Sunday, April 04, 2021

NOKTAH 10


AIRMATA Naihara masih menitis perlahan. Bertahun ini dia sering kali memujuk dan memberi kata-kata semangat pada diri sendiri. Dia berhak hidup. Kewujudannya adalah kerana ketentuan Tuhan.

Dia ditakdirkan untuk menjadi salah seorang penghuni bumi. Namun, setelah dia hampir berjaya membuktikan yang dia juga punya hak, semua itu direnggut dengan kejam.

Seorang demi seorang hadir di depannya, membisikkan kata-kata yang sama. Boleh jadi benar kata-kata lelaki tadi. Bisikan lelaki itu membuat rasa nyeri di hati menyusup sehingga ke tulang belakang malah merebak ke seluruh pembuluh darah.

Mungkin segalanya akan lebih baik jika dia tiada di atas muka bumi ini. Biarpun ketiadaannya tak akan membuatkan dunia ini berubah, tapi segala hinaan dan derita akan terhenti sebaik saja nafasnya mati. Urusan setelah kematian itu adalah perkara lain.

Namun, jauh di sudut hati, dia begitu takut untuk mengambil alih tugas Izrail. Dia bimbang untuk berhadapan dengan seksaan dan soalan atas silapnya mencabut nyawa sendiri.Tapi, mengapa kewujudannya sentiasa dipertikaikan?

Tuhan… Naihara meraup wajah sendiri. Cuba menghentikan air mata bila dia hampir tiba di kawasan tempat dia menyewa. Sebuah rumah lama yang telah berusia lebih seratus tahun. Yang tidak mempunyai bilik. Hanya ruang kecil yang menjadi ruang tamu dan juga ruang untuknya tidur serta dapur yang dipisahkan hanya dengan sekeping plywood.

Cukuplah untuk dia memandangkan sewanya juga murah. Syukurlah bila tuan rumah tidak pernah menaikkan sewa sejak dulu malah tidak juga mendesak bila ada kalanya, dia lambat membayar sewa.

Naihara baru saja hendak turun dari teksi bila telefonnya menjerit. Dia pantas menjawab bila nama Encik Azmi terpampang pada skrin.

“Ya, Encik Mi?” sapanya setelah berdeham beberapa kali.

“Awak dah tidur ke?”

“Belum. Kenapa, Encik Mi?”

 “Maaf kacau awak malam-malam ni. Tapi, repot tu awak dah siapkan ke?”

“Ya, dah. Cuma tadi saya ada hal, tak sempat nak print.”

“Kalau gitu, saya minta izin buka komputer awaklah. Ada password?”

“Tak ada. Tapi, Encik Mi nak print sekarang ke?”

“Ya. Saya kena check juga dulu tu. Awak WhatsApp dekat saya kat mana awak save file tu. Saya pergi kejap lagi lepas balik klinik.”

“Eh, Encik Mi tak sihat ke?”

“Taklah. Anak saya. Lepas balik sekolah petang tadi, demam pula dia. Panas sangat. Ini masih dekat hospital. Masuk air. Dalam sejam lebih lagi saya pergilah.”

“Encik Mi temankan anak Encik Mi aje. Biar saja pergi. Lagipun, saya masih ada dekat kawasan ofis ni,” ujar Naihara.

Kesian juga pada Encik Azmi. Itu pun dok dengar suara keluhan isterinya. Lelaki itu dan isterinya hanya mempunyai seorang anak setelah berbelas tahun mendirikan rumah tangga. Dia faham akan kebimbangan tersebut.

 “Tak menyusahkan ke ni?”

“Eh, taklah. Esok pagi, Encik Mi masuk saya dah letak terus atas meja. Kirim salam dekat isteri Encik Mi,” ujar Naihara lembut.

Dia pandang pemandu teksi yang sejak tadi merenungnya yang tak keluar dari teksi biarpun sudah tiba di destinasi.

“Er… encik boleh bawa saya pergi ke alamat ni?” Naihara suakan kad namanya kepada pemandu teksi. Dia senyum tipis.

Pemandu teksi tersebut hanya kerutkan kening dan memandangkan duit yang diberikan oleh lelaki muda di depan Istana Hotel tadi berkali-kali ganda andai nak dibandingkan dengan caj teksi, dia ya kan saja.

Fuh… Naihara lepaskan nafas pendek. Memejamkan mata seketika. Dia kembali berbisik pada diri sendiri. Biarlah seisi dunia menolak kehadirannya. Malah, ada yang mengasaknya untuk dia hilang daripada muka bumi ini, dia masih mahu hargai masa yang ada.

Senyuman diukir. Tipis dan cukup manis. Biarpun bukan pada sesiapa, tapi senyuman ini tulus untuk dirinya sendiri. Untuk semangat yang sedang pulih perlahan-lahan bila mengenangkan senyuman dan rengekan Naqim.

Biarpun dia terus ditendang ke sana sini tanpa mampu mempertahankan diri, biarlah kehadirannya tak pernah dianggap, tak pernah diundang, dia masih berharap untuk bahagia biarpun bersendirian dan jauh daripada manusia yang berhati kejam.

 

 

HAMPIR tiga puluh minit dia ada di pejabat. Mengemaskinikan segala laporan dengan lebih teliti. Memastikan segala maklumat tepat hinggakan kepada susunan ayat serta ejaan. Dia tidak harapkan yang sempurna dalam setiap usahanya namun dia mahu berikan yang terbaik. Sementelah pula, nasibnya di sini masih belum tentu.

Dia dapat rasakan sesuatu yang buruk akan berlaku dan hatinya perlu lebih bersedia agar kesannya tidak terlalu menghimpit perasaannya.

Akhirnya, laporan itu mendarat di atas meja Encik Azmi. Naihara hela nafas lega. Dia kembali duduk di tempatnya buat seketika. Menilik baju yang mula pudar warna merahnya. Naihara bersandar lemah. Kepalanya kembali berdenyut malah lebih menyengat.

Dia capai cermin kecik dari dalam laci dan melihat dahi yang terdapat luka halus dan mula jelas benjolnya. Minyak angin dicapai dan disapu perlahan. Dia masih perlu bekerja untuk esok dan dia perlu bertahan.

Tisu basah dicapai dan wajahnya dilap berkali-kali hingga hilang kesan tangis dan sembap. Naihara sangkut selendang pada kerusi dan dia terus melangkah keluar dari pejabat tatkala jam sudah menginjak ke angkat dua belas tengah malam.

Naihara duduk di sebuah perhentian bas yang agak jauh dari ofis. Malam kian sunyi. Jika sebelum ini, dia pernah bimbang untuk ada di tengah kepekatan malam, kali ini perasaannya berbeza. Tiada apa yang membuatkan dia takut. Dia pernah melalui zaman kegelapan hinggakan dia tak pernah mengimpikan biarpun selajur cahaya. Parut luka lalu masih segar pada seluruh tubuhnya.

Kali ini, dia benar-benar terduduk. Terduduk hanya kerana keyakinan diri sendiri yang kononnya begitu gagah berlari meninggalkan masa lalu sedangkan masa lalu itu tidak pernah lelah mengejarnya.

Yang termengah-mengah dan hampir putus nafas adalah dirinya.

Yang longlai adalah kakinya.

Yang mula tidak berdaya adalah semangatnya.

Dia begitu yakin mampu meninggalkan segala di belakang tanpa menoleh lagi dalam beberapa tahun ini. Rupanya, itu adalah kesilapan terbesarnya bila kegelapan itu sedikit demi sedikit kembali menguasainya.

Seperti yang dia katakan, dia masih ada di sini hanya kerana dia masih punya nafas sedangkan semangatnya kian luntur. Naihara bersandar pada papan iklan di perhentian bas. Memegang telefon untuk memanggil GrabCar tapi saat ini, dia lebih suka keadaan begini.

Buat seketika, dia harap dia mampu lepaskan segalanya sebelum kembali ke rumahnya. Dia mahukan tidur yang lena setelah seharian menjadi bahan ejekan. Dia mahu menatap wajah Naqim. Hanya beberapa tahun kebelakangan ini saja dia mampu lelapkan mata tanpa dihambat mimpi ngeri dan kini, segalanya kembali lagi.

Naihara tundukkan wajah bila melihat skrin telefonnya cerah. Nombor telefon mak cik muncul. Lambat-lambat dia lekapkan ke telinga. Tanpa bersuara.

“Kau kat mana?”

Naihara diam tak berkata apa. Suara ini adalah suara yang tidak mahu lagi dia dengar.

Selamanya!


...bersambung

2 comments:

  1. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  2. Aik, nape nk call naihara lg? 🤔 Thx RM 💐🌹

    ReplyDelete