SEBAIK saja keluar daripada kereta, Balqish terus berlari
masuk. Rasa rindu pada abang bukan
sikit. Kata daddy abang balik hari ini,
tapi macam sunyi aje. Biasa kalau
sampai, dialah orang pertama yang abang akan hubungi. Perlahan-lahan, dia tolak pintu yang tak
tertutup rapat.
Memang betul senyap.
Mana pergi semua orang.
Dia letak beg di atas sofa dan terus berlalu ke bilik
baca. Dia tahu daddy ada di situ. Pasti abang dekat di situ juga bersama Uncle
Malik dan Abang Zul sebab nampak kereta Uncle Malik dekat luar tadi.
Senyuman Balqish lebar.
Perlahan-lahan dia mahu menyapa bila suara Uncle Malik menyoal daddy
yang nampak tak sihat. Malah, terbatuk
tanpa henti. Dia haluskan pandangan di
celah pintu.
Tiada orang lain. Hanya daddy dan Uncle Malik. Wajah daddy nampak pucat. Lebih pucat daripada semalam dan hari-hari
sebelumnya.
“Buya kata dia tak boleh nak balik lagi, Dato’…”
“Hurmm… aku dah agak dah.
Budak tu selagi tak selesai kerja dia, memang tak baliklah kalau kata aku
cakap aku nak mati pun…”
Malik senyum tipis.
“Jangan cakap gitu, Dato’.
Walaupun dia nakal, dia anak yang baik.
Itu saya boleh jamin.”
“Hurm… sebab dia anak yang baiklah aku rasa bersalah pada
dia, Malik. Aku rasa macam aku hempas
semua kesan dosa silam aku atas bahu dia.
Padahal dia dan Balqish tak tahu apa.
Budak berdua tu dah jadi mangsa aku…”
Dato’ Bakri kesat birai mata.
Dada Balqish kian berdebar.
“Perkara lama, Dato’…”
“AKu pun yakinkan diri aku itu hal lama. Tapi, Saira tu begitu benci dekat aku. Tapi, aku yakin dia tak cerita pun dekat Sera
pasal aku sebab tu budak tu masih okey aje layan aku…”
Sera? Nama itu
terpahat di hati Balqish. Siapakah
gerangan wanita ini? Pengganti arwah
mummy? Mustahil. Daddy tak akan carik pengganti. Dia tahu sangat tu.
“Saya rasa Saira tu dia tak benci. Mungkin dia masih tak boleh nak lupa apa dah
jadi dekat abang dan kakak ipar dia.
Tambah pulak, dia tak pernah kahwin… gigih besarkan Sera Nur. Dato’ jangan fikir sangatlah tentang tu. Janji Sera layan Dato’ dengan baik, itu dah
nikmat sangat dah. Betul tak?” Malik senyum.
Menghalau resah majikannya yang dulu adalah seorang kawan baik.
Muda bersama, susah bersama dan sekarang juga, senang
bersama.
“Yalah. Aku pun dah
janji dengan diri sendiri. Aku nak
tengok Sera berjaya dan bahagia. Dokumen
yang aku mintak tu kau dah sediakan?”
Malik angguk. Disua
kertas putih itu di depan Dato’ Bakri.
Pandangannya nampak resah.
Keliru.
“Betul ke ini keputusan, Dato’?” soalnya untuk kali terakhir.
“Nak kira, banyak sangat tu.
Tak adil untuk Buya dan Balqish…”
“Aku yakin, Malik.
Untuk Buya dan Balqish, aku rasa cukuplah apa yang adanya. Sejak awal pun kau tahu, aku tak dapat semua
ni dengan cara baik…”
“Betul, tapi Dato’ usaha bangunkan semuanya seumur hidup.”
“Daripada punca tak berkat?”
Soalan Dato’ Bakri kedengaran sangat sinis tapi pada siapa lagi andai
bukan pada diri sendiri.
Malik diam. Tak lagi
membantah. Tugasnya sebagai seorang
peguam pada keluarga ini, hanya menjalankan perintah dan amanah seperti
diminta. Andai majikannya yakin ini yang
terbaik, dia akur.
“Tapi, aku risau Balqish dan Buya dan boleh nak terima…”
“Insyaallah boleh, Dato’.
Diorang anak-anak yang baik…”
Dato’ Bakri senyum payah.
Membaca sebaris demi sebaris ayat yang tertera di atas dada kertas putih
itu.
“Ada masa, aku rasa nak sujud dekat kaki Sera sebab belot
pada arwah Saifudin. Dia begitu
percayakan aku untuk uruskan syarikat dia tapi bila aku pecah amanah, aku
babitkan nama dia. Ya, masa tu dia letak
seluruh harapan pada aku bila dia sibuk jaga arwah Suraya dalam pantang. Aku memang salah. Masa tu, aku benar-benar kabur. Aku rosakkan kepercayaan Saifudin dan
Suraya. Paling teruk, sampaikan Saifudin
ke penjara… aku cuba dapatkan Suraya.
Hinanya aku ni, Malik… padahal Sera masa tu baru tiga bulan. Aku nak minta maaf lepas Saifudin keluar
penjara tapi aku takut aku akan hilang semuanya. Aku terkejut bila dapat berita Saifudin
meninggal dan tak lama tu Suraya pun sama.
Tinggalkan Sera dalam jagaan Saira…”
“Kenapa nak bukak pekung di dada, Dato? Diorang dah lama tak ada. Dato dah bantu Sera dan dulu pun Dato pernah
nak bantu Puan Saira. Dia yang tolak…”
“Kalau aku jadi Saira pun, aku akan tolak. Tak fikir dua
kali dah…” Dato’ Bakri tergelak kecil. Gelak dengan nada kesal yang tak pernah
kunjung padam.
Bukan sekali dia temui Saira, ibu saudara Sera Nur. Berkali-kali sejak Sera masih
kanak-kanak. Tapi, ditolak
mentah-mentah. Malah, Saira turut
memaki-hamun dirinya bersama airmata yang berjuraian. Saat itu, dia tak marahkan Saira langsung. Siapalah tak sakit hati bila keluarga yang
selama ini bahagia, tiba-tiba menderita kerana sikap tamaknya.
Tuhan… hinanya dia saat itu.
“Saya faham, Dato’.
Tapi, andai ini mampu buat hati Dato’ tenang… saya akan jalankan amanah
Dato’ dengan baik…”
Balqish gamam.
Terkejut. Tak sangka
langsung daddy pernah berbuat kesilapan yang begitu teruk semasa muda dan semua
harta ni… dia ketap bibir menahan tangis.
Andai daddy tahu, dia tak harap semua kekayaan ini. Dia bahagia hanya
ada abang dan daddy.
“Dah sampai masa aku pulangkan hak Sera dan Saira. Tapi, aku tak akan abaikan anak-anak
aku. Setiapnya dah siap sebagai
penama. Aku tak nak nanti bila aku tak
sempat namakan diorang, Balqish tersingkir kerana dia hanya anak angkat dan tak
layak jadi pewaris. Sebab tu aku mintak
kau letak siap-siap Bahagian dia.
Balqish anak yang baik. Aku tak
pernah rasa dia anak angkat. Aku sayang
dia sangat…”
“Ya, saya faham, Dato’…”
Airmata Balqish terus mengalir. Hakikat itu dia dah lama tahu. Beberapa tahun dulu yang dia adalah anak
angkat dalam keluarga ini. Hanya sempat
sekejap dengan mommy dan bila mommy meninggal, dia tak rasa kehilangan. Abang banyak manjakan dia. Daddy juga sama.
Dia mahu tolak pintu.
Dia tak mahu semua harta tu. Dia
hanya nak daddy sihat. Tapi, langkahnya
terpaku. Sekujur tubuhnya gamam.
“Aku pinang Sera Nur untuk Bunyamin…”
“Hah? Dato’
betul-betul ke ni? Saya tak fikir itu
mudah, Dato’. Saira akan tentang sehabis
daya…” Nada Malik jelas menunjukkan yang
dia terkejut besar. Perkara sebesar ini,
tentang urusan hidup seseorang.
“Aku dah pinang Sera.
Tak tahu kenapa, aku nampak Suraya dalam diri Sera Nur. Perempuan yang cantik dan cekal. Setia dan sanggup berkorban apa saja untuk
orang yang dia cinta…”
“Dato jangan cakap yang Dato nak korbankan Sera Nur demi
bahagia Bunyamin?” Malik seperti tak
setuju. Bimbang pisang berbuah dua
kali. Lagipun, Saira akan tentang
sehabis daya.
Dia lihat pada Sera Nur, anak itu begitu taat pada ibu
saudaranya. Hampir mustahil Sera Nur
membantah. Tapi, tak tahulah andai kata
cinta itu mengubah segalanya.
“Jangan nampak aku jahat sangat, Malik,” ujar Dato’
Bakri.
“Saya mintak maaf, Dato.
Bukan itu maksud saya…” Rasa
bersalah menyelinap dalam dada Malik. Dia
Cuma risau. Itu saja. Lagipun, mahukah Buya terima dengan jodoh
yang ditetapkan.
Ini bukan zaman dulu untuk keluarga pilihkan jodoh. Lagipun, Buya tu boleh tahan ligatnya.
“Niat aku baik. Buya
tu pun tak jahat. Dia cuma perlu jatuh
cinta pada orang yang tepat. Yang tepat
itu adalah Sera Nur…”
“Saya faham niat Dato tapi pada saya urusan hati budak-budak
ni, biarlah diorang tentukan sendiri…”
“Ya, aku tahu. Tapi,
bila tiap kali aku cerita pada Sera tentang Bunyamin, dia nampak minat
sangat. Aku rasa dia jatuh cinta pada
cerita aku dah…” Dato’ Bakri ketawa
kecil.
“Boleh ke macam tu, Dato?”
Malik juga ketawa. Budak-budak
zaman sekarang. Misteri.
“Boleh. Aku yakin,
Buya akan jatuh cinta pada Sera Nur dalam sekelip mata. Cuma masa dia jatuh cinta tu, aku harap dia
terus sedar yang Sera tu pilihan yang tepat.
Yang paling sesuai dengan dia.
Jangan terlambat. Aku harap dia
bahagiakan Sera Nur, hargai budak tu… paling tidak, kurang sikit rasa bersalah
aku pada arwah orang tua Sera…” Kala
ini, airmata Dato’ Bakri menitis laju.
Mengena kertas yang sedang dia baca.
“Eh, dah rosak dah wasiat ni, Malik. Kau kena print lagi…” Dia cuba ketawa tapi suara seraknya
menyekat.
Malik angguk.
Akur.
Kala ini, Balqish telah menjadi mayat hidup. Dia tak kisah andai segala harta ini daddy
serahkan pada wanita bernama Sera Nur, tapi Buya adalah satu-satunya harta yang
dia yakin mampu buat dia bahagia. Yang
berjaya buat jiwa wanitanya menari gembira tapi kini…
Airmata dikesat perlahan.
Dia yakin, abang tak akan mudah jatuh sayang pada wanita lain. Kasih sayang abang hanya padanya. Tak akan dan tak pernah berubah!
MENDENGAR cerita Buya tentang Balqish, Sera hanya mampu
diamkan diri. Dahlah dia berat hati nak
balik ke sini. Sementelah pula terima
berita ini sekarang, dia perlu akui yang dia begitu terkejut.
“Abang tak tahu Balqish…”
Buya hentikan bicara. Dia renung
mata isteri.
Wajah itu nampak kebingungan dengan apa yang baru dia
ceritakan dan apa yang telah Balqish akui.
“Qish sayangkan abang lebih daripada seorang abang. Qish harap untuk hidup dengan abang
selamanya. Abang ingat Qish sengaja untuk
tolak semua orang? Sebab kononnya abang
kawal segalanya? Tak… sebab Qish memang
tak nak. Qish cuma nak abang sorang. Tapi, abang…”
Suara Balqish terus mengaum dalam kepala. Jeritan itu bergema memenuhi seluruh ruang
malam tadi. Setelah itu, Balqish terus
keluar dan dia terkaku di situ. Tak rasa
nak mengejar dan memujuk seperti kebiasaannya.
Dia seperti tak reti nak memujuk seorang wanita melainkan Sera. Dia hanya reti memujuk adiknya tapi Balqish
telah buang hak itu daripadanya.
Menyebabkan dia rasa terlalu janggal.
“Dia memang tahu dia anak angkat sejak awal?” tanya Sera mematahkan renungan Buya yang
nampak sudah terlalu larut dalam kejadian semalam.
Dengan berat hati, Buya angguk.
“Awak tak pernah cakap dekat saya…”
“Abang rasa tak perlu sebab dia memang adik abang. Memang anak daddy dan mommy. Tak ada apa-apa masalah sebelum ni. Sejak dulu, dia memang hanya seorang adik
yang abang sayang sangat. Abang manjakan
dia, abang penuhi segala kehendaknya.
Cuma sekarang, abang tak sangka yang dia tuntut apa yang abang tak boleh
nak bagi…” Buya raup wajah.
Tunduk memandang permaidani dalam bilik sendiri.
Sera labuhkan duduk di sisi Buya. Agak rapat.
Dia juga sakit kepala memikirkan.
Tak boleh nak tidur.
“Awak tak cuba call dia mana dia tidur semalam?”
Buya geleng. Telah dia
katakan, kerisauannya terhalang oleh sesuatu.
Sesuatu yang berpunca daripada Balqish sendiri.
“Dia masih adik awak…”
“Abang tahu. Cuma
abang rasa…”
“Awak tak boleh halang orang cintakan awak, Buya…”
Buya diam. Tak menoleh
langsung. Hanya tunduk sejak tadi.
“Tak kanlah korang nak putuskan hubungan hanya kerana salah
seorang daripada korang berdua ada perasaan istimewa?”
“Habis tu, Sera nak abang buat apa? Permintaan dia…” Buya ketap bibir.
“Gila, tahu tak?!” Tak
sengaja, Buya membentak. Melepaskan
geram pada isteri sendiri.
Sera senyum sinis.
Memang gila. Dia sendiri terkejut
malah tak sangka, Balqish minta sesuatu yang dia rasakan sukar untuk ditunaikan. Cuma…
dia renung sisi wajah Buya.
“Why not…”
“Don’t you dare, Sera Nur.
I forbid!” Sekali lagi Buya
berkeras. Wajah Sera direnung
tajam.
Keluhan Sera lepas.
Dia larikan wajah. Rasa bersalah
bila membangkitkan amarah Buya. Patutnya
dia tenangkan lelaki ini sekarang bukan terus menjadi minyak tanah dan
membuatkan marah Buya makin marak.
“Saya minta maaf. Saya
tak patut cakap gitu…”
“No, sayang. Abang
mintak maaf. Abang tak patut tengking
Sera…” Sedar dengan keterlanjuran diri, tangan
Buya menjalar mencari tangan Sera.
Diramas perlahan.
Dia angkat lutut dan membawa tubuhnya empat puluh lima darjah
memandang sepenuhnya pada Sera.
“I love her. Abang
sayangkan dia tapi bukan sebagai seorang perempuan. Adik.
Ya. Adik perempuan. Dan abang memang tak pernah tahu yang dia
suka abang lebih daripada tu. Jujurnya,
abang rasa bersalah sekarang sebab abang tak boleh nak kejar dia, tak boleh nak
pujuk dia. Sudahlah dia hanya ada abang
sorang dalam dunia ni, tapi abang pulak abaikan dia…” akui Buya perlahan.
“Apa yang patut abang buat, Sera Nur?” soalnya dengan mata yang berair. Dia tunduk dan terus tunduk hingga dahi
mencecah bahu Sera.
Sera diam tak memberi jawapan. Jujurnya, dia begitu cemburu melihat
pengakuan Balqish yang mencintai suaminya.
Padahal dia baru saja temui kekuatan untuk beri peluang diri mereka
bahagia sekali lagi. Tapi, bahagia itu
tak mudah rupanya.
“Abang sayangkan Balqish…”
akui Buya perlahan. Kali ini,
diakhiri dengan esakan.
“Saya tahu…” balas
Sera dan tangannya naik mengusap belakang Buya perlahan. Kemudian menjalar ke belakang lehernya lantas
mengelus rambutnya perlahan.
Dia harap, kehadirannya saat ini mampu melapangkan dada Buya
tapi rasanya tak. Kasih sayang Buya pada
Balqish tak mampu tandingi kasih sayang Buya padanya. Dia tahu.
Tapi, seperti yang Buya katakan, sayang pada adik dan isteri adalah dua
perkara berbeza.
Balqish yang tak boleh nak terima.
Dan, bagaimana Balqish mahu terima andai perasaannya pada
Buya begitu istimewa. Maka, logiklah
andai Balqish membencinya. Kerana
satu-satunya ‘harta’ yang dia ada iaitu seorang lelaki yang dia panggil
suami.
“Saya faham Balqish.
Sejak dulu, abang dan daddynya manjakan dia sangat sampaikan dia rasa
dia tak perlukan sesiapa dalam hidupnya.
Tiba-tiba daddy nak jodohkan abang yang dia sayang dengan perempuan yang
entah daripada mana asal-usul, kalau saya tempat dia pun saya akan marah…”
“Tak, abang percaya Sera tak akan marah…” bantah Buya.
Sera diam.
“Sebab lepas Sera tahu kenyataan tentang apa yang arwah daddy
dah buat pada orang tua Sera, Sera tetap terima abang… jadi benarlah kata
daddy, memang jiwa Sera jiwa yang bersih.”
“Tentang hal tu, saya kalau boleh tak nak sesiapa tahu
sebenarnya. Tapi, kalau semua dah tahu…
apa nak buat. Saya tak berdendam malah
saya tak harapkan apa-apa. Cumanya
sekarang, saya tak boleh kata saya tak simpati pada Balqish. Dia masih muda. Boleh jadi dalam hidupnya dia hanya fikirkan
awak. Jadi, awak tak boleh biarkan
dia. Biarpun janggal, saya yakin awak
kena lakukan sesuatu…”
“Abang tak boleh.
Abang tak tahu kenapa abang dah tak boleh nak nampak dia macam adik
manja abang…” Buya angkat kepala. Matanya basah.
Entah kenapa, simpati Sera tumpah berselerakan melihat wajah
tangis BUya. Wajah ini berkali ganda
sedih andai nak dibandingkan kala dia pergi daripada hidup Buya. Jadi, usah menipu… perasaan sayang Buya pada
Balqish biarpun sebagai adik adalah sangat kuat. Dia tak mahu Buya menyesal kemudian
hari.
Perlahan-lahan, Sera angkat tangannya menyapu pipi Buya. Kemudian, mengusapnya perlahan. Senyuman dikoyak. Tipis tapi dia harap dapat meredakan resah di
hati Buya biarpun sedikit. Tangannya
menjalar ke belakang tengkuk lelaki itu dan menarik kepalanya agar mendarat di
tengah dadanya. Belakang itu diusap
perlahan.
“Sera tahu semua ini sukar untuk abang. Sukar untuk kita. Tapi, kita kena fikir yang sukar juga untuk
Balqish. Dia tiada siapa melainkan
abang. Tak seperti Sera, Sera masih ada
mak su…”
Kala ini, Buya ketap bibir sekuat hati. Terkejut dengan bicara Sera kerana inilah
yang dia harapkan bila membawa Sera kembali ke rumah ini buat kali kedua. Dia mahu raikan dengan Balqish dan seluruh
isi rumah. Dia mahu mereka bahagia
bersama. Tapi, kenapa Balqish jadikan
semua ini begitu sukar untuknya.
“Balqish juga sedang menderita, abang…” pujuk Sera perlahan.
“Abang kena carik dia.
Diam macam ni tak akan selesaikan masalah. Dia lebih lama hidup dengan abang. Sedangkan dengan Sera pun abang sanggup buat
apa saja untuk Sera kembali, Sera percaya abang mampu buat yang lebih lagi
untuk satu-satunya adik abang. Hubungan
kekeluargaan ini, abang… bukan sekadar darah.
Kasih-sayang itu sendiri sudah mampu menjadi bukti…”
“Tapi, perasaan Balqish pada abang…” Buya angkat wajah sekali lagi. Dia gigit bibir bawah dan menggeleng.
“Abang kekok…”
“Tahu, tapi kita tak boleh biarkan semua ni. Masalah tak akan selesai…”
“Macam mana kalau syarat dia…”
“Untuk abang kahwin dengan dia?” sambung Sera bila Buya diam di situ.
Buya ketap bibir.
“Sera harap Sera boleh cakap, jangan. Abang dah ada isteri. Tak cukupkah sorang biarpun Sera tak sempurna
dan tak seperti yang abang harapkan.
Tapi, keadaan sekarang buatkan Sera tak boleh nak cakap macam tu. Dia masih tanggungjawab abang bila sejak
kecil dia membesar dengan abang. Jadi,
Sera harap abang berdepan dengan dia… bincang dengan cara dewasa. Seperti mana abang pujuk Sera dan Sera bagi
abang ruang dan peluang, Sera yakin abang boleh pujuk dia untuk terima
segalanya dengan hati terbuka…”
Airmata Buya mengalir lagi.
Dia kesat, kasar. Menggeleng
berkali-kali. Tuhan… begini baik dan
tulus jodoh yang telah daddy carikkan dan yang telah Kau perkenankan.
“Dia berbeza dengan Sera…”
“Sebab tu Sera istimewa sebab tak ada sesiapa yang sama dengan
Sera…” Saja Sera buat lawak. Mahu redakan amukan dalam dada Buya.
Kala ni, Buya tergelak kecil.
“Tapi, jujurnya abang rasa lega bila Sera benar-benar dah
terima abang…”
“Sera dah terima abang lama…”
“Really?” Buya jongket
sebelah kening. Mencabar jawapan Sera.
“Kalau Sera tak terima dan tak sayang, tiada siapa boleh
masuk dekat dan usik Sera walaupun pada hujung jari. Sebab Sera sayang dan terima abang, jadi Sera
izinkan abang masuk rapat. Hati Sera
masa tu, banyak merajuk sebenarnya.
Bukan marah. Sebab tu abang kena
percaya, Balqish hanya merajuk dan orang merajuk ni, memang pujukanlah ubatnya…” nasihat Sera perlahan.
“Kalau dia tak nak balik macam dulu…”
“Setidak-tidaknya, abang cuba…”
Lama-lama Buya angguk.
Tubuh Sera dipaut dan didakap mesra.
Ya, kemesraan yang dia impikan selama ini. Yang hanya daripada seorang Sera Nur. Tiada yang lain.
“Apapun jadi, menderita atau bahagia… Sera kena ada di sisi
abang,” bisik Buya. Biarpun perlahan,
tapi tegasnya ketara pada pendengaran Sera.
“Kita tak tahu apa akan jadi esok hari dan kita tak perlukan
risaukannya. Apa saja yang berlaku, kita
hanya perlu terima dengan lapang dada,” balas Sera.
ZUL gamam. Terkejut
pun ya dengan apa yang dia dengar daripada Buya. Sera hanya diam di sisi Buya sejak tadi. Nampak tak bermaya. Kalau tak ada masalah melanda, rasanya dia
dah usik Buya ni. Tapi, keadaan sekarang
sangat serius.
“Kau cuba call dia?”
Buya angguk. “Tak
dapat. Dia off handphone dia…”
“Rumah kawan-kawan dia?”
“Semua aku dah pergi.
Masing-masing tak tahu…”
“Siapa lagi kawan dia, ya?”
Zul jenuh memikir. Sejak dia
kenal Balqish, anak gadis itu masih seorang kanak-kanak yang lincah dan
manja.
Membesar menjadi anak dara, dia tak sangka yang Balqish
simpan perasaan pada abang angkat sendiri.
Tapi, kalau nak kira memanglah.
Layanan Buya pada Balqish ada masa dia pun rasa menyampah. Manjakan sangat.
“Macam mana sekarang ni, Buya?” soal Uncle Malik yang sejak tadi diam.
Dia dan Zul bergegas ke sini bila terima berita daripada
Buya. Tapi, dah dua hari baru nak
bagitahu? Budak bertuah ni, betullah!
“Report polis boleh ke, ayah?” cadang Zul.
“Boleh tu memanglah boleh.
Tapi, dia keluar daripada rumah sendiri.
Lagipun, dia orang dewasa. Nanti
polis gelakkan kau,” selar Uncle Malik pada anak lelakinya.
Zul tarik muka. “Tapi
tak salah, kannnnn…” Geram pulak
dia. Ayah ni la haiii… tak kenakan dia
tak boleh. Sejak Buya berbaik dengan
Sera ni, makin keraplah dia kena.
Semuanya dialah yang salah. Eh
ehhh…
“Kamu nak repot, Buya?”
Buya diam. Memandang
pada Uncle Malik, Zul dan berakhir pada wajah Sera yang nampak pucat dan
penat. Salah dia. Dalam pada keadaan begitu kelam-kabut, dia
tetap tarik Sera rapat padanya.
“Entahlah, uncle. Saya
risau tapi saya masih berat hati nak bertemu empat mata dengan dia…”
“Tak boleh macam tu.
Dia adik kamu…”
“Ya, saya tahu…” Buya
tunduk lagi. Memikir tapi hakikatnya dia
hanya temui kebuntuan.
“Uncle mintak tolong kawan uncle dulu untuk minta budak-budak
dia carikkan…” Uncle Malik bangkit. Terus berlalu tanpa berkata lanjut.
“Sera nampak penat, naik rehat dulu…” pinta Buya bila Uncle Malik hilang. Dia ada perkara yang nak bincangkan dengan
Zul.
“Abang betul-betul okey, kan?” soal Sera perlahan.
Zul bulat mata.
Mulutnya melopong. Tak percaya
dengan apa yang dia dengar. Dia pandang
Buya yang sedang merenung isteri bagai nak telan. Kemaruk!
“Abang okey. Lagipun,
abang dok sini aje. Sera naik rehat
dulu. Abang tahu Sera tak boleh nak
tidur risaukan Qish…” Pipi pucat Sera
disentuh mesra.
Tak berkata apa, Sera hanya angguk dan terus berlalu naik ke
atas. Sungguh… tubuhnya terasa
sengal. Malah, kelopak matanya cukup
memberat. Dia tak boleh nak tidur. Risau dengan keadaan Balqish.
“Lain macam korang…”
Laju Zul menegur bila Sera dah meniti anak tangga.
“Allhamdulillah. Ini
antara hikmah atas semua yang sedang jadi.
Sera terima aku sepenuhnya…”
“Woww… syukurlah, kawan. Serius, aku terkejut bila Sera
panggil kau abang. Aku macam tak percaya
telinga aku sendiri. Tapi memang aku
tumpang syukur dengan hubungan kau dan dia.
Tapi, kau tak boleh abaikan Balqish jugak…”
“Aku tahu tu. Tapi
memang susah untuk aku terima apa yang aku baru tahu…”
“Aku tahu. Aku yang
membesar sama dengan korang pun tak boleh nak percaya. Tapi, aku risau kau akan hilang Balqish…”
“Maksud kau?”
“Kenal perangai dia, aku rasa tak mudah untuk dia balik ke
sini semula selagi Sera ada dan selagi kau…”
“Zul!” Suara Buya
menggumam menahan Zul daripada bersuara.
Dia tahu apa yang bakal Zul katakan.
“Dia hanya seorang adik…”
“Aku tahu, kawan. Tapi,
entahlah…” Zul lepaskan keluhan. Buya lebih tahu.
“Kalau kata korang bertiga mampu bahagia…”
“Kau gila!” marah
Buya. Pandangannya tajam menikam.
“Aku tak biarkan Sera terkorban dalam hal ini. Cukuplah sekali…”
“Sebab tu aku cakap, kau dah sedia nak hilang dia? Sebab aku tahu kau sangat sayangkan Balqish
sejak dulu…”
Kata-kata Zul, membuatkan Buya termenung sendiri.
Saat ni, telinga Sera mendengar dengan jelas kata-kata
Zul. Dia turun perlahan demi menyatakan
Balqish menghubunginya tapi, niatnya terbantut di situ.
Benar kata Riz, sekali ini saja dia perlu abaikan semua
perkara demi bahagia sendiri. Ya, ini
yang sedang dia lakukan. Tapi, kenapa
ada sebahagian jiwanya tak tenang dengan bahagia yang sedang dia kecapi?
Dia bersandar pada dinding.
Mendongak ke atas cuba memujuk airmata agar tidak menitis, namun sayang…
titisan itu tetap mengalir.
Rupanya, dia tetap tidak mampu menari di atas kepedihan orang
lain.
😭😭😭😭😭😭😭😭
ReplyDeleteEii...tak suka la.. Sera be strong! Jd perempuan yg kuat pls.. Jgn la mengalahkan nak serahkan Buya dkt Balqis pulak. Pls pertahankan Buya..
ReplyDeleteAlahai balqish..mcm2 la. Payah sungguh
ReplyDeleteBalqish ni pn 1 hal la..apsal dl x confess kt buya yg ko cinta dia..dh org tu kawin br sibuk ttp perasaan dia plk..marah rsnye ni..
ReplyDeleteAdoi Balqis tu dah salah tafsir perasaan dia. Sera be strong 😭
ReplyDeletebalqish tepon sera... urmmmm
ReplyDelete