entah baik atau sebaliknya.  Dia sedang memujuk hatinya. 
“Mari sini aku letak ubat tangan kau ni…”  Zul tarik tangan Buya.  Dibuka balutan. 
Buya tak membantah.  Hanya membiarkan saja. 
Dahi Zul berkerut dan dia berdesis panjang.  Mata yang melihat pun sakit, apatah lagi yang menanggung.  Tapi, semua ini seperti tak berbekas pada Buya. Dia sapu ubat kuning.  Dahi Buya sedikit berkerut tapi tak lama. 
“Macam mana kalau kita tak jumpa dia, Zul?”  Tiba-tiba saja Buya menyoal.  Tanpa memandang Zul.
“Kita akan cuba.  Kan ayah aku sedang usahakan.  Kawan aku pun tengah usahakan.  Riz dengan Naz pun tengah carik tu…” 
“Aku tak sangka dia nekad.  Dia ingat aku barang gamaknya sampaikan dia nak serah aku dekat Balqish.  Atau dia masih dendam dekat aku pasal aku permainkan dia dulu masa kes dalam lokap semua tu…”  Tiba-tiba dia teringat pula sikapnya pada Sera dulu. 
Mempermainkan kesungguhan Sera.  Boleh jadi, kerana itu Sera membalas. 
“Eh, jangan fikir macam tulah.  Kau sendiri tahu bini kau tak macam tu.  Sejak awal dia tahu kau main-mainkan dia tapi dia tetap maafkan kau, terima kau.  Kalau dia dendam, tak adanya benda yang kau sedang pegang tu!” 
Haih… hangen betul Zul dengan Buya ni.  Memanglah benda macam-macam boleh jadi, tapi cubalah positif sikit. 
“Aku nak dia… aku nak anak aku…”
“Ya, aku tahu.  Tapi, kau tu… cubalah kuat!  Aku tak sangka kawan baik aku jadi macam ni sekali!”  Zul picit sikit luka Buya. 
Buya mengaduh. 
Huh… tahu sakit! 
“Kau kena kuat.  Kau sendiri tahu Sera tu macam mana, kan?  Dia tahu pasal Balqish dan dia tahu kau sangat sayangkan Balqish.  Bila Balqish tak boleh terima dia sendiri tak sanggup nak pisahkan korang adik-beradik.  Sebab tu dia pergi.  Kau tahu, kan?”  Berkali-kali dah dia ulang skrip sama. 
Buya akhirnya diam.  Tunduk menekup wajah ke lutut.  Membiarkan Zul merawat lukanya.  Tiada apa yang mampu dia lakukan sekarang melainkan doa.  Kala ini, dia benar-benar tak berdaya melakukan apa saja.  Matanya hanya merenung apa yang ada dalam tangan.  Dia mahu karang cerita yang indah antara dia dan Sera tapi Sera sepertinya tak izinkan semua itu terjadi. 
Kerana itu Sera pergi. 
Berharap dia bahagia seperti dulu?  Itu mustahil. 
Kerana Sera pergi membawa segala bahagia.

Yang tinggal sekadar derita yang akan dia galas selagi dia bernyawa.  

30 comments:

  1. Alalalaaaaaa.. .kesianya. ..hrp2 buya dpt jump dgn sera.. . Tq2 update lg☺️

    ReplyDelete
  2. Aduh puan writer......
    Great job

    ReplyDelete
  3. Berhabuk pulak mata..sob..sob..sob....thanks rehan

    ReplyDelete
  4. Meleleh air mata saya ni Kak Rehan. Please...bukukan novel ni. Boleh baca ulang kali. Please😢😢

    ReplyDelete
  5. Tetiba mata berkaca plk..huhu..sedih..

    ReplyDelete
  6. Adoiiii...sakitkn pulak hati Kita,RM buat mata kena tmpias bawang

    ReplyDelete
  7. Payahnya nk bahagia... Moga terus bersama.. Tq sis updated byk2 camni.. Cam dpt bonus

    ReplyDelete
  8. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  9. Akhirnya Buya tegas, walaupun sayang Balqish, bahagia dia hanya Sera...please rehan..walaupun cliche..happy ending ye..😣

    ReplyDelete
  10. Alaaaa kena tunggu next week la nie...huhuhu

    ReplyDelete
  11. perempuan yg menambah benciku adalah perempuan yg tega merabak hati perempuan lain..hanya tamaknya pada yg bukan miliknya... spesis tidak tahu diuntung.. andai kau hilang kasih keduanya.. waktu itu.. penyesalan kau takkn punya harga...nyah kau dari bumi ini...huhu..hati aku sakit..

    ReplyDelete
  12. Satu karya yg sangat menyentuh hati saya di antara karya anda,syabas

    ReplyDelete
  13. Terlampau dimanja sampai tamak Balqis sanggup pisahkan Buya dan Sera biarpun Buya jd mayat hidup disisinya. Kesian Sera dan Buya. Plezz RM bg hero baru utk si Balqis lupakan Buya.

    ReplyDelete
  14. huhuhuhuuu mana agaknya sera ye..
    berharap dia ok dan buya terus kuat mencari sera..

    ReplyDelete
  15. Orang yg x sedardi untung. Dah lah kita tu anak angkat shja.. dimanjakan bagai tatang minyak yg penuh. Sombong sungguh lagaknya.

    ReplyDelete
  16. huuuu....menitik juga airmata ini....sedihnyaaa....

    ReplyDelete
  17. Terima kasihhhhhh cikRM...hrp dpt bukukan karya ini ya..saaaayang awak ketat2..muah3...jaga kesihatan tau, jaga tidur tu. Mcm tak tidur demi meng'update' Sera&Buya...

    ReplyDelete
  18. Berjurai air mata.. Hadui Sera,, lembutnya hati.. Balqish dasar ! Buya sabar la.. Hadapi demi sebuah kebahagiaan.. RM MMG TERBAIKKK !

    ReplyDelete
  19. Tumpang skali nangis dgn Buya 😭😭...

    ReplyDelete
  20. bermain dengan emosi cerita ni....

    ReplyDelete
  21. kak RM, saya ade koleksi novel akak..tp yg ni the besttt..x sabarrrr sgt nak tgu akak sambung lg..kalau dibukukan sy sanggup beli kak..

    ReplyDelete
  22. Tak ada rezeki nak baca entry minggu ni. Kita tunggu minggu depan pulak.

    ReplyDelete
  23. rehan.... sera p mana? huhuhuhu sambung pleaseeeeeeee

    ReplyDelete